Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat pelanggaran SOP majlis dihadiri ahli perniagaan, ahli politik

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Polis sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara di sebuah majlis pelancaran produk melibatkan ahli perniagaan dan ahli politik semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata ia susulan satu laporan polis yang dibuat semalam berikutan penularan gambar tetamu di majlis berkenaan yang tidak menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya.

“Pihak polis telah mengenal pasti penganjur majlis berkenaan serta para tetamu yang hadir di majlis itu dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin turut mengingatkan penganjur dan syarikat yang mengadakan sebarang majlis untuk memastikan sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

Semalam tular di media sosial beberapa gambar ahli perniagaan terkenal dan ahli politik yang tidak menjaga penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka di sebuah majlis pelancaran produk.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasangan suami isteri ditahan bantu siasatan kematian bayi

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Polis menahan sepasang suami isteri warga tempatan pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata seorang individu dilaporkan telah membawa seorang bayi yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ke sebuah hospital kerajaan di Selangor untuk mendapatkan rawatan pada pukul 7 malam, Selasa lepas.

“Menerusi hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam di bahagian mulut dan cedera di bahagian dubur bayi itu.

Bertindak atas keterangan saksi, polis kemudiannya bertindak menahan pasangan terbabit yang merupakan pengasuh kepada bayi itu yang masing-masing berumur 35 tahun di sebuah pangsapuri di Jalan PJU 1A/42 Kelana Jaya, di sini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohamad Fakhrudin berkata hasil semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah narkotik.

Susulan itu, polis menahan reman pasangan itu selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

– BERNAMA