Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jenazah ayahanda Tengku Permaisuri Selangor selamat dikebumi

SHAH ALAM, 20 APRIL: Jenazah ayahanda Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor selamat dikebumikan di Makam Diraja, di sini jam 1.45 tengah hari.

DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mencemar duli menghadiri majlis pengebumian Allahyarham Abdul Rahman Baba, 89, diiringi Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut memberi penghormatan terakhir ialah barisan pentadbir Kerajaan Negeri diketuai Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO Agama Zawawi Ahmad Mughni dan EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail.

Pengebumian dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga serta rakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Terdahulu jenazah dikafan dan disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri ucap takziah kepada Tengku Permaisuri Selangor

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin atas kembalinya ke rahmatullah ayahanda Tengku Permaisuri Selangor, Allahyarham Abdul Rahman Baba, 89, hari ini.

Ucapan yang sama turut dirakamkan oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook Istana Negara.

Menerusi kenyataan itu, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih di atas pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Istana Selangor menerusi satu hantaran di laman Instagram Selangor Royal Official hari ini memaklumkan bahawa Abdul Rahman, meninggal dunia akibat sakit tua, pada jam 3.40 pagi tadi.

– BERNAMA