Categories
NASIONAL

Umno Gagal Bela Melayu- Blogger Aspan Alias

SUBANG JAYA, 2 APRIL : Bekas ahli Umno yang juga blogger, Aspan Alias menjelaskan kegagalan parti Melayu itu membela bangsanya menyebabkan beliau bertindak keluar dari parti itu.

Menurutnya, Umno masa kini yang didakwanya bukan Umno asal adalah parti pemerintah yang hanya menjaga kepentingan sebahagian pihak terpilih dengan amalan rasuah serta kronisme menjadi keutamanya.

Katanya, Umno yang disertainya hampir 41 tahun sudah lari dari perjuangan asal bagi menjaga kepentingan bangsa Melayu dan penyatuan bangsa lain di negara ini tetapi sebaliknya yang berlaku.

“Memang saya kecewa. Saya kecewa kerana Umno tidak berjuang untuk bangsa dia dan negaranya.

“Yang lebih penting lagi kenapa saya meninggalkan Umno ialah Umno itu sudah memusuhi rakyatnya khususnya orang-orang Melayu,” katanya ketika menjadi panelis dalam majlis Kenapa Saya Pilih DAP di Kompleks Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini semalam.

Dua panelis lain adalah Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dan Bekas Adun Pulau Manis, Datuk Arif Sabri Abdul Aziz atau Sakmongkol.

Aspan berkata, penyertaannya di dalam DAP adalah kerana parti itu adalah parti berbilang bangsa yang memperjuangkan perpaduan negara atau “national unity”.

“Bagi saya kalau fikir secara ringkas matlamat kita hanya nak kan satu saja iaitu “national unity”.

“Saya tidak pernah merasakan menyertai parti (DAP) untuk bertanding. Bukan itu matlamat saya,” ujarnya.

Katanya, Umno termasuk parti komponen lain dalam BN harus ditolak rakyat dalam pilihanraya umum akan datang demi keselamatan negara ini