Categories
AGENDA NASIONAL

Pemandu Alza bawa tiga kanak-kanak secara berbahaya ditahan

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Polis menahan seorang wanita semalam bagi membantu siasatan mengenai video tular menerusi media sosial memaparkan sebuah kereta Perodua Alza membawa tiga penumpang kanak-kanak secara berbahaya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata wanita berusia 34 tahun itu merupakan pemandu kereta tersebut dan membawa ketiga-tiga kanak-kanak terbabit dengan mengeluarkan separuh badan mereka di bahagian penumpang hadapan dan belakang dalam keadaan kenderaan sedang bergerak.

Beliau berkata tingkah laku mereka merupakan satu tindakan yang amat berbahaya dan boleh mendatangkan kemalangan serta membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain.

Menurut Mohd Zaid, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain dan jika disabitkan, boleh dihukum penjara selama tempoh tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai diminta supaya sentiasa memastikan keselamatan kanak-kanak dikawal serta dipantau oleh orang dewasa.

“Sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 atau balai polis berdekatan,” katanya.

Kelmarin, satu video tular menerusi media sosial yang memaparkan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu secara berbahaya dengan membiarkan tiga kanak-kanak mengeluarkan badan mereka ketika kenderaan sedang bergerak.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis kawal PPV Evo Mall selepas diserbu 3,000 individu

SHAH ALAM: 22 OGOS: Polis berjaya mengawal kesesakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Evo Mall, Bangi selepas diserbu 3,000 orang yang mahu menerima suntikan pelalian, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata kehadiran warga tempatan dan asing dalam jumlah besar bermula kira-kira jam 9 pagi untuk mendapat vaksin secara serentak menjadi terganggu.

“Bagaimanapun pada jam 12 tengah hari keadaan kembali teratur dengan bantuan seorang pegawai dan enam anggota polis dari Balai Polis Bandar Baru Bangi,” katanya menerusi kenyataan.

Pada 17 Ogos, seramai 15,300 individu disuntik menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) di PPV Evo Mall setakat 16 Ogos, kata penyelarasnya.

Amiroel Zhafran Mohd Ismadi berkata jumlah itu merangkumi 5,000 penyertaan untuk Selvax Komuniti, manakala selebihnya Selvax Industri dengan purata sehari seramai 1,000 individu menerima pelalian.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis cari sekumpulan lelaki terlibat kes gaduh

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Polis sedang mengesan kesemua individu terlibat dalam video tular memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh menggunakan senjata dalam satu kejadian dipercayai berlaku di kawasan perumahan di Flat Sri Timah, Balakong.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata seorang pegawai polis telah melihat video tular berdurasi satu minit 32 saat tersebut di media sosial dan membuat laporan berhubung perkara itu pada 9 pagi semalam.

“Dalam video tersebut memaparkan sekumpulan lelaki menggunakan senjata dipercayai besi atau senjata tajam sedang bergaduh. Motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek sedang dikesan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 148 dan 269 Kanun Keseksaan.

Mohd Zaid turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes Insp Norhafiza Borhan di talian 03-8911 4222.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis kesan saksi bicara kes dadah

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Polis sedang mengesan seorang wanita tempatan yang juga saksi bagi membantu perbicaraan kes pengedaran dadah di Mahkamah Seksyen Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata wanita berkenaan adalah K Karthirnee Nadarajah yang berusia 28 tahun dengan alamat terakhir di Lot 5430, Jalan Bernam, Parit 4, Sungai Burung, Sekinchan, Selangor.

Beliau berkata wanita berkenaan adalah saksi bagi perbicaraan kes di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai saksi itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Amyriul Naufa Mohd Yusoff di talian 0111-0176104 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

– BERNAMA