Categories
AGENDA NASIONAL

Judi dalam talian, dadah punca anggota ATM bertindak luar kawalan

KOTA SAMARAHAN, 22 JAN: Ketagihan berjudi dalam talian antara punca anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertindak di luar kawalan sehingga ada yang mengorbankan nyawa, kata Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Beliau berkata kajian yang dijalankan Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapati kesihatan mental anggota terganggu apabila dibelenggu masalah kewangan akibat ketagihan bermain judi dalam talian, sehingga memberi kesan kepada produktiviti mereka.

“Yang banyak menghabiskan duit anggota ini satunya ialah berjudi dalam talian dan satu lagi ialah penyalahgunaan dadah. Dua ini punca utama yang membuatkan anggota selalu melakukan perkara pelik-pelik dan di luar dugaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum itu beliau menghadiri Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Kadet Palapes Darat Universiti Awam ke-39 Zon Sarawak dan Sabah di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Zamrose berkata TDM mempunyai beberapa kaedah untuk mengatasi masalah itu, antaranya dengan mengadakan sesi kaunseling kepada setiap anggota yang dilaksanakan sepanjang tahun.

“Satu perkara yang boleh mengurangkan masalah itu ialah tahap keimanan setiap anggota. Tidak kisah agama apa pun..kalau pegangan mereka kuat, pasti mereka boleh kawal dan tidak melakukan tabiat buruk itu. Kita juga mempunyai khidmat pakar psikologi dan Kor Agama ATM (Kagat),” katanya.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan dua kes tembakan melibatkan anggota ATM, iaitu empat anggota TUDM maut dalam insiden di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 di kem Kota Samarahan dan seorang anggota TDM menembak diri sendiri selepas melepaskan tembakan ke arah mentuanya di Kampung Kolong 1, Sungai Tengah, Jalan Matang di Kuching.

Dalam perkembangan lain, Zamrose berkata 10 lagi pos kawalan akan dibina pada tahun hadapan di sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia (Sarawak-Kalimantan) bagi mengimbangi pos kawalan yang didirikan negara jiran itu.

Ketika ini terdapat 10 pos kawalan sedia ada di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan termasuk empat sedang dalam pembinaan iaitu di Padang Upan (Bau), Sungai Pauh (Serian), Batu Kaya (Lubok Antu) dan Tapak Megah (Kapit).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aset, anggota tentera digerak bantu mangsa banjir di Selangor

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Anggota serta aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula diatur gerak dalam membantu operasi banjir khususnya di kawasan-kawasan yang terjejas teruk.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi hantaran Facebooknya, berkata atur gerak aset dan anggota ATM itu kini melibatkan bantuan mangsa banjir di Selangor khususnya di Klang, Sepang, Damansara dan Bukit Lanchong.

“Anggota serta aset daripada 11 Briged serta 12 Briged telah berada di lapangan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di situ.

ATM dalam masa sama bersiap-siaga memperluaskan operasi bantuan di kawasan-kawasan lain yang berpotensi terjejas teruk,” katanya.

Hishammuddin dalam pada itu mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri serta ahli keluarga menerusi hantaran itu.

“Jauhi tempat dilanda banjir, pindah segera ke pusat pemindahan apabila diarah dan jaga prosedur operasi standard semasa berada di Pusat Pemindahan Sementara.

Sama-samalah kita doakan semoga situasi banjir ini segera pulih,” menurutnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM sentiasa siap siaga, ambil serius ancaman kedaulatan negara

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mempertingkatkan kesiap-siagaan dan tahap keselamatan di pantai timur Sabah susulan laporan media asing yang mendakwa akan berlaku pencerobohan oleh pihak dari Filipina ke Negeri Di Bawah Bayu itu.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata arahan itu dikeluarkan kepada ketiga-tiga perkhidmatan ATM melalui Panglima Medan Timur Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Panglima Armada Timur (TLDM) Laksamana Madya Datuk Sabri Zali dan Panglima Wilayah Udara 2 (TUDM) Mej Jen Datuk Shamsudin Kassim.

Beliau berkata melalui pelaksanaan operasi dan perisikan pihak ATM setakat ini mendapati tiada petunjuk atau bukti kukuh berhubung laporan berkenaan.

