Categories
GLOBAL

ASEAN dan Rusia sepakat kukuh perkongsian pelbagai bidang

SHAH ALAM, 31 MAC: ASEAN dan Rusia sepakat untuk memperluas serta memperkukuhkan lagi perkongsian dalam pelbagai bidang pada Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN-Rusia (ARSOM) ke-14 yang berlangsung di Vientiane, Laos, pada 29 Mac lalu.

Dalam satu kenyataan lapor BERNAMA, ASEAN menyambut baik kecenderungan Rusia untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang seperti sains, teknologi dan inovasi, kesihatan, pendidikan, pertanian dan keselamatan makanan, sumber tenaga, pengangkutan, pelancongan dan pengurangan risiko bencana.

Pegawai kanan turut bersetuju meneroka peluang dalam usaha meningkatkan kerjasama yang mempunyai kepentingan bersama seperti memerangi keganasan dan fahaman pelampau, jenayah merentasi sempadan, ancaman keselamatan bukan tradisional dan keselamatan siber melalui mesyuarat berkenaan.

arsom-rusiaMesyuarat itu mencapai kesepakatan meneroka kaedah mempercepatkan pelaksanaan cadangan serta mengukuhkan perkongsian seperti yang terkandung dalam tiga dokumen rangka kerja ASEAN-Rusia.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Timbalan Menteri Luar Laos, Thongphane Savanphet dan rakan sejawatannya dari Rusia, Igor Morgulov.

“Tiga dokumen itu ialah Deklarasi Sochi (dikeluarkan sempena Sidang Kemuncak Sochi), Pelan Komprehensif Tindakan ASEAN-Rusia 2016-2020 dan Laporan Rusia-ASEAN Eminent Persons Group pada 2016 yang mengandungi cadangan menggerakkan perkongsian,” kata kenyataan berkenaan.

ASEAN juga bersetuju meneroka cadangan Rusia bagi mendapatkan perjanjian perdagangan bebas antara ASEAN dan Kesatuan Ekonomi Eurasia serta kepentingan membabitkan sektor perniagaan melalui misi perdagangan juga pameran.

Mesyuarat juga menyambut baik keputusan Rusia melantik duta khas ASEAN, sekali gus mencerminkan komitmen negara itu bagi meningkatkan pembabitan dengan blok berkenaan yang berpangkalan di Jakarta, menjelang Ogos ini.

Pada masa sama, pembabitan aktif Rusia dalam Forum Serantau ASEAN, Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Campur dan Sidang Kemuncak Asia Timur disambut baik pegawai ASEAN.

Rusia juga akan menganjurkan beberapa acara khas termasuk persembahan kebudayaan sempena sambutan ulang tahun ke-50 ASEAN, tahun ini.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB: Sumber pendapatan baru lonjak Selangor pemain utama ASEAN

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KLANG, 10 OKT: Hasil pendapatan Selangor dijangka meningkat apabila negeri terkaya itu mula menjana sumber pendapatan barunya pada tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata langkah itu bakal diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2016 pada 30 Oktober nanti bersama beberapa inisiatif diperkenalkan kelak.

MB Rasmikan Pulau Indah Fasa 3c Food Station (5)“Selangor tak boleh kekal seperti sekarang tetapi kita akan beralih menjadi ‘smart state’ bukan sahaja di Malaysia tetapi menjadi pemain utama di rantau ASEAN dalam masa terdekat.

“Kita sedang menumpukan usaha mempromosi kepada lima industri utama iaitu elektronik, elektrikal, barangan kenderaan, bioteknologi, makanan mesin dan peralatan.

“Ini adalah hasrat Kerajaan Negeri untuk mempelbagaikan hasil dan sumber pendapatan Kerajaan Negeri dan kita mengenal beberapa inisiatif baru dalam Belanjawan 2016 bagi meningkatkan pendapatan dan hasil negeri,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Jualan Dan Perasmian Taman Perindustrian Hijau Pulau Indah Fasa 3C Dan Pulau Indah Food Station di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.

Ketika mengulas jumlah pelaburan di Selangor bagi 2015, Mohamed Azmin memberitahu, sehingga Jun, Kerajaan Negeri sudah meluluskan sebanyak 139 projek pelaburan bernilai RM4.2 bilion yang merupakan tertinggi di Malaysia.

Sementara itu ketika menyentuh Taman Perindustrian Hijau Pulau Indah, Mohamed Azmin berkata projek itu merupakan penyumbang tertinggi nilai pelaburan di Selangor dalam pembangunan perindustrian dan Hab Halal Selangor.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor mahu jadi platform pelaburan negara ASEAN

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 6 OGOS : Selangor berhasrat menjadikan negeri itu sebagai platform bagi Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) memasarkan produk mereka sehingga peringkat dunia.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS & Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim, berkata fokus pelaburan itu akan diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Selangor kini berusaha untuk mendapatkan semua panel di negara ASEAN supaya kita boleh bekerja sebagai satu pasukan, terutamanya dalam medium komuniti ekonomi ASEAN,” katanya dalam satu pertemuan bersama kira-kira 30 pelabur di Manila, Filipina baru-baru ini.

