Categories
AGENDA NASIONAL

Pemuda autisme tidak ketinggalan tunai tanggungjawab mengundi di PRN Johor

JOHOR BAHRU, 12 MAC: Membawa anak yang menghidap autisme untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini, disifatkan sebagai tugas yang besar buat seorang ibu bagi memastikan anaknya itu turut menunaikan tanggungjawabnya memilih wakil rakyat.

Tan Chiew Lian, 59, berkata beliau bersama anak lelakinya Tee Wen Jian yang berusia 32 tahun itu mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, di pusat mengundi Sekolah Menengah Foon Yew, Stulang Laut, di sini.

Tan yang juga guru di sekolah itu sejak 26 tahun lepas berkata proses pengundian anak keduanya itu berjalan dengan lancar, meskipun ini merupakan pengalaman pertama kalinya mengundi.

“Dia tahu (cara mengundi), sebelum ini saya sudah jelaskan dan beritahu dia kalau ada nampak (apa-apa simbol pada kertas mengundi), orang itu akan jadi wakil rakyat. Dia juga mengundi sendiri, tanpa saya dan orang lain jadi wakil,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat mengundi itu.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu turut menjelaskan walaupun anaknya itu sukar untuk bertutur atau berinteraksi, dia bersemangat untuk bangun awal dan memakai pakaian yang kemas untuk pergi ke pusat mengundi.

Tan pada masa sama mengharapkan agar mana-mana calon yang menang di DUN itu dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, iklas dan amanah.

Sementara itu, pesara kerajaan Abdul Latip Jaappan, 69, berkata biarpun bertongkat sejak enam bulan lepas berikutan mengalami ‘slip disc’, ia tidak menghalangnya untuk mengundi, malah turut dibantu dengan kerusi roda ke saluran ditetapkan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bapa kepada seorang cahaya mata itu mengundi bersama isterinya Fauziah Ismail, 61, di Sekolah Menengah Foon Yew.

Terdahulu, tinjauan Bernama di pusat mengundi itu mendapati keadaan cuaca pagi tadi cerah dan orang ramai dilihat berbaris di luar pagar pusat mengundi itu setengah jam awal, sebelum diarahkan petugas penunjuk arah ke bilik menunggu untuk mengundi yang bermula pukul 8 pagi.

Di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 1, Pasir Gudang bagi DUN Permas pula, usia dan pergerakan yang terhad tidak menghalang warga emas Ahmad Taha @ Idris Omar untuk mengundi hari ini.

Ahmad yang berusia 78 tahun diiringi oleh ahli keluarga tiba di pusat mengundi dengan berkerusi roda.

“Saya memang tidak akan melepaskan peluang mengundi ini melainkan keadaan sakit dan uzur. Walaupun lutut dan kaki saya masih sakit, saya tetap hadir mengundi juga bagi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat,” katanya.

Seorang penyelia tapak, Hafiz Mahyiddin, 34, tetap hadir ke pusat mengundi walaupun masih bercuti sakit akibat patah kaki selepas terbabit dalam kemalangan bulan lepas.

“Hari ini saya ditemani isteri turun mengundi. Ini kali kedua mengundi dan saya tidak mahu terlepas peluang ini walaupun kaki saya belum pulih sepenuhnya dan perlu menjalani fisioterapi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Manfaat bantuan khas untuk bawa anak autisme jalani terapi

SHAH ALAM, 18 JUN: Ibu dua anak autisme menganggap peruntukan Kerajaan Selangor kepada golongan kelainan upaya (OKU) dapat meringankan bebannya yang kehilangan kerja akibat Covid-19.

Siti Sarah Saad, 35, berkata bantuan akan digunakan bagi  menampung kos pengangkutan membawa anaknya berusia 11 dan lapan tahun menjalani terapi.

“Bantuan ini sangat membantu saat saya kehilangan kerja. Akibat pandemik syarikat kurang pendapatan hingga menjejaskan gaji pekerja.

“Terima kasih kepada kerajaan yang prihatin terhadap OKU. Ia membantu meringankan beban dan kehidupan,” katanya kepada Media Selangor.

Minggu lalu, menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukkan RM600,000 bagi memanfaatkan golongan OKU di Selangor.

