Categories
EXCO SELANGOR

Selangor bakal perkenal inisiatif di kawasan industri baharu

SHAH ALAM, 30 OGOS: Satu inisiatif bakal diperkenal di kawasan perindustrian baharu bagi membolehkan pelabur dan pengilang mengurus kebajikan pekerja dengan lebih sistematik.

EXCO pelaburan berkata antaranya kebenaran membina asrama setempat yang bertujuan memusatkan semua pekerja kilang dalam kawasan industri itu.

“Perkara ini sedang dalam proses dan Kerajaan Negeri akan laksanakan secepat mungkin,” kata Dato’ Teng Chang Khim menjawab soalan tambahan wakil rakyat Semenyih Zakaria Hanafi berhubung kediaman pekerja industri.

Menurut Chang Khim pihaknya juga menggalakkan pelabur dan pengilang yang beroperasi di kawasan yang luas membina asrama untuk pekerja mereka.

“Setakat ini syarikat Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) menggunakan alternatif ini untuk 3,000 pekerjanya. Ini modul yang baik tetapi tidak dikuatkuasakan sebagai undang-undang,” katanya.

Terdahulu wakil rakyat Bandar Baru Klang memaklumkan Selangor catatkan nilai pelaburan lebih RM22.45 bilion sepanjang Januari tahun lalu hingga sekarang.

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

KPM tetapkan empat kaedah perjalanan pulang pelajar

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan empat kaedah perjalanan untuk pelajar asrama sekolah, Kolej Tingkatan Enam (KTE) dan Kolej Vokasional (KV) yang dibenarkan pulang bersempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurut kenyataan KPM hari ini, kaedah itu ialah dengan menaiki bas yang disediakan pihak sekolah atau dijemput ibu bapa atau penjaga.

“Pelajar juga dibenarkan pulang menggunakan pengangkutan udara atau air (Sabah, Sarawak dan Labuan) atau menggunakan kenderaan sendiri bagi pelajar KTE dan pelajar KV,” menurut kenyataan itu.

Pelajar dibenarkan pulang secara berperingkat mulai 6 Mei bagi sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 7 Mei bagi sekolah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Pihak sekolah, KTE dan KV akan memaklumkan jadual pergerakan pulang murid kepada ibu bapa atau penjaga selain mengeluarkan surat pengesahan untuk setiap pelajar bagi tujuan pergerakan merentas negeri atau zon sekiranya mereka dijemput ibu bapa.

Menurut KPM, kebenaran itu adalah untuk dua orang iaitu ibu bapa atau penjaga sahaja dalam setiap kenderaan.

Merujuk tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pelajar yang sedang dalam tempoh kuarantin perlu kekal berada di asrama hingga tamat tempoh kuarantin dan murid yang asramanya berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga perlu kekal berada di asrama hingga tamat tempoh PKPD.

KPM menyediakan Garis Panduan Pengurusan Murid Asrama Pulang Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2021 sebagai rujukan kepada semua pihak terlibat termasuk Institusi Pendidikan Swasta yang berdaftar dengan KPM.

Garis panduan berkenaan boleh dimuat turun di laman sesawang: https://www.moe.gov.my.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis: Boleh keluar selepas 12 tengah malam, hanya kes kecemasan

PETALING JAYA, 15 OKT: Polis tiada halangan membenarkan orang awam keluar selepas jam 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan sehingga 27 Oktober ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kebenaran itu hanya dibolehkan bagi individu yang mempunyai keperluan khusus dan kes kecemasan, demi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Jika mahu keluar, amalkan penjarakan fizikal dan pakai pelitup muka serta patuhi tatacara operasi piawai serta pastikan selesai urusan, terus balik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Asrama Tropicana yang merupakan kawasan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Isnin lalu sehingga 25 Oktober ini.

Nik Ezanee berkata mengikut pemerhatian, kadar pematuhan PKPB membabitkan penduduk di Petaling Jaya berada pada tahap 99 peratus.

PKPD selama 14 hari di Tropicana dibuat atas saranan Kementerian Kesihatan (KKM) susulan beberapa kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pekerja Tropicana Corporation Berhad.

Nik Ezanee berkata seramai 507 pekerja menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 240 adalah warga tempatan dan selebihnya warga asing.

Setakat ini, 26 penghuni di asrama tersebut didapati positif Covid-19, katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kelab Golf di PJ ingkar PKP disiasat polis

PETALING JAYA, 12 OKT: Polis membuka kertas siasatan terhadap sebuah kelab golf di sini yang dipercayai ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana masih melakukan aktiviti walaupun diberi notis penutupan semalam susulan beberapa pekerjanya dilaporkan positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pihaknya menerima laporan di Balai Polis Damansara daripada pihak KKM semalam yang mendakwa premis berkenaan yang sepatutnya ditutup mulai Ahad, telah melanggar syarat arahan penutupan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana ingkar PKP,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan asrama pekerja kelab golf berkenaan.

Terdahulu, Nik Ezanee membuat pemantauan di asrama pekerja kelab golf itu yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula hari ini sehingga 25 Okt susulan kes positif Covid-19 membabitkan pekerja yang tinggal di asrama itu.

Setakat ini, seramai 23 pekerja warga tempatan dan warga asing di asrama pekerja kelab berkenaan dilaporkan positif Covid-19.

Jelasnya, 11 individu yang positif dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan manakala 12 lagi masih berada di asrama berkenaan dan akan dibawa ke hospital hari ini.

Menurut beliau, seramai 597 pekerja lagi dijangka menjalani saringan Covid-19 yang dijadualkan Rabu ini.

Nik Ezanee berkata seramai 20 anggota polis ditempatkan untuk memantau kawasan kelab itu.

