Categories
AGENDA SUKANKINI

Azizulhasni, Muhammad Shah raih penamat podium di Australia

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Pelumba berbasikal trek elit negara Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom terus membuktikan kehebatan apabila meraih penamat podium di Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia semalam.

Mohd Azizulhasni atau dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman meraih pingat perak manakala rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus menang gangsa dalam acara pecut lelaki di Velodrom Anna Meares, Brisbane.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 33 tahun itu tewas kepada pelumba Australia Matthew Richardson 2-0 di pentas final, menurut https://results.auscycling.org.au.

“Saya memberikan saingan hebat di final untuk meraih pingat emas, namun Richardson lebih baik. Ia adalah pencapaian yang baik dalam persediaan saya ke Olimpik Tokyo. Saya akan berlumba dalam acara keirin esok,” kata Mohd Azizulhasni di laman Facebooknya.

Terdahulu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 dalam acara keirin mengenepikan seorang lagi pelumba Australia Leigh Hoffman dan Thomas Cornish masing-masing di peringkat suku dan separuh akhir.

Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus mengenepikan seorang lagi pelumba tempatan Nathan Hart di suku akhir sebelum tewas kepada Richardson dalam aksi separuh akhir.

Dalam edisi terdahulu yang berlangsung pada Disember, Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan kelima dalam acara pecut namun mengungguli acara keirin selepas Mohd Azizulhasni muncul juara manakala rakannya itu meraih gangsa.

Kedua-dua pelumba negara itu meneruskan momentum apabila meraih penamat satu-dua dalam acara pecut Kejohanan Trek Elit Victoria manakala di Kejohanan Victorian State Keirin 2021, Muhammad Shah Firdaus pula menjuarai satu lagi penamat podium bulan lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Australia catat kematian pertama

MELBOURNE, 1 MAC: Australia mengesahkan negara itu mencatat kes kematian pertama akibat COVID-19, kata ketua pegawai kesihatan Andrew Robertson lapor agensi berita Anadolu.

Lelaki berusia 78 tahun itu dijangkiti virus tersebut ketika berada dalam kapal persiaran Diamond Princess di Jepun dan disahkan meninggal dunia di Hospital Sir Charles Gairdner, Perth. Isterinya juga disahkan dijangkiti penyakit itu tetapi keadaannya dilaporkan stabil.

Australia membawa pulang 164 rakyatnya yang merupakan penumpang kapal persiaran itu, sembilan didapati positif dan telah dikuarantin.

Sehingga kini terdapat 26 kes disahkan di Australia.

Angka korban di seluruh dunia mencecah 2,837 orang dengan kadar kematian tertinggi dicatatkan di China dan sebanyak 79,250 kes disahkan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Kebakaran hutan Australia kembali marak, amaran baharu dikeluarkan

MELBOURNE 9 JAN: Pihak berkuasa mengeluarkan amaran baharu dan notis pemindahan di seluruh tenggara Australia susulan cuaca panas mencetuskan kembali kebakaran hutan yang mengancam beberapa bandar serta masyarakat setempat.

Agensi Berita REUTERS melaporkan notis peringkat bencana di sebahagian besar Victoria yang dikeluarkan sejak beberapa minggu lalu, dilanjutkan selama 48 jam dan penduduk di zon bahaya dinasihatkan berpindah jika dilihat selamat untuk berbuat demikian.

Menteri Perkhidmatan Bencana Victoria, Lisa Neville, berkata cuaca sejuk beberapa hari lalu membolehkan pihak bomba mengukuhkan kawalan di kawasan kebakaran yang berlaku sejak beberapa bulan.

“Namun, jangan ambil mudah hanya kerana kita menerima hujan baru-baru ini.

“Kebakaran ini masih berlaku dan bertambah di kawasan kita selain mencetuskan risiko besar kepada masyarakat,” katanya.

Seramai 26 individu meninggal dunia, ribuan hilang tempat tinggal serta ribuan lagi terpaksa berpindah beberapa kali susulan kebakaran besar berlaku di kawasan seluas lebih 10.3 juta hektar – kawasan seluas Korea Selatan.