Categories
SELANGOR

Selangor cakna OKU, terus hulur pelbagai bantuan

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kerajaan Selangor akan terus cakna dan prihatin terhadap golongan istimewa di negeri ini dengan mewujudkan pelbagai bantuan.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan merangkumi peringkat keluarga, pendidikan dan masyarakat bertujuan menyedarkan orang awam kepentingan menolong orang kelainan upaya (OKU).

“Menerusi inisiatif Anak Istimewa Selangor (AnIS), kita menawarkan program Didik AnIS, Cikgu AnIS, Akademi AnIS serta Bantuan Khas AnIS,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut hari ini.

Menurutnya, menerusi sambutan saban tahun, ia membuka peluang kepada masyarakat memahami perspektif dunia dari kaca mata golongan istimewa terbabit.

“Memahami adalah langkah penting sebelum kita membantu,” katanya.

Dalam Belanjawan Selangor 2021 Kerajaan Negeri meluluskan sejumlah RM3.25 juta menjayakan program dan inisiatif pemberdayaan OKU termasuk seminar kesedaran sokongan untuk anak istimewa.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Kayuh 12,000km, anak autisme catat rekod dunia

Sebagai kanak-kanak yang disahkan menghidap autisme dan Sindrom Kurang Daya Tumpuan (ADHD) sejak berusia tiga tahun, Ahmad Uzair Ahmad Syauqi kerap berkelakuan hiperaktif.

Mengamuk tidak tentu hala, menjerit tidak tentu masa, memanjat dan melompat pagar jiran, menghantuk kepala ke lantai bahkan mengotorkan dinding rumah dengan najis antara gelagat Uzair.

Tapi itu dulu. Sebelum Uzair diperkenal sukan berbasikal. Sejak aktif melakukan kayuhan, perwatakannya jauh lebih tenang – semakin fokus, mendengar kata dan tidur waktu normal.

Kayuhannya pula bukan calang-calang. Setara bahkan melebihi keupayaan dengan sesetengah orang dewasa. Malah, Uzair menjadi orang paling muda di dunia melengkapkan siri kayuhan dalam Audax Brevet de Randonneur Mondizux (BRM), kejohanan tertua basikal Perancis yang turut popular di negara ini.

Kayuhan 200km hingga 600km dalam satu tahun menjadi Uzair layak tersenarai dalam Malaysia Book of Records sebagai Super Randonneur termasuk di negara ini, bahkan di dunia.

Mula berbasikal

Anak ketiga dari empat beradik kepada pasangan Ahmad Syauqi Ahmad Said dan Munirah Hanim Ahmad Jahudi, kedua-dua 38 tahun, mula dibawa kayuh sekitar rumah pada 2019. Keesokannya Uzair mahu lagi dan lagi.

Sebelum ini, usaha memperkenalkannya kepada sukan lain – bola sepak, renang dan tenis – tidak berhasil. Riak Uzair juga ceria apabila diajak berbasikal.

Namun, Syauqi perlu membantu menukar gear kerana anaknya tidak mahir berbuat demikian. Justeru, beliau melengkapkan basikal itu dengan gear elektronik yang disambung dengan basikalnya menggunakan alatan tanpa wayar. Hanya perlu berada dalam jarak 10 meter.

Kumpulan Cycle Uzair Cycle yang ‘menjaga’ dan menyokong minat anak istimewa ini. Foto ARKIB SELANGORKINI

Uzair mula kayuh jarak jauh, bahkan mencecah 600km. Anaknya juga melengkapkan kayuhan acara BRM. Pencapaian itu melayakkan Uzair disenarai dalam Malaysian Book of Records sebagai Super Randonneur termuda Malaysia, juga dunia.

Selepas hampir dua tahun, kelajuannya mencapai purata 28km/jam, tahap individu normal. Tahun lalu, anaknya telah kayuh keseluruhan 12,000km. Uzair kian dikenali hingga tertubuhnya kumpulan Cycle Uzair Cycle. Mereka turut sama ‘menjaga’ anak kecil itu. Bukan mudah kerana Uzair berbeza daripada kanak-kanak lain.

“Sesiapa yang kayuh bersama Uzair perlu beri tumpuan 100 peratus. Uzair tidak boleh minum sambil kayuh atau ada masalah teknikal pada basikal atau topi keledar. Kami perlu sentiasa perhatikan lenggoknya ketika kayuh.

“Uzair kini makin faham. Selalunya seminggu sebelum bermula, kami terangkan kena fokus, tunjukkan laluan, di mana berhenti dan sebagainya. Lama-kelamaan, Uzair boleh faham. Sampaikan bila dipakaikan jersi, dia tahu hari ini kita ada misi,” kata Ahmad Syauqi.