Selain itu, beliau turut meminta orang ramai supaya tidak mengambil mudah dengan penularan wabak ini yang semakin meruncing di kawasan Petaling Jaya dengan menjaga keselamatan dan kebersihan diri.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Singapura catat 257 kes baharu, keseluruhan 47,912

SINGAPURA, 19 JULAI: Singapura merekodkan 257 lagi kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan lapan daripadanya melibatkan kes dalam komuniti.

Menurut data ringkas setakat tengah hari yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH), daripada jumlah kes dalam komuniti itu, dua adalah warga Singapura atau penduduk tetap, dan enam pemegang pas kerja.

Selain itu, menurut kementerian itu, terdapat lima kes import yang diletakkan di bawah Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik sahaja tiba di Singapura.

Bagi kes hari ini, sebahagian besarnya adalah pekerja asing yang tinggal di asrama, menurut kenyataan itu.

Dengan perkembangan terbaru itu, jumlah keseluruhan jangkitan di republik itu adalah 47,912 kes.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasikan 638 sebagai kes import, 2,111 sebagai kes dalam komuniti dan 44,906 sebagai penghuni asrama.

Secara keseluruhan, 43,833 atau kira-kira 92 peratus kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan rawatan dalam komuniti.

Setakat 12 tengah hari semalam, terdapat 169 kes yang disahkan masih dirawat di hospital, dengan kebanyakannya berada dalam keadaan stabil atau bertambah baik dan tiada pesakit dirawat di unit rawatan rapi.

Sebanyak 3,626 pesakit yang bergejala atau sihat secara klinikal namun masih diuji positif jangkitan Covid-19 diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan jangkitan Covid-19 di negara ini.

Memandangkan tidak ada lagi kes yang dikaitkan dengan kluster Changi Lodge II di Tanah Merah Coast Road; dan Sungei Tengah Lodge di Old Choa Chu Kang Road, dalam tempoh dua inkubasi kebelakangan, kluster berkenaan kini ditutup.

Bagaimanapun, dua kluster baharu dikenal pasti semalam, dua buah asrama di 72 Tagore Lane dan 54 Tech Park Crescent.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 1,426 kes baharu di Singapura, keseluruhan kini 8,401

SINGAPURA, 20 APRIL: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) telah mengesahkan tambahan 1,426 kes jangkitan Covid-19, menjadikan peningkatan jumlah kes disahkan di pulau tersebut kepada 8,041.

Kementerian itu menyatakan, majoriti kes baru tersebut merupakan dalam kalangan pemegang Permit Kerja yang tinggal di asrama pekerja warga asing, manakala 16 kes melibatkan warga Singapura/Penduduk Tetap.

“Kami masih berusaha mendapatkan butiran kes tersebut, dan maklumat terkini akan dihebahkan melalui kenyataan media MOH yang akan dikeluarkan malam ini,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga 12 tengah hari Ahad (19 April), Singapura mengklasifikasikan 4,706 kes sebagai penduduk asrama, 305 melibatkan pemegang permit kerja tidak tinggal di asrama, 1,008 kes komuniti dan 569 lagi kes import.

Dengan jumlah terkini, Singapura yang melaporkan kes pertama Covid-19 pada 23 Januari telah mencatatkan kes tertinggi dalam kalangan negara Asean.

Sehingga kini Singapura telah mengazetkan 12 asrama sebagai kawasan pengasingan daripada lebih 20 asrama terbabit, dengan kebanyakan penduduk asrama dijangkiti terdiri daripada warga Bangladesh, India, China dan Myanmar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Kes di Singapura meningkat kepada 2,299, lapan kematian

SINGAPURA, 12 APRIL: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura melaporkan 191 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,299 kes di republik itu.

MOH dalam kenyataan berkata daripada kes baharu itu, tiada kes import dilaporkan, 52 dikaitkan dengan kluster yang diketahui, 20 dikaitkan dengan kes-kes lain, manakala 119 masih lagi menunggu pengesanan kontak.

Antara kes yang berkaitan itu, MOH berkata 51 kes dikaitkan dengan kluster di asrama pekerja asing dan 21 dikaitkan dengan bukan asrama atau kes lain.

Tiga lagi asrama dikenali sebagai kluster baharu iaitu Westlite Woodlands di Woodlands Sector 2 dengan lapan kes, North Coast Lodge di North Coast Avenue (enam) kes dan Cassia @ Penjuru di Penjuru Walk (lima) kes.

Terdapat sekurang-kurangnya 10 asrama terjejas daripada 45 asrama di republik itu dengan lebih 500 kes bergabung setakat ini.

Sementara itu, tiga kes tempatan melibatkan lelaki warga Malaysia dilaporkan, masing-masing berusia 26, 31 dan 44.

Mereka yang merupakan pemegang Pas Kerja Singapura, kini masing-masing ditempatkan di Hospital Umum Singapura (SGH), City International Hospital dan Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID).

Republik itu turut melaporkan kematian kelapan kerana wabak Covid-19, membabitkan seorang lelaki warga Singapura berusia 90 tahun.

Warga emas itu disahkan mempunyai jangkitan pada 3 April dan terus ditempatkan di NCID pada hari yang sama.

Menurut MOH, 35 lagi kes jangkitan Covid-19 telah discaj dari hospital atau dari kemudahan isolasi komuniti, menjadikan keseluruhan 528 telah pulih sepenuhnya.

Daripada 943 kes yang disahkan yang masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau bertambah baik termasuk 31 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Menurut kementerian itu 820 kes yang secara klinikalnya baik tetapi masih positif ujian Covid-19 diasingkan dan dijaga di fasiliti komuniti.

Sehingga tengah hari semalam, MOH mengenal pasti 26,189 kontak rapat yang telah dikuarantin.

— BERNAMA