Pihak berkuasa memaklumkan kebakaran akan berterusan, mencetuskan bahaya ketika suhu tinggi dan berangin, sehinggalah negara itu menerima jumlah hujan yang tinggi.

Agensi cuaca rasmi mengesahkan bahawa jumlah hujan yang tinggi tidak akan berlaku untuk beberapa bulan akan datang dalam laporan tahunannya, yang turut menunjukkan 2019 sebagai tahun paling panas dan kering bagi Australia.

Krisis ketika ini tercetus susulan kemarau selama tiga tahun yang menyebabkan sebahagian besar kawasan hutan belukar di negara itu terdedah dengan kebakaran.

Kebanyakan bandar terputus bekalan elektrik dan telekomunikasi, manakala sebahagian kawasan hampir kehabisan bekalan minuman. Asap tebal pula menyelubungi Sydney, Melbourne dan Canberra, serta berterbangan sehingga ke Amerika Selatan.

Sebahagian besar Pulau Kangaroo, kawasan pelancongan yang kaya dengan hidupan liar di pantai tenggara negara itu di mana Perdana Menteri, Scott Morrison merayu kepada pelancong asing supaya tidak terhalang dengan kebakaran, juga terpaksa dipindahkan sekali lagi.

Satu pertiga daripada kawasan pulau itu musnah akibat kebakaran.

SUMBER: REUTERS

Categories
AGENDA NASIONAL

Wisma Putra bantu bawa pulang remaja maut di Australia

KUANTAN, 29 DIS: Wisma Putra akan membantu membawa pulang remaja dari daerah ini, yang maut semasa bermain papan luncur di Townsville, Queensland, Australia, semalam.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata perkara itu bergantung kepada keluarga mangsa terlibat, sama ada mahu membawa pulang atau mengebumikan jenazah di negara berkenaan.

“Urusan membawa balik sudah pasti melibatkan kos dan kementerian akan cuba membantu memudahkan urusan. Jika waris memilih dikebumikan di sana, pegawai kita di sana akan cuba bantu ia dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya.

“Kita berharap keluarga dan waris mangsa terlibat dapat berhubung dengan pegawai Wisma Putra secepat mungkin supaya bantuan sewajarnya dapat disalurkan dengan segera,” katanya.

Datuk Saifuddin Abdullah – Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas laporan media Australia mengenai kematian remaja itu yang dikatakan terlanggar tiang semasa bermain papan luncur ketika sedang bercuti dengan keluarganya di sana.

Pada perkembangan berasingan, Saifuddin juga berkata pihaknya akan membantu dalam urusan lima warga Malaysia yang cedera akibat kemalangan jalan raya di Kaherah, Mesir yang juga dilaporkan berlaku semalam.

Beliau juga mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengambil insurans sebelum ke luar negara sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku kejadian tidak diingini supaya tidak timbul masalah seperti kos rawatan dan sebagainya.

“Dalam kes yang melibatkan kecederaan, lazimnya wakil kita akan membantu untuk mendapatkan rawatan di hospital yang percuma jika ada, atau di tempat yang bayarannya tidak terlalu mahal.

“Kita juga boleh membantu untuk mendapatkan tiket kapal terbang untuk pulang dengan segera, namun kita tidak akan membiayai tiket tersebut,” katanya.

Selain itu, Saifuddin juga memaklumkan kerajaan melantik Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) bagi mengkaji dan mengesahkan laporan berita berhubung masyarakat Uyghur di Xinjiang, China.

“Kita mengambil pendirian berhati-hati dalam menilai semua laporan yang diterima daripada pelbagai pihak. Pada pertemuan saya dengan Menteri Luar China Wang Yi, saya memaklumkan kita ambil pendekatan peradaban dalam hal ini.