Pengorbanan

Membesarkan Uzair bukan mudah. Ibu bapanya melalui tempoh sukar lantaran anak ketiganya tidak berupaya bertutur dengan baik. Sukar memahami apa yang dimahukan anak itu.

“Pernah Uzair panjat pagar rumah, lompat ke rumah jiran berulang kali. Memang tidak tahu penat. Dulu tidur pada jam 4 pagi. Kami kena peka supaya tidak datangkan bahaya.

“Menjerit sebagai cara menyatakan kemahuannya. Kami lali dengan pandangan jelik orang ramai kerana Uzair buat bising,” kata Munirah.

Ahmad Syauqi Ahmad Said (kiri) menyokong penuh minat anaknya yang aktif berbasikal yang menjadikannya semakin fokus dan mendengar kata. Foto ARKIB SELANGORKINI

Mereka juga membawa Uzair ke kelas terapi pertuturan dan program pendidikan awal untuk murid berkeperluan khas. Pernah, Uzair dibawa ke kelas terapi di Kedah hanya untuk kelas selama sejam.

Meski penat, mereka tempuhi jua. Mahu perkembangan Uzair setara dengan kanak-kanak lain. Namun, hanya empat doktor di negara ini yang ada kepakaran sedemikian. Mereka menunggu berbulan-bulan untuk janji temu pertama. Namun, mereka tidak sesekali berputus asa.

“Melihat Uzair sekarang, banyak kata saya beruntung sebab anak saya ‘behave’ (jaga kelakuan). Tapi mereka tidak nampak Uzair yang dulu. Yang mengamuk lima enam kali sehari, yang kotorkan dinding rumah, yang cederakan diri sendiri.

“Uzair yang sekarang selepas kami harungi tahun-tahun meletihkan. Namun, saya percaya anak autisme mampu berkelakuan normal jika diberi perhatian sebaik-baiknya,” kata Munirah.

Harapan mereka Uzair mampu menyara kehidupan sendiri hasil minatnya dalam berbasikal. Mungkin membuka bengkel sendiri kelak. Siapa tahu ia boleh jadi kenyataan.

Categories
SELANGOR

Prihatin perubahan tingkah laku anak autisme

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 6 APRIL: Ibu bapa digesa supaya lebih prihatin terhadap perubahan tingkah laku anak-anak istimewa, bagi membolehkan mereka menjalani terapi pemulihan sewajarnya.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, setakat ini hanya 20,000 individu di Selangor berdaftar sebagai autisme berbanding anggaran keseluruhan 300,000 orang, di seluruh negara.

“Kita memiliki hampir enam juta kependudukan, jadi tidak mustahil kita mencatat jumlah tertinggi kanak-kanak sindrom autisme yang belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Masih ramai yang belum berdaftar dengan JKM kerana sesetengah keluarga tidak mahu menempatkan anak mereka di penempatan orang kelainan upaya (OKU).

“Keengganan ibu bapa berbuat demikian mungkin disebabkan kekangan daripada aspek pendidikan khas buat anak-anak ini sehingga menyebabkan kita tidak dapat mengenal pasti kekuatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Pelancaran Program Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) Peringkat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di Dataran Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar; Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Johary Anuar; Pengarah Jabatan Kebajikan Negeri, Mohamad Hanafi Maulud dan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Azma Shafini Marlizan.

Mengulas lanjut, Dr Mariah yang juga Ahli Dewan Negeri Seri Serdang berkata, pihaknya sedang menjalankan penyelarasan bersama Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) untuk turut memastikan pembabitan stanco lain dalam isu pendidikan.

Mengambil contoh negara luar, katanya, pusat khusus bagi tujuan pendidikan dan terapi disediakan kepada kanak-kanak autisme di negara berkenaan, malahan golongan terbabit mampu menyumbang kembali kepada negara mereka.

“Saya mahu pastikan semua kementerian terbabit dengan aktif supaya kita dapat merangka satu pembangunan yang ada kesinambungan selepas ini, khususnya terhadap anak OKU.

