Categories
NASIONAL

Rakyat makin terbeban, masih ramai miskin

 

SHAH ALAM, 27 OKT: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya usaha kerajaan pimpinannya mula menampakkan hasil dalam merungkai kesengsaraan rakyat berdepan cabaran ekonomi semasa disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail berkata, realitinya rakyat semakin terbeban dan masih ramai yang hidup dalam kemiskinan.

“Walaupun median pendapatan bulanan isi rumah RM4,585 pada 2014 meningkat kepada RM5,228 pada 2016 dengan kadar pertumbuhan pertumbuhan 6.6 peratus setahun pada nilai nominal, namun ia bukan ukuran untuk kerajaan ‘berkokok’ bahawa kehidupan rakyat sudah selesa serta lepas daripada kesengsaraan.

“Bagaimana pula dengan kenaikkan harga barang yang menyusahkan rakyat dan tidak selari dengan pendapatan mereka?

“Kenaikan harga bahan api misalnya mengakibat kos pengangkutan meningkat, membentuk pula kesan berantai kepada kenaikan beberapa kos sara hidup lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 20 Oktober lalu, Najib berkata usaha kerajaan kini mula menampakkan hasil apabila pendapatan rakyat dalam kumpulan berpendapatan rendah B40 dan pertengahan M40 meningkat dengan begitu ketara.

Mengambil contoh Indeks Harga Pengguna (CPI), Adun Bandar itu berkata, bagi bulan Mac 2017 naik ke paras 5.1 peratus berbanding Februari 2017 pada paras 4.5 peratus kerana peningkatan mendadak kos barangan dan perkhidmatan dalam kumpulan pengangkutan.

“Ini jelas memberikan kesan buruk kepada rakyat. Apakah kerajaan fikirkan perkara ini?

”Bukan itu sahaja, peningkatan kadar inflasi juga memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat yang mencatatkan rekod sejak krisis kewangan dunia sedekad lalu.

”Bahkan, Malaysia telah merekodkan kadar inflasi sebanyak 4.3 peratus setahun pada September, yang tertinggi sejak bulan Mac akibat peningkatan kos pengangkutan dan harga bagi makanan dan minuman bukan alkohol,” katanya.

Katanya, pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga langsung tidak membantu meringankan beban rakyat, sebaliknya menambah beban termasuk menambahkan lagi jumlah miskin bandar.

“Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga tidak membantu menampung hidup rakyat kerana ia hanya pemberian ‘one-off’ yang bersifat sementara.

”Berhentilah Najib daripada memperbodohkan rakyat, rakyat sudah buka mata dan bijak menilai,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Lagi janji manis Umno-BN…

OLEH AZAN ISMAIL

SHAH ALAM, 24 APRIL: Saya mengambil maklum agenda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang semakin terdesak meraih undi apabila menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pemuliharaan Muara Sungai Kuala Besut, Terengganu sedangkan perkara seumpamanya ditabur setiap kali menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Berdasarkan laporan portal Utusan Malaysia bertarikh 16 April lalu, ‘Najib lancar pelaksanaan Gerbang Pelancongan Antarabangsa Terengganu’, projek yang menelan belanja RM250 juta itu dikatakan bakal memberi manfaat kepada industri pelancongan dan nelayan tempatan.

1. Projek ini sebenarnya dijanjikan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut pada 24 Julai 2013 dan diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

2. Calon BN dan kini ADUN Tengku Zaihan Che Ku Rahman, iaitu seorang bekas jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran daerah Besut dikatakan terlibat bersama jabatan dan agensi pelaksana membuat kajian serta cadangan mendalamkan kuala sungai termasuk membina benteng pemecah ombak.

3. Persoalannya, setelah hampir 4 tahun projek itu mendapat kelulusan, mengapakah baharu sekarang kerajaan beria-ria untuk melaksanakannya? Mengapakah tidak dibuat sebaik sahaja mereka memenangi kerusi Kuala Besut? Apakah janji kempen PRK dulu hanya ‘gula-gula’ untuk para pengundi?

4. Sepatutnya Kuala Besut dari dulu lagi dibangunkan kerana sebagai hub pelancongan di Terengganu kerana merupakan pintu masuk ke Pulau Perhentian, yang mendapat pengiktirafan dalam senarai rangkaian CNN sebagai pulau ke-13 terbaik dunia. Prasarana pelancongan bertaraf dunia juga sewajarnya sudah lama dibangunkan jika kerajaan benar-benar serius melakukannya.

Azan_Ismail5. Selain itu, kerajaan melalui Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada 15 April 2017 turut menabur janji kepada rakyat yang bakal dipilih bagi menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Bukit Nanas dan yang sudah menduduki di Padang Hiliran akan disediakan skim sewa beli kepada penghuni yang menyewa di kawasan-kawasan perumahan itu jika BN menang Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

6. Suka diingatkan, penduduk Terengganu dari dahulu lagi menghadapi masalah perumahan akibat sikap cuai dan tidak bertanggungjawab kerajaan. Kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah perumahan di Terengganu bukan perkara baru, malah diakui sendiri oleh Exco Kemajuan Luar Bandar, Usahawan Koperasi & Penggunaan Negeri, Nawi Mohamad (30 Ogos 2016). Bolehkah kerajaan memberi penjelasan apa sudah jadi kepada projek Rumah Mampu Milik (RMM) di Taman Sri Gemilang, Kerteh? Bagaimana pula dengan nasib pembeli rumah di Padang Setengge, Kuala Berang?