“Malaysia bukan dalam senarai negara yang menyokong saja laporan disediakan kerajaan China dan dalam masa sama, kita juga tidak dalam kumpulan negara yang mengkritik China secara terbuka. Ini kerana kita mahu pastikan kebenaran laporan yang kita baca dan terima,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar Australia boleh bantu tingkat rantaian nilai Malaysia

MELBOURNE, 25 OGOS: Kepakaran Australia dalam sektor yang berintensifkan pengetahuan, boleh membantu meningkatkan rantaian nilai Malaysia dalam segmen industri kritikal, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Beliau berkata, Malaysia mengalu-alukan kerjasama strategik antara syarikat Australia dan Malaysia, yang bukan sahaja meningkatkan rantaian nilai syarikat-syarikat Malaysia dalam segmen kritikal, bahkan untuk terus menjadikan Malaysia pusat keuntungan serantau dalam pelaburan berkualiti.

“Kami menyambut baik kemasukan pelaburan berkualiti ke negara ini yang akan menyumbang kepada peningkatan keupayaan teknologi Malaysia, membangunkan rantaian bekalan tempatan dan meningkatkan hasil eksport kami,” katanya kepada Bernama dalam temu bual pada Seminar Peluang Perniagaan dan Pelaburan di Malaysia sebagai Gerbang ke ASEAN, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedudukan Malaysia sebagai pusat keuntungan serantau dalam pelaburan berkualiti, sedang dipertingkat menerusi pelancaran Dasar Kebangsaan Industri 4.0 oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tahun lepas.

“Malaysia komited mengubah sektor pembuatan dan perkhidmatan negara menjadi lebih pintar dan kukuh, didorong oleh proses, teknologi dan pekerja bagi mengekalkan daya saingnya Malaysia sebagai pintu masuk ASEAN dan pasaran global,” katanya.

Beliau berkata, pelan jangka panjang Malaysia bukan sahaja untuk memberi manfaat kepada rakyat tempatan, malah untuk meningkatkan kemudahan kepada pelabur untuk menjalankan perniagaan.

“Kita sedar bahawa perniagaan berkembang pesat dalam persekitaran yang stabil, selamat dan telus yang menawarkan perlindungan modal dan aset intelektualnya, selain kemampuan untuk mengehadkan kedudukan yang tidak menentu,” katanya.

Beliau berkata, usaha berterusan negara dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk memudahkan aktiviti perniagaan, diperakui oleh banyak organisasi antarabangsa.

Menteri itu berkata, Malaysia diisytihar sebagai negara terbaik di dunia untuk melabur atau menjalankan perniagaan pada 2019 oleh majalah CEOWORLD, dan pasaran pesat membangun paling menarik pada Asia Bloomberg Scorecard Market Emerging pada 2018.

Beliau berkata, negara itu juga telah melonjak sembilan anak tangga ke tempat 15 antara 190 ekonomi di seluruh dunia dalam laporan Mudah Menjalankan Perniagaan 2019 yang diterbitkan oleh Bank Dunia dan mengekalkan kedudukan kukuh dalam Indeks Perhubungan Global DHL (GCI), ranking kedua tertinggi di Asia Tenggara dan di temppat ke-12 dari 169 negara dalam kesalinghubungan perdagangan.

Dari segi hubungan ekonomi Malaysia-Australia, beliau berkata syarikat-syarikat Australia telah menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia.

Katanya, sehingga Mac tahun ini, sejumlah 346 projek perkilangan dengan penyertaan dari Australia dilaksanakan di Malaysia dengan pelaburan bernilai kira-kira RM2.72 bilion.

“Penglibatan pelabur Australia sangat kukuh dalam produk kimia dan kimia, peralatan pengangkutan, produk petroleum, produk getah, jentera dan peralatan, serta produk mineral bukan logam,” katanya.

Beliau berkata syarikat-syarikat Australia juga aktif dalam sektor perkhidmatan Malaysia, dan dari 2006 hingga Mac tahun ini, sejumlah 83 syarikat Australia memperoleh kelulusan untuk mewujudkan pusat serantau atau global di Malaysia seperti wakil atau pejabat serantau, ibu pejabat operasi, dan Hab Prinsipal.

“Selain penubuhan pusat global atau serantau, syarikat Australia juga terlibat dalam segmen atau sektor perkhidmatan lain seperti hotel dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata sehingga Disember tahun lepas, sejumlah 68 syarikat Australia dianugerah status Koridor Raya Multimedia (MSC), dengan 42 daripadanya sudah pun beroperasi.

