Categories
SELANGOR

Trek basikal 2.4km di USJ siap dibina!

Oleh NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 9 OKT: Sebuah trek basikal sepanjang 2.4 kilometer (km) siap dibina di Jalan Tujuan, USJ dan boleh digunakan untuk melakukan aktiviti riadah dan rekreasi termasuk kegunaan harian.

Trek basikal itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Asmawi Kasbi dan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh, semalam.

_MG_8019

Pembinaan trek dua hala itu mula dilaksanakan awal Jun lalu dan siap sepenuhnya pada 30 Sepetember berdasarkan cadangan Pejabat DUN Subang Jaya sendiri termasuk permintaan penduduk setempat.

Projek terbabit bernilai RM520,000 itu ditanggung sepenuhnya oleh MPSJ dan dijangka siap untuk manfaat masyarakat menjelang 31 Ogos depan.

Hannah berkata laluan trek berkenaan turut menggabungkan empat buah sekolah di USJ 4 dan USJ 12, sekaligus memberi kemudahan kepada para pelajar untuk menunggang basikal dengan lebih selamat.

_MG_8131 copy“Memandangkan ada permintaan daripada penduduk, pejabat saya mula mengadakan mesyuarat teknikal bersama Jabatan Kejuruteraan MPSJ menggesa untuk membina trek basikal ini.

“Lokasi ini strategik kerana dipenuhi tumbuh-tumbuhan dan jumlah purata kereta yang lalu di sini juga adalah jauh lebih rendah berbanding di Persiaran Tujuan,” katanya pada sidang media di tapak laluan trek basikal USJ.

_MG_8107

Selain trek, katanya kawasan parkir basikal dan kerusi rehat juga akan disediakan di kawasan berhampiran.

“Terima kasih kepada MPSJ kerana bersetuju membina trek ini untuk kemudahan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Asmawi berkata trek itu merupakan trek ketiga dibina di kawasan MPSJ.

Katanya, sebelum ini, MPSJ sudah membina dua trek dengan panjang laluan yang sama iaitu di Puchong Perdana dan Serdang.

_MG_8156“Ketika ini kita merancang untuk menyambung laluan trek ini ke Usj Taipan atau kawasan lain bagi membolehkan pengguna lain menikmati kemudahan ini.

“Kita juga berharap semua pihak dapat menjaga kebersihan trek ini pada masa akan datang,” katanya.

HM

Asmawi MPSJ terus maju menjelang 2030

Bersesuaian dengan status lima bintang ketika ini, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) diharap mampu mencatat dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan demi kesejahteraan bandar dan masyarakatnya.

Categories
SELANGOR

Asmawi : MPSJ terus maju menjelang 2030

Oleh: HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 30 SEPT: Bersesuaian dengan status lima bintang ketika ini, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) diharap mampu mencatat dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan demi kesejahteraan bandar dan masyarakatnya.

Ini juga bertepatan dengan perancangan jangka panjang disasarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu ke arah MPSJ Green City 2030 yang akan menukar Subang Jaya menjadi bandar rendah karbon serta persekitaran hidup yang sihat.

Harapan itu dizahirkan Datuk Asmawi Kasbi pada hari terakhir perkhidmatan sebagai Yang Dipertua MPSJ hari ini. Beliau akan bersara wajib pada 19 Oktober depan.

Asmawi merakamkan penghargaan kepada semua pegawai, petugas, ahli majlis MPSJ dan penduduk Subang Jaya serta media yang memberikan kerjasama dalam segala urusan di sepanjang tempoh perkhidmatannya bermula 1 Jun 2011.

Mesyuarat MPSJ (11)“Saya mengucapkan terima kasih kepada warga kerja MPSJ dan semua pegawai semua ahlimajlis yang telah memberi kerjasama di sepanjang saya menjawat jawatan ini.

“Penghargaan juga kepada penduduk yang tinggal di Subang Jaya yang menyokong semua program dilaksanakan MPSJ sehingga mencapai taraf sebagai PBT pertama mencapai tarat lima bintang dalam rating sistem penilaian penarafan bintang dikeluarkan Kementerian Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Bulanan MPSJ.

