Categories
AGENDA NASIONAL

KKM digesa buat audit, elak orang tengah komersial ujian Covid-19 warga asing

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) semalam menggesa kerajaan menjalankan audit di lokasi ketika proses saringan secara besar-besaran terhadap pekerja asing dijalankan pada masa ini bagi memastikan piawai dan pematuhan sepenuhnya garis panduan saringan Covid-19.

Presiden MMA Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata audit itu boleh dijalankan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata audit itu juga perlu dilakukan bagi mengelakkan cubaan orang tengah untuk mengkomersialkan ujian saringan Covid-19 yang semakin meningkat, disebabkan permintaannya yang semakin tinggi.

“Nampaknya tiada kawalan atau penguatkuasaan ke atas aktiviti orang tengah ini yang bertindak sebagai ejen untuk menawarkan perkhidmatan saringan Covid-19 kepada majikan. Perlu diingat bahawa orang-orang tengah ini, bukanlah penyedia penjagaan kesihatan.

“Majikan perlu sedar hanya pengamal perubatan am yang akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap saringan dan piawai penjagaan yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 11 Dis, MMA mengingatkan majikan agar berwaspada terhadap orang tengah atau syarikat bukan penyedia penjagaan kesihatan, yang menawarkan perkhidmatan saringan Covid-19 yang menyasarkan pengamal perubatan yang mempunyai masalah dengan mengenakan bayaran profesional yang rendah dan seterusnya mereka boleh mendapat keuntungan yang lebih daripada majikan.

KKM pada awal November menyatakan ujian Covid-19 oleh pihak swasta hanya boleh dijalankan di klinik perubatan swasta, pusat penjagaan ambulatori atau hospital swasta, manakala hanya klinik perubatan swasta boleh menawarkan saringan di lokasi seperti di kilang, dewan orang ramai ataupun pejabat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kastam kesan RM812 juta hasil negara tiris enam bulan pertama 2020

GEORGE TOWN, 26 OGOS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan sebanyak RM812 juta ketirisan hasil negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dan usaha mendapatkan semula hasil itu daripada syarikat yang terlibat giat dijalankan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Johari Alifiah berkata antara kebocoran hasil yang dikesan adalah akibat daripada kegiatan mengelak cukai, fraud komersial, pengikraran nilai import yang rendah, kesalahan mengikrar kod tarif barangan, kekurangan membayar cukai output, tuntutan cukai input yang berlebihan dan penyalahgunaan kemudahan fasiliti zon bebas atau pelabuhan bebas.

“Sepanjang tahun lepas, JKDM mengesan sebanyak RM1.3 bilion ketirisan hasil negara dan hasil kerja keras menerusi beberapa operasi yang dijalankan pihak kastam, kami telah berjaya mendapatkan semula kira-kira 80 hingga 85 peratus daripada jumlah (ketirisan) tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Audit Bahagian Pematuhan JKDM Siri 1 Tahun 2020, di sini hari ini.

Beliau berkata syarikat yang dikenal pasti melakukan kesalahan berkenaan perlu membuat pembayaran dalam tempoh 14 hari selepas surat arahan dikeluarkan dan jika gagal mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

Menurutnya, JKDM juga melaksanakan audit dan lawatan di premis syarikat, pengimport dan pengeksport yang berdaftar dengan pihaknya dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang serta tidak melakukan penipuan dalam urusan pembayaran cukai.

“Kami menjalankan audit melalui kaedah bersasar. Selain itu, pihak yang diaudit juga akan diberi khidmat nasihat secara bersemuka bagi mendidik dan meningkatkan kefahaman berkaitan perundangan yang ditadbir JKDM. Pemahaman yang tinggi akan meningkatkan pematuhan,” katanya.

Johari berkata Bahagian Pematuhan JKDM merupakan cabang penting dalam kastam untuk mengesan ketirisan hasil negara dan bahagian itu bertanggungjawab melaksanakan pengauditan ke atas entiti perniagaan bagi memastikan segala perundangan yang ditadbir oleh pihaknya dipatuhi serta duit, cukai atau levi diikrar dan dibayar dengan betul serta tepat.