Dari segi perdagangan, beliau berkata Malaysia adalah antara rakan dagang utama Australia, iaitu rakan dagang ketiga terbesar di ASEAN selepas Thailand dan Singapura.

“Bagi enam bulan pertama tahun ini, perdagangan Malaysia dengan Australia bernilai US$ 6.10 bilion (RM25.16 bilion),” katanya.

Seminar sehari bertemakan ‘Malaysia-Australia: Memanfaatkan Kerjasama, Merapatkan Peluang’, dianjurkan bersama oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sempena misi perdagangan dan pelaburan Australia dari 19 hingga 23 Ogos, yang diketuai oleh Darell.

Misi lima hari itu yang berakhir hari ini, memberikan pendedahan kepada perwakilan mengenai keupayaan pengilangan canggih Australia serta kepakaran negara itu dalam inovasi yang merupakan antara tonggak ekonominya.

Berdasarkan matamat Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh terdekat, negara ini boleh belajar daripada pengalaman Australia dan membentuk kerjasama yang dapat meningkatkan kemampuan pengeluaran negara.

— BERNAMA

Categories
GLOBAL

Kerajaan Australia digesa tangani masalah ‘generasi tergemuk’

CANBERRA, 13 JUN: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison digesa mengambil langkah lebih berkesan bagi menangani masalah obesiti yang kini menjadi epidemik, lapor agensi berita Xinhua, memetik Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

Berdasarkan data terbaru Institut Kesihatan dan Kebajikan Australia (AIHW), 63 peratus golongan dewasa di Australia mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti.

Sementara itu, data berasingan dari Persatuan Perubatan Australia (AMA), mendedahkan masalah obesiti menyebabkan Australia membelanjakan kira-kira 60 bilion dolar Australia (US$41.5 bilion) setiap tahun.

Bagaimanapun, hanya dua peratus belanjawan diperuntukkan untuk penjagaan kesihatan bagi tahun kewangan 2019/20.

Sekumpulan pakar pada Khamis mendesak kerajaan mengambil langkah lebih berkesan dalam isu kesihatan awam yang disifatkan paling serius di Australia.

Ketua Eksekutif Persatuan Kesihatan Awam Australia (PHHA), Terry Slevin berkata, Australia telah melahirkan generasi tergemuk, jika tidak diatasi masalah itu akan menjadi lebih serius.

Slevin berkata sekurang-kurangnya lima peratus daripada belanjawan negara perlu diperuntukkan penjagaan kesihatan.

Di samping itu katanya, AMA menyokong langkah mengenakan cukai ke atas minuman manis.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia mahu sisa buangan Lynas kembali ke Australia

KUALA LUMPUR, 1 APR: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mahu bekerjasama dengan kerajaan Australia bagi memastikan sisa buangan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) dikembalikan ke negara itu.

Timbalan Menterinya, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, kerjasama itu bagi mencari jalan dalam usaha memudahkan proses pengeluaran residu ‘Water Leached Purification’ (WLP) yang dihasilkan kilang Lynas dihantar ke Australia yang sepatutnya dilakukan sebelum September ini.

“Menteri (Yeo Bee Yin) telah menulis surat kepada rakan sejawatannya di Australia pada 26 Februari lalu untuk memaklumkan mengenai kerjasama ini bagi memudah cara pengeluaran sisa berkenaan dari Malaysia ke negara tersebut,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) berkenaan langkah diambil kerajaan dalam memastikan sisa buangan Lynas dikembalikan ke Australia.

Isnaraissah Munirah berkata pada masa sama, pasukan petugas ditubuhkan kerajaan juga sedang mengenal pasti prosedur dan instrumen antarabangsa berkaitan, untuk proses penghantaran keluar residu WLP itu.

Katanya ia akan mengambil kira semua aspek perundangan, keselamatan orang awam dan pekerja serta alam sekitar.