“Seperti yang ditegaskan oleh Panglima ATM (Jen Tan Sri Affendi Buang) dan Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani) tindakan segera akan diambil bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah.

“Agensi perisikan dan keselamatan kita juga telah mengambil maklum tentang perkara yang dilaporkan dan sedang dalam proses verifikasi dengan agensi-agensi sejawat mereka di Filipina dan serantau seperti yang dinyatakan KPN dan Komander ESSCOM semalam,” katanya pada sidang media pasca Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari di Wisma Perwira ATM, di sini.

Hishammudidn berkata kementerian dan ATM sememangnya memberi perhatian terhadap laporan berkenaan.

“Sebarang ancaman, sama ada boleh dipercayai atau tidak ia mesti disahkan secara bebas dan dianggap serius. Saya menggesa rakyat di Sabah supaya tidak berasa bimbang dengan ancaman itu kerana ATM sentiasa memantau perkembangan itu dari semasa ke semasa.

“Apa jua maklumat orang ramai yang boleh membantu kita sama ada mengesahkan apa yang dilaporkan itu akan kita terima dan akan kaji secara menyeluruh,” katanya.

Hishammuddin berkata inisiatif Perjanjian Kerjasama Tiga Hala (TCA) yang melibatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina, dapat memastikan Laut Sulu dan Sulawesi, laluan perairan antara Sabah dan Selatan Filipina sentiasa selamat.

“Hubungan kerja saya dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana juga akrab dan kukuh dan sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain mengenai perkara yang menjadi kebimbangan bersama terutama soal keselamatan.

“Mereka (Prabowo Subianto dan Lorenzana) dan saya bersetuju untuk melaksanakan semula Perbincangan Peringkat Menteri mengenai TCA dan kami merancang untuk bertemu pada Januari 2022 bagi kukuhkan lagi kerjasama antara angkatan tentera negara masing-masing di Laut Sulu dan Sulawesi,” katanya.

Beliau berkata memelihara keamanan dan kesejahteraan Sabah sentiasa menjadi keutamaan paling tinggi Kementerian Pertahanan dan kepimpinan kementerian akan terus memastikan keselamatan Sabah tidak dikompromi dan kedaulatan negara tidak sewenang-wenangnya dinodai.

Ditanya sama ada ATM akan mengatur gerak aset dan menambah keanggotaan di Sabah, Hishammuddin berkata belum ada keperluan drastik.

“Kerajaan bagaimanapun melalui agensi-agensi keselamatan lain telah melakukan tindakan segera dalam meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di negeri itu,” katanya.

Pada Khamis, media antarabangsa melaporkan satu mesyuarat diadakan pada 1 Dis lepas yang diatur oleh seorang pegawai kanan kerajaan tempatan Wilayah Sulu yang dihadiri 19 Datuk Bandar di sana bagi membincangkan penubuhan ‘Tentera Diraja Sulu’ untuk menawan Sabah dengan 11 daripada Datuk Bandar yang hadir bersetuju dengan rancangan itu.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM siap sedia hadapi musim tengkujuh

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarahkan bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh ini termasuk dari segi penggunaan segala aset.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata ketiga-tiga cabang ATM iaitu tentera darat, udara dan laut ketika ini berada dalam mod siap siaga.

Beliau berkata ini selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bahawa pasukan keselamatan sentiasa dalam keadaan bersedia bagi menghadapi dan memberikan bantuan ketika bencana banjir berlaku.

“Maknanya ATM sentiasa bersedia (untuk memberikan khidmat dan bantuan) sekiranya berlaku sesuatu bencana di mana-mana tempat… dan bagi pihak ATM, untuk tindakan menangani bencana negara atau keadaan banjir ini, kami sudah bersedia,” katanya.

Affendi berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bengkel Peluang Kerjaya Kedua anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang turut dihadiri Ketua Pengarah JHEV ATM Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Beliau berkata bengkel itu, yang disertai veteran ATM, merupakan antara usaha dalam memastikan peluang kerjaya kedua bagi mengangkat martabat golongan berkenaan sebagai perwira negara.

