Categories
AGENDA GLOBAL

Sidang kemuncak khas Korea Selatan, ASEAN tingkatkan kerjasama menang-menang

 

BUSAN, 26 NOV: Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa meletakkan harapan yang tinggi terhadap sidang kemuncak khas antara Korea Selatan dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan berkata ia mampu meningkatkan lagi kerjasama menang-menang.

“Kami menyambut baik dasar pandang ke selatan Korea Selatan,” kata beliau dalam temu bual eksklusif dengan agensi berita Yonhap dan Yonhap News TV semasa kunjungannya ke Busan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan.

Beliau merujuk kepada Dasar Selatan Baharu pentadbiran Moon Jae In yang bertujuan memperkukuh hubungan strategik Seoul dengan ASEAN.

Mahathir berkata Korea Selatan tidak seperti sebelum ini kerana telah mencapai kemajuan yang luar biasa terutama dari segi teknologi.

“Jadi, penting bagi ASEAN membangunkan hubungan yang baik dengan Korea Selatan kerana kami boleh mendapat manfaat daripada pengalaman anda, cara anda melakukan sesuatu dan juga pelaburan dari Korea,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia “amat sesuai berinteraksi dengan Korea” memandangkan situasi politiknya yang stabil dan sumber manusia negara itu yang bertutur dalam bahasa Inggeris.

Sambil membayangkan pragmatisme diplomatik Malaysia, Dr Mahathir berkata negara itu juga menghulurkan tangan kepada Korea Utara.

Malaysia kini bersedia membuka semula kedutaannya di Pyongyang, yang ditutup sejak insiden pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Februari 2017.

“Kami ingin bersahabat dengan semua negara di dunia … Malah Korea Utara juga boleh berdagang dengan kami. Kami tidak suka konfrontasi,” katanya.

Beliau menyifatkan cakap-cakap bahawa kerajaan Korea Utara menjadi dalang di sebalik pembunuhan itu adalah “mencurigakan” dan berkata ia tidak menjejaskan keselamatan Malaysia.

“Jadi, sudah tiba masanya untuk menyambung semula hubungan normal antara Malaysia dan Korea Utara,” katanya dalam temu bual yang berlangsung di bilik hotel beliau di Busan.

Ditanya bilakah perkara itu akan direalisasi, Mahathir berkata “kami kini bertemu dan berbincang dengan mereka.”

Para pegawai Korea Utara merancang untuk berkunjung ke Malaysia.

“Kami akan berbincang dengan mereka bilakah masa yang tepat untuk kami membuka semula kedutaan itu,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaannya akan “lebih berhati-hati” bagi memastikan bahawa hal ehwal dalaman negara lain tidak membabitkan atau berlaku di Malaysia.

Beliau mengesahkan sokongan terhadap inisiatif damai serantau Moon.

“Saya menghargai idea Presiden Moon. Beliau berjaya mencapai beberapa kemajuan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata komuniti antarabangsa perlu mengelak sikap menggesa Korea Utara “melakukan segalanya” sebelum menarik balik sekatan.

Pemimpin berusia 94 tahun itu tiba di bandar pelabuhan Busan pada Ahad.

Beliau segera melawat Industri Aeroangkasa Korea (KAI) yang merupakan sebuah syarikat utama aeroangkasa dan pertahanan.

Beliau merancang melawat Hyundai Rotem, yang turut menghasilkan barangan pertahanan.

Ditanya mengenai jadualnya, beliau berkata Malaysia kini mencari rakan kongsi sesuai bagi membekalkan senjata api yang diperlukan untuk pertahanan dan keselamatannya sendiri.

Beliau juga kelihatan berhati-hati dengan usaha Korea Selatan untuk mengadakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Malaysia.

“FTA selalunya baik namun kita perlu faham kelemahan dan kekuatan negara yang terlibat,” katanya sambil menambah bahawa kekuatan industri Malaysia masih di peringkat awal.

Beliau menyamakan keadaan itu dengan “handicap” seorang pemain golf. Untuk bertanding menentang Tiger Woods, seorang pemain golf amatur mungkin perlu menyesuaikan “handicapnya” dalam usaha menjadikan pertandingan itu adil, kata Dr Mahathir.