– BERNAMA

-Foto Kredit: lynascorp.com

Categories
GLOBAL

Palestin selar Australia iktiraf Baitulmaqdis ibu negara Israel

RAMALLAH 16 DIS: Kepimpinan Palestin, semalam, menyifatkan tindakan Australia mengiktiraf barat Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sebagai ‘tidak bertanggungjawab’ sambil menyatakan bahawa ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Negara itu menjadi salah satu daripada sebilangan kecil negara yang mengikut jejak langkah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Australia berkat, ia akan membuka sebuah pejabat pertahanan dan perdagangan di barat bandar itu dan Perdana Menteri, Scott Morrison juga komited mengiktiraf negara Palestin pada masa depan dengan timur Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.

Kedua-dua warga Israel dan penduduk Palestin mendakwa Baitulmaqdis sebagai ibu negara masing-masing.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Australia beri amaran serangan sengkenit

MELBOURNE 20 NOV: Rakyat Australia diberi amaran agar bersiap sedia untuk berdepan musim serangan sengkenit atau kutu yang dipercayai didorong oleh faktor perubahan cuaca semasa di negara itu.

Gigitan sengkenit boleh menyebabkan penyakit Lyme iaitu penyakit kontroversi berikutan kerajaan dan pihak berkuasa perubatan mendakwa bahawa tiada bukti kewujudannya di Australia.

Sengkenit turut menyebabkan penyakit berbahaya lain termasuk tifus kutu Australia atau ‘demam bertompok-tompok’, kelumpuhan dan alahan teruk yang boleh membawa maut jika tidak segera dirawat.

Dr. Mualla McManus daripada Fakulti Sains Perubatan Universiti Sydney menyatakan, masa awal musim panas yang mengakibatkan keadaan cuaca panas lembap adalah waktu sengkenit paling kerap menghisap darah mangsanya.

“Ini juga musim telur sengkenit menetas iaitu ketika cuaca hujan dan lembap. Serangga itu sukakan kelembapan,” kata McManus yang mengakui orang ramai tidak sedar digigit kutu kerana saiz serangga itu.

Menurutnya, sengkenit boleh mengesan kehadiran manusia menerusi karbon monoksida yang terkandung dalam nafas seseorang individu.

SUMBER: AGENSI

Categories
GLOBAL

Habuan hampir RM300,000 untuk maklumat pensabotaj strawberi

SYDNEY 17 SEPT: Sebuah negeri di Australia menawarkan ganjaran lumayan untuk maklumat selepas sejumlah jarum peniti ditemui di dalam buah strawberi yang dijual di beberapa pasar raya dalam insiden yang disifatkan sebagai ‘jenayah kejam’.

Isu itu mendapat perhatian minggu lalu apabila seorang lelaki dibawa ke hospital kerana mengalami sakit perut selepas memakan buah strawberi yang dibelinya dari sebuah pusat raya di negeri Queensland.

Sejak dari itu, orang ramai memuat naik gambar buah strawberi lain bersama jarum-jarum kecil tercucuk di dalamnya.

Beberapa jenama strawberi yang ditanam di Queensland juga telah ditarik balik dari pasar-pasar raya, manakala berbilang laporan tentang kes serupa dibuat di negeri New South Wales dan Victoria.

“Sesiapa yang menjadi dalang di sebalik insiden ini bukan sahaja membahayakan keluarga di Queensland dan seluruh Australia, mereka juga boleh menejejaskan seluruh industri ini,” kata Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk.

Kerajaannya menawarkan ganjaran tunai berjumlah A$100,000 (RM295,914) untuk sebarang maklumat yang membawa kepada penangkapan dan pendakwaan mereka yang bertanggungjawab.

“Saya menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini supaya menghubungi pihak polis dengan segera,” tambahnya.

Sementara itu, Polis Queensland memberitahu badan penyiaran awam, ABC bahawa perbuatan mensabotaj buah strawberi itu yang biasanya dijual dalam peket plastik kecil, jelas dilakukan untuk ‘mendatangkan kecederaan kepada sesiapa yang memakannya’.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

China sertai latihan maritim terbesar Australia

SYDNEY 10 SEPT: China mengambil bahagian buat kali pertama dalam latihan maritim terbesar Australia di mana lebih 3,000 anggota dari 27 negara terbabit menyertai latihan di luar pelabuhan strategik utara di Darwin.

