Categories
AGENDA NASIONAL

AUKU bakal diganti dengan undang-undang lebih baik

PUTRAJAYA, 6 FEB: Kementerian Pendidikan giat melaksanakan usaha untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan menggantikannya dengan undang-undang lebih baik dan komprehensif, kata Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata usaha itu selaras Janji 50 Kerajaan dalam manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk mengembalikan kewibawaan universiti awam dan pendidikan tinggi.

“Saya berharap akta baharu menggantikan AUKU akan menjurus kepada kualiti dan kecemerlangan universiti bagi mewujudkan institut pengajian tinggi yang peka dan berupaya untuk bertindak balas dengan keperluan perubahan persekitaran,” katanya yang juga pemangku menteri pendidikan.

Pada majlis amanat dan aspirasi bersama warga Kementerian Pendidikan di sini hari ini, Dr Mahathir melahirkan harapan Majlis Pendidikan Tinggi Negara dapat diaktifkan semula untuk memantapkan sistem tadbir urus dan pengharmonian Akta Pendidikan Tinggi baharu yang sedang digubal.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata sinergi ekosistem penyelidikan dan inovasi akan ditambah baik pada tahun ini selaras peruntukan RM400 juta yang disediakan untuk penyelidikan, bagi membolehkan universiti menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi.

Beliau berkata tumpuan seharusnya diberikan terhadap pengukuhan kolaborasi dengan institusi yang disenaraikan sebagai Top 100 di dunia oleh QS World University Rankings.

Dalam menggalakkan penyelidikan yang dipacu permintaan atau ‘demand driven’, katanya pelaksanaan Public Private Research Network 2.0 dan Prototype Research Grant Scheme pada tahun ini akan memberi tumpuan terhadap penyelesaian masalah yang dihadapi industri kecil sederhana melalui bidang berasaskan teknologi.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kementerian membangunkan dokumen ‘Way Forward for Private Higher Education Institutions (PHEIs): Education as An Industry (2020-2025)’ yang akan dilancarkan dalam masa terdekat bagi menjadi sumber rujukan institusi pendidikan tinggi swasta dalam menentukan hala tuju menjelang 2025.

-BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

PKPIM sambut baik cadangan pinda AUKU

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik keputusan Kabinet yang bersetuju untuk meminda Seksyen 15 & 16 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Merujuk kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik, peruntukan yang terlibat ialah Seksyen 15(2)(c) Akta ini yang melarang mana-mana mahasiswa daripada melibatkan diri dalam sebarang kegiatan parti politik di dalam kampus-kampus universiti awam.

Menurut beliau, tindakan ini akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum undang-undang baharu mengenai pendidikan tinggi negara digubal bagi menggantikan AUKU 1971 menjelang tahun 2020.

PKPIM juga berpandangan akta-akta lain seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Terpakai terhadap IPTS) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Terpakai terhadap UiTM, Kolej-kolej Matrikulasi, Politeknik-politeknik, Institut-institut Pendidikan Guru dan Kolej-kolej Komuniti) yang turut mempunyai peruntukan yang sama juga harus dipinda bagi memberikan ruang kepada mahasiswa untuk memanfaatkan kebebasan bersuara dan berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(1)(a) & (b) Perlembagaan Persekutuan di samping menyuburkan semangat demokrasi dalam kalangan mahasiswa.

PKPIM juga menyarankan agar kerajaan mengkaji semula cadangan penubuhan cawangan-cawangan parti politik di setiap IPT tempatan. Hal ini adalah penting bagi memastikan agenda pemerkasaan golongan mahasiswa dalam arena politik nasional tidak disalahgunakan oleh mana-mana ahli politik untuk mencapai cita-cita peribadi mereka yang tidak membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

PKPIM meletakkan setinggi-tinggi harapan dan keyakinan kepada kerajaan dan KPM khususnya supaya Iltizam 4(3) dalam Buku Harapan yakni manifesto mengenai pemansuhan AUKU seperti yang dijanjikan semasa PRU14 dapat ditunaikan menerusi keputusan yang diambil oleh Kabinet ini dalam usaha memperkasakan golongan anak muda dalam era Malaysia Baharu kini.