7. Perbuatan ‘merasuah’ rakyat menjelang PRU seperti dilakukan Razif dan Najib ini amat menjijikkan, apatah lagi rasuah itu dibuat menggunakan duit rakyat pula. Saya juga kesal dengan perilaku mereka yang hanya akan memberikan kemudahan kepada pengundi Umno BN semata, walhal dalam amalan demokrasi semua rakyat berhak mendapat kemudahan secara sama rata tanpa mengira ideologi dan siapapun yang mereka pilih.

8. Sehubungan itu, saya mendesak kerajaan Umno BN untuk mengemukakan bukti bahawa kesemua janji mereka pada PRU13 lalu dalam manifesto termasuk tambahan 18 perkara baharu, sudah tertunai. Apakah ia sudah dilaksanakan atau sekadar janji ‘manis di bibir’ saja? Janji dulu pun tidak berjaya dinikmati rakyat, sekarang tabur lagi seribu janji.

*Azan Ismail adalah ADUN Bandar dan Pengerusi KEADILAN Terengganu

Categories
NASIONAL

Najib muka tak tahu malu, mustahil akan letak jawatan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 MEI : Krisis kepimpinan yang berlaku di kalangan Umno Terengganu dilihat satu lagi kegagalan kepimpinan presiden parti itu yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Azan Ismail, berkata Najib harus mengikut jejak langkah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said untuk meletak jawatan.

Katanya, krisis yang berlaku menunjukkan betapa Najib lemah dalam pentadbirannya hingga memecah belah sebuah kerajaan negeri.

“Kalau di peringkat persekutuan, mungkin Najib ada ramai pembantu yang tolong dia mentadbir dan menguruskan pelbagai hal.

NEWS“Tetapi nampaknya tidak di peringkat negeri. Ini salah Najib kerana melakukan keputusan secara tergesa-gesa dan langsung tidak fikir kepentingan rakyat.

“Patutnya dia juga letak jawatan, ikut Ahmad Said,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau dihubungi bagi mengulas tindakan letak jawatan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said semalam diikuti upacara angkat sumpah jawatan itu oleh penggantinya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.

Ahmad Said yang juga ADUN Kijal turut mengisytiharkan keluar Umno dan berkata keputusan itu dibuat ekoran tidak puas hati dengan masa pertukaran Menteri Besar yang dibuat beberapa hari sebelum perkahwinan anaknya, pada 17 Mei ini.

Azan IsmailMengulas lanjut, Azan bagaimanapun menjangkakan Najib tidak akan sesekali mengikut jejak Ahmad Said untuk meletak jawatannya, sebaliknya akan terus mempertahankan segala kedudukan yang ada.

“Kalau di Korea kapal karam, Perdana Menterinya letak jawatan hanya beberapa hari selepas insiden kerana rasa tanggungjawabnya kuat.

“Kita di Malaysia, kapal terbang hilang tetapi Perdana Menteri muka tebal tidak mahu lepas jawatan, apa lagi setakat di Terengganu. Tetapi apa hendak dihairankan, Altantuya mati juga dia boleh rilek,” katanya.

Datuk-Seri-Ahmad-SaidSelepas Ahmad Said keluar Umno, Azan turut mengesahkan lima lagi ADUN Umno turut isytihar tindakan sama dan bergelar bebas iaitu Ghazali Taib (Ajil), Roslee Daud (Bukit Besi), Datuk Mohd Jidin Shafie (Permaisuri), Rosli Othman (Kemasik) dan Nawi Mohamad (Hulu Besut).

Dengan perkembangan terbaru di Terengganu, Barisan Nasional (BN) kini hanya minoriti dengan 11 kerusi sementara Pakatan Rakyat (PR) kekal 15 kerusi.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Dewan Negeri Terengganu dijangka bubar, 6 ADUN Umno keluar parti

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 MEI : Dewan Negeri Terengganu dijangka dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri ekoran krisis politik yang berlaku dalam Kerajaan Negeri di kalangan wakil rakyat Umno.

Memetik portal Tranungkite.com, setakat ini dikhabarkan seramai enam orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno mengisytiharkan keluar parti itu dan bergelar wakil rakyat bebas.

Mengulas desas desus itu, ADUN Bandar, Azan Ismail (PKR) mengesahkan perkembangan yang berlaku dan mendakwa Barisan Nasional (BN) secara automatik gugur sebagai Kerajaan Negeri di Terengganu.

Azan Ismail“Secara mudahnya, Umno dan BN hanya minoriti, maka tidak layak untuk membentuk kerajaan. Tetapi, upacara rasmi untuk angkat sumpah mengganti kerajaan yang ada masih belum diadakan, kita tengok apa yang berlaku.

“Kemungkinan juga akan ada usaha untuk menarik mereka ini masuk Umno semula,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Krisis itu timbul apabila Bekas Menteri Besar Terengganu yang juga ADUN Kijal Datuk Seri Ahmad Said bertindak meletak jawatan tidak lama selepas penggantinya Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah memegang jawatan di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, semalam.