“Kita ada orang pendidikan untuk dibawa ke peringkat kementerian, cuma terdapat beberapa aspek yang perlu ditambah baik lagi,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Ibu bapa perlu lebih peka simpton gejala autisme

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Ibu bapa perlu lebih peka dengan tingkah-laku anak-anak mereka bagi memastikan simptom gejala autisme dapat dikesan lebih awal.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata kerana kegagalan mengesan tanda-tanda itu di peringkat awal menyebabkan hanya 20,000 individu yang mempunyai gejala autisme berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berbanding anggaran 300,000 yang berdepan masalah itu di seluruh negara ketika ini.

“Sesetengah ibu bapa tidak dapat mengenal pasti simptom autisme, menyebabkan mereka beranggapan anak mereka hanya belajar dengan lebih perlahan berbanding kanak-kanak lain dan ada juga ibu bapa yang tidak mahu mendaftarkan anak mereka sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Kami juga berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat membantu menyebarkan kesedaran mengenai autisme di kawasan luar bandar dan menjadikan ujian saringan pengesanannya boleh diakses dengan lebih mudah oleh lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya yang ditemui selepas program Danajamin Mighty Run 2018, di sini hari ini.

Yeoh berkata ibu bapa yang ingin menjalankan ujian saringan pengesanan simptom autisme boleh melakukannya di hospital kerajaan dan swasta yang mempunyai kepakaran di mana ia boleh dikesan seawal usia 18 bulan bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, Danajamin Mighty Run 2018, yang telah dianjurkan buat kali ketiga bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap autisme, telah disertai 2,500 peserta dan berjaya mengutip RM110,000 bagi disumbangkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

Sumbangan berkenaan telah disampaikan Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Danajamin Mohamed Nazri Omar kepada Pengerusi NASOM Feilina Feisol.

“Acara seperti ini sememangnya dapat membantu NASOM untuk mempertingkatkan kesedaran orang ramai mengenai autisme,” kata Yeoh.

Dalam dua program Danajamin Mighty Run sebelum ini iaitu pada 2016 dan 2017, sumbangan kepada NASOM telah membantu persatuan itu untuk menambah baik Pusat Vokasionalnya di Bandar Puteri, Kelang dan membina bilik Snoezelen, iaitu kemudahan untuk terapi individu dengan gejala autisme, di pusat pencegahannya (early intervention centre), di Gombak.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kelahiran autisme negara 1:68

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan mendedahkan kadar nisbah kelahiran kanak-kanak autisme di Malaysia dianggar satu bagi setiap 68.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, nisbah itu berdasarkan kelahiran 9,000 kanak-kanak autisme yang direkodkan setiap tahun.

Katanya, seramai 20,339 Orang Kelainan Upaya (OKU) mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga 30 September lalu.

“Kerajaan sentiasa menggalakkan ibu bapa kanak-kanak autisme untuk mendaftar dengan JKM bagi membolehkan mereka menerima manfaat disediakan kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.

Katanya, kempen pendaftaran OKU dilaksanakan secara berkala pada setiap tahun mengikut negeri atau zon melalui program kerajaan dengan membuka ‘booth’ pendaftaran bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat berhubung perkara itu.

Hannah berkata, kerajaan juga menyokong Kempen #LightItUpBlue sempena Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia, pada 2 April setiap tahun.

“Selain itu, kewujudan Pusat Permata Kurnia membantu menyediakan program intervensi sepenuh masa untuk kanak-kanak autisme berusia antara 4 hingga 6 tahun sebagai persediaan memasuki sekolah aliran perdana.

“Kerajaan juga menyediakan program Disability Equality Training (DET) dan Disability Related Services Training yang merupakan antara program bulanan utama dan berkala JKM kepada OKU, majikan serta orang awam.

“Sehingga September lalu, seramai 805 peserta menyertai DET menerusi 18 kursus di seluruh negara dan pelbagai agensi.

Categories
SELANGOR

Menunggang kuda terapi terbaik buat autisme

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 17 OGOS: Menunggang kuda adalah terapi terbaik buat kanak-kanak autisme, kata Pengasas Horses of YOUNG, Dr EJ Khew.

Katanya, kajian mendapati aktiviti menunggang kuda mampu menguatkan otot terutamanya bagi individu yang mengalami penyakit terbabit.

“Di Malaysia sendiri, terapi berkuda untuk golongan ini masih belum meluas dan sebab itu pihak kami menggesa ibu-bapa yang mempunyai anak autisme menggunakan peluang ini sebaiknya.