ASEANKatanya struktur ekonomi Selangor menunjukkan 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah daripada industri perkhidmatan, manakala 30 peratus daripada sektor pembuatan.

Justeru, katanya Selangor menjadi tumpuan dalam pelaburan sekaligus menjadikan negeri itu sebagai pintu pelaburan bagi negara ASEAN.

“Selangor juga akan menganjurkan ekspo perdagangan terbesar iaitu Selangor International Expo (SIE) 2015 pada 26 hingga 28 November di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines Centre (MIECC).

“Negeri memerlukan platform untuk pengeluar dan pemadanan perniagaan, oleh sebab itu kita ambil inisiatif menganjurkan ekspo ini,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Kerajaan perlu bersikap inklusif terhadap saranan rakyat

logoABIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memantau secara berterusan perkembangan membabitkan Semakan Berkala Sejagat – Universal Periodic Review (UPR) yang sedang dilalui oleh Malaysia di Geneva, Switzerland.

Komitmen dilandaskan pada hakikat Karamah (kemuliaan) Insaniah yang dijunjung dalam Islam sepertimana yang dituntut dalam surah Al-Isra? ayat 70 yang bermaksud,

?Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan kenderaan di darat dan di laut; dan Kami berikan rezeki kepada mereka dari yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan?.

Sebelum proses UPR di Geneva pada ketika ini, Abim telah mengadakan usaha advokasi dan konsultasi secara aktif dengan pelbagai pihak berkepentingan menerusi pelbagai medium serta saluran. Di peringkat Asean, pada September 2012, Abim telah menghantar wakil ke 2nd Regional Consultation of Asean Intergovernmental Commission on Human Rights with Civil society Organization on Asean Human Rights Declaration di Manila, Filipina.

Menerusi sidang tersebut, Abim sebagai satu-satunya Civil Society Organisation (CSO) berorientasi Islam yang mewakili Malaysia dan negara-negara Asean telah menyampaikan bantahan terhadap sebarang usaha untuk mendokong gagasan Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender (LGBT) untuk dijadikan sebahagian daripada Draf Akhir Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (Asean).
Bersempena tarikh semakan di Geneva, delegasi Abim telah menghadiri ?Diskusi Semakan Berkala Sejagat dan Status Hak Asasi Manusia Malaysia? anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) pada 22 Oktober 2013. Diskusi dan pembentangan yang turut dihadiri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (PBB), Global Moderate Movement (GMM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan beberapa organisasi penting yang lain.

Berdasarkan kepada pengamatan dan penglibatan Abim, kami mengharapkan agar beberapa perkembangan positif yang diusahakan kerajaan Malaysia selepas proses penilaian UPR pertama pada tahun 2009 yang lalu dalam sektor pendidikan, sosial serta ekonomi dapat diteruskan dan dipertingkatkan. Dalam bidang pendidikan sebagai contohnya, dasar kerajaan untuk menjamin akses bagi mendapatkan pendidikan percuma yang lebih luas merupakan sesuatu inisiatif yang harus dihargai.

Adalah menjadi harapan agar rekomendasi para perwakilan luar agar langkah-langkah, seperti menjamin akses kepada perkhidmatan kesihatan percuma yang luas dan kediaman, pada kos yang rendah serta berpatutan, dapat diterima oleh pihak kerajaan.

Di sebalik pencapaian tersebut, Abim mengharapkan agar kerajaan Malaysia perlu mengambil perhatian serius beberapa saranan yang dikemukakan para perwakilan antarabangsa. Saranan tersebut khususnya isu perlaksanaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Abim berpandangan bahawa perlaksanaan akta-akta tersebut, bukan satu-satunya penyelesaian mutlak ke atas rentetan kes-kes jenayah yang semakin membarah di negara ini.

Dalam hal ini, Abim turut menggesa kerajaan agar bersikap inklusif terhadap sebarang sumbang saran yang dikemukakan rakyat terhadap dasar-dasar berkaitan pemeliharaan hak sivil dan kebebasan politik, kerana ia jelas memberi implikasi negatif kepada komuniti antarabangsa terhadap tekanan hak asasi masyarakat sivil dan kebebasan berpolitik di negara ini.

Abim juga menggesa kerajaan terutama sekali pihak yang berkenaan memperkemaskan mekanisme pengurusan serta pentadbiran untuk orang pelarian, pemohon suaka politik serta warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. Aspek sokongan kebajikan dan sosio-ekonomi yang sedia ada perlu diperkemaskan dengan kerjasama UNHCR dan NGO kemanusiaan dalam negara.

Berdasarkan kepada beberapa kes yang berlaku sebelum ini, yang membabitkan pelarian serta pemohon suaka politik yang dihantar pulang khususnya pelarian Uyghur di China, Malaysia perlu lebih tegas dalam memelihara hak asasi manusia yang teraniaya walaupun Malaysia masih belum menandatangani Perjanjian berkaitan Status Pelarian 1951.

