SUBANG JAYA, 4 JULAI : Operasi mengapit kenderaan atau ‘clamping’ yang dijalankan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di kawasan seliaannya bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya berkenaan kesalahan yang dilakukan.
Sehubungan itu, Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata pihaknya berharap tindakan tersebut akan menyebabkan pengguna lebih berhati-hati serta mematuhi peraturan ditetapkan dengan meletakkan kenderaan di kawasan dibenarkan.
Menurutnya, empat kawasan dikenalpasti sebagai kawasan ‘panas’ adalah USJ 9, USJ 10, SS 15 dan SS 16 yang mencatatkan jumlah kompaun tinggi pada tahun lalu dan tahun ini.
“Saya harap dengan operasi dijalankan pada hari ini dapat memberi pengajaran kepada pengguna jalan raya supaya lebih berdisiplin meletak kereta mereka di tempat yang sewajarnya.
“MPSJ memulakan operasi ini Ahad lalu dan empat kawasan ini dipilih berdasarkan rekod saman atau notis tawaran kompaun yang dikeluarkan pada tahun lalu dan ketika ini adalah yang tertinggi. Begitu juga dengan jumlah kenderaan yang kita tunda sejak tahun lalu dan kini,” katanya dalam sidang media selepas operasi.
Katanya, pada tahun lalu mencatatkan jumlah yang tinggi apabila sebanyak 2,173 kenderaan ditunda. Manakala sehingga April tahun ini sebanyak 824 kenderaan yang diambil tindakan kerana melakukan pelbagai kesalahan.
Asmawi menambah, MPSJ adalah antara Pihak Bberkuasa Tempatan (PBT) yang terawal melaksanakan operasi menggunakan kaedah mengapit kenderaan atau ‘clamping’ itu.
Katanya, operasi itu dijalankan selaras dengan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MPSJ (Pindaan 2011) yang diwartakan pada 19 Januari lalu.
“Kadar bayaran ditetapkan adalah dari RM80 hingga RM230 yang melibatkan kos mengapit, kompaun dan tindakan tundaan jika ada. Untuk operasi di kawasan lain, kita akan mengkaji keberkesanan kaedah ini dan sekiranya berkesan kita akan meluaskannya ke kawasan lain yang memang kita dapati banyak kesalahan meletak kereta dilakukan,” katanya lagi.
Mengapit kenderaan merupakan tindakan keempat dilakukan MPSJ selepas kompaun biasa, kunci kompaun dan tunda kenderaan terhadap pengguna jalan raya.