Asmawi berkata, ia adalah satu cabaran besar bagi MPSJ bagi merealisasikan hasrat menjadikan Subang Jaya sebagai bandar hijau menjelang 2030 iaitu kira-kira 15 tahun dari sekarang.

Bagaimanapun, katanya, adalah menjadi hasratnya untuk melihat sasaran itu dicapai dengan jayanya.

“Dengan jumlah kakitangan yang ada iaitu 1,600 orang, kita perlu memberi perkhidmatan kepada penduduk kira-kira 800,000 orang. Kita adalah salah satu daripada PBT yang terletak di dalam daerah Petaling yang didiami ramai orang berbanding Petaling Jaya dan Shah Alam.

“Ini satu cabaran kepada MPSJ di mana kita perlu meningkatkan sistem penyampaian kita di mana walaupun kita mempunyai sumber yang terhad seperti dari segi pendapatan atau hasil cukai tetapi kita perlu memberi perkhidmatan yang baik dan efisyen kepada penduduk yang ramai,” katanya.

HM

Categories
SELANGOR

118 Kakitangan MPSJ Terima Penghargaan

118 Kakitangan MPSJ Terima Penghargaan 01

SUBANG JAYA 19 JAN: Bagi menghargai sumbangan, kerja keras dan komitmen kakitangannya, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengadakan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2012 yang bertempat di Stadium MPSJ baru-baru ini.

Seramai 118 kakitangan MPSJ daripada pelbagai pangkat dan jabatan menerima penghargaan yang disampaikan oleh Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi.

Majlis pada kali ini merupakan anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan (KSK) MPSJ dan turut dihadiri ahli majlis MPSJ dan seluruh warga kerjanya.

Seorang penerima anugerah tersebut, Pengarah Kejuruteraan MPSJ, Ismail Shafie berkata, pengiktirafan yang diberikan kepadanya akan dijadikan iltizam dan pembakar semangat supaya dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatannya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada MPSJ dan dengan adanya majlis anugerah ini diharap warga kerja MPSJ yang lain dapat bersama-sama bersaing dan menunjukkan prestasi yang berkualiti pada tahun ini,” katanya yang memulakan perkhidmatan di MPSJ sejak November 2009 lalu.

Dalam majlis yang sama, MPSJ turut meraikan enam orang kakitangannya daripada pelbagai jabatan yang bersara pada tahun ini.

118 Kakitangan MPSJ Terima Penghargaan 02Seorang pekerja awam yang bakal bersara pada bulan Februari ini, Kum Kwee Seng, 59, perasaan sedih bercampur gembira kerana bakal mengakhiri perkhidmatannya di MPSJ.

Katanya, beliau melihat banyak perubahan yang dilakukan sepanjang 36 tahun perkhidmatannya oleh MPSJ yang antaranya berjaya menjadikan Subang Jaya sebagai salah sebuah kawasan yang meningkat maju di Selangor.

“Saya pernah bekerja sebagai pencuci sebelum diambil kerja oleh MPSJ dan saya sangat berterima kasih kepada mereka,” katanya yang pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali sebelum ini.

Sementara itu, Asmawi di dalam ucapan perasmiannya berkata, pengiktirafan ini merupakan langkah MPSJ membentuk budaya dan persekitaran kerja yang mengutamakan prestasi dan kecermelangan.

Katanya, selain daripada anugerah ini, pihak pengurusan MPSJ juga menyediakan banyak insentif kepada warga kerjanya.

“Sebagai contoh, pegawai dan kakitangan kita juga turut dicalonkan dan menerima anugerah dan pengiktirafan di peringkat negeri dan juga negara,” katanya.

Categories
SELANGOR

JKP Zon 20, PeBT 18, Menang Anugerah Terbaik MPSJ

MB JKP MPSJ 01

SERDANG 21 DIS: Atas kegigihan mereka dalam mengadakan program kebersihan kommuniti sepanjang tahun, Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 20 memenangi anugerah Anugerah JKP Terbaik Keseluruhan bagi Subang Jaya,

JKP MPSJ 01Pengerusi JKP Zon 20 Sufari Tinnin, 40, berkata beliau tidak menjangka untuk mendapat anugerah tersebut daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Katanya, pada tahun ini JKP Zon 20 telah menganjurkan pelbagai program seperti gotong royong pembasmian tikus di kawasan Seri Serdang, kempen keselamatan dan cegah demam denggi serta bengkel menjahit khusus kepada wanita.