“Bengkel ini juga amat signifikan kepada Keluarga Malaysia Veteran ATM memandangkan input dan pembelajaran dalam bengkel ini bakal membantu peserta berdepan dengan majikan baharu dan dunia awam,” katanya.

Affendi berkata setakat ini, Keluarga Malaysia Veteran ATM yang berdaftar dengan JHEV ATM ialah 204,020 dan daripada jumlah itu, seramai 73,863 orang bersara tanpa pencen.

Beliau berkata secara purata, lebih 5,000 warga ATM akan bersara setiap tahun dengan 63 peratus dalam lingkungan usia bawah 50 tahun iaitu kelompok yang masih produktif dan mampu menyumbang kepada ekonomi negara.

“Lebih 47,000 majikan telah berdaftar dengan Perkeso manakala lebih 740,000 jawatan kosong turut ditawarkan menerusi portal Myfuturejobs,” katanya.

Affendi berharap veteran ATM yang memohon kerja menerusi portal itu mendapat tawaran selayaknya berbekalkan kemahiran dan pengalaman mereka serta gaji lebih menarik berbanding pemohon lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

UPNM, ATM diingat ambil iktibar kes Zulfarhan, elak jenayah berulang

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Warga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), diingatkan agar tidak mengulangi perbuatan jenayah sepertimana yang berlaku ke atas Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Perkara itu ditegaskan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut menyifatkan perbuatan ke atas Zulfarhan Osman itu sebagai keji.

“Kematian Allahyarham Zulfarhan (Osman) empat tahun lalu amat mendukacitakan, sebagai menteri pertahanan ketika itu, saya telah arah Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) gantung segera 32 Pegawai Kadet serta nilai semula sistem latihan dan pengurusan pelatih di ALK.

“Saya juga jamin tiada siapa akan dilindungi dan terlepas dari undang-undang,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya, pagi ini.

Beliau berkata UPNM dan ATM perlu mengambil iktibar dan pengajaran terhadap hukuman penjara yang dikenakan terhadap enam penuntut universiti itu kerana menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh Zulfarhan Osman.

“Saya tidak akan sesekali berkompromi dalam soal jenayah dan kezaliman!,’’ tambah Hishammuddin.

Semalam, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan Osman, empat tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Kesemua tertuduh yang kini berumur 25 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi hingga 5.30 pagi, 21 Mei 2017 dan dalam bilik 04-10 antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan sebanyak 90 tekapan seterika wap yang dilakukan oleh tertuduh itu pada anggota badan Allahyarham Zulfarhan Osman telah menyebabkan kematian mangsa namun ia tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja.

Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir ucapan Selamat Ulang Tahun ATM ke-88

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-88 kepada seluruh warga angkatan tentera termasuk veteran serta semua yang pernah berkhidmat dengan ATM.

Selaku pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota ATM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada para anggota ATM khususnya yang bertugas di barisan hadapan yang telah bertungkus lumus mengorbankan masa dan tenaga dalam membantu kerajaan membendung penularan wabak Covid-19 sejak awal tahun ini,” menurut Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi hari ini.

Seri Paduka Baginda turut mendoakan agar ATM terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa.

Hari ATM yang disambut pada 16 Sept setiap tahun akan diraikan secara fizikal di Kem Segenting, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 22 Sept ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai hadir sambut Hari Kemerdekaan di Putrajaya, SOP ketat

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Disambut dalam persekitaran norma baharu ekoran pandemik Covid-19 buat tahun kedua, sambutan Hari Kebangsaan 2021 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya tetap menyerlahkan jiwa patriotisme yang jitu dalam semangat Keluarga Malaysia.

Atur cara dan persembahan yang sarat dengan elemen patriotisme disusun rapi agar bersesuaian dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta boleh ditonton secara fizikal oleh hadirin yang terhad atau diikuti secara langsung melalui kaca televisyen atau secara maya.

Dengan ketibaan tetamu di Dataran Pahlawan Negara termasuk menteri-menteri Kabinet berlatar belakangkan pelbagai lagu patrotik,  klip video Keluarga Malaysia yang menampilkan lirik ciptaan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa turut ditayangkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyertai sambutan tersebut yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ secara maya kerana menjalani kuarantin kendiri bermula semalam (30 Ogos) setelah disahkan kontak rapat pesakit Covid-19.