Satu lagi isu yang banyak disuarakan dalam sesi pendengaran Malaysia ialah isu kebebasan beragama. Walaupun Abim menghormati peruntukan Artikel 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagai masyarakat beragama kita menolak setegas-tegasnya usaha untuk mengarusperdanakan kebebasan individu tanpa batasan khususnya amalan LGBT. Abim turut menyarankan agar pihak kerajaan agar lebih serius dan proaktif dalam usaha menyelesaikan pertikaian melibatkan isu-isu sensitiviti agama.

Bagi tujuan tersebut, Abim menyarankan agar Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JPKA) yang diluluskan oleh Jemaah Kabinet harus diberikan nafas baru dengan peranan yang lebih signifikan dalam penyelesaian konflik antara penganut agama.

Adalah satu tren yang membimbangkan seandainya polemik-polemik keagamaan sebegini diheret ke mahkamah perundangan. Pada masa yang sama, sebarang provokasi melampau dari mana-mana kelompok yang ekstrim harus ditangani secara tegas menerusi saluran perundangan yang adil serta saksama! –

Mohamad Raimi Ab Rahim
Naib Presiden Antarabangsa, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Pusat perlu tegas bantah kekejaman di Mesir, Syria

eli-dewan

SHAH ALAM, 14 SEPT : Kerajaan Malaysia digesa supaya menyatakan pendirian tegas untuk membantah kezaliman yang berlaku di Mesir dan Syria hingga mengorbankan ribuan nyawa.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, meskipun Malaysia terkenal sebagai negara yang sering tampil dengan misi bantuan kemanusiaan, namun pemimpinnya kekal berdiam diri daripada membincangkan masalah ini di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya memainkan peranan proaktif dan konstruktif di peringkat antarabangsa seperti dalam gabungan negara-negara Islam (OIC) dan ASEAN untuk menghentikan konflik dan keganasan ini.

“Kerajaan Pusat setakat ini tidak nampak tegas khasnya apabila Malaysia menyatakan mereka adalah pemimpin di dunia dalam negara Islam.

“Saya ingin menekankan bahawa Kerajaan Malaysia perlu menyuarakan pendapat mereka tentang keganasan yang sedang berlaku di Syria dan Mesir dengan membawa perkara ini ke peringkat antarabangsa.

“Perkara ini perlu ditangani secara cepat, tegas dan diplomatik,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Wacanan Solidariti Wanita bersama Mesir dan Syria di Dewan Jubli Perak, di sini pagi tadi.

Elizabeth berkata, Kerajaan Negeri juga memainkan peranan aktif dalam membantu negara-negara yang terlibat dengan krisis kemanusiaan dengan menganjurkan pelbagai aktiviti berbentuk solidariti.

“Kita pernah hantar bantuan kepada warga Palestin dan pelarian Rohingya di Selangor sebelum ini.

“Kita akan mencari jalan bagaimana kita dapat membantu rakyat yang sedang sengsara di Mesir dan Syria,” katanya lagi.

Wacana yang dihadiri kira-kira 300 peserta itu dianjurkan oleh Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dengan kerjasama Pertubuhan Belia Gema Malaysia (Gema), Ikram Siswa, Muslimah Interest Zone and Networking Association (Mizan) dan Pertubuhan Mawaddah Malaysia.

Ia bertujuan menzahirkan kebersamaan dan solidariti terhadap rakyat Syria dan Mesir khususnya kepada kaum wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa kekejaman dalam tragedi berdarah itu.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Giatkan Usaha Tarik Pelaburan Tempatan

Jumlah Pelaburan Mengikut Negeri Jan - Sept. 2012

SUBANG JAYA 24 DIS : Persaingan daripada ekonomi serantau yang semakin sengit telah mendorong Kerajaan Negeri untuk mengiatkan usaha bagi menarik pelaburan dalam negeri bagi menjana pertumbuhan ekonomi.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Industri, Teresa Kok berkata menjangka bahawa saingan untuk pelaburan luar di antara negara-negara di ASEAN akan menjadi semakin sengit pada tahun akan datang.

“Dengan keadaan ekonomi global yang tidak memberansangkan, Malaysia dijangka menghadapi cabaran getir terutamanya daripada negara-negara Asia Timur bagi menarik pelabur asing.

“Maka, kita perlu tampil menawarkan pelaburan yang lebih menarik untuk bersaing atau mengambil langkah bijak dengan mempratikkan inisiatif ‘local reinvestment’,” jelas beliau yang juga Adun Kinrara.

Beliau menambah, keutamaan yang diberi Kerajaan Negeri kepada pelabur tempatan berjaya menjadikan Selangor sebagai penyumbang terbesar pelaburan di Malaysia.

Ini dapat dilihat pada statistik pelaburan tahun ini di mana sebanyak 71 peratus atau RM 5.47 bilion daripada keseluruhan pelaburan di Selangor datang daripada pelabur tempatan.

Sementara hanya 29 peratus atau RM 2.21 billion datang daripada pelaburan asing.

“Selain itu, langkah ini juga dapat memberi manfaat kepada pelabur-pelabur tempatan untuk bersaing secara sihat di samping memberi keuntungan kepada perkembangan ekonomi negara,” ujarnya lagi.

Sehingga September lalu, Kerajaan Negeri mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 7.68 bilion meliputi 24 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di negara ini.