Categories
AGENDA NASIONAL

ASNB umum agihan pendapatan 2.74 sen seunit bagi ASN Imbang 1

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) pada Isnin mengumumkan pengagihan pendapatan 2.74 sen seunit bagi ASN Imbang (Mixed Asset Balanced) 1 (ASN Imbang 1) untuk tahun kewangan berakhir 30 Nov 2021.

Ia melibatkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM27.46 juta bagi unit amanah harga berubah itu.

Permodalan Nasional Bhd (PNB) menjelaskan pengagihan, yang diumumkan syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya itu, adalah bersamaan hasil dividen sebanyak 2.85 peratus berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) terkini dana.

“Jumlah pengagihan pendapatan yang diisytiharkan adalah bersamaan 2.74 sen seunit yang memberi manfaat kepada 44,752 pemegang unitnya dengan pelaburan berjumlah 1.00 bilion unit,” menurutnya dalam kenyataan.

Setakat 26 Nov, 2021, ASN Imbang 1 mencatatkan jumlah pulangan sebanyak 6.92 peratus, mengatasi penanda aras 50 peratus Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia (FBM 100) dan 50 peratus deposi tetap 12 bulan Maybank sebanyak 7.13 peratus, tambahnya.

Menurut PNB, pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Dis 2021.

Dalam tempoh yang sama, ASN Imbang 1 mencatatkan pendapatan bersih direalisasikan sebanyak RM31.20 juta, sebahagiannya didorong oleh strategi kepelbagaian pelaburan ke pasaran antarabangsa, jelasnya.

“Sehingga kini, dana ini memperuntukkan sekitar 21 peratus daripada asetnya dalam ekuiti global yang menyumbang 61 peratus kepada pendapatan kasar.

“PNB akan meneruskan momentum usaha mempelbagaikan portfolionya agar institusi ini dapat memberikan pulangan yang mampan kepada para pemegang unit,” tambahnya.

Urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB untuk ASN Imbang 1 ditangguhkan buat sementara waktu dari 26 hingga 30 Nov 2021 bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka di portal myASNB (www.myasnb.com.my), melalui aplikasi mudah alih myASNB atau di mana-mana cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 Dis 2021.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ASNB umum agihan pendapatan 3.32 sen seunit untuk ASN Imbang 1

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) hari ini mengisytiharkan pengagihan pendapatan 3.32 sen seunit untuk ASN Imbang (Mixed Asset Balanced) 1 (ASN Imbang 1) berjumlah RM40.57 juta untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2020.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu berkata ini menyaksikan kadar hasil dividen sebanyak 3.60 peratus berdasarkan jangkaan nilai aset bersih (NAV) dana pada 30 November 2020.

PNB dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah pengagihan pendapatan itu dibayar kepada 46,156 pemegang unit dengan pelaburan berjumlah 1.22 bilion unit.

“Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 3.23 peratus untuk tahun kewangan semasa setakat 26 November 2020, daripada 1,561.73 mata kepada 1,612.11 mata dalam tempoh yang sama.

“Peningkatan itu, walaupun sedikit adalah perkembangan yang baik buat PNB yang sentiasa komited dalam usaha memberikan pulangan yang kompetitif dan perkhidmatan terbaik kepada pemegang unit dalam mengharungi wabak koronavirus yang berpanjangan ini,” katanya.

PNB juga telah melaksanakan beberapa strategi untuk meningkatkan portfolio pelaburan dengan mempelbagaikan portfolio dalam ekuiti antarabangsa dan memberi fokus kepada sektor yang kurang rentan terhadap persekitaran ekonomi semasa.

Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASN Imbang 1 adalah berdasarkan unit yang dipegang dan NAV setakat 30 November 2020.

Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun mereka pada 1 Disember 2020.

Urus niaga di semua cawangan ASNB dan ejen seluruh negara telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 27-30 November bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka di portal myASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 Disember 2020.

– BERNAMA