Akhir kata, PKPIM akan terus menyokong dan bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi memastikan agenda reformasi universiti dapat direalisasikan.

Hidup Biar Berjasa

MUHAMAD NUR IMAN ABDUL KHUDUS
Presiden,Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, (PKPIM) Sesi 2018/2019.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Pindaan AUKU akan dibentang di Parlimen

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) berhubung cadangan pindaan beberapa peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dijangka berlangsung, pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pindaan itu turut membabitkan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174).

Katanya, pindaan membabitkan pemansuhan peruntukan yang menghalang mahasiswa universiti terbabit dalam aktiviti parti politik di kampus seperti disebut dalam Seksyen 15(2) (C) AUKU, Seksyen 47(2)(C) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Seksyen 10(2)(C) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 yang terpakai kepada semua universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta dan politeknik, kolej komuniti dan institut perguruan.

“Langkah ini selari dengan transformasi politik dalam mengukuhkan institusi demokrasi terutamanya bagi memberi lebih ruang kepada mahasiswa untuk bersuara dan terbabit dengan aktiviti politik di kampus

“Selain itu, ia bertujuan untuk menghasilkan graduan yang seimbang dan berupaya dalam menyuarakan pendapat mengenai isu semasa,” katanya lapor BHOnline.

Mengulas lanjut, beliau berkata, beberapa peruntukan dalam AUKU yang digunakan pada masa kini perlu disesuaikan dengan pelan transformasi yang diusahakan kerajaan baharu.

“AUKU Perlu dilihat semula bagi memastikan bahawa semangat dan kehendak transformasi berkenaan diterjemah berdasarkan keluhuran undang-undang.

“Ïni adalah langkah awal transformasi supaya seiring dengan kemajuan teknologi dan maklumat dan kementerian turut menyasarkan satu akta baharu pendidikan tinggi digubal bagi menggantikan AUKU menjelang tahun 2020,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

AUKU: Kedangkalan Idris Jusoh malukan IPTA

Baru-baru ini Dato’ Seri Idris Jusoh telah sekali lagi berjaya menangkap imaginasi rakyat Malaysia dengan kenyataan beliau bahawa penuntut Institusi Pendidikan Tinggi bebas untuk sertai kempen politik PRU-14. Malangnya, sama seperti kenyataan-kenyataan yang lampau, ianya umpama menanam tebu di bibir mulut. Tidak lebih daripada perbicaraan yang manis tetapi hakikatnya amat lain sama sekali.

Mahasiswa Pakatan Harapan mengambil serius berkenaan kebolehan mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam politik tanahair, kerana ianya suatu keperluan untuk menjamin hak mahasiswa sebagai seorang warganegara Malaysia. Perkara ini telah dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. (kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan).

Atas dasar itu, kami amat kesal sekali akan nasib 15 mahasiswa yang telah dikenakan tindakan akibat menghadiri himpunan Tangkap MO1 yang diadakan di Dataran Merdeka dan bukan di dalam mana-mana kampus universiti pada tahun 2016 yang lalu. Tindakan yang telah diambil terhadap 15 mahasiswa ini menunjukkan dengan jelas bahawa mahasiswa masih belum bebas untuk terlibat secara aktif dalam politik walaupun aktiviti-aktiviti tersebut bertempat di luar kampus institusi pendidikan tinggi.

Pihak kami berpendapat, jika Dato’ Seri Idris Jusoh serius dalam memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik, beliau seharusnya memastikan Institusi Pendidikan Tinggi di bawah bidang kuasanya tidak mengambil tindakan disiplin dengan sewenang-wenangnya terhadap mahasiswa-mahasiswa yang telah menggunakan hak mereka untuk bercakap, berhimpun, dan menubuhkan persatuan seperti yang telah dijaminkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dato’ Seri Idris Jusoh juga seharusnya segera pinda kaedah-kaedah tatatertib Institusi Pendidikan Tinggi yang menggunakan peruntukan untuk “menjaga imej universiti” untuk menghukum mahasiswa-mahasiswa yang terlibat secara aktif dalam politik tanahair. Keterlibatan dalam politik tidak seharusnya dilihat sebagai suatu ajen perosak imej universiti. Jika kita lihat kepada universiti-universiti yang terkemuka seperti Universiti Harvard, Stanford, Yale, dan Columbia misalnya, semuanya mempunyai ekosistem politik dan aktivisme mahasiswa yang sungguh mekar sekali. Dato’ Seri Idris Jusoh sebagai alumni kepada beberapa universiti antarabangsa sepatutnya lebih memahami akan kepentingan kebebasan mahasiswa untuk berpolitik, bersuara, dan berhimpun dalam membina modal insan yang berguna untuk negara.