Exercise Kakadu disertai 23 kapal dan kapal selam dari seluruh rantau Indo-Pasifik, membolehkan mereka menyesuaikan diri bagi membantu menghalang konflik di laut lepas serta menyelaras usaha bantuan ketika bencana.

Komander Anita Sellick daripada frigat Australia, HMAS Newcastle berkata, dua kelasi Tentera Laut Diraja Australia diterima ke dalam frigat China, Huangshan ketika latihan.

“Dua kelasi tentera laut Australia kini berada dalam kapal China. Justeru mereka berupaya berintegrasi antara satu sama lain dan mempelajari sedikit bagaimana rasanya menyertai Exercise Kakadu,” kata Sellick kepada Reuters kelmarin.

Komander Armada Australia, Laksamana Muda Jonathan Mead, memberitahu media di Darwin dalam satu wawancara disiarkan televisyen Jumaat lalu, wujud manfaat bersama dalam membangunkan kesefahaman dan kepercayaan ketika latihan.

Latihan ketenteraan bersama itu, yang akan diteruskan sehingga 15 September ini, disokong Tentera Udara Diraja Australia dan membabitkan 21 pesawat.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Penduduk Australia kini cecah 25 juta orang

SYDNEY 8 OGOS: Jumlah penduduk Australia mencecah paras 25 juta semalam, hampir sedekad lebih awal berbanding dijangkakan, ketika ia menarik ratusan ribu pendatang setiap tahun, data kerajaan menunjukkan.

Data berkenaan menunjukkan, setiap minit, seorang individu tiba untuk menetap di Australia, mengukuhkan permintaan untuk segala-galanya daripada rumah sehinggalah kereta, sekolah dan hospital serta meningkatkan kekayaan ekonomi negara itu.

Biro Statistik Australia menganggarkan, jumlah populasi negara itu akan mencecah 26 juta orang dalam tempoh tiga tahun, berdasarkan aliran semasa.

Peningkatan pantas dalam jumlah pendatang, mencetuskan perdebatan terhadap impak ekonomi dan sosial berkenaan penghijrahan disebabkan infrastruktur tidak mencukupi menjurus kesesakan bandar sambil pasaran buruh meluas membataskan pertumbuhan gaji.

“Bertahan bermaksud terus melabur dalam infrastruktur. Sebab itulah mengapa kami memiliki satu pelan infrastruktur bernilai A$75 bilion (RM226.96 bilion).

“Perlu ada sokongan yang berkembang dalam populasi,” kata Menteri Kewangan Scott Morrison kepada 3AW Radio semalam, apabila ditanya jika Australia dapat bertahan dengan 25 juta penduduk.

Kejayaan ekonomi Australia dibina daripada penghijrahan dengan lebih satu pertiga penduduknya lahir di luar negara, menurut data bancian terbaharu yang menunjukkan England, China, New Zealand dan India sebagai negara teratas asal pendatang.

Satu kajian berasingan ABS dikeluarkan Jun lalu menunjukkan, penghijrahan luar negara kini mencatat 62 peratus daripada jumlah pertumbuhan populasi keseluruhan. Peningkatan penduduk asal berjumlah 38 peratus.

Namun isu imigresen menjadi topik panas politik ketika kerajaan pakatan tengah-kanan yang memerintah dan pembangkang, Parti Buruh mula berkempen untuk pilihan raya New South Wales (NSW) dijangka Mac tahun depan diikuti pilihan raya umum pada Mei 2019.

Ahli politik nasionalis, Pauline Hanson menyalahkan peningkatan jumlah pendatang terhadap ketidaksamaan meningkat di Australia sementara Senator Dean Smith menjadi anggota kerajaan pertama awal tahun ini yang menggesa satu kajian semula terhadap pertumbuhan populasi.

Smith mempertikaikan, pengambilan pantas pendatang meletakkan tekanan besar terhadap infrastruktur di bandar terbesar negara iaitu Sydney dan Melbourne, didiami majoriti meluas pendatang baharu.

SUMBER: REUTERS