“Saya tidak pernah menyangka untuk diberi pengiktirafan atas usaha yang dilakukan.

Termasuk mengadakan program-program untuk penduduk dan membawa permasalahan penduduk kepada pihak atasan,” katanya yang memenangi wang tunai RM 1,000 dan sijil penghargaan.

JKP Zon 20 turut mendapat johan bagi kategori program kemasyarakatan terbaik, tempat ketiga bagi pengurusan kewangan terbaik dan kepimpinan JKP terbaik.

Anugerah itu disampaikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Majlis Anugerah Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan malam tadi.

Mereka diiringi Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi serta Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi.

Sementara itu, Anugerah PeBT Terbaik 2012 dimenangi oleh PeBT Zon 18 yang juda mendapat RM,1000 serta sijil penghargaan.

Mereka turut mendapat johan bagi Anugerah Kepimpinan PeBT Terbaik serta tempat kedua bagi Anugerah Program Sukan Terbaik.

PBET MPSJ 01Pengerusinya Mohd Fitri Jamaludin, 29, berkata, sokongan daripada segenap masyarakat termasuk belia diperlukan dalam menggerakkan program PeBT.

Abdul Khalid di dalam ucapan perasmiannya berkata, kecemerlangan yang disumbangkan oleh setiap JKP dan PeBT diharap dapat diteruskan dalam usaha menyalurkan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti kepada masyarakat.

“Kejayaan kerajaan tempatan ini adalah kejayaan bersama kerana mempunyai suatu kumpulan yang bekerjasama dengan baik dalam memelihara kesejahteraan semua masyarakat di sesebuah kawasan,” katanya.

Categories
NASIONAL

MPSJ Peruntuk Hadiah Kepada Pembayar Cukai Berhemah

 

SUBANG JAYA 26 SEPT : Sempena sambutan Ulangtahun Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) ke 15, pihak MPSJ mengadakan program cabutan bertuah bagi menghargai kira-kira 254, 000 pembayar cukainya.

Hari ini, seramai 16 orang diraikan dalam satu Majlis Penyampaian Hadiah Pembayar Cukai Bertuah yang diadakan di Laman Kenanga,MPSJ pagi tadi.

Kesemua hadiah disampaikan Yang Di Pertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi diiringi Timbalannya, Abdullah Marjunid sejurus mereka selesai menghadiri Mesyuarat Penuh MPSJ.

“Mereka ini merupakan antara 40 pembayar cukai yang berjaya melaksanakan pembayaran cukai taksiran mengikut tempoh masa ditetapkan, tiada tunggakan serta mempunyai rekod pembayaran yang baik.

“Inisiatif ini juga sebagai galakan kepada para pembayar cukai untuk membayar secara ‘on time’,” ujar Asmawi dalam sidang medianya.

Para pemenang dipilih daripada 166, 000 akaun dalam satu majlis cabutan bertuah yang diadakan sewaktu Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan pada 19 September lalu.

Antara hadiah ditawarkan ialah sepuluh unit Samsung Tab, sepuluh unit telefon bimbit Samsung, empat unit televisyen LCD, dua unit peti sejuk, empat unit kamera serta sepuluh unit basikal.

Dalam pada itu, Asmawi memaklumkan sehingga Ogos 2012, sebanyak RM 151.96 juta cukai taksiran berjaya dikutip, kira-kira 87 peratus daripada sasaran MPSJ bagi tahun ini iaitu sebanyak RM 175 juta.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Larangan Kenderaan Berat akan di Warta Elak Kesesakan

 

SUBANG JAYA 26 SEPT : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil inisiatif mewartakan Perintah Pengangkutan Jalan (Larangan Kenderaan Berat) bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas di Persiaran Kewajipan dan Persiaran Tujuan.