Atur cara bermula pukul 8 pagi dalam cuaca baik dengan matahari yang menyinar setelah hujan dinihari berhenti di Putrajaya kira-kira 7 pagi, dengan tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu Negaraku.

Ismail Sabri dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dalam siaran secara maya turut dilihat berdiri ketika lagu Negaraku berkumandang.

Usai acara tersebut, ikrar Rukun Negara dibacakan dengan diakhiri laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali yang disempurnakan oleh tujuh petugas barisan hadapan.

Ia diketuai wakil dari Kementerian Pendidikan iaitu Luqman AlHakim Mohd Tamyes selain anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Agenda sambutan diteruskan dengan persembahan pancaragam gabungan drum line ATM yang disertai 60 anggota daripada TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Darat Malaysia.

Selain memainkan beberapa lagu patriotik dan menampilkan seni taekwando tempur tanpa senjata, kumpulan pancaragam yang diketuai Staf Sarjan Mad Zain Medol itu turut menampilkan aksi faktor ‘wow’ iaitu persembahan semburan api dengan menyembur minyak tanah dari mulut ke arah nyalaan api kecil bagi menghasilkan bulatan api besar.

Sejurus tamat aksi mendebarkan itu, persembahan kawad senyap oleh 60 anggota TLDM dipimpin Laskar Kanan PAP Mohd Helmi Masuhudi dan disusuli dengan persembahan pancaragam gabungan badan beruniform yang dipimpin Mejar Mohd Rizal Mohd Nor.

Pancaragam gabungan badan beruniform itu yang disertai 80 anggota ATM, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, APM, JBPM dan RELA bergabung tenaga dalam menyampaikan persembahan pelbagai irama lagu patriotik.

Kemuncak tarikan persembahan sempena Hari Kebangsaan 2021 ialah pertunjukan udara oleh aset-aset TUDM dengan deruman enjin pesawat pejuang menggegarkan ruang udara Putrajaya dan para tetamu yang hadir kelihatan mendongak untuk merakamkan pertunjukan formasi pesawat di ruang angkasa.

Formasi penerbangan pesawat pejuang membabitkan Sukhoi Su-30MKM, F/A 18D Hornet dan BAE Hawk 108 diketuai oleh Lt Kol Mohd Norazan Othman, yang sempat bersiaran secara langsung dari dalam pesawat sebelum melakukan aksi udara itu.

Pertunjukan udara itu menarik minat penduduk Putrajaya untuk ke kawasan lapang seperti Dataran Putra dengan tahap kepatuhan SOP serta tidak melakukan perkumpulan untuk menyaksikan formasi pesawat tersebut.

Acara diakhiri dengan tayangan lagu Menang Bersama yang dinyanyikan artis Faizal Tahir hasil ciptaan Pengarah Muzik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Datuk Mokhzani Ismail, dan sebelum meninggalkan majlis para tetamu mengibarkan bendera Malaysia dengan diiringi lagu Jalur Gemilang.

Antara kenamaan yang hadir secara fizikal di Dataran Pahlawan ialah menteri-menteri kanan iaitu  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Fadillah Yusof, Datuk Dr Radzi Jidin, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Tayangan secara langsung sambutan yang disiarkan di semua stesen televisyen tempatan, Facebook Live Merdeka360 dan Facebook Live Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengaplikasikan teknologi ‘Mix Reality’ iaitu gabungan penerbitan secara fizikal, teknologi AR (Augmented Reality) serta XR (Extended Reality), yang berbentuk interaktif dan berteknologi tinggi.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM lancar operasi bersepadu kekang jenayah, pendatang tanpa izin

KOTA BHARU, 20 JUN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan projek rintis operasi bersepadu untuk memperketat kawalan keselamatan di sempadan seluruh negara bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan kemasukan pendatang tanpa izin, terutama ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.

Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata projek rintis yang dilancarkan Rabu lepas dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) itu sekali gus membantu usaha kerajaan melandaikan keluk jangkitan COVID-19.

Beliau berkata ia berikutan wujud beberapa jangkitan varian baharu wabak itu di negara ini, dipercayai berpunca daripada kehadiran pendatang tanpa izin.