Mengulas pertikaian Korea Selatan-Jepun sejak turun-temurun, beliau mencadangkan usaha yang bersifat memandang ke hadapan bagi menyelesaikan konfrontasi atas dasar apa yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan kedua-dua negara.

Beliau dijadualkan ke Seoul sejurus selepas menghadiri sidang kemuncak Busan.

Beliau dijangka mengadakna rundingan sidang kemuncak empat mata dengan Moon di Cheong Wa Dae pada Khamis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: ASEAN kumpulan serantau stabil dan berjaya

BANGKOK, 5 NOV: Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) berkembang dengan pesat selama ini untuk menjadi sebuah perkumpulan serantau yang cukup stabil di dunia hari ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“ASEAN hari ini adalah sebuah perkumpulan serantau yang paling stabil dalam dunia, berbanding EU (Kesatuan Eropah), mereka sedang menghadapi masalah,” kata Perdana Menteri yang berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-35.

Beliau berkata kejayaan pertubuhan itu dapat dilihat dengan jelas berdasarkan kepada keinginan banyak lagi negara lain untuk menyertai perkumpulan itu, di samping berjaya meluaskan lagi bidang kerjasama dalam kalangan negara anggota.

“Secara keseluruhan, kita sudah melakukan yang terbaik. ASEAN berkembang pesat dengan lebih banyak bidang kerjasama ketika ini. Ramai yang berminat untuk menyertai kita…seperti Timor Leste, mereka berminat untuk menyertai kita, saya rasa kita perlu menerima mereka, namun ada beberapa anggota masih tidak selesa,” katanya dalam satu persidangan media bersama media Malaysia di sini.

ASEAN ditubuhkan pada 1967 dengan hanya lima negara pengasas yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura serta Thailand, dan kini dengan 10 negara anggota, ia berjaya menjalin kerjasama dan perkongsian erat dengan enam negara di rantau Asia Pasifik, yakni China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand, sehingga dikenali sebagai ASEAN +6.

Dr Mahathir berkata perkumpulan serantau itu juga sedang meraih hasil daripada wawasan serta kerjasama erat mereka, termasuk diiktiraf sebagai komuniti Asia Timur, dan beliau menambah kini Perundingan Ekonomi Asia Timur (EAEC) juga sudah menjadi realiti.

“Orang ramai kini merujuk ASEAN +3 (China, Jepun dan Korea Selatan) sebagai komuniti Asia Timur. Jadi kami (ASEAN) akhirnya berjaya diiktiraf sebagai komuniti Asia Timur,” katanya.

Idea penubuhan zon perdagangan bebas serantau EAEC bagi ASEAN +3 dicetuskan oleh Dr Mahathir pada 1997 sebagai reaksi kepada integrasi ke dalam Kerjasa Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Dr Mahathir, 94, kembali sebagai Perdana Menteri selepas memimpin Pakatan Harapan untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 pada Mei tahun lalu, dan kali pertama beliau menerajui negara sebagai Perdana Menteri adalah selama 22 tahun, sebelum bersara pada Oktober 2003.

“Kali ini, saya menghadiri sidang kemuncak ini buat kali kedua sejak tahun lepas. Sidang Kemuncak ASEAN kini mempunyai ramai pemimpin baharu. Disebabkan demokrasi, rakyat boleh menukar pemimpin. Bukan seperti sebelum ini di mana pemimpin yang hadir seringkali orang yang sama,” katanya.

Beliau seterusnya menggambarkan sidang kemuncak ini berserta persidangan yang berkaitan dengan tema “Memperkukuh Kerjasama bagi Kelestarian”; sebagai suatu kejayaan, dan menambah pada dasarnya semua mesyuarat berjalan dengan lancar.

Sidang Kemuncak yang berlangsung di Pusat Pameran IMPACT Convention and Exhibition di sini berakhir hari ini.

Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan akan diadakan di Vietnam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Jemilah rakyat Malaysia pertama menang hadiah ASEAN

BANGKOK, 3 NOV: Pengasas Mercy Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dipilih sebagai pemenang Hadiah ASEAN 2019 sebagai mengiktiraf peranan utama beliau dalam pelbagai misi kemanusiaan dan pengurusan bencana di rantau ini.

Beliau adalah rakyat Malaysia pertama menerima anugerah itu, yang diperkenalkan di Singapura tahun lalu.

