Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jualan murah ayam, ikan dan telur di Sabak Bernam pada Sabtu

SHAH ALAM, 3 MAC : Program jualan murah barangan keperluan harian seperti ayam, ikan dan telur diadakan pada Sabtu ini di Sabak Bernam, kata Dato’ Menteri Besar.

“Program Jualan Prihatin Rakyat akan bermula di Sabak Bernam pada Sabtu ini yang menjual barangan keperluan harian berkualiti seperti ayam, ikan dan telur pada harga berpatutan.

“64 kawasan bakal menjadi lokasi jualan sehingga Hari Raya Aidilfitri,” maklum Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Sebelum ini EXCO Pertanian Ir Izham Hashim ketika merasmikan Program Jualan Prihatin Rakyat di Balai Rakyat Taman Berjaya, Sabak Bernam berkata empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan dijual murah mulai 27 Februari hingga menjelang Aidilfitri.

Beliau berkata program pada setiap Sabtu dan Ahad menerusi kerjasama Selangor Agro Market dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) adalah kesinambungan Program Intervensi Harga Ayam dan Telur yang dilancar Dato’ Menteri Besar pada bulan lepas.

Menurut Izham pihaknya menyasarkan sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kilogram (kg) daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B dijual sepanjang program ini.

Beliau turut mempertimbangkan untuk menambah beberapa barangan keperluan harian lain seperti minyak masak jika program jualan murah mendapat sambutan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jualan ayam murah DUN Batu Tiga laku, pembeli beratur seawal 8 pagi

SHAH ALAM, 27 FEB : Sebanyak 800 ekor ayam segar dibekalkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) habis dijual kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di sini hari ini.

Pengarah program Hamdan Harun. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Program yang berlangsung di tapak niaga Seksyen 18 bersebelahan Masjid Al-Hidayah itu adalah inisiatif wakil rakyat DUN tersebut Rodziah Ismail yang turut menyediakan kupon RM5 kepada 500 pembeli terawal.

Pengarah program, Hamdan Harun berkata sambutan diterima luar biasa apabila ramai pengunjung mula beratur seawal jam 8 pagi meskipun jualan bermula jam 9 pagi.

“Walaupun cuaca agak mendung dan hujan rintik-rintik pengunjung tetap tidak berputus asa dan sabar menunggu untuk mendapatkan barangan asas ini.

“Terima kasih juga kepada wakil rakyat Rodziah kerana memberi kupon RM5 kepada pembeli, sudah tentu kami gembira sudahlah ayam jual murah lepas tu dapat pula kupon,” katanya kepada SelangorKini.

Kerajaan Selangor melaksanakan inisiatif menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram menerusi Program Intervensi Harga Ayam dan Telur bermula 7 Februari lepas bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Program melibatkan penjualan 50,000 ekor ayam dengan dana RM1 juta diperluas ke seluruh negeri selepas mendapat sambutan orang ramai.

Pengunjung beratur untuk membeli ayam segar dan telur dalam jualan murah anjuran PKPS dan pejabat DUN Batu Tiga di tapak niaga Seksyen 18 bersebelahan Masjid Al-Hidayah pada 27 Februari 2022. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Jualan ayam murah di seluruh DUN guna Lori Ehsan mulai Isnin

SHAH ALAM, 12 FEB: Orang ramai boleh mendapatkan ayam serendah RM8 sekilogram bawah Program Intervensi Harga Ayam dan Telur melalui Lori Ehsan mulai 14 Februari.

Tawaran sehingga 30 Mac dibuat di seluruh daerah dengan lokasi pertama di Kuang dan Rawang, kata ketua pegawai sksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Selain menjual ayam pada harga murah, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi menjelaskan Lori Ehsan juga membawa produk lain seperti telur, buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Lori Ehsan bergerak ke setiap parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 2,186 ekor ayam berjaya dijual melalui program intervensi di Pasar Borong Selangor dan Wisma PKPS setakat semalam.

“Pembeli tidak perlu khuatir kerana bekalan ayam mencukupi di kedua-dua lokasi. Kita anggarkan 500 ekor ayam disediakan setiap hari untuk pembeli,” katanya.

Kerajaan Selangor menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram selama dua minggu bermula Isnin lalu bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan 50,000 ekor ayam membabitkan dana RM1 juta akan diperluas ke seluruh negeri jika terus mendapat sambutan.

Berikut senarai lokasi Lori Ehsan:

– 14 Februari dan 12 Mac (Kuang, Rawang dan Taman Templer)

– 15 Februari dan 13 Mac (Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Klang)

– 16 Februari dan 14 Mac (Bukit Antarabangsa dan Lembah Jaya)

– 17 Februari dan 15 Mac (Pandan Indah dan Teratai)

– 19 Februari dan 16 Mac (Dusun Tua dan Semenyih)

– 20 Februari dan 17 Mac (Kajang, Sungai Ramal dan Balakong)

– 21 Februari dan 19 Mac (Seri Kembangan dan Seri Serdang)

– 22 Februari dan 20 Mac (Kinrara dan Subang Jaya)

– 23 Februari dan 21 Mac (Seri Setia, Taman Medan dan Bukit Gasing)

– 24 Februari dan 22 Mac (Kampung Tunku, Bandar Utama dan Bukit Lanjan)

– 26 Februari dan 23 Mac (Paya Jaras dan Kota Damansara)

– 27 Februari dan 24 Mac (Kota Anggerik dan Batu Tiga)

– 28 Februari dan 26 Mac (Meru, Sementa dan Selat Kelang)

– 1 dan 27 Mac (Bandar Baru Klang, Pelabuhan Klang dan Pandamaran)

– 2 dan 28 Mac (Sentosa, Sungai Kandis dan Kota Kemuning)

– 3 dan 29 Mac (Sijangkang, Banting dan Morib)

– 4 dan 30 Mac (Tanjung Sepat, Dengkil dan Sungai Pelek)

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

Dapat sambutan, jualan ayam RM8 sekilogram diperluas ke daerah untuk manfaat ramai

SHAH ALAM, 8 FEB: Tempoh jualan ayam standard RM8 sekilogram selama dua minggu bermula semalam dilanjut serta diperluas ke semua daerah bagi memanfaatkan lebih ramai penduduk.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan juga tidak tertumpu peniaga kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sahaja.

“Esok ada mesyuarat MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) dan kita akan bincang cara untuk melebarkannya. Bagaimanapun ia bergantung pada kos dan juga keupayaan kita melaksanakannya.

“Sambutannya sangat baik, selepas habis 50,000 ekor kita buat keputusan sama ada lanjutkan sehingga maksimum empat bulan. Program ini tidak boleh lama, hanya untuk kurangkan kesan peningkatan harga,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan surat tawaran pinjaman boleh ubah dalam negara di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Kerajaan Selangor menerusi PKPS menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram selama dua minggu bermula Isnin  bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Penjualan melibatkan 50,000 ekor ayam itu dijalankan di Wisma PKPS di Shah Alam serta Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.