Inisiatif ini diambil mengikut Seksyen 70 (2) di bawah Seksyen 67 Akta Pengangkutan Jalan di mana pihak majlis mempunyai kuasa mengisytiharkan mana-mana jalan ditutup atau dihadkan penggunaan bagi kelas-kelas kenderaan tertentu.

Yang Di Pertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata tindakan kompaun boleh dikenakan sekiranya terdapat pihak masih berdegil menggunakan laluan tersebut di waktu puncak.

“Ini tidak terkecuali kepada mana-mana kenderaan berat termasuk kenderaan mengangkut sampah.

“Bukan sepanjang hari, ada waktu-waktunya jadi mereka perlulah menyusun waktu perjalanan mereka dan akur dengan keputusan kita,” ujarnya dalam sidang media sejurus menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pembayar cukai tengah hari tadi.

Tempoh larangan tersebut dikenakan kepada kenderaan berat dengan muatan melebihi 10, 000 kilogram bermula dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam.

Jika terdapat pihak ingkar arahan berkenaan, denda maksimum RM 300 oleh pihak MPSJ, pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah juga, mereka boleh didenda tidak melebihi RM 1, 000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.

Categories
SELANGOR

MPSJ Buat 5 Cadangan Kepada SPAD

SUBANG JAYA 26 SEPT : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berjaya mengenalpasti lima laluan sosial untuk dipertimbangkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi merancang lebih laluan kepada syarikat bas.

Yang Di Pertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, laluan cadangan itu dibuat sebagai menyahut seruan Kerajaan Negeri sebelum ini untuk memberi cadangan mengenai laluan pengangkutan awam, khususnya bas.

“Kita beri lima cadangan laluan berdasarkan kepada pemerhatian kita serta permintaan penduduk.

“SPAD mungkin mempunyai laluan cadangannya sendiri, jadi segala keputusan pada SPAD.

“Kita sudah hantar cadangan tersebut sebulan lalu kepada SPAD,” jelasnya dalam sidang media sejurus menyampaikan hadiah cabutan bertuah di sini tengah hari tadi.

Laluan pertama meliputi Zon Bandar Putra Permai iaitu daripada Bandar Kinrara Seksyen 6 ke Taman Puncak Jalil ke Taman Lestari Putra ke Pusat Bandar Putra Permai ke Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Laluan kedua pula di Zon Subang Jaya meliputi kawasan USJ 1 daripada Pasaraya Mydin dan Pusat Membeli Belah Summit ke Lebuhraya Baru Pantai (NPE) ke LDP (Kawasan Komersial PJS 9) ke Lebuhraya Persekutuan (Kuala Lumpur).

Sementara itu, laluan ketiga juga di Zon Subang Jaya bermula dari LDP (Subang Jaya dan Puchong) ke Kampung Tengah A ke Kampung Kuala Sungai Baru.

Laluan seterusnya di Zon Subang Jaya USJ 14, Subang Jaya ke Putra Height dan laluan terakhir pula bermula di Batu 3 ke Persiaran Setia (USJ 3A) ke USJ 14, Subang Jaya.

Kerajaan Negeri sebelum ini bercadang memberi subsidi tiket bas kepada syarikat bas yang menjalankan perkhidmatan di kawasan yang kurang menguntungkan.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tumpuan akan diberikan di kawasan perumahan pangsapuri kos rendah supaya penghuni boleh mengurangkan penggunaan kereta dan menjimatkan kos perbelanjaan keluarga.

Categories
SELANGOR

Penjualan unit Hotel Grand Dorsett Subang, Syarikat Akan Disaman MPSJ

SUBANG JAYA, 21 SEPT: Gara-gara menjual bilik dan suite hotel, syarikat yang memiliki Hotel Grand Dorsett Subang akan dikenakan tindakan saman daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Syarikat tersebut, Mayland Valiant Sdn Bhd didapati melanggar undang-undang dengan menjual bilik-bilik hotel tersebut kepada pembeli lain.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, syarikat itu hanya diberikan kelulusan bagi projek pembangunan yang melibatkan tambahan bangunan sahaja pada 5 Oktober 2010.