“Keupayaan pegawai audit itu amat penting dalam menangani isu kebocoran hasil negara dan melaksanakan tugas pengauditan untuk mengesan ketirisan hasil melalui pembayaran cukai, duti atau levi yang tidak tepat. Had tempoh untuk tujuan pengauditan yang menyentuh tanggungan duti atau cukai adalah sehingga enam tahun ke belakang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KBS dan KKLW antara bakal dipanggil mengadap PAC

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil beberapa kementerian dan agensi kerajaan bagi memberikan penjelasan berhubung teguran dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Hassan Arifin berkata antara dipanggil adalah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KLLW), Lembaga Pelabuhan Bintulu dan Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP).

Beliai berkata secara keseluruhan, PAC berpuas hati dengan pengauditan yang dilakukan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2.

“Pada keseluruhannya PAC berpuas hati dengan prestasi pengauditan kementerian, jabatan, agensi serta kedudukan penyata kewangan badan-badan berkanun persekutuan, kumpulan wang persekutuan, akaun amanah dan agensi-agensi lain bagi tahun 2016.

“126 (agensi/jabatan) menerima pendapat Audit tanpa teguran, 12 tanpa teguran dengan penekanan terhadap beberapa perkara, empat mendapat teguran dan satu mendapat pendapat bertentangan,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen.

Menurutnya, kementerian dan agensi yang dipanggil lebih menjurus kepada perkara yang mempunyai kaitan kepentingan rakyat seperti kemudahan sukan kepada belia.

Dalam sidang media sama, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, teguran dan syor yang diberikan perlu diberikan perhatian supaya penambahbaikan dapat dilakukan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

MB: Maklum balas positif Laporan Ketua Audit Negara

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 OGOS: Selangor secara umumnya menerima maklum balas positif berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, ia termasuk penilaian terhadap pengurusan kewangan Kerajaan Negeri yang disifatkan Mohamed Azmin sebagai cukup baik.

“Ini terbukti apabila pentadbiran sedia ada menjamin ketelusan dan keterbukaan dalam Kerajaan Negeri.

“Pada masa sama, pasukan saya juga sedang meneliti beberapa dapatan dan teguran untuk Kerajaan Negeri bertindak sewajarnya agar tidak berulang pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita.

https://selangorkini.my/2017/08/lkan-2016-selangor-negeri-kedua-hutang-terendah-selepas-p-pinang/

Beliau ditemui sejurus selesai mengiringi keberangkatan pulang DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin daripada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Korporat PKNS, di sini, hari ini.

Pada 31 Julai lalu, LKAN 2016 menunjukkan jumlah hutang Kerajaan Negeri adalah kedua terendah di negara ini selepas Pulau Pinang, berbanding 12 negeri lain.

Menurut laporan itu, Selangor hanya mempunyai hutang sebanyak RM14.67 juta, berbanding RM27.09 juta pada akhir 2015.

HUTANG LKANHutang Kerajaan Negeri secara keseluruhannya meningkat daripada RM3.985 bilion pada akhir 2015 kepada RM4.225 bilion pada akhir tahun lalu.

Peningkatan itu melibatkan pinjaman Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Sabah dan Terengganu.

Manakala, tunggakan bayaran balik pinjaman bagi Johor, Perak, Sarawak dan Selangor berkurangan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pengurusan kewangan jabatan dan agensi Kerajaan Selangor baik

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Jabatan Audit Negara melaporkan prestasi pengurusan kewangan bagi 16 jabatan atau agensi kewangan Selangor berada pada kedudukan baik dengan tujuh daripadanya memperoleh penilaian cemerlang.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, tujuh jabatan atau agensi lain memperoleh penilaian baik manakala dua lagi memuaskan.

