Categories
AGENDA NASIONAL

10 individu ditahan terlibat judi dalam talian

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Mampu mengaut keuntungan mencecah antara RM2,000 hingga RM5,000 sehari, itulah kegiatan 10 individu yang disyaki terlibat sindiket perjudian dalam talian.

Selain mempromosi dan menawarkan kegiatan berkenaan, sindiket berkenaan dikesan aktif beroperasi sejak lapan bulan lepas di dua buah kondominium di Subang Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata dalam operasi petang semalam, pihaknya menahan lapan lelaki dan dua wanita warga tempatan, berusia lingkungan 18 hingga 33 tahun di kedua-dua premis itu.

Beliau bekata, sindiket berkenaan beroperasi selama 24 jam dan mereka dibayar sekitar RM1,500 dan RM3,000 sebulan, bagi menjalankan kegiatan haram itu.

“Kami telah merampas tiga set komputer, empat buah komputer riba, 20 unit telefon bimibit, dua buah modem, satu unit router, empat keping kad BigPay dan satu pemacu pena di kedua-dua premis berkenaan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(a), 41(g) dan 41(c) Akta Judi Terbuka 1953 kerana disyaki terlibat dalam penganjuran judi dalam talian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Abd Khalid berkata, permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat hari ini di Mahkamah Shah Alam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

20 individu termasuk warga asing ditahan disyaki terlibat judi dalam talian

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Dua puluh individu termasuk sembilan warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan judi dalam talian di enam premis di Taman Perindustrian Puchong Utama, Bukit Puchong, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata kesemua suspek berusia 48 hingga 62 tahun itu terdiri daripada 11 warga tempatan serta sembilan warga Myanmar dan Bangladesh.

Beliau berkata, dalam operasi yang dijalankan jam 5.30 petang, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM5,060, 11 telefon, 50 keping kertas bercetak, sekeping kertas bertulis, 10 pencetak mudah alih dan dua batang pencil.

“Hasil siasatan awal mendapati premis kedai tersebut telah beroperasi sejak tiga hingga empat bulan lalu.

Premis tersebut telah menjalankan perjudian loteri awam tanpa lesen. Seorang daripada suspek iaitu seorang wanita pernah ditahan sebanyak tiga kali termasuk semalam kerana kes yang sama,” katanya di lokasi serbuan di Taman Perindustrian Puchong Utama.

Abd Khalid berkata kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 4A(a) dan Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk siasatan lanjut.

“Mereka juga ditahan di bawah Seksyen 22(B) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP),” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan bapa tikam bayi perempuan 20 bulan

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Seorang bapa ditahan kerana disyaki menikam bayi perempuannya yang berusia setahun lapan bulan di sebuah flat di Puchong Permai dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata penahanan itu dibuat selepas unit rondaan bermotosikal (URB) dari Balai Polis Bukit Puchong menerima aduan daripada orang awam pada kira-kira 4.30 petang.

Beliau berkata sebaik tiba di lokasi kejadian, polis menahan lelaki berumur 27 tahun yang merupakan bapa bayi malang itu dan merampas sebilah pisau pemotong roti yang dipercayai digunakan untuk menikam perut mangsa.

“Bayi tersebut kemudian telah dikejarkan ke Hospital Serdang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Polis telah mengambil rakaman percakapan saksi-saksi untuk tujuan siasatan lanjut,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Abd Khalid berkata siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian kerana mengamuk dan ujian air kencing telah dibuat bagi mengenal pasti sama ada lelaki itu berada di bawah pengaruh dadah.

– BERNAMA