Bagaimanapun katanya, MPSJ menerima aduan bahawa syarikat terbabit melanggar peraturan yang ditetapkan.

“MPSJ sebelum ini membenarkan syarikat itu untuk menambah bangunan sedia ada iaitu membina dua blok bangunan ‘Hotel Suite’ 17 tingkat yang mengandungi 1989 unit bilik beserta lobi.

“Turut dalam perancangan pembinaan adalah ruang rekreasi, kolam renang dan tempat letak kereta,” katanya dalam satu sidang media di pejabat MPSJ.

Menurut laporan NST Online 31 Mac 2012, Mayland Valiant memilik Hotel Grand Dorsett Subang.

Setelah mendapat aduan tentang tindakan syarikat tersebut, MPSJ memfailkan saman ke mahkamah pada 14 September lalu bagi membuat beberapa permohonan.

Antaranya, satu deklarasi bahawa kebenaran merancang bertarikh 5 Oktober 2010 yang diberikan kepada syarikat itu adalah dimaksudkan untuk kegunaan hotel semata-mata.

Selain itu, syarikat itu melanggar kebenaran merancang dengan menandatangani perjanjian jual beli dengan pembeli-pembeli untuk menjalankan satu pemajuan perumahan.

Defendan juga tidak dibenarkan untuk mengemukakan sebarang permohonan hak milik strata di bawah Akta Hakmilik Strata 1985 kepada pentadbir tanah.

“Satu injuksi menahan defendan dari menggunakan atau membenarkan lot itu untuk tujuan pemajuan perumahan,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Clamping Berjaya Kurangkan Kejadian Meletak Kenderaan Merata-rata

SUBANG JAYA, 30 OGOS : Tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengunci tayar kenderaan (clamping) yang tidak diletakkan dengan betul berjaya mengurangkan kesesakkan lalulintas di bandar ini.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, pemandu kereta amat bimbang kenderaan mereka dikunci kerana mereka perlu ke pejabat MPSJ bagi membayar kompaun supaya kenderaan mereka dilepaskan.

“Tindakan mengunci kenderaan jelas memberi kesan positif kepada pengguna di bandar ini.

?Mereka lebih berhati-hati apabila meninggalkan kenderaan mereka di tepi jalan atau di kawasan yang tidak dibenarkan,? kata Asmawi di dalam sidang media selepas mesyuarat penuh bulanan MPSJ di sini hari ini.

Pada 2010, MPSJ mengeluarkan sebanyak 9,592 saman diikuti 5,620 pada 2011. Sehingga Julai tahun ini sebanyak 6,004 saman dikeluarkan.

MPSJ juga mencatatkan perkurangan saman yang dikeluarkan. Pada Januari hingga Mei, 1,000 saman dikeluarkan tetapi Jun hingga Ogos mencatatkan hanya kira-kira 200 saman sahaja.

Sementara itu MPSJ bakal membawa dua kes ke mahkamah atas tuduhan merosakkan alat pengunci kenderaan. Manakala lebih 400 kes lagi dalam senarai menunggu dan telah dibawa ke Timbalan Pendakwaraya MPSJ.

Dalam hal yang lain, Asmawi berkata, MPSJ akan menerima tambahan 50 Kamera Litar Tertutup (CCTV) menjelang akhir tahun ini bagi tujuan pemantauan kejadian kes jenayah di kawasan bandar itu.

Katanya, penerimaan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 174 CCTV yang mana ketika ini 124 CCTV dipasang di seluruh bandar di lokasi strategik.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MPSJ Lancar Kempen Kibar Jalur Gemilang

SUBANG JAYA 26 JULAI : Sempena sambutan kemerdekaan ke-55, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Kempen Kibar Jalur Gemilang bertemakan “1 Rumah 1 Bendera” bermula 1 Ogos hingga 16 September.

Kempen ini bertujuan menggalakkan rakyat di kawasan pentadbiran MPSJ mengibarkan bendera Malaysia di kediaman masing-masing untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara sekaligus menanam sikap patriotik di kalangan mereka.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, kempen ini secara tidak langsung turut menzahirkan penghargaan masyarakat terhadap pejuang kemerdekaan tanah air, di samping menghayati pengorbanan mereka selama ini.

