Categories
NASIONAL

Athina mampu jadi Adun wanita pertama Bidayuh

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUCHING, 5 MEI: Baru berusia 27 tahun, cantik, bijak dan paling penting memiliki karisma unggul sebagai pemimpin wanita yang mampu berjuang dan memberi perkhidmatan terbaik demi kepentingan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu.

Lebih dari itu, calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Athina Sim juga bakal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita Bidayuh pertama jika memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

“Barisan Nasional (BN) tidak akan benarkan mana-mana wanita Bidayuh sertai pilihan raya tetapi KEADILAN beri peluang supaya saya dapat suarakan hak orang Bidayuh, suara wanita dan suara anak muda yang mestilah didengari di Dewan Negeri Sarawak.

IMG-20160505-WA0029“Umur saya 27 tahun, itu fakta. Betul saya muda dan ahli politik masih baru, tetapi kena ingat bahawa saya tidak korup, mengamalkan politik kotor, politik wang kerana saya muda dan bukan ahli politik BN tetapi KEADILAN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu video yang dimuatnaik di akaun laman sosial Facebook beliau.

Ketika mengulas pencapaiannya sebagai seorang aktivis politik, Athina berkata, beliau sebelum ini turut dikenali ekoran kelantangannya menyuarakan isu membabitkan kepentingan kaum Bidayuh di Serembu.

“Saya berkhidmat untuk rakyat, memperjuangkan hak mereka dengan integriti dan amanah. Dakwaan KEADILAN tidak melakukan apa-apa untuk kaum Bidayuh itu adalah pembohongan semata-mata. KEADILAN dan saya memperjuangkan nasib kaum Bidayuh sudah bertahun-tahun lamanya walaupun kami tidak memerintah di sini.

“Saya sangat lantang bersuara termasuk infrastruktur lebih baik untuk kawasan kaum Bidayuh. Selepas bertahun-tahun di bawah BN, mereka masih tidak dapat menyediakan lampu jalan di Kampung Puah, Kampung Tupong dan Kampung Tanjung Durian,” katanya.

Ketika dihubungi SelangorKini, Athina berkata, beliau mendapat sambutan dan sokongan padu pengundi Serembu khususnya dalam kalangan penduduk Bidayuh.

“Sekarang saya di Kampung Bijuray. Sambutan orang ramai sangat baik, di luar jangkaan saya dan sebentar lagi saya akan bersama Kak Wan (Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) untuk turut sama berkempen,” katanya.

-AA-