“Jabatan atau agensi negeri boleh mempertingkatkan pengurusan kewangan ke tahap lebih baik jika langkah penambahbaikan diambil.

ekonomi-selangor-1“Antara langkah yang perlu diambil adalah menganjurkan program latihan berterusan kepada pegawai yang terbabit dalam pengurusan kewangan supaya dapat meningkatkan pengetahuan dan kompetensi dalam melaksanakan tugas,” katanya.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 2016, Perbendaharaan Negeri mendahului dengan kutipan markah tertinggi sebanyak 96.88 peratus diikuti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (96.20%) dan Majlis Perbandaran Sepang (96.12%).

Dua jabatan yang memperoleh keputusan memuaskan adalah Jabatan Veterinar dengan markah 75.47 peratus dan Jabatan Agama Islam Selangor (75.36%).

Jabatan Audit Negara turut mengesyorkan supaya pembabitan ketua jabatan dipertingkatkan secara ‘hands-on’ dalam urusan berkaitan dan membuat pemeriksaan berkala dari semasa ke semasa.

Tindakan tatatertib juga perlu dikenakan terhadap pegawai yang gagal menyelia atau melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Prosedur terlalu lama punca hartanah wakaf belum daftar MAIS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 DIS: Prosedur yang lama bagi pindah milik tanah wakaf daripada geran bersama kepada milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyebabkan hartanah wakaf belum didaftarkan atas nama MAIS.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Abu Bakar Yang berkata, prosedur terbabit merupakan salah satu sebab PWS ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 bagi pengurusan hartanah wakaf kurang memuaskan.

“Dalam maklum balas PWS pada September 2015, sebanyak 14 permohonan selesai dipindah milik dan 26 lagi masih belum diselesaikan kerana memerlukan tindakan PWS, pewakaf serta pejabat tanah dan daerah.

PERBADANAN WAKAF SELANGOR (PWS)“Proses penukaran hak milik kebanyakannya berlarutan sehingga enam bulan, oleh itu pengurusan hartanah tidak dapat dilakukan kerana masih milik pewakaf,” katanya di taklimat Jawantuakuasa Kira-Kira Wang Selangor (PAC), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, PWS sentiasa mencari mekanisme terbaik bagi menangani masalah itu secara efektif dan status terkini daripada 40 sampel audit itu hanya tinggal 14 tanah belum diselesaikan.

“Ia termasuk 12 daripadanya sudah diterima hak milik asal baru-baru ini dan kini dalam proses pindah milik ke atas nama MAIS.

“Manakala, satu lagi dalam tindakan penyerahan pemberi milikan kepada MAIS kepada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Sabak Bernam.

“Satu tanah lagi menjadi isu dengan PTD Sabak Bernam kerana tidak mengiktiraf proses pemberi milikan semula tanah yang diwakafkan individu kerana PTD itu mahu menjadikan tanah itu sebagai tanah kerajaan,” katanya.

Terdahulu, hasil pengauditan mendapati, data daftar hartanah wakaf tidak lengkap dan tidak kemas kini dengan 27.5 peratus hartanah wakaf masih belum didaftarkan hak milik MAIS.

Sebanyak 87.6 peratus daripada hartanah wakaf yang sudah didaftarkan sebagai hak milik MAIS tidak diwartakan, manakala 75.3 peratus masih belum dimanfaatkan.

Sementara itu, Pengerusi PAC, Ng Suee Lim berpuas hati dengan respon yang diberikan PWS dalam taklimat terbabit.

Beliau berharap, PWS mencari mekanisme yang baik bagi menyelesaikan isu itu dan objektif PWS untuk mengemaskini tanah wakaf di Selangor berjalan dengan baik.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PAC panggil tiga agensi beri penjelasan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil tiga agensi kerajaan bagi memberikan penjelasan dalam prosiding akan datang berdasarkan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara, hari ini.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin, berkata mereka akan dipanggil secepat mungkin secara berperingkat untuk memberikan keterangan.

hasan ariffin PAC“Kita akan panggil Jabatan Imigresen, bagi isu Pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara dalam isu Pengurusan Pembinaan dan Pembaikan Rumah Mangsa Banjir

“Jabatan Air Negeri Sabah juga akan dipanggil bagi isu program bekalan air luar bandar negeri itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC, di Bangunan Sementara Parlimen.