Kami alu-alukan perbincangan secara sihat berkenaan perkara ini di antara pihak menteri dan mahasiswa. Oleh itu, kami ingin mencadangkan pihak menteri pendidikan tinggi untuk berdebat dengan kami berkenaan perihal ini. Rakyat Malaysia semua sudah sedar bahawa Perdana Menteri Najib Razak begitu takut sekali untuk berdepan dan berdebat dengan seseorang individu yang sudah pun berumur 92 tahun. Tidak lama lagi, kita akan ketahui sama ada menteri pendidikan tinggi juga tidak berani untuk berdepan bersama mahasiswa, golongan terpelajar yang tidak mudah untuk di tipu dan di kongkong pihak berkuasa.

Pihak mahasiswa Pakatan Harapan berpendapat masih terdapat segelintir mahasiswa yang kini berada di sebuah persimpangan dilema, samaada kekal atau ubah. Kami percaya mahasiswa yang masih di atas pagar ini pasti akan memihak kepada pihak yang boleh menjanjikan hak mereka sebagai warganegara terpelihara dan kerajaan Barisan Nasional dengan jelas telah gagal dalam melaksanakan tanggung jawab itu.

MAHASISWA PAKATAN HARAPAN

 

Categories
NASIONAL

Keputusan Mahkamah Persekutuan laluan mansuh AUKU

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 FEB: Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Universiti Malaya (UM) dalam kes Fahmi Zainol dan empat pelajar lain, Selasa lalu mestilah membuka laluan terhadap pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012.

Pengerusi ISRA Siswa, Muhammad Nurie Al’ Amin Mohamad Nasseri, berkata keputusan itu seharusnya menjadi batu loncatan untuk mahasiswa bangun menolak penggunaan AUKU atau sebarang undang-undang zalim mencengkam kebebasan bersuara golongan itu.

Katanya, undang-undang sebegitu membina sindrom ketakutan sehingga membuatkan mahasiswa tidak berani untuk berperanan sebagai jurubicara rakyat.

“Dalam kehangatan pilihan raya umum ke-14 (PRU14), tinggi hasrat mahasiswa untuk melihat perubahan Malaysia dalam menuju negara lebih sejahtera.

“Aktivis mahasiswa konsisten mahukan AUKU dimansuhkan dan tidak sekadar dipinda mengikut kepentingan politik.

“Hanya dengan pemansuhan AUKU, universiti akan bebas daripada pengaruh parti politik dan mahasiswa akan memperolehi kuasa autonomi untuk beraktivisme juga para cendekiawan bebas berakademik,” katanya.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menolak rayuan UM dalam kes membabitkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang memutuskan lembaga disiplin UM, jawatankuasa rayuan UM dan UM tidak mematuhi prosedur ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah UM Tatatertib Pelajar-Pelajar 1997 dalam mengenakan hukuman tatatertib ke atas bekas Presiden Persatuan Mahasiswa UM, Fahmi Zainol dan empat pelajar lain.

Fahmi dikenakan hukuman gantung pengajian dua semester berserta denda RM600, Safwan digantung pengajian satu semester manakala Adam Fistivil Wilfrid, Haw Yu Hong dan Khairol Najib Hashim dikenakan denda ekoran dihukum bersalah kerana menganjurkan program pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim di universiti itu, 27 Oktober 2014.

Dengan itu, Muhammad Nurie Al’ Amin berkata, mahasiswa harus berhenti berfikiran tertutup dengan agenda pemansuhan AUKU kerana perjuangan itu untuk menuntut hak mahasiswa dan ahli akademik supaya tidak dicengkam undang-undang zalim.

