Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

‘Cobaan’ ayam perap, pernah raih RM800,000 sebulan

Terkulat-kulat mata dua usahawan menyaksikan 300 ayam gunting terpaksa dilupus. Demi menjaga kualiti produk, mereka gagahi jua biarpun RM10,000 hangus begitu sahaja.

Sudahlah modal hanya ‘paras hidung’, dua usahawan Hayrul Pizal Mat Zaman, 36, dan Amirul Hafiz, 32, tiada pilihan gara-gara ayam gunting yang telah siap diproses rosak.

Sejak peristiwa itu, mereka gigih mencari kaedah perapan lebih baik. Hasilnya, mereka temui ramuan yang bukan sahaja tahan lama, bahkan lebih enak. Campuran rempah ayam gunting jenama Chiki lebih terasa.

Namun, mereka berdepan pula masalah bilik sejuk beku. Akibatnya, stok rosak lagi. Selepas tiga tahun bergelut masalah itu, mereka akhirnya berpindah ke premis lebih baik, dari Seremban ke Petaling Jaya pada 2018.

Dengan kelengkapan berkualiti dan perisa lazat, hasil jualan melonjak. Kini, syarikat Perfect Conquest Group Sdn Bhd memiliki aset keseluruhan bernilai kira-kira RM700,000.

Pasar malam

Berbekal modal RM20,000 hasil simpanan berniaga pasar malam lebih enam tahun, mereka mengusahakan ayam gunting di sebuah rumah di Seremban.

Pada 2015, mereka menyewa premis pengedaran. Kilang juga disewa dengan bayaran RM2,000 sebulan. Ketika inilah mereka acap kali berdepan masalah kerosakan bilik sejuk.

Hayrul Pizal Mat Zaman (kiri) meninjau kerja-kerja pembersihan ayam sebelum penghasilan produk. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Namun, setelah berpindah ke Taman Medan pada 2018, Hayrul Pizal dan Amirul tekad menaik taraf kilang pemprosesan. Bilik sejuk beku yang lebih besar dan berkuasa tinggi dibina. Mesin baharu juga dibeli.

Melalui pinjaman Yayasan Hijrah Selangor, mereka membiayai kos pembinaan tersebut.

“Kami berbangga dan bersyukur kerana walaupun melabur agak besar untuk perniagaan tetapi kami tidak pernah mengambil pinjaman bank kecuali Hijrah Selangor sahaja.

“Berbanding pinjaman bank, pembiayaan Hijrah Selangor lebih mudah, cepat dan tiada karenah birokrasi,” kata Amirul.

Berikutan rekod bayar balik yang baik, mereka mendapat kepercayaan bagi pembiayaan sehingga tiga kali. Pertama kali, RM30,000 untuk modal pusingan pada 2018.

Selepas langsai dalam tempoh enam bulan, mereka ditawar pembiayaan RM50,000 lagi bagi menampung kos ubah suai pejabat dan kilang untuk memenuhi piawaian pensijilan halal.

Pada 2020, mereka sekali lagi membuat pinjaman RM50,000 bagi memperkukuh modal pusingan dan rizab perniagaan.

Perniagaan mereka terus melangkah maju hingga mampu menyewa sembilan premis untuk dijadikan kilang, stor, bilik sejuk beku dan pejabat urusan.

Cabaran PKP

Di sebalik riang kejayaan, mereka terus diuji apabila mula-mula berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Sebelum wabak Covid-19 muncul, perniagaan mereka mampu meraih jualan mencecah RM800,000 sebulan. Namun, ia merosot kepada RM200,000 sahaja.

Paling buruk, langsung tiada jualan pada minggu pertama PKP walau perniagaan sangat bergantung kepada jualan di pasar malam. Namun, penjaja sudah mengambil bekalan dari cawangan di Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Hayrul Pizal Mat Zaman dan Amirul Hafiz gigih mencari kaedah perapan lebih baik untuk mendapatkan ramuan yang bukan sahaja tahan lama, bahkan lebih enak. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Apabila pasar malam tidak dibuka dan penjaja tidak dibenarkan berniaga semasa mula-mula PKP, pendapatan kami hilang,” kata Hayrul Pizal.

Bagaimanapun mereka lega sedikit selepas mengadakan jualan dalam talian kepada pelanggan sekitar Lembah Klang. Mereka meraih pendapatan hampir RM200,000 sepanjang baki PKP berkuat kuasa.

Walau pendapatan menurun, mereka perlu melunaskan tanggungan antaranya, gaji 21 pekerja yang mencecah RM80,000 sebulan, sewa sembilan premis, ansuran bank bagi tujuh van dan dua lori selain bayaran utiliti dan penyelenggaraan kilang. Mujur mereka ada simpanan kecemasan bagi tanggungan tersebut.

Keizinan tangguh bayaran ansuran kenderaan syarikat kepada bank juga membuat mereka menarik nafas lega.

“Alhamdullilah walaupun pada permulaannya syarikat kami tidak memiliki aset tetapi dengan kerja keras dan cekal menempuhi cabaran, selepas beberapa tahun semakin maju hingga mampu memiliki aset syarikat sendiri.

“Untuk perancangan masa hadapan, kami menyasarkan menambah lagi cawangan ke seluruh negara di samping meluaskan operasi jualan secara terus kepada pelanggan di pasar-pasar malam,” kata Hayrul Pizal.