“Kajian juga mendapati kanak-kanak yang membesar dengan haiwan akan menjadi lebih penyayang, bertanggungjawab serta dapat menjadi individu yang lebih positif,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian ‘Animals for YOUNG’ anjuran Horses of YOUNG di IOI City Mall, dan dirasmikan YM Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah Al-Haj.

Ia bermula hari ini hingga Ahad, 19 Ogos, terdapat beberapa aktiviti yang disediakan iaitu ‘Hobby Horse Challenge’, kraftangan, dan juga menunggang kuda.

Khew berkata, rata-rata penduduk di negara ini hanya mengetahui kuda digunakan untuk sukan lasak dan juga akktiviti riadah sahaja.

Namun, hakikatnya ia adalah salah satu haiwan yang paling berkesan untuk membantu menguatkan tubuh badan.

“Buktinya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui aktiviti menunggang kuda adalah salah satu faktor menyebabkan tubuh badannya masih kuat walaupun mencecah usia 90-an.

“Difahamkan, di negara kita juga sudah mempunyai banyak lokasi yang menyediakan perkhidmatan menunggang kuda, jadi gunalah peluang ini untuk menyihatkan tubuh badan anda,” katanya.

Categories
SELANGOR

Akademi Headstart perintis bantu kanak-kanak austisme

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 JUL: Akademi Headstart (Headstart Academy) dilancarkan sekaligus menjadi perintis membantu keluarga yang mempunyai anak autisme.

Pengasas Kumpulan Headtstart, Khairul Razman Ramly berkata, akademi yang turut mendapat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Real Estate (PREC) itu turut dilancarkan bersama Headstart Therapy.

Katanya, kedua-dua program terbabit menyediakan kemudahan dan juga perkhidmatan kepada keluarga yang mempunyai anak autisme.

“Akademi Headtstart ini juga mendapat kerjasama daripada Sekolah St Clare’s, Singapura yang mempunyai kepakaran pendidikan buat anak istimewa, kita akan menggunapakai sistem akademik dan kurikulum mereka memandangkan St Clare’s sudah lama dalam bidang pendidikan khas kanak-kanak di Singapura

“Menariknya lagi, melalui akademi ini, kita memberi pengalaman baru kepada kanak-kanak autisme melalui program pembangunan kecergasan untuk minda dan juga tubuh badan setiap daripada mereka.

“Kesemua ahli terapi dan guru akademi terdiri daripada mereka yang berkelayakan dan berpengalaman dalam bidang pengkhususan masing-masing,” katanya ketika ucapan perasmian Akademi Headtstart di SACC MALL.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PREC, Fakru Radzi Ab Ghani dan pemilik Sekolah St Clare’s, Kelvin Ng dan Pr Prakalathan.

Sementara itu Faktru dalam ucapannya berkata, kerjasama PREC bersama Akademi Headstart adalah salah satu Program Tanggungjawab Sosial (CSR).

“PREC sentiasa kehadapan dalam program- CSR di Selangor, sejak ditubuhkan pada 2012, PREC telah membelanjakan kira-kira RM11.5 juta bagi tujuan seumpamanya.

“Saya percaya manusia adalah sumber terpenting dalam sesebuah negara, dan disebabkan itulah kanak-kanak adalah masa depan kita, kami berharap dengan kerjasama PREC ini dapat membantu akademi terus kukuh membantu kanak-kanak istimewa,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Akademi Headstart ini, orang ramai boleh layari laman web www.headstart.my atau hubungi terus talian 0128855572.

 

Categories
SELANGOR

Program Smart Didik bantu kanak-kanak autisme diperkemas

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 APR: Kerajaan Negeri sedang meneliti beberapa langkah terbaik untuk dilaksanakan program ‘Smart Didik’ yang membabitkan kanak-kanak autisme.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Keluarga dan Wanita, Dr Daroyah Alwi, berkata hal itu bagi mengenal pasti langkah terbaik sebelum program terbabit dilaksanakan.

Bajet 2016 Didik SMARTKatanya, ketika ini pelbagai cadangan daripada pihak kerajaan mahupun swasta sudah diutarakan.

“Jadi, kita sedang meneliti mana satu langkah yang terbaik dan kita juga sedang menunggu keputusan dari Kerajaan Negeri.

“Sudah tentu kita mahukan yang terbaik bagi kanak-kanak istimewa ini,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Daroyah berkata sebanyak RM500,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi program ‘Smart Didik’ itu.

Katanya, program itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam Belanjawan Negeri 2016, komited membantu kanak-kanak Autisme.

EZY