Categories
AGENDA NASIONAL

Didesak bayar ganti rugi, lelaki tetak bekas bapa mentua

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Seorang lelaki tergamak menetak bekas bapa mentuanya menggunakan sebilah parang di sebuah kedai makan di Pandan Jaya di sini semalam selepas didesak supaya membayar ganti rugi.

Kejadian pada 11 malam itu menyebabkan mangsa, yang juga seorang warga asing berusia 51 tahun, mengalami luka di belakang kepala, pipi sebelah kiri dan bahagian lengan kiri.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata ketika kejadian, suspek berusia 25 tahun yang merupakan warga tempatan membawa sebilah parang dan menetak mangsa beberapa kali sebelum melarikan diri.

“Punca kejadian disebabkan mangsa ada meminta sejumlah wang ganti rugi seperti yang dijanjikan oleh suspek kepada mangsa namun akibat desakan itu, suspek bertindak menetak mangsa.

“Susulan kejadian itu, mangsa kini berada di Hospital Ampang untuk menerima rawatan dan dilaporkan stabil,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan suspek yang tidak bekerja untuk membantu siasatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengasuh ditahan disyaki dera kanak-kanak autisme

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Seorang pengasuh wanita ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) autisme di sebuah pusat asuhan di Ampang, di sini Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada 1.50 tengah hari itu, pihak polis telah menerima satu laporan daripada bapa kepada kanak-kanak berusia enam tahun berkenaan pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata mangsa dipercayai didera pada 1 Oktober lepas antara 8.45 pagi hingga 12.45 tengah hari selepas bapanya mengambil anaknya, selain menemukan kesan lebam pada bahagian bahu sebelah kiri dan di kedua-dua belah mata.

Beliau berkata seorang cikgu di pusat asuhan berkenaan memaklumkan kepada bapa kanak-kanak itu terdapat kesan kemerahan pada tepi dahi kiri mangsa dan mendakwa mangsa menghantukkan kepala di meja atas alasan tidak mahu makan.

“Bapa mangsa kemudian bertindak melihat rakaman kamera litar tertutup tempat kejadian selain mendapati suspek bertindak kasar apabila mangsa mengelak untuk makan,” katanya ketika dihubungi.

Mohamad Farouk berkata hasil siasatan lanjut mendapati wanita warga asing berumur 51 tahun itu merupakan pengurus di premis berkenaan turut menggajikan tiga pekerja warga tempatan yang juga berada di tempat kejadian.

“Wanita itu mempunyai tujuh pelajar termasuk mangsa yang kesemuanya OKU autisme. Hasil siasatan lanjut juga mendapati pusat asuhan dikendalikan suspek telah beroperasi selama tujuh tahun dan semakan awal mendapati status lesen dimilikinya telah tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata pas lawatan wanita itu disyaki telah tamat tempoh dan dia direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian kanak-kanak serta Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1952 iaitu tinggal lebih masa dan pas sosial tamat tempoh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh ahli kumpulan samun ‘Didek’ diberkas polis

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Polis menahan tujuh ahli kumpulan Didek yang disyaki melakukan samun, peras ugut dan pecah masuk kedai di sekitar Daerah Ampang Jaya dari 26 hingga 29 November lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata kesemua mereka terdiri daripada rakyat tempatan itu ditahan dalam operasi khas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sekitar Kuala Lumpur dan Ampang Jaya pada 26 hingga 29 November.

“Kesemua suspek yang ditahan berumur lingkungan 27 hingga 42 tahun dan ujian air kencing mendapati mereka semua positif dadah jenis ‘methamphetamine’.

Ketujuh-tujuh suspek mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah serta dua daripada mereka mempunyai rekod membabitkan hukuman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata dalam operasi khas itu polis merampas dua kereta, dua pisau, satu peket dadah disyaki syabu dan satu biji pil disyaki ‘Erimin 5’ dan pelbagai jenis telefon bimbit.

Beliau berkata dengan penahanan ahli kumpulan itu, polis percaya dapat menyelesaikan satu kes peras ugut, empat kes samun dan dua kes pecah kedai di Daerah Ampang Jaya dan kawasan bersempadan dengan daerah itu.

– BERNAMA