Dr Jemilah, 60, menerima trofi dan hadiah wang tunai AS$20,000 daripada Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan o-cha dan Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin negara anggota ASEAN yang lain menyaksikan majlis penyampaian anugerah itu.

Dr Jemilah adalah anggota pasukan kepimpinan kanan di Persekutuan Antarabangsa Bulan Sabit Merah, mewakili kepentingan dan Setiausaha Agung pertubuhan itu apabila diperlukan.

Hadiah ASEAN adalah anugerah berprestij bertujuan mengiktiraf pencapaian cemerlang dan mencetuskan inspirasi oleh seseorang individu atau pertubuhan dalam memupuk identiti ASEAN, mempromosi semangat ASEAN serta memperjuangkan hala tuju ASEAN.

Tahun lalu, Hadiah ASEAN diraih bekas Pengerusi ASEAN Autism Network, Erlinda Uy Koe dari Filipina.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Dunia: Lima negara ASEAN bincang kriteria bidaan

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Hasrat ASEAN menjadi tuan rumah bersama bagi Piala Dunia 2034 mungkin dapat direalisasikan.

Ini berikutan satu mesyuarat membabitkan lima negara ASEAN termasuk Malaysia akan diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan keperluan dan komitmen yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan ASEAN di Manila, Filipina pada Rabu berkata:

“Oleh kerana syarat yang ada dalam pembidaan FIFA yang memerlukan beberapa perkara diteliti, jadi pada mesyuarat itu kita telah bersetuju untuk menubuhkan satu kumpulan kerja teknikal untuk mengkaji dengan lebih mendalam khususnya berkaitan dengan dokumen pembidaan.

“Kita juga akan memanggil persatuan bola sepak negara ASEAN bersama kumpulan ini bagi membincangkan tentang bagaimana kita boleh meneruskan usaha untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah,” katanya selepas perasmian Hari Sukan Negara (HSN) yang merupakan kemuncak sambutan Bulan Sukan Negara di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Ahmad Shapawi berkata, mesyuarat yang masih belum dimuktamadkan tarikh itu bukan bertujuan membincangkan mengenai bidaan tetapi lebih kepada membincangkan kekuatan dan potensi yang ada pada negara ASEAN yang boleh ditawarkan untuk meyakinkan pihak FIFA.

Untuk rekod, pada Jun lalu, Pengerusi ASEAN, Jen Prayuth Chan o-cha memaklumkan bahawa kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Idea rantau ASEAN untuk menjadi tuan rumah temasya bola sepak terbesar di dunia itu dicadangkan kepada pemimpin negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34, di Bangkok, Thailand.

Lima negara ASEAN itu ialah Malaysia, Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ASEAN perlu tangani punca fizikal, politik isu kebakaran hutan, jerebu

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Cara terbaik untuk meminimumkan risiko jerebu rentas sempadan yang semakin teruk di rantau ASEAN adalah dengan menangani punca fizikal dan politik berhubung isu kebakaran hutan dan jerebu.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Dr Helena Varkkey berkata, visi ASEAN bagi rantau bebas jerebu menjelang 2020 banyak bergantung kepada iltizam politik Indonesia untuk menangani kebakaran di dalam negara itu secara berkesan dan menerima bantuan tepat pada waktunya.

Dalam masalah jerebu merentas sempadan yang sedang melanda, Indonesia dilihat keberatan untuk menerima bantuan daripada Malaysia.

“Kita tidak pasti sekiranya akan berlaku satu lagi pusingan kebakaran besar pada tahun depan. Bagaimanapun, sama ada ini akan mengakibatkan jerebu di rantau ini akan banyak bergantung pada usaha pencegahan oleh pihak Indonesia, yang diharapkan dapat melaksanakannya dengan sebaik mungkin apabila kebakaran yang sedang berlaku dipadamkan sepenuhnya.

“Tetapi kita perlu ingat bahawa tahun bebas jerebu rentas sempadan, malah sekiranya 2020 adalah bebas jerebu, tidak bermakna tahun berikutanya juga akan bebas jerebu,” katanya dalam temuramah dengan Bernama menerusi e-mel.

Lebih 4,000 titik panas dikesan di kawsan tengah dan barat Indonesia dengan pihak berkuasa tempatan menugaskan anggota untuk memadamkan kebakaran yang menyebabkan jerebu menyelubungi rantau ini.