Beliau berkata, tiga isu itu diberikan keutamaan kerana melibatkan kepentingan rakyat.

Hassan yang turut ditemani Timbalannya, Tan Seng Giaw memuji semua agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri kerana memberikan kerjasama baik sehingga Laporan Ketua Audit Negara berjaya dikeluarkan lebih awal, sebelum bulan Jun.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Campur tangan politik punca salahlaku kakitangan awam

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 NOV: Campur tangan politik dalam urusan perkhidmatan awam adalah salah satu punca berlakunya ketirisan, pembaziran dan penyelewengan seperti yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara saban tahun.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, campur tangan ahli politik menyebabkan tekanan kepada pegawai kerajaan terlibat untuk menjalankan tanggungjawab mereka mengikut garis panduan sepatutnya.

audit 2012“Saya faham keresahan rakyat urusan pentadbiran dan akaun kerajaan diuruskan dengan buruk walaupun Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan setiap tahun tetapi kerajaan tak mengambil pengajaran.

“Salah satu perkara yang sukar dielakkan pegawai kerajaan ini, apabila ada arahan tertentu walaupun dia tahu arahan itu bertentangan dengan polisi kewangan dan sebagainya,” kata Mahfuz ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Mahfuz juga percaya laporan salah laku yang dibentangkan Ketua Audit Negera itu hanya sebahagian daripada banyak lagi salah laku yang melibatkan dana lebih besar.

Jelas beliau, antaranya termasuk laporan audit terhadap pengurusan Hari Belia Negara 2011 hingga 2013 yang masih menjadi tanda.

“Ini tanggungjawab Ketua Audit Negara kena bentangkan kepada rakyat khususnya kepada parlimen walaupun sudah dijanjikan pada sesi ke dua.

“Adakah ini menandakan adanya yang tidak kena dalam laporan audit pengurusan hari belia negara tetapi adanya campurtangan politik menyebabkan tak diendahkan?,” kata Mahfuz lagi.

Justeru itu Mahfuz menggesa kerajaan dan agensi bertanggungjawab lain mengadakan siasatan terperinci setiap laporan salah laku yang dilaporkan Ketua Audit dan mengambil tindakan tegas.

EZY

Categories
SELANGOR

Audit: Selenggara Masjid Negeri kurang memuaskan

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 NOV: Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan tujuh bentuk kerosakan yang dialami Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan sehingga kini masih belum dibaiki.

Hasil temu bual audit dengan wakil kontraktor yang berpengalaman selama lapan tahun sebagai penyelia penyelenggaraan Masjid Negeri memaklumkan, kerosakan bahagian utama seperti bumbung, kubah (termasuk piramid dan ayat kaligrafi pada kubah) dan lif pelancong mula dikesan sejak dia mula bertugas di situ.

Komponen lain yang turut mengalami kerosakan adalah lif servis, sistem kawalan teknikal, lima pancuran, menara jam dan pam bawah tanah.

Masjid mendungTerdapat beberapa komponen yang ditemui juga sudah tidak berfungsi lebih daripada lapan tahun, sekali gus menyaksikan audit mengklasifikasikan pelaksanaan penyelenggaraan Masjid Negeri kurang memuaskan.

Semakan audit mendapati, Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling sudah melaksanakan 23 kerja penyenggaraan baik pulih di Masjid Negeri dengan nilai perolehan kerja RM3.27 juta bagi tahun 2011 hingga 2013.

Sehingga Mac lalu, JAIS meluluskan sembilan kerja penyelenggaraan baik pulih dengan anggaran kos kerja RM0.72 juta.

“Semakan audit terhadap Minit Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Bilangan 3 Tahun 2013 (11 Oktober 2013) mendapati JAIS melalui JKR sedang dalam tindakan untuk membaik pulih kubah Masjid Negeri.

bumbung1“Sehingga tarikh pengauditan, JKR sudah melantik perunding arkitek dan jadual pelaksanaan kerja baik pulih sedang disusun peringkat negeri.

