Categories
AGENDA NASIONAL

PNB umum agihan pendapatan lima sen untuk pemegang unit ASB

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak lima sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Pembayaran sebanyak RM8.9 bilion itu merangkumi pengagihan pendapatan 4.25 sen seunit dan bonus 0.75 sen seunit yang memanfaatkan 10.4 juta pemegang unit, sekali gus menjadikan jumlah pengagihan pendapatan terkumpul dan bonus ASB berjumlah RM168.5 bilion sejak ia diperkenalkan pada 1990.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata prestasi ASB kekal kompetitif berbanding instrumen pelaburan berisiko rendah yang lain, dan usaha berterusan dalam strategi kepelbagaian dan pengukuhan portfolio telah membuahkan hasil positif.

“Prestasi pelaburan ekuiti global yang lebih kukuh telah berjaya mengurangkan kesan pasaran domestik yang mencabar. Ini menunjukkan betapa pentingnya strategi kepelbagaian dalam mengurus risiko portfolio untuk menjana pulangan yang mampan,” katanya semasa majlis pengumuman dividen ASB yang diadakan secara maya hari ini.

Arifin berkata ASB mencatatkan prestasi positif di sebalik keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu, serta kemunculan varian baharu Covid-19 dan peningkatan kes baharu sepanjang tahun yang memperlahankan pemulihan ekonomi global.

FBM KLCI merosot 7.80 peratus setakat 22 Dis 2021, manakala indeks utama global menunjukkan prestasi lebih baik dengan S&P 500 dan FTSE 100 masing-masing mencatatkan pulangan sebanyak 26.3 peratus dan 11.2 peratus.

“Pengagihan pendapatan ASB pada tahun ini kekal kompetitif hasil usaha dan dedikasi pasukan pelaburan kami. Kadar pengagihan pendapatan sebanyak lima sen seunit ini adalah 315 mata asas lebih tinggi berbanding Deposit Tetap 12-bulan yang kadar semasanya ialah 1.85 peratus,” kata Arifin.

Beliau berkata jumlah akaun ASB bertambah sebanyak hampir 200,000 kepada 10.4 juta, manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 7.4 bilion atau 4.3 peratus kepada 181.2 bilion unit.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, PNB berbesar hati dengan bilangan rakyat Malaysia yang melabur dengan PNB dan jumlah pelaburan yang terus meningkat meskipun dalam persekitaran yang mencabar.

“PNB telah menunjukkan daya tahan dalam mengharungi ketidaktentuan pada tahun ini dengan mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan. Untuk 11 bulan pertama tahun ini, jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB telah meningkat 4.9 peratus kepada RM338.4 bilion, mencerminkan kepercayaan berterusan oleh pemegang unit,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh strategi Fokus 4 pada tahun ini, beliau berkata PNB telah mencapai kemajuan ketara dalam tiga bidang tumpuan iaitu mencipta nilai dalam prestasi portfolio domestiknya, meneruskan usaha kepelbagaian di pasaran global menerusi kelas aset yang berbeza dan mempercepatkan peningkatan perkhidmatan melalui pendigitalan.

Urus niaga ASB ditangguhkan bermula hari ini sehingga 2 Januari 2022 untuk urusan pengagihan dividen dan akan disambung semula pada 3 Januari 2022.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN cadang agihan Ehsan ASB dikekal, tumpu golongan B40

SHAH ALAM, 23 DIS: Pemberian dividen khas bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) perlu dikekalkan dengan keutamaan kepada akaun golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Wakil rakyat Setiawangsa berkata langkah itu bagi memastikan golongan terbabit mendapat keuntungan lebih tinggi berbanding pemegang unit yang memiliki jumlah pelaburan besar.

Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan hampir 80 peratus atau 7.4 juta pemegang unit ASB mempunyai unit kurang RM5,000 pada 2018 sementara 0.24 peratus memiliki RM500,001 dan ke atas.

Menurutnya, pemegang unit ASB dalam kalangan B40 hanya mempunyai RM4.1 bilion manakala 9.15 peratus teratas mempunyai RM127.5 bilion dalam dana unit amanah.

“Pendekatan ASB selama ini relevan ketika penubuhannya dahulu tetapi perlu ada penyesuaian agar penerima manfaat terbesar adalah golongan Bumiputera B40 dan M40,” katanya yang juga ketua pengelola setiausaha Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam kenyataan.

“Saya berasa tiba masanya untuk Permodanan Nasional Berhad (PNB) menjadikan pemberian dividen bertingkat sebagai dasar tetap bagi akaun B40 dan M40 seperti dilaksana Kumpulan Wang Simpanan Pusat Singapura.”

PNB hari ini mengumumkan agihan pendapatan 5.0 sen seunit untuk dana unit ASB bagi tahun kewangan berakhir 30 Disember 2020.

Pendapatan merangkumi 4.25 sen seunit dan agihan Ehsan 0.75 sen seunit bagi 30,000 unit pertama sempena ulang tahun ke-30 ASB.

Categories
AGENDA NASIONAL

PNB umum dividen ASB 4.25 sen, agihan Ehsan 0.75 sen

SHAH ALAM, 23 DIS: Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan bayaran agihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Ini membabitkan jumlah pembayaran agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan tambahan pembayaran Ehsan sebanyak 0.75 sen seunit bagi 30,000 unit pertama ASB yang dimiliki oleh pemegang.

Ketika mengumumkannya, Pengerusi PNB Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menyifatkan prestasi ASB kekal kompetitif berbanding instrumen pelaburan berisiko rendah lain dan terus menjadi pilihan yang baik untuk individu dengan profil risiko rendah serta menyasarkan pelaburan jangka panjang.

“Sejak beberapa tahun ini, pengagihan pendapatan ASB kekal kompetitif walaupun (indeks petunjuk utama) FBM KLCI mencatat prestasi negatif dalam tempoh lima tahun daripada enam tahun ini,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya di sini, hari ini.

-BERNAMA