Kerajaan Indonesia dilaporkan telah menyita ladang termasuk konsesi milik syarikat asing, berhubung pembakaran terbuka.

Sementara itu, jerebu rentas sempadan daripada kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera telah menyebabkan ratusan sekolah di Sarawak dan Johor ditutup kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara, Jabatan Alam Sekitar menunjukkan kualiti udara di beberapa daerah di dua negeri itu mencatatkan paras sangat tidak sihat.

Bagaimanapun, kerajaan Indonesia sekali lagi enggan menerima kesalahan itu, mendakwa asap jerebu yang menjejaskan Kuala Lumpur berpunca dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Ia menolak aduan Malaysia berhubung asap bahaya yang berpunca daripada kebakaran hutannya yang merebak merentas sempadan, menyatakan kebakaran turut berlaku di bahagian Malaysia dan ladang milik Malaysia di Indonesia.

Varkkey berkata, saling menuding jari antara satu sama lain tidak akan membantu, berikutan Presiden Joko Widodo, sejak beberapa tahun lepas, menyatakan bahawa walaupun berlaku kebakaran hutan di Indonesia, ini tidak menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Namun, Malaysia bergantung pada data serantau Pusat Meteorologi Khas ASEAN yang menunjukkan kebanyakan asap itu datang dari Indonesia.

“Bagaimanapun, kita juga perlu mengakui bahawa kita juga mempunyai beberapa kejadian kebakaran di kawsan kita, walaupun ia tidak sebesar yang berlaku (di Indonesia’s) – ini tidak patut diketepikan.

“Juga terdapat isu berterusan mengenai latar belakang ladang milik Malaysia yang beroperasi di Indonesia yang juga mungkin mempunyai peranan dalam pembersihan hutan yang secara langsung atau tidak langsung menyebabkan kebakaran,” kata Varkkey.

Beliau berkata, kedua-dua negara perlu melihat lebih jauh daripada saling menyalahkan antara satu sama lain berhubung puncanya, dan sebaliknya perlu memberi tumpuan pada mencari penyelesaiannya – melaksanakan kerjasama berkesan dalam aktiviti pencegahan, dan segera menyelaraskan bantuan rentas sempadan pada peringkat awal kebakaran.

Satu contoh aktiviti pencegahan itu adalah melaksanakan semula inisiatif dalam memorandum persefahaman lama antara kedua-dua negara berhubung penggunaan tanah dan latihan pengurusan kebakaran, kata Varkkey.

Beliau berkata, keadaan di kawasan terbabit juga amat bergantung pada keadaan cuaca seperti El Nino dan angin Monsun yang menyebabkan kemarau dan angin yang meniupkan asap ke jarak jauh dan meluas dan pada tahun tertentu cuaca adalah baik.

Untuk mencapai rantau bebas jerebu, negara anggota ASEAN perlu mengambil langkah pencegahan seperti membina bangunan blok terusan untuk memastikan tanah gambut, sama ada yang masih asli atau sudah dibangunkan, kekal berair dan tidak mudah terbakar; melindungi hutan sensitif daripada ditebang; dan mengawal ketat penggunaan cara pembakaran bagi pertanian dan perladangan.

Varkkey berkata, penyelesaian jangka pendek seperti penggunaan penutup mulut dan hidung mungkin membantu dalam mengurangkan kerengsaan dan mungkin menjadikan orang lebih berani untuk keluar bekerja dan menjalankan aktiviti seperti biasa, tetapi kebanyakan penutup mulut dan hidung tidak mampu menghalang zarah kecil daripada menyerap masuk yang berbahaya kepada kesihatan untuk jangka panjang.

“Dari segi lebih menyeluruh, kos kesihatan semakin meningkat dalam kalangan populasi. Lebih banyak perbelanjaan tidak dijangka digunakan untuk pergi ke klinik dan hospital, serta untuk mendapatkan ubat di farmasi.

“Hari bekerja tenaga kerja hilang kerana cuti sakit yang diambil, atau jika kanak-kanak sakit, ibu bapa perlu mengambil cuti untuk menjaga mereka. Ini bermakna penurunan produktiviti di semua sektor,” katanya.