“Mengikut maklum balas JAIS bertarikh 24 Julai lalu, sejumlah RM2 juta peruntukan diluluskan tahun ini untuk kerja baik pulih.

“Pemeriksaan akhir kubah bersama JKR dilakukan pada 8 Julai lalu dan tender bagi kerja membaik pulih dijangka akan dibuat pada Disember ini,” katanya.

Audit turut menyentuh soal Dokumen Kontrak Perkhidmatan Pengurusan Harta Secara Komprehensif Masjid Negeri yang tidak disediakan dengan baik menyebabkan berlaku pembayaran bagi komponen yang tidak wujud, selain tiada pemotongan bayaran yang dibuat bagi sebahagian daripada komponen rosak.

Jelas audit lagi, Masjid Negeri perlu berada dalam keadaan yang terbaik kerana selain berfungsi sebagai tempat beribadat ia juga adalah mercu tanda Selangor dalam bidang pelancongan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Bumbung 6 masjid Selangor rosak teruk, JKR beri alasan kurang kakitangan

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 NOV: Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang melaporkan bumbung adalah antara bentuk kerosakan tertinggi yang ditemui pada beberapa masjid di bawah tanggungjawab Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS).

Dalam laporan Ketua Audit Negara Siri Ke-3 mendapati JAIS hanya melaksanakan penyelenggaraan berbentuk pembaikan, namun tidak melaksanakan program pencegahan dan pengesanan kerosakan kecuali untuk Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Hal itu kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku pihak bertanggungjawab membuat pemeriksaan tahunan untuk mengesan kerosakan gagal berbuat demikian disebabkan kekurangan kakitangan.

bumbung1Kesan daripada ketiadaan program itu menyebabkan terdapat beberapa masjid yang tidak diselenggara dalam tempoh tiga tahun terakhir mengalami kerosakan berterusan dan mengakibatkan skop sdan kos pembaikan akan datang menjadi lebih besar.

“Semakan lanjut terhadap senarai kerja penyelenggaraan baik pulih yang dilaksanakan JAIS dari tahun 2011 hingga bulan Mac 2014 mendapati pembaikan bumbung paling kerap dibuat.

“112 kerja pembaikan bumbung atau 45.2 peratus daripada 248 kerja sudah dilaksanakan, diikuti dengan kerja berkaitan perpaipan serta naik taraf tandas 83 kerja (33.5 peratus).

“Mengikut maklum balas JAIS bertarikh 24 Julai lalu, struktur kerangka bumbung masjid ditukar daripada kerangka kayu kepada keluli tahan lasak sebagai langkah mengurangkan risiko kerosakan bumbung.

“Selain itu, reka bentuk baru masjid juga tidak menggunakan binaan bumbung rata konkrit kerana sering mengalami masalah kebocoran,” katanya.

bumbungEnam buah masjid yang berhadapan masalah bumbung adalah Masjid Al Islamiah Kampung Lindungan dan Masjid Nurul Iman, Batu 13, di Petaling, manakala Masjid Al Redha dan Masjid Jameatus Solehah di Sepang serta Masjid Jamiatul Solihah dan Masjid Kampung Klang Gate Baru di Gombak.

Selain itu, penemuan audit mendapati terdapat kerja penyelenggaraan baik pulih yang dilaksanakan di tiga buah masjid tidak mengikut spesifikasi hingga tidak tahan lama dan memerlukan pembaikan semula.

“Pengurusan maklumat aset bagi 418 buah masjid kelolaan JAIS dibuat secara manual menyebabkan carian maklumat sukar dibuat serta statistik berkenaan kos, kekerapan, sejarah penyenggaraan, usia masjid dan pengurusan aduan sukar dicari serta laporannya tidak dapat disediakan dengan cepat,” katanya.

Dari segi audit prestasi penggunaan peruntukan yang dijalankan pada bulan Mac hingga Jun lalu terhadap pengurusan penyelenggaraan masjid oleh JAIS bagi tahun 2011 hingga bulan Mac lalu mendapati pengurusan penyelenggaraan baik pulih dalam kedudukan baik iaitu pada kadar 82.4 peratus untuk tahun 2011 hingga 2013.