“Tiada siapa boleh menafikan betapa negara kita hari ini sedang dibelengu masalah urus tadbir meruncing dengan isu rasuah, salah guna kuasa, politik tidak matang dan kotor, penyelewengan dana awam serta pelbagai masalah membimbangkan.

“Mahasiswa perlu yakin bahawa kita adalah kuasa pendesak yang mampu meletakkan negara pada garis urus tadbir dan tata kelola betul dan benar,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Mahasiswa bukan mahu demo setiap hari

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 23 DIS: Penglibatan mahasiswa dalam demonstrasi aman tidak menggangu tumpuan mereka terhadap pelajaran masing-masing, kata jurucakap bagi Gabungan Tangkap Malaysian Official One (MO1), Anis Syafiqah Mohd Yusof.

Anis berkata, hal ini ekoran demonstrasi aman membabitkan mahasiswa tidak kerap diadakan hingga menggangu pembelajaran mahasiswa.

“Kami bukan mahu berdemo setiap hari hingga pelajaran diabaikan. Kami boleh berfikir sendiri untuk kebaikan masa depan dan generasi seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, sekatan dikenakan terhadap kebasan bersuara termasuk penggunaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) adalah bercanggah dengan perlembagaan.

Katanya, selain menumpukan kepada pelajaran, mahasiswa tidak boleh terlalu mementingkan diri dengan mengabaikan isu yang menjadi tekanan kepada masyarakat.

“Sebagai mahasiswa, kami juga ada tanggungjawab kepada masyarakat dengan bersuara bagi pihak mereka dan bukan semata-mata menamatkan pengajian sahaja,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

Sebab Tun M sokong mahasiswa berdemonstrasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 23 DIS: Kerosakan demi kerosakan yang dilakukan Datuk Seri Najib Razak terhadap negara mendorong Tun Dr Mahathir Mohamad mengubah pendiriannya menyokong mahasiswa menyertai demonstrasi secara aman.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, era pemerintahan Najib ketika ini menutup semua saluran undang-undang untuk mana-mana pihak yang berhasrat menyekat perbuatan khianatnya terhadap amanah diberikan rakyat.

“Lapor polis kena tangkap, bawa ke Dewan Rakyat, wakil rakyat pula kena dedak.

“Pergi jumpa Raja-raja juga tidak menjadi, maka apa jalan lain yang kita ada?,” katanya ketika forum berkenaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di pejabat Malaysiakini, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, katanya, wakil rakyat pembangkang tidak mempunyai kebebasan bersuara di Dewan Rakyat kerana bakal berdepan risiko ditangkap dan didakwa di mahkamah seperti dialami Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

img_9831-800x533Katanya, keadaan itu berbeza semasa era pentadbirannya dengan wakil rakyat bebas bersuara tanpa dibimbangi bakal ditangkap dan didakwa di mahkamah.

“Dahulu macam-macam mereka kata saya, maha firaun, maha zalim dan rasuah tetapi saya tidak pernah saman mereka,” katanya.

Menjelaskan mengapa beliau menguatkuasakan AUKU satu ketika dahulu, Tun Mahathir berkata, ia ekoran taraf pendidikan orang Melayu jauh ketinggalan berbanding kaum Cina dan India.

“Dahulu masa saya belajar belum ada universiti tetapi hanya kolej, maka peluang sangat terhad.

“Jadi, kita kena gunakan sepenuhnya peluang itu untuk lulus dalam pelajaran lebih-lebih lagi pengajian kita dibiayai dengan dana rakyat,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL

Pakatan Rakyat Mansuh AUKU Dalam Tempoh 100 Hari Perintah Putrajaya

 

mansuh AUKU

 

SHAH ALAM 26 FEB : Pakatan Rakyat(PR) menegaskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dimansuhkan dalam tempoh 100 hari pertama apabila gagasan itu berjaya ke Putrajaya.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia akan digantikan dengan akta lain yang memberikan kebebasan kepada mahasiswa dan akademik.

Katanya, banyak aspek AUKU masih berada di dalam kongkongan Kementerian Pengajian Tinggi yang menghalang perkara pokok dalam kebebasan akademik.

“Kita kena faham banyak aspek AUKU contohnya perlantikan Naib Canselor masih berada di bawah kuasa Menteri Pengajian Tinggi.