Secara menyeluruh, Varkkey berkata, kesan terhadap ekonomi akan bergantung kepada betapa teruknya jerebu, dan berapa lama ia berlarutan.

Beliau menegaskan kesannya tidak mudah untuk ditaksirkan dan biasanya kuantitinya hanya dapat diketahui selepas masalah jerebu berakhir.

Sektor pertanian mungkin turut terjejas, sekiranya jerebu berpanjangan untuk tempoh lama, kerana tanaman akan terjejas berikutan kadar fotosintesis berkurangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Negara ASEAN perlu tegas dalam isu jerebu

KUCHING, 10 OGOS: Negara ASEAN perlu mengadakan pertemuan untuk menyesaikan masalah jerebu dan pencemaran rentas sempadan yang memberi ancaman serius terhadap kesihatan penduduk di rantau ini.

Aktivis sosial, Datuk Seri Ang Lai Soon berkata masalah pencemaran yang berulang itu perlu dibincangkan dengan lebih serius kali ini memandangkan negara ASEAN sudah beberapa kali mengadakan pertemuan sebelum ini, namun tiada tindakan tegas dan berkesan diambil.

“Rakyat di negara terbabit mahukan keputusan memuaskan dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Lai Soon berkata, beliau yakin Malaysia dan Singapura boleh memainkan peranan utama secara berterusan dalam mencari penyelesaian dan menangani perkara ini dengan serius.

Beliau berkata banyak negara mempunyai undang-undang yang ketat mengenai pencemaran dan pembakaran, bagaimanapun yang menjadi masalah ialah penguatkuasaan, terutama bagi negara membangun atau mundur.
 
Katanya, kerjasama serius bagi menangani  masalah itu diperlukan melalui perjanjian yang menjadikan penguatkuasaan satu perkara serius bagi menghalang orang ramai daripada melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk dan ekonomi negara terbabit.

Beliau berkata bayi, kanak-kanak, warga tua, ibu mengandung, orang sakit terutama yang mengalami masalah jantung adalah golongan yang paling terkesan akibat jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan terutama pembakaran bagi tujuan pertanian berskala besar.

“Perkara ini bukan krisis politik, tetapi krisis kesihatan yang mengancam nyawa,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Lima negara ASEAN ikrar tingkat langkah cegah jerebu

PUTRAJAYA, 8 OGOS: Lima negara ASEAN berikrar untuk berwaspada, memantau dan meningkatkan langkah pencegahan bagi meminimumkan sebarang kejadian jerebu rentas sempadan semasa cuaca panas dan kering di antara Ogos dan Oktober ini.

Negara itu ialah Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand,

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) dalam kenyataan berkata, kesepakatan itu dicapai dalam mesyuarat ke-21 Jawatankuasa Pemandu Menteri Sub-Serantau (MSC) Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan di Brunei Darussalam, Selasa lalu.

Katanya, kelima-lima negara juga bersetuju meningkatkan kerjasama menangani pencemaran jerebu merentas sempadan secara berkesan melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Jerebu Merentas Sempadan.

“MSC juga bersetuju meningkatkan koordinasi serantau melalui pelaksanaan projek kerjasama antarabangsa membabitkan program menangani jerebu rentas sempadan, pelaksanaan pengurusan hutan secara berkekalan dan konservasi kawasan tanah gambut,” katanya, di sini hari ni.

Selain itu Mestecc berkata, negara anggota MSC turut mengesahkan kesediaan mereka untuk memberi bantuan teknikal berupa peralatan dan sumber tenaga manusia apabila diperlukan negara ahli jika berlaku kebakaran hutan berskala besar yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Katanya, MSC juga mengulangi komitmen untuk mencapai objektif dan prinsip Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan bagi mencapai sasaran ‘ASEAN Tanpa Jerebu’ menjelang 2020, di samping meneruskan program pembangunan kapasiti dan latihan dalam kalangan negara anggota untuk menangani jerebu rentas sempadan.

Dalam pada itu, katanya mesyuarat itu juga membincangkan antaranya laporan keadaan cuaca semasa di rantau ASEAN.

“ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura melaporkan bahawa rantau ASEAN dijangka mengalami keadaan cuaca yang neutral tanpa El Nino atau La Nina pada Ogos hingga Oktober tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, selatan rantau ini dijangka mengalami kekurangan taburan hujan terutama di Malaysia, Singapura dan Sumatera, Indonesia dengan cuaca yang lebih panas dan kering bagi tempoh Ogos hingga Oktober 2019.

Selain itu, Mestecc berkata, kelima-lima negara MSC sudah membentangkan tindakan yang diambil dalam menangani kejadian kebakaran dan jerebu di negara masing-masing.

“Secara amnya, kebanyakan kejadian kebakaran di negara ahli MSC berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut ekoran cuaca panas dan kering yang melanda selatan rantau ASEAN,” katanya.

Di peringkat domestik, Mestecc berkata, Malaysia sudah melaksanakan segala usaha antaranya melalui pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan.

Pada mesyuarat itu, Malaysia diawakili oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

ASEAN sepakat tolak jadi lokasi pembuangan sampah global

BANGKOK, 3 OGOS: Blok ASEAN, yang terdiri daripada 10 anggota, mengulangi kesediaan untuk bekerja dengan komuniti antarabangsa bagi mempertingkatkan kerjasama menghentikan trafik haram pergerakan merentas sempadan bahan kimia dan sisa berbahaya, sejajar persetujuan rangka kerja antarabangsa.

Dalam kenyataan bersama, para menteri luar ASEAN menyatakan kebimbangan mereka berhubung ancaman dan kesan buruk yang kian bertambah kepada kesihatan manusia dan alam sekitar akibat peningkatan haram pergerakan merentas sempadan bahan kimia dan sisa lain ke rantau ini.

“Kami menolak pergerakan merentas sempadan bahan sisa ke rantau ini secara haram, dan menekankan bahawa semua negara hendaklah mengambil langkah perlu bagi memastikan pengurusan alam sekitar bagi sisa kimia dan berbahaya dalam bidang kuasa masing-masing.

“Ia juga bagi memastikan perlindungan bagi kesihatan manusia dan alam sekitar, dan meningkatkan kerjasama dengan bidang kuasa yang lain termasuk menerusi pertukaran maklumat yang berkenaan dan kapasiti bangunan,” katanya.

Kenyataan itu dengan tajuk “Illegal Trans-boundary Movement of Hazardous Waste and Other Wastes in Southeast Asia” disiarkan sempena dengan Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN dan Persidangan Selepas Mesyuarat Menteri dan Mesyuarat Yang Berkenaan kali ke-52 (AMM/PMC 52) di sini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas negara anggota ASEAN menerima banyak kontena mengandungi sisa, beberapa toksik dalam beberapa bulan lalu.

Kumpulan menteri luar itu berkata, terdapat keperluan untuk menggalakkan rantau Asia Tenggara bebas daripada pergerakan merentas sempadan secara haram bagi sisa termasuk sisa berbahaya dan sisa lain.

Beberapa negara ASEAN menjadi negara kaya tempat longgokan sampah termasuk Malaysia, Filipina, Kemboja dan Indonesia.

Pada Mei, Malaysia mengumumkan akan menghantar semula 3,000 tan metrik sisa plastik ke negara asal.

Pada Jun, kerajaan Filipina berkata ia akan mengupah syarikat perkapalan swasta untuk menghantar 69 kontena sampah pulang ke Kanada dan meninggalkkannya dalam kawasan perairannya jika ia enggan menerimanya kembali.

Kemboja berkata, ia akan menghantar pulang 1,600 tan metrik sisa plastik haram yang dikesan dalam kontena kapal.

Pada akhir Julai, Indonesia memulangkan semula tujuh kontena berisi sisa haram yang diimport ke Perancis dan Hong Kong dari pelabuhan Pulau Batam.

-BERNAMA

Categories
EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor cuba ‘ukur diri’ di peringkat ASEAN

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Selangor cuba mengukur tahap kemampuan diri dengan meletakkan persaingan di peringkat rantau ASEAN, kata EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak sepatutnya hanya melihat Malaysia sebagai pasaran yang besar dalam mengukuhkan kedudukan negeri.

“Apabila kita melihat kekuatan di peringkat serantau barulah kita boleh memperbaiki keupayaan sekali gus menjadi pesaing lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Sesi Perbincangan Pembuat Dasar dan Pemimpin Industri: Memajukan Ekonomi Bersama melalui Forum ‘Selangor: Regional Powerhouse’ di sini, hari ini.

