Categories
AGENDA JENAYAH

Penguasa SPRM dipenjara, sebat salah guna wang rampasan beli kereta mewah, hartanah

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Seorang Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipenjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyalahgunakan wang rampasan SPRM berjumlah US$6.94 juta.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas Shahrum Nizam Baharuddin, 41, menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan ketika sebutan kes hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dari tarikh tangkap pada 13 Sept 2021.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Pada 12 April 2021, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Suzana berkata hukuman yang dikenakan ke atas tertuduh diharap dapat memberi pengajaran kepadanya agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Dalam pada itu, Suzana turut mengarahkan supaya harta yang dibeli menggunakan wang rampasan dan yang disita iaitu seutas jam tangan jenama Hublot Big Bang berwarna biru, sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Raptor, sebuah kereta Honda Civic, sebuah Mercedes-Benz, dua motosikal berkuasa tinggi jenama Ducati, sebuah rumah dua setengah tingkat di Kota Warisan Sepang, dua bidang tanah di Jerantut, Pahang dan wang tunai RM8,700, dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

Turut diperintahkan untuk dilucut hak kepada kerajaan ialah wang tunai US$4.07 juta dan RM1.6 juta.

Mengikut pertuduhan pilihan, Shahrum Nizam didakwa menjadikan harta iaitu wang berjumlah US$6.94 juta bagi kegunaannya sendiri.

Dia melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK), Bahagian Siasatan, Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara 17 Dis 2018 dan 9 April 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda.

Terdahulu, peguam Ahmad Hafiz A Bakar yang mewakili Shahrum Nizam memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah mengaku bersalah dalam pertuduhan pilihan dan pengakuan itu perlu diberi kredit oleh mahkamah dalam menjatuhkan hukuman.

“Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah sebelum ini.

“Kesalahan pertama ini merupakan faktor yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah dalam memberikan keputusan. Anak guam saya juga mengakui akibat kes ini, hidupnya dalam kegelapan,” kata peguam itu yang turut memaklumkan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan bapa kepada dua anak berusia 10 dan 12 tahun.

Menceritakan mengenai latar belakang pekerjaan anak guamnya, Ahmad Hafiz berkata tertuduh telah berkhidmat dengan SPRM sejak 14 Nov 2005 dan dia memperoleh anugerah perkhidmatan cemerlang sebanyak empat kali sepanjang perkhidmatannya.

Katanya tertuduh menghidap kanser hidung dan satu laporan perubatan dari sebuah hospital swasta turut diberikan kepada mahkamah.

Menurut Ahmad Hafiz, aset yang dibeli menggunakan wang hasil daripada rampasan SPRM itu, telah dirampas dan disita oleh SPRM dan anak guamnya memohon maaf atas kesilapannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah mempertimbangkan faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh dalam menjatuhkan hukuman.

“Mahkamah perlu mengambil kira tahap keseriusan kesalahan dilakukan dan ia dilakukan oleh seorang penjawat awam yang diberi amanah dengan tugas tetapi mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.

“Pendakwaan mohon mahkamah mengambil kira nilai wang yang terlibat dan kesalahan ini telah mencemarkan imej SPRM sebagai sebuah organisasi dan individu tertentu dalam organisasi tersebut secara khasnya,” katanya.

— BERNAMA

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantuan aset, tentera selamatkan mangsa banjir

SHAH ALAM , 18 DIS : Kerajaan Selangor memohon bantuan aset peringkat persekutuan dan penglibatan tentera bagi menyelamatkan seramai mungkin mangsa banjir yang terkandas ketika ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau sudah menghubungi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menyatakan hasrat tersebut.

“Saya telah berhubung dengan Perdana Menteri YAB (Yang Amat Berhormat) Dato Seri @IsmailSabri60 memohon bantuan bagi mangsa banjir di Selangor.

“Kerajaan Negeri memohon bantuan aset persekutuan dan penglibatan tentera bagi menyelamatkan seramai mungkin mangsa banjir yang terkandas ketika ini,” katanya di Twitter.

Amirudin turut menghubungi Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein memohon bantuan aset dan anggota keselamatan.

“Saya berharap agar pihak Majlis Keselamatan Negara dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) membantu Kerajaan Negeri menangani bencana banjir yang sedang melanda Selangor ketika ini,” tulisnya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan hujan sangat lebat berterusan di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Sekiranya anda memerlukan pertolongan, sila hubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di talian 03-50350920, ataupun nombor-nombor yang tertera di bawah.