“Saya yakin sekiranya kawalan keselamatan dioptimumkan, kita akan berupaya meningkatkan operasi kedua-dua pasukan ini dalam memelihara sempadan negara daripada diceroboh apa jua ancaman,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Pasir Pekan, dekat sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Mohammed Piah.

Muhammad Hafizuddeain berkata bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) secara progresif membekalkan pelbagai aset dalam memperkasakan keupayaan operasi setiap pasukan keselamatan bertugas.

Sementara itu, mengenai lawatan di Kelantan selama tiga hari bermula semalam, beliau berkata operasi kawalan keselamatan di sempadan Kelantan-Thailand antara ATM dan pelbagai agensi berkaitan berada pada tahap baik.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

3,300 anggota tentera terlibat dalam sekatan jalan, pos statik dan rondaan

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Seramai 3,300 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diatur gerak bagi membantu polis dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR), pos statik dan rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV) di seluruh negara.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata tindakan melalui pelaksanaan Op Penawar itu melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Atur gerak dan kesiapsiagaan ini turut meliputi aspek kawalan dan rondaan keselamatan di kawasan berisiko tinggi yang telah diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), lokasi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan pelaksanaan Task Force Operasi Pematuhan bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata menerusi Op Benteng pula, dengan kerjasama semua agensi keselamatan, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) berjaya memperketatkan kawalan sempadan darat, laut dan udara di samping memudahkan proses kerja setiap agensi dalam mencapai misi operasi berikutan kegiatan pencerobohan adalah saling berkait dengan jenayah rentas sempadan yang lain.

“Secara keseluruhannya, melalui Op Benteng di seluruh negara, seramai 12,285 anggota diatur gerak bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin daripada membolosi sempadan negara terutamanya melalui lorong-lorong tikus,” katanya.

Beliau juga berkata seramai 15,759 individu ditahan terdiri daripada pendatang tanpa izin, tekong dan penyeludup sejak 6 Mei hingga 1 Jun.

Katanya terdapat sejumlah 8,617 pelaporan melibatkan 5,221 kes tangkapan, 1,593 kes rampasan, 379 pengusiran dan 1,421 kes penglihatan melibatkan nilai rampasan dianggar RM528.6 juta.

Beliau berkata bagi tempoh dua minggu fasa pertama sekatan pergerakan penuh yang bermula semalam, pergerakan keluar masuk pendatang tanpa izin dijangka meningkat berterusan melalui lorong tikus selain berlakunya kegiatan jenayah rentas sempadan di utara Semenanjung serta sempadan Sarawak-Kalimantan.

“Oleh itu, NTF akan memastikan semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang terlibat bersiap siaga dalam segala aspek bagi menjaga sempadan negara dalam memastikan tiada pendatang tanpa izin dan kegiatan jenayah rentas sempadan berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Affendi berkata Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Medan ATM di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang, telah beroperasi sepenuhnya pada 30 Mei lepas dengan kapasiti 24 katil.

Bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, ATM telah selesai memberikan 112,348 dos vaksin kepada 56,174 pegawai dan anggota ATM setakat ini berdasarkan bidang penugasan dan kawasan berisiko tempat bertugas termasuk petugas pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan di Markas NTF.

“Pada Jun ini, ATM akan menerima 81,900 dos vaksin bagi meneruskan program vaksinasi kepada anggota ATM, selain ATM dijangka menerima kuota tambahan vaksin untuk diberikan kepada veteran ATM dan ahli keluarga warga ATM,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM pertimbang tambah jawatan doktor tentera

KUALA LUMPUR, 5 APRIL: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang mempertimbang untuk menambah kuota perjawatan baharu melibatkan doktor ketenteraan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan berkata perkara itu akan dibincang dengan pihak pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata permohonan bagi menambah kuota perjawatan melibatkan doktor ketenteraan adalah tertakluk kepada prosedur dan fasa yang ditetapkan.

“ATM bercadang menambah kuota berkenaan dan pada masa sama, melihat ke arah pembangunan pasukan simpanan sedia ada yang membabitkan doktor dan paramedik,” katanya pada Majlis Persidangan Perubatan Ketenteraan Malaysia (MMMC 2021) di Wisma Perwira ATM hari ini.