Sebelum itu, forum yang berlangsung di Hotel Hilton itu dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Chang Khim berkata, penganjuran forum itu amat bermakna buat Kerajaan Negeri ekoran ia mengumpulkan syarikat dan pemain industri dari dalam mahupun luar negara.

“Melaluinya kita dapat berbincang, berkoloberasi serta bekerjasama bukan saja untuk mengekalkan kedudukan Selangor sebagai ‘powerhouse’ tetapi juga menjadi kuasa dalam rantau ini,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
NASIONAL

Malaysia sokong Timor Leste sebagai anggota ASEAN ke-11

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Malaysia sentiasa konsisten menyokong kemasukan Timor Leste sebagai anggota baharu negara ASEAN memandangkan ia terletak di dalam rantau geografi Asia Tenggara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau sendiri telah mengulangi sokongan Malaysia pada Timor Leste ketika bertemu rakan sejawatnya Dr Dionisio da Costa Babo Soares yang melakukan lawatan ke Putrajaya, pada 1 dan 2 Julai lalu.

“Saya telah memaklumkan bahawa Malaysia sentiasa konsisten dengan pendiriannya menyokong Timor Leste untuk menyertai ASEAN sejak permohonan mereka dibuat pada 2011.

“Menteri Luar Timor Leste menyatakan penghargaan terhadap sokongan Malaysia dan memaklumkan bahawa kemajuan Timor Leste dalam memenuhi syarat-syarat penyertaan sebagai negara ASEAN sedang aktif dilaksanakan mereka,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu adakah Malaysia akan menyokong kemasukan Timor Leste sebagai negara ASEAN yang ke-11.

Saifuddin berkata, ASEAN tidak menetapkan tempoh masa kemasukan Timor Leste namun negara-negara ASEAN telah bersetuju untuk mengadakan misi mencari fakta mengenai kesediaan negara itu menjadi anggota ASEAN.

Beliau berkata, perkara itu akan dimulakan pada September ini dan Malaysia berharap ia menghasilkan dapatan yang positif sekali gus memungkinkan Timor Leste untuk menjadi anggota ASEAN secepat mungkin.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

ASEAN perlu bersatu tangani isu Laut China Selatan

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Kaedah terbaik bagi ASEAN menangani isu Laut China Selatan dan menyempurnakan Kod Tata Laku (COC) adalah dengan bersatu dalam satu suara, kata bekas Menteri Luar Indonesia Dr Marty Natalegawa.

Beliau yang berkhidmat dari 2009 hingga 2014 berkata adalah penting agar badan serantau 10 negara itu senada, meskipun setiap negara anggota mungkin mempunyai kepentingan berbeza.

“Sangat penting bagi negara Asia Tenggara apabila berdepan masalah seperti isu Laut China Selatan, kita tidak boleh berpecah’, sebaliknya bersatu padu walaupun pihak yang menuntut hanya sebahagian daripada kita.

“Pada masa sama perkara itu memberikan kesan kepada kita semua. Kita perlu mengukuhkan pendirian kita dalam perbincangan dengan China mengenai COC,” katanya kepada Bernama dan RTM, selepas pelancaran buku tulisannya “Does ASEAN Matter? A View from Within” di sini.

Buku itu dilancarkan di luar Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-33 yang berakhir semalam.

Antara negara anggota ASEAN hanya Malaysia, Vietnam, Filipina dan Brunei yang menuntut kawasan Laut China Selatan.

Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 baru-baru ini di Bangkok telah menggesa negara anggota bersama-sama dalam merangka COC supaya pertikaian mengenai isu terbabit dapat diselesaikan dengan baik.

Pendirian Malaysia mengenai pertikaian itu ialah, ia tidak sepatutnya dibincangkan secara berasingan di kalangan negara anggota yang membuat tuntutan.

Bekas wakil tetap Indonesia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dari tahun 2007-2009 itu, turut mengingatkan ASEAN perlu teguh bersatu yang mana ia menuntut banyak pengorbanan.

Beliau berkata untuk ASEAN terus kekal relevan, satu perkara paling utama ialah mengekalkan perpaduan.