Sehingga Mac lalu, JAIS mempunyai 418 masjid sementara kerja baik pulih yang sudah diluluskan untuk dilaksanakan JKR berjumlah RM4.52 juta.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Nurul Izzah: Lembaga Pengarah MAS wajib diaudit

Seperti yang telah dilaporkan oleh akhbar The Star 6,000 kakitangan bakal kehilangan mata pencarian melalui skim VSS1, pada masa yang sama tidak ada sebarang kenyataan berkenaan status pengurusan teratas.

Perancangan untuk cuba menghidupkan kembali MAS melalui penyuntikan RM6 bilion sementara memberhentikan para pekerja syarikat penerbangan kebangsaan itu membawa persepsi bahawa kepentingan para pekerja tidak dibela.

masMalahan, soalan yang belum dijawab adalah samada pihak pengurusan teratas telah gagal untuk mengurus MAS dengan baik.

Kerajaan mengumumkan suntikan oleh Khazanah Nasional sebanyak RM6 bilion yang digelar sebagai “pelaburan” bagi menyelamatkan MAS.

Tan Sri Azman Mokhtar dilaporkan berkata suntikan ini akan dapat diperolehi semula; walaupun dalam laporan yang sama beliau dilaporkan menganggap suntikan sebanyak RM7 billion yang telah diberi semenjak tahun 2001 mungkin tidak akan dapat diperolehi semula.

The Edge pada Jun tahun ini telah melaporkan bahawa bagi tahun 2013, kerugian MAS sebanyak RM1.17 bilion.

Menurut Jabarullah Abdul Kadir, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Sekerja MAS, pemberhentian pekerja seperti yang sedang dirancang ini tidak akan membaiki prestasi MAS. Menurut beliau, MAS sedang menghadapi masalah kekurangan juruterbang, krew kabin, staf kejuruteraan dan operasi lapangan terbang.

Nurul-IzzahBeliau menambah, “Sekiranya MAS kerugian RM4 juta setiap hari walaupun kapasiti menghampiri 80 peratus setiap penerbangan, ini bermakna ada sesuatu yang tidak betul dalam cara syarikat ini dijalankan. Pelan perniagaan ini perlu disemak semula.”

Justeru, saya ingin menuntut agar Kerajaan membuat penjelasan secara terperinci dan membentangkan laporan kewangan MAS termasuk keuntungan atau kerugian operasi daripada tahun 2008 sehingga ke hari ini kepada Parlimen bagi memastikan tiadanya tanda tanya dalam perakaunan MAS.

Tambahan lagi, satu firma audit forensik antarabangsa yang bebas perlu dilantik untuk menyediakan laporan audit forensik bagi menjawab soalan-soalan rakyat mengapa MAS masih gagal mencatat keuntungan selepas beberapa percubaan penyuntikan dana.

Sehubungan ini, kerajaan juga bertanggungjawab mendedahkan kandungan perjanjian dengan syarikat-syarikat pembekal termasuk Brahim’s Holdings Bhd untuk diaudit – dalam menentukan samada perjanjian tersebut adalah adil bagi semua pihak yang terlibat.

Menurut laporan, MAS boleh menjimatkan sehingga RM300 juta setahun sekiranya perjanjian-perjanjian ini ditamatkan.

Yang nyata, penstrukturan semula buat kali ketiga ini berhak memberi justifikasi kepada tuntutan selanjutnya supaya prestasi dan kerja setiap ahli lembaga pengarah MAS diaudit kerana nampaknya mereka telah gagal untuk memastikan kejayaan syarikat penerbangan nasional ini.

Pihak pengurusan MAS yang juga harus dipertanggungjawabkan ke atas nasib para pekerja yang bakal terkesan akibat kegagalan ini. Nasib mereka tidak dibela dengan adil dan telus.

* Nurul Izzah Anwar adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden KEADILAN