  • Majlis Perbandaran Klang – 03-3374 8845
  • Majlis Bandaraya Shah Alam – 03-5522 2787
  • Majlis Perbandaran Kuala Langat – 03-31822566
  • Hospital Tengku Ampuan Rahimah – 03-3323 9478
  • Pejabat Kesihatan Daerah Klang – 03-3323 9554
  • PDRM Klang Selatan – 03-3372 2222
  • PDRM Klang Utara – 03-3291 3344
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat – 03-3341 3703
  • Jabatan Kerja Raya – 03-3371 4040
  • Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor – 03-3371 2464
  • Angkatan Pertahanan Awam – 03-3371 0820
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengusaha pusat cuci kereta simpan bekalan air, operasi seperti biasa

SHAH ALAM, 9 OKT: Seorang pengusaha pusat cucian kenderaan di Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30 di sini, menyimpan air dalam kolah susulan penyelenggaraan loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1.

Ahmad Humini Alias, 42, menyimpan air dalam kolah seluas 9×4 kaki sejak dua hari lalu selepas dimaklumkan rakannya bahawa aset loji akan dinaik taraf pada minggu depan.

Ahmad Humini Alias, 42.

Turut menyediakan sebiji tong besar untuk menyimpan bekalan tambahan, bapa empat anak yang tinggal di Seksyen 25 berkata langkah itu bagi memastikan perniagaan berjalan seperti biasa sepanjang tempoh berkenaan.

“Mujurlah kolah memang tersedia dari awal sejak saya mula mengambil alih tempat ini kira-kira setahun lalu. Alhamdulillah, lagipun dapat jimatkan kos sebab hanya pakai air hujan tanpa perlu guna air paip.

“Saya berharap air dalam kolah ini dapat bertahan sehingga kerja selenggara selesai memandangkan pusat cuci kereta memerlukan air untuk beroperasi, kalau tiada (air) memang masalah kepada saya dan pengusaha lain,” katanya.

Pekerja pusat cucian kenderaan air membersihkan kereta di Jalan Kebun, Shah Alam ketika tinjauan SelangorKini pada 8 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dia yang turut mengusahakan perniagaan air kisar di kawasan berhampiran menganggap penyelenggaran dilakukan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) penting untuk keselesaan jangka panjang.

“Walaupun pada awalnya agak panik, tetapi saya percaya kerja baik pulih ini penting, mungkin tiada lagi gangguan sebab sudah menggantikan peralatan baru,” katanya.

Pada 1 Oktober, Pengurusan Air Selangor meminta orang ramai di 998 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor menyimpan bekalan secukupnya mulai 13 Oktober.

Sebanyak 105 lori tangki turut digerakkan Air Selangor selain penyediaan 18 pili awam ke kawasan terlibat bagi memudahkan orang ramai memperoleh bekalan demi kemudahan pengguna.

Bekalan air mula disalur berperingkat mulai jam 5 petang 14 Oktober dan dijangka pulih sepenuhnya jam 9 malam pada 16 Oktober bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kaut hasil laut, RM700 juta aset nelayan asing dirampas

PASIR PUTEH, 4 OKT: Hampir RM700 juta aset nelayan asing yang digunakan bagi mengaut hasil laut negara ini dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sejak tahun 2019 hingga September lepas.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata jumlah rampasan itu melibatkan nilai bot, lelongan hasil tangkapan, denda serta kompaun yang dilaksanakan melalui Op Naga dan Op Kuda Laut di seluruh negara.

“Menerusi Op Naga, Maritim merampas 303 bot dengan nilai rampasan berjumlah RM445 juta termasuk bot dan hasil lelongan, selain 2,000 kru bot nelayan terdiri daripada warga Vietnam dan Indonesia ditahan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan rasmi ke Pusat Tahanan Vesel Maritim Malaysia Kelantan, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman.

Mohd Zubil berkata menerusi Ops Kuda Laut pula sebanyak 149 bot dirampas dengan nilai keseluruhan RM224 juta sementara 1,516 kru nelayan asing ditahan.

“Sejak penubuhan Maritim Malaysia, saya anggarkan sudah berbilion nilai rampasan melibatkan aset nelayan asing ini dilakukan. Apa yang boleh saya rumuskan 90 peratus bot yang menceroboh masuk ke perairan negara ini adalah milik nelayan Vietnam,” tambahnya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Rizab antarabangsa BNM naik kepada US$108.6 bilion pada 29 Jan

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada US$108.6 bilion pada 29 Jan, 2021, berbanding US$107.8 billion pada 15 Januari.

Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.6 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Bank pusat berkata komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (US$100.4 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$1.4 bilion), Hak Pengeluaran Khas (US$1.2 bilion), emas (US$2.4 bilion) dan aset rizab lain (US$3.2 bilion).

Aset-aset ini terdiri daripada emas dan pertukaran asing dan rizab-rizab lain termasuk SDR berjumlah RM436.59 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM11.14 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM2.95 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM18.47 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset-aset lain (RM17.07 bilion).

Menurut bank pusat, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM169.96 bilion), mata wang dalam edaran (RM137.68 bilion), deposit oleh institusi kewangan RM140.61 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM8.5 bilion), deposit-deposit lain (RM11.91 bilion), kertas Bank Negara (RM10.22 bilion), peruntukan SDR (RM7.79 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.62 bilion).

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM kerah anggota, gerak aset bantu mangsa banjir di enam negeri

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini mula mengatur gerak seramai 4,983 pegawai dan anggota tentera berserta 1,015 aset dalam Op Murni bagi membantu mangsa banjir di enam negeri yang terjejas teruk.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata enam negeri iaitu Johor, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perak dilanda bah sejak akhir minggu lepas, dan kini melibatkan pemindahan 22,699 mangsa banjir di 282 pusat pemindahan.

Beliau berkata 4,983, pegawai dan anggota tentera yang diatur gerak itu adalah bagi membantu memindahkan mangsa banjir, selain memasang jambatan jenis ‘bailey bridge’ bagi menghubungkan jalan kampung yang terputus akibat bencana tersebut dengan pusat bandar.

Aset ATM yang digerakkan melibatkan 800 trak pelbagai saiz, 197 pelbagai bot, 10 jambatan bailey bridge, enam helikopter dan dua pesawat pengangkut, katanya pada sidang media mengenai atur gerak ATM dalam Op Murni Bantuan Pengurusan Bencana Banjir, di Wisma Pertahanan.

Beliau berkata ATM juga mengatur gerak sebahagian trup dan asetnya ke negeri-negeri terjejas teruk iaitu iaitu daripada Batalion 12 Rejimen Askar Melayu Diraja di kawasan tanggungjawab di Pahang iaitu Kuantan dan Maran, manakala Rejimen Pertama Kor Armor Diraja di kawasan Pekan dan Rompin.

Beliau berkata di Johor pula, trup Batalion 10 Rejimen Askar Melayu Diraja dihantar ke tujuh daerah terjejas iaitu Pontian, Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing, Kulai, Kluang dan Johor Bahru, manakala Rejimen 33 Artileri Diraja diatur gerak ke Kota Tinggi.

Sementara itu, ditanya sama ada terdapat tatacara operasi piawai (SOP) di pusat pemindahan banjir, Ismail Sabri berkata setiap pusat pemindahan banjir mempunyai SOP.

“Kami ‘alert’ dengan situasi semasa Covid-19 yang terkini, oleh itu orang ramai tidak perlu bimbang kerana cara memindahkan orang tua yang uzur ketika banjir juga mempunyai SOP,” katanya

Turut hadir Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Rizab antarabangsa AS$104 bilion setakat 15 Julai

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat tinggi sedikit kepada AS$104.0 bilion pada 15 Julai, berbanding AS$103.4 bilion pada 30 Jun.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata kedudukan paras rizab memadai untuk membiayai 8.5 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

BNM berkata komponen utama rizab antarabangsa (setakat 15 Julai, 2020) terdiri daripada rizab mata wang asing (AS$95.7 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.1 bilion), emas (AS$2.2 bilion), dan aset rizab lain (AS$3.7 bilion).

Katanya, aset terdiri daripada emas dan pertukaran asing serta rizab lain, termasuk SDR, yang berjumlah RM445.37 bilion; kertas kerajaan Malaysia (RM10.47 bilion); deposit oleh institusi kewangan (RM2.27 bilion); pinjaman dan pendahuluan (RM16.41 bilion); tanah dan bangunan (RM4.17 bilion); dan aset-aset lain (RM12.31 bilion).

Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM174.49 bilion), mata wang dalam edaran (RM124.48 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM133.67 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM17.40 bilion), deposit lain (RM14.70 bilion), kertas Bank Negara (RM13.32 bilion), peruntukan SDR (RM7.93 bilion), dan liabiliti lain (RM4.91 bilion).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Naik taraf segera 40 peratus aset TUDM

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Hampir 40 peratus aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perlu dinaik taraf segera kerana sudah mencapai usia 20 tahun.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, perancangan teliti perlu dilakukan sebelum pembelian sebarang aset dilakukan dengan mengambilkira kedudukan kewangan dan kemampuan penyelenggaraan.

Hal itu kerana, setiap aset TUDM perlu berada pada tahap terbaik termasuk prestasi juruterbang yang mempunyai jam latihan mencukupi.

“Aset yang ada kebanyakannya sudah menjangkau usia lebih 20 tahun dan keperluan menaiktaraf adalah tinggi. Jika tidak dinaik taraf, maka ia akan meningkatkan kos penyelenggaraan.

“Kita perlu menaiktaraf supaya pesawat dapat beroperasi dengan baik dan mengurangkan kos penyelenggaraan. Jika mahu melakukan pembelian aset baru, maka kita perlu lihat tempoh jangka panjang.

“Tak guna membeli satu aset yang berkeupayaan tinggi tetapi tidak mampu menyelenggara secara efektif. Kita perlu berhati-hati melakukan perancangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wawancara Khas Panglima Tentera Udara Bersama Media Sempena Hari TUDM Ke-60 di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, pada 30 Mei lalu.

Beliau berkata, TUDM sebelum ini menangguhkan beberapa perancangan berhubung aset ketenteraan kerana kekangan belanjawan kerajaan dan menunggu kelulusan.

Ia termasuk pembelian empat pesawat rondaan maritim (MPA), pencarian pesawat tempur berbilang peranan baru (MRCA) dan rancangan masa depan untuk pesawat tempur MiG-29 Rusia.

Selain itu, katanya, TUDM kini dalam proses menaiktaraf radar pertahanan dan radar kawalan udara.

Categories
NASIONAL

Belanja pertahanan beratus juta tapi meriam tak boleh tembak

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Perbelanjaan bagi menyelenggara dan membangun aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diragui apabila ada yang tidak dapat beroperasi.

Ahli Parlimen Lumut, Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR), berkata keadaan itu menggambarkan barisan pertahanan negara tidak bersedia apabila berlaku ancaman keselamatan seperti di Lahad Datu.

“Belanja beratus juta ringgit tetapi ada aset TLDM tak diselenggara dengan baik seperti KD Laksamana Hang Nadim.

tldm1“Malah, ada meriam yang tak boleh tembak walaupun banyak dibelanjakan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen di sini.

Mohamad Imran adalah mantan Laksamana TUDM sebelum bersara dan kemudiannya menyertai PKR.

Katanya, perkara itu terjadi disebabkan kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku kerana melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MBSA tambah aset 2015, sedia peruntukan RM27.5 juta

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), berhasrat menambah pelbagai aset tahun hadapan termasuk rumah kedai, kilang dan jentera.

Datuk Bandarnya, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, Belanjawan 2015 MBSA memperuntukkan RM27.5 juta daripada jumlah perbelanjaan mengurus.

Beliau berkata, antaranya MBSA akan membelanjakan anggaran RM7 juta untuk pembelian rumah kedai, RM2 juta untuk kilang dan RM8.6 juta untuk jentera kenderaan.

mbsa“Kita akan beli rumah kedai di area ‘corner’ dan lot kedua, seterusnya kita akan ubah suai tingkat bawah untuk menempatkan pelbagai jenis gerai untuk orang berniaga, macam dilakukan kebanyakan restoran cina di Malaysia.

“Tingkat atas pula kita akan sewakan pejabat untuk mereka yang baru berniaga. Kita sasarkan untuk membeli di kawasan projek baru seperti di Elmina West dan Setia Alam,” katanya.

Pada 9 Oktober lalu, Jaafar mengumumkan peruntukan belanjawan RM461 juta meliputi belanja pengurusan RM354 juta dan pembangunan RM107 juta.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembelian kilang dibuat untuk menyimpan dan mengurus barang rampasan supaya lebih teratur.

“Kita juga berhasrat membeli aset mesin dan jentera baru seperti sky lift, fork lift, kompektor sampah. Selain itu, kita mahu beli bas komuniti dan van jenazah sebagai tambahan aset MBSA,” katanya.

-NFN-