Dr Md Amin berkata penambahan itu juga adalah antara usaha ATM mewujudkan gabungan anjal antara pasukan angkatan tetap dan simpanan pada masa akan datang.

“Kami menyasarkan kira-kira 300 perjawatan baharu (dalam perkhidmatan kesihatan ATM) yang memadai dan bertujuan untuk membantu Kementerian Kesihatan.

“Jika khidmat ATM diperlukan maka ia dapat disalurkan untuk membantu mereka (Kementerian Kesihatan) tanpa sebarang batasan,” katanya.

Mengulas perkembangan status vaksinasi dalam kalangan warga ATM, Dr Md Amin berkata lebih 30,000 anggota dan pegawai di seluruh negara menerima suntikan vaksin sejak fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan.

Beliau berkata pada masa sama, ATM akan terus bekerjasama dengan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 dan Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 dalam menjayakan program itu yang akan memasuki fasa kedua bulan ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 6,000 warga pertahanan sudah divaksin

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Seramai 6,547 warga Kementerian Pertahanan sudah menerima suntikan vaksin di bawah Fasa Satu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang melibatkan warga pertahanan yang melibatkan 42,120 orang, setakat jam 5.00 petang tadi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di bawah Fasa Satu itu, 35,573 warga pertahanan lagi akan menerima suntikan vaksin di 58 pusat pemberian vaksin Angkatan Tentera Malaysia di seluruh negara.

“Fasa berkenaan dijangka selesai pada 30 April ini iaitu seramai 42,120 warga pertahanan termasuklah anggota beruniform dan awam akan divaksin,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan di Wisma Pertahanan, di sini.

Mengulas mengenai penerimaan warga pertahanan terhadap program vaksinasi berkenaan, Ismail Sabri berkata warga pertahanan menerimanya dengan baik.

“Kesemua mereka (warga pertahanan) bersetuju dan tidak ada sebarang bantahan atau penolakan untuk menerima vaksin Covid-19 ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penyeludup kini guna dron lakukan aktiviti jenayah

KOTA TINGGI, 23 FEB: Sindiket penyeludupan kini dikesan mengubah modus operandi mereka termasuk menggunakan teknologi dron dalam menjalankan aktiviti penyeludupan migran dan barangan.

Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata taktik tersebut digunakan bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa yang menjalankan rondaan Op Benteng di perairan negara.

“Kita tengok dulu, trend mendarat mereka (sindiket penyeludupan) lebih kepada waktu tengah malam hingga awal pagi tetapi sejak sering berjaya dikesan pihak berkuasa, mereka telah mengubah modus operandi.

“Malah hasil laporan diterima daripada unit-unit yang melaksanakan Op Merpati di bawah Op Benteng dan sebagainya, mereka juga telah dikesan menggunakan teknologi dron dalam mengesan pergerakan atau atur gerak pasukan-pasukan keselamatan,” katanya pada sidang media selepas melawat Markas Taktikal Tanjung Sepang, Bandar Penawar bagi meninjau Op Benteng di perairan Johor hari ini.

Muhammad Hafizuddeain berkata pihak risikan masih memantau situasi berkenaan dan sehingga kini pihaknya belum mengambil tindakan drastik seperti menembak jatuh pesawat dron yang dikenal pasti oleh radar tentera.

Sementara itu, mengenai Op Benteng, Muhammad Hafizuddeain berkata sejak operasi dilaksanakan pada 16 Mei tahun lepas melibatkan kawasan pesisiran pantai sepanjang 220 kilometer di Johor, pihak berkuasa berjaya menahan 26 tekong dan 1,252 migran selain merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM3.7 juta.

Katanya, angka ini meningkat sebanyak 200 peratus berbanding kejayaan yang pernah direkodkan sebelum Op Benteng dilaksanakan.

“Kejayaan ini kerana kita bekerjasama dengan pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen. Jadi, boleh dikatakan kita lebih fokus dan efektif dalam menangani isu penyeludupan migran dan barangan berbanding bekerja secara berasingan sebelum ini,” katanya.

– BERNAMA