“Saya juga pernah hadir sidang meja bulat dengan beberapa peserta Muafakat, AUKU bukan perlu dipinda tetapi dimansuhkan terus.

“Dan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk membawa syor itu. Bagaimanapun, lebih satu tahun ia belum menjadi realiti,” katanya dalam Wacana Sinar siri ke 17 yang bertajuk Kuasa Politik Mahasiswa di Auditorium Kumpulan Karangkraf, di sini.

Wacana itu turut membariskan panel yang terdiri daripada bekas aktivis pergerakan mahasiswa, Tun Faizal Ismail Aziz ; Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan ; Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia, Muammar Ghadafi Datuk Jamal dan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam (Gamis), Azan Safar serta moderator Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Beliau menambah sebagai bekas seorang mahasiswa, mahasiswa tidak wajar menyertai kursus Biro Tata Negara (BTN) yang mana hanya dilihat lebih memberikan maklumat tentang dasar kerajaan selain menyerang pihak pembangkang.

“Ia berbeza dengan institut kerajaan lain, dalam BTN ia juga ada elemen perkauman, mereka serang pembangkang. Mahasiswa mahupun penjawat awam mereka tidak boleh dipaksa. Lagipun BTN menggunakan duit rakyat,” katanya.

Nik turut memberikan contoh beberapa mahasiswa digantung ekoran mengadakan debat dengan menjemput pemimpin DAP dan MCA.

“Kuasa politik dalam universiti masih menyekat mahasiswa menyebabkan banyak kekangan berlaku. Mahasiswa seolah diugut, bila jadi macam itu mereka takut,” katanya.

Sementara itu, Azan berkata walaupun AUKU dipinda tetapi ia perlu diberi perhatian dan disemak semula.

“Kuasa politik yang menyekat menyebabkan mahasiswa ‘lesu’. Kekangan dominasi dalam Universiti menjadikan lesu. Jika dibebas akan hilang lesu itu. Kita kena ingat tidak semua aktivis pelajar tidak bijak. Mereka terdiri dari pelajar cemerlang,” katanya.

Tambahnya, politik juga merupakan sebahagian dari akademik.

“Bila mereka dilarang bercakap, sistem pendidikan dan demokrasi perlu diperlihatkan. Kita bukan mahu wujudkan ‘politik konflik’ tetapi mahu politik tumpuan dan hujah, ” katanya.

Pada 2011, Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 15 (5) AUKU sebagai tidak sah seterusnya dipinda.

Mengulas lanjut, Nik berkata apabila kes itu dibawa ke mahkamah, baru timbul kesedaran Kerajaan Persekutuan untuk meminda akta terbabit.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah : Kerajaan Dwi Standard Dalam Perlaksanaan AUKU

KUALA LUMPUR 30 OGOS : Sikap dwi standard Kerajaan Umno-BN berkenaan perlaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) amat mengecewakan, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Kekecewaan ini timbul apabila tindakan Pemuda Umno yang mahu mendekati golongan mahasiswa seolah-olah tidak mendapat restu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Sikap ini amat mengecewakan ketika Universiti Malaya telah mengemaskini peraturan tatalaku para mahasiswa berkenaan penglibatan dalam arena politik.

“Saya memuji langkah pihak Universiti yang maju ke hadapan dalam melaksanakan perubahan berdasarkan undang-undang walaupun ia lapuk dan mencacatkan proses transformasi yang diuar-uarkan selama ini. Sekurang-kurangnya Universiti Malaya tidak bermuka-muka dalam menegaskan pendirian anti-demokratiknya dalam penguatkuasaan AUKU,” tegas Izzah.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) mengandungi sekatan yang merugikan dan menafikan para Mahasiswa sebuah pendidikan yang lebih holistik.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR menegur pengamalan dwistandard dalam perlaksanaan undang-undang yang lapuk ini kerana ternyata sayap Pemuda Umno menyetujui langkah proaktif PKR yang menubuhkan Mahasiswa Keadilan dengan lebih awal.

Initiatif sayap Pemuda Umno untuk mendekati mahasiswa bagi mendapatkan sokongan politik adalah bukti sokongan mereka terhadap memperkasakan para mahasiswa dari cengkaman AUKU.

Justeru, saya menjemput Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah untuk bersama-sama mengambil langkah proaktif dalam kewujudan kaukus penggantian AUKU dalam sidang Parlimen seterusnya untuk menangani isu ini.

Jelas terdapat persefahaman bahawa para mahasiswa harus bebas dalam perjuangan mereka dalam meningkatkan kesedaran sosial dan perlunya mereka mengambil bahagian dalam pembangunan negara dengan lebih aktif berbanding dengan peranan pasif yang dikelolakan oleh Umno-BN melalui cengkaman AUKU.

Kata Izzah, PKR tetap dengan pendiriannya bahawa tatakelakuan yang baru dikemaskini berdasarkan AUKU adalah tidak relevan dan menyekat semangat kebebasan akademik.

Oleh itu, PKR akan meneruskan perjuangan dengan memasuki kampus kerana tanggungjawab pemupukan minda yang terbuka, berdikari, dan mempunyai kesedaran sosial adalah penting dalam melahirkan mahasiswa yang akan menyelamatkan negara kita dari apa kemelut sekalipun.

“AUKU mematikan nadi yang memperkasakan para mahasiswa sebagai sebuah entiti berintelek tinggi yang mempunyai hak demokrasi dan budaya pembelajaran yang perlu dihormati oleh setiap individu, selaras dengan hak-hak yang digariskan di dalam Perlembagaan Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

Categories
NASIONAL

SAMM Kecam MB Kedah Guna AUKU

SHAH ALAM, 23 JAN: Solidariti Anak Muda Malaysia(SAMM) segmentasi mahasiswa mengecam tindakan pimpinan PAS Kedah pimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak yang menggunakan akta zalim, AUKU ke atas lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

Penyelaras SAMM Segmentasi Mahasiswa, Wan Farel dalam kenyataan medianya berkata tindakan Azizan tersebut bercanggah dengan janji Pakatan Rakyat yang termaktub dalam Buku Jingga.

“Selaku MB Kedah beliau harus sedar bahawa tindakkanya menggunakan AUKU ini telah menyebabkan janji Pakatan Rakyat untuk menghapuskan AUKU di dalam Buku Jingga dianggap retorik dikalangan mahasiswa.

“Pakatan Rakyat secara jelas dalam Buku Jingga ingin memansuhkan terus AUKU tetapi tindakan MB Kedah Azizan Razak secara jelas telah bertindak menggunakan AUKU terhadap mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) ternyata membelakangkan akur janji pakatan Rakyat tersebut.

“Walaupun memerima banyak kecaman dari pelbagai pihak termasuk dari pimpinan PR sendiri dan gerakan-gerakan mahasiswa Azizan masih bersikap ofensif dalam menghadapi serangan-serangan tersebut Azizan telah menunjukkan sikap bebal dan sombong apabila berhadapan dengan mahasiswa.” jelas beliau.

Menurutnya, golongan mahasiswa adalah kumpulan yang amat sensitif dengan isu-isu semasa yang melibatkan perjuangan golongan muda di masa depan.

“Suara mahasiswa jangan dipandang sebelah mata, peranan mereka harus diiktiraf suara mereka hendaklah di dengar oleh pihak pemerintah.

“SAMM berangapan mahasiswa adalah golongan yang tiada kepentingan politik mereka berjuang atas kebenaran dan kebebasan.” tegas beliau.

Katanya, jika Azizan terus dengan sikap egonya untuk tidak menyelesaikan masalah KUIN ini secara berhemah jangan terkejut sekiranya kuasa mahasiswa akan digunakan untuk menyingkirkan beliau nanti.

Sebelum ini Ketua, Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasaruddin Hassan Tantawi dalam kenyataan medianya mempersoalkan tindakan Azizan tersebut.

Kenyataan Nasaruddin tersebut ekoran kenyataan Azizan pada 19 Januari lalu dilapor berkata AUKU tetap dikenakan terhadap mahasiswa KUIN yang melakukan kesalahan.

Kata Azizan, penggantungan lima mahasiswa KUIN tahun lalu adalah mengikut peruntukan bawah kesalahan AUKU serta pentadbiran berbuat keputusan berdasarkan undang-undang sedia ada.