“Kita semua (perlu) sentiasa bercakap mengenai perpaduan. Ia perlu bukan sekadar mantra semata-mata. Ia perlu dibuktikan, perlu ditunjukkan. Dan apabila berlaku pergeseran, perlu ada usaha serius untuk mengembalikan perpaduan,” katanya.

“Malah ASEAN hanya akan kuat apabila kita bersatu. Tetapi bila berpecah kita cenderung untuk mencegah dan malah cenderung untuk mengendurkannya.”

Mengenai buku hasil nurkilannya setebal 258 muka surat itu, Natalegawa berkata beliau berkongsi pemikirannya sendiri, mengenai apa yang masih perlu dilakukan ASEAN selain meraikan pencapaian masa lalu blok itu.

Buku itu diterbitkan pada akhir 2018 di Singapura oleh ISEAS. Sebelum ini ia telah dilancarkan di beberapa negara Asean seperti Singapura dan Thailand.

Berharga RM124, diedarkan di Malaysia oleh GERAKBUDAYA Enterprise. Maklumat lanjut boleh didapati di www.gerakbudaya.com.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

ASEAN perlu bersatu tangani isu Laut China Selatan

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Kaedah terbaik bagi ASEAN menangani isu Laut China Selatan dan menyempurnakan Kod Tata Laku (COC) adalah dengan bersatu dalam satu suara, kata bekas Menteri Luar Indonesia, Dr Marty Natalegawa.

Beliau yang berkhidmat dari 2009 hingga 2014 turut memuji kedudukan Malaysia dalam perkara berkenaan, sambil menambah adalah penting agar badan serantau 10 negara itu senada, meskipun setiap negara anggota mungkin mempunyai kepentingan berbeza.

“Sangat penting bagi negara Asia Tenggara apabila berdepan masalah seperti isu Laut China Selatan, kita tidak boleh berpecah’, sebaliknya bersatu padu walaupun pihak yang menuntut hanya sebahagian daripada kita.

“Pada masa sama perkara itu memberikan kesan kepada kita semua. Kita perlu mengukuhkan pendirian kita dalam perbincangan dengan China mengenai COC,” katanya kepada Bernama dan RTM, selepas pelancaran buku tulisannya “Does ASEAN Matter? A View from Within” di sini pada Rabu.

Buku itu dilancarkan di luar Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-33 yang berakhir hari ini.

Antara negara anggota ASEAN hanya Malaysia, Vietnam, Filipina dan Brunei yang menuntut kawasan Laut China Selatan.

Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 baru-baru ini di Bangkok telah menggesa negara anggota bersama-sama dalam merangka COC supaya pertikaian mengenai isu terbabit dapat diselesaikan dengan baik.

Pendirian Malaysia mengenai pertikaian itu ialah, ia tidak sepatutnya dibincangkan secara berasingan di kalangan negara anggota yang membuat tuntutan.

Bekas wakil tetap Indonesia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dari tahun 2007-2009 itu, turut mengingatkan ASEAN perlu teguh bersatu yang mana ia menuntut banyak pengorbanan.

Beliau berkata untuk ASEAN terus kekal relevan, satu perkara paling utama ialah mengekalkan perpaduan.

“Kita semua (perlu) sentiasa bercakap mengenai perpaduan. Ia perlu bukan sekadar mantra semata-mata. Ia perlu dibuktikan, perlu ditunjukkan. Dan apabila berlaku pergeseran, perlu ada usaha serius untuk mengembalikan perpaduan,” katanya.

“Malah ASEAN hanya akan kuat apabila kita bersatu. Tetapi bila berpecah kita cenderung untuk mencegah dan malah cenderung untuk mengendurkannya.”

Mengenai buku hasil nurkilannya setebal 258 muka surat itu, Natalegawa berkata beliau berkongsi pemikirannya sendiri, mengenai apa yang masih perlu dilakukan ASEAN selain meraikan pencapaian masa lalu blok itu.

Buku itu diterbitkan pada akhir 2018 di Singapura oleh ISEAS. Sebelum ini ia telah dilancarkan di beberapa negara Asean seperti Singapura dan Thailand.

Berharga RM124, diedarkan di Malaysia oleh GERAKBUDAYA Enterprise. Maklumat lanjut boleh didapati di www.gerakbudaya.com.

– BERNAMA