Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir 2,000 penduduk Meru sertai saringan percuma Covid-19

KLANG, 28 MEI: Penerimaan penduduk Meru terhadap Saringan Komuniti Covid-19 menggalakkan apabila lebih 2,600 individu mendaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata mereka beratur seawal jam 8 pagi untuk menyertai program secara percuma anjuran Kerajaan Negeri.

“Hampir 2,000 individu sudah disaring setakat jam 2 petang ini dan jumlahnya mungkin melebihi jumlah berdaftar kerana ramai yang datang secara terus.

“Perjalanan program juga lancar kerana peserta tidak mengambil masa lama untuk selesai disaring” katanya selepas meninjau program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Beliau turut menyeru seluruh masyarakat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Ini satu-satunya ikhtiar paling berkesan untuk mengekang penularan jangkitan kerana hanya diri kita sendiri mampu mengubahnya.

“Jika anggap perkara ini remeh, kita bukan sahaja risiko diri tetapi membahayakan nyawa ahli keluarga. Harus diingat, kesilapan kecil boleh penyebab kematian,” katanya lagi.

Bermula 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan saringan percuma di 56 DUN.