“Kempen ini terbuka kepada seluruh warga perbandaran MPSJ. Melalui kempen ini, MPSJ menggalakkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.

“Sebagai galakan kepada orang ramai, MPSJ menyediakan hadiah cabutan bertuah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM15,000 kepada orang awam yang memasang bendera di premis kediaman mereka sepanjang bulan kemerdekaan,” katanya semasa merasmikan kempen tersebut di ibu pejabat MPSJ hari ini.

Menurut Asmawi, orang ramai yang ingin menyertai kempen ini perlu menggantung Jalur Gemilang bersaiz seragam 3’x6′ dan menghantar maklumat premis menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) ke MPSJ dengan menaip Jomkibar<jarak>Nama<jarak>Alamat Premis dan hantar ke 39111.

Katanya, taman perumahan yang paling banyak memasang jalur gemilang akan diberi hadiah dalam bentuk geran pembangunan di mana juara akan menerima RM3000, naib juara (RM2000) dan tempat ketiga sebanyak RM1000.

“Tarikh tutup penyertaan kempen ini adalah pada 17 Ogos. Sehubungan itu, MPSJ berharap seluruh warga perbandaran merebut peluang ini kerana selain dapat menunjukkan semangat patriotik kepada negara, mereka juga berpeluang memenangi hadiah lumayan yang disediakan,” ujarnya lagi.

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian 03-80264469/4464 untuk keterangan lanjut.

MPSJ lancar Ops Clamping Pupuk Kesedaran Pemilik Kenderaan

SUBANG JAYA, 4 JULAI : Operasi mengapit kenderaan atau ‘clamping’ yang dijalankan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di kawasan seliaannya bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya berkenaan kesalahan yang dilakukan.

Sehubungan itu, Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata pihaknya berharap tindakan tersebut akan menyebabkan pengguna lebih berhati-hati serta mematuhi peraturan ditetapkan dengan meletakkan kenderaan di kawasan dibenarkan.

Menurutnya, empat kawasan dikenalpasti sebagai kawasan ‘panas’ adalah USJ 9, USJ 10, SS 15 dan SS 16 yang mencatatkan jumlah kompaun tinggi pada tahun lalu dan tahun ini.

“Saya harap dengan operasi dijalankan pada hari ini dapat memberi pengajaran kepada pengguna jalan raya supaya lebih berdisiplin meletak kereta mereka di tempat yang sewajarnya.

 

“MPSJ memulakan operasi ini Ahad lalu dan empat kawasan ini dipilih berdasarkan rekod saman atau notis tawaran kompaun yang dikeluarkan pada tahun lalu dan ketika ini adalah yang tertinggi. Begitu juga dengan jumlah kenderaan yang kita tunda sejak tahun lalu dan kini,” katanya dalam sidang media selepas operasi.

Katanya, pada tahun lalu mencatatkan jumlah yang tinggi apabila sebanyak 2,173 kenderaan ditunda. Manakala sehingga April tahun ini sebanyak 824 kenderaan yang diambil tindakan kerana melakukan pelbagai kesalahan.

Asmawi menambah, MPSJ adalah antara Pihak Bberkuasa Tempatan (PBT) yang terawal melaksanakan operasi menggunakan kaedah mengapit kenderaan atau ‘clamping’ itu.

Katanya, operasi itu dijalankan selaras dengan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MPSJ (Pindaan 2011) yang diwartakan pada 19 Januari lalu.

“Kadar bayaran ditetapkan adalah dari RM80 hingga RM230 yang melibatkan kos mengapit, kompaun dan tindakan tundaan jika ada. Untuk operasi di kawasan lain, kita akan mengkaji keberkesanan kaedah ini dan sekiranya berkesan kita akan meluaskannya ke kawasan lain yang memang kita dapati banyak kesalahan meletak kereta dilakukan,” katanya lagi.

Mengapit kenderaan merupakan tindakan keempat dilakukan MPSJ selepas kompaun biasa, kunci kompaun dan tunda kenderaan terhadap pengguna jalan raya.