Categories
AGENDA NASIONAL

12 pegawai penguat kuasa disyaki terlibat Geng Nicky ditahan

JOHOR BAHRU, 27 APRIL: Seramai 12 pegawai penguat kuasa disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah terancang yang didalangi ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee ditahan di beberapa negeri setakat hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 10 pegawai polis dan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berusia lingkungan 35 hingga 49 tahun.

Beliau berkata mereka ditahan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan, pada 21 April hingga hari ini menerusi Ops Pelican 3.0 Fasa 2.

“Tangkapan melibatkan dua pegawai berpangkat Superintendan (Supt) yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Inspektor di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Tiga lagi bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, masing-masing berpangkat Deputi Superintendan (DSP) di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Asisten Superintendan (ASP) (Cawangan Khas) dan Inspektor di JSJ IPK manakala seorang bertugas sebagai Inspektor di Ibu Pejabat Daerah Ampang Jaya,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata tangkapan turut melibatkan seorang pegawai berpangkat DSP yang bertugas di JSJ, IPD Melaka Tengah manakala di IPK Kuala Lumpur pula melibatkan dua pegawai berpangkat ASP masing-masing bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di IPD Sentul.

Menurutnya, tangkapan di IPK Negeri Sembilan pula melibatkan pegawai berpangkat Inspektor bertugas di Pulapol Air Hitam sementara tangkapan di SPRM pula melibatkan dua pegawai berpangkat Penolong Pesuruhjaya dan Penguasa SPRM di Putrajaya.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan selama 28 hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 130V hingga Seksyen 130ZB Kanun Keseksaan Bab VI B Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 SOSMA.

Tangkapan terbaru itu menjadikan seramai 64 individu sudah ditahan disyaki terlibat dengan kumpulan Geng Nicky, tambahnya.

“Polis Johor akan terus menjalankan siasatan susulan, untuk mengenal pasti saki-baki individu yang terlibat, kami percaya akan ada lagi dari agensi penguatkuasaan yang akan ditangkap,” katanya.

Pada 30 Mac lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Hamid Bador mendedahkan terdapat 34 pegawai dan anggota agensi penguatkuasaan disyaki bersekongkol dengan kumpulan Geng Nicky.

Dalam sidang akhbar sama, Abdul Hamid turut dilaporkan sebagai berkata seramai 68 ahli kumpulan jenayah terbabit diberkas termasuk lapan orang kenamaan bergelar Datuk Seri dan Datuk.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

18 anggota keselamatan disyaki terlibat sindiket jenayah ditahan

JOHOR BAHRU, 18 JUN: Demi bayaran RM500 hingga RM1,000 sebulan, sekumpulan pegawai dan anggota pasukan keselamatan dipercayai sanggup menjual maklumat kepada sindiket penyeludupan pendatang asing dan dadah di Johor.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata 18 pegawai serta anggota, polis dan tentera ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan itu, dalam operasi sejak tiga hari lepas.

Beliau berkata mereka terdiri daripada lima pegawai dan anggota ATM berlainan pangkat, seorang pegawai polis berpangkat ASP yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini ,12 anggota berpangkat rendah iaitu sembilan daripadanya bertugas di IPD Kota Tinggi, dua di Bukit Aman dan seorang Polis Marin Wilayah Dua.

“Kesemuanya lelaki, berusia di antara 24-41 tahun, ditahan oleh petugas Jabatan Siasatan Jenayah Johor (JSJ),” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Menurutnya perkara ini terbongkar susulan penahanan 40 ahli kumpulan sindiket jenayah terancang yang terlibat kegiatan penyeludupan pendatang asing di negeri ini pada 4 Jun lepas, dan mereka dipercayai terlibat dengan kegiatan penyeludupan migran serta dadah di kawasan Pantai Timur Johor semenjak tiga tahun lepas.

Ayob Khan berkata hasil siasatan mendapati kesemua suspek disyaki berperanan dalam menyalurkan maklumat operasi, bersekongkol dan menyembunyikan maklumat bagi memudahkan urusan penyeludupan.

“Ini sindiket jenayah terancang kerana melibatkan pelbagai pihak, kita tidak akan bertolak ansur kerana didapati sudah tiga tahun beroperasi, ia beri impak dan kesan kepada operasi-operasi yang kita jalankan. Ia tidak boleh dibiarkan, tidak kira pangkat kita akan tangkap,” katanya.

“Tunggu dan lihat hasil siasatan kita nanti. Malah ada satu insiden, anggota dan pegawai yang dapat berurusan dengan tekong untuk menyeludup migran dan syabu dengan satu transaksi sahaja, nereka dapat sehingga RM10,000,” tambahnya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 130V sehingga Seksyen 130ZB BAB VIB Jenayah Terancang, Kanun Keseksaan dengan mengguna pakai prosedur siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012 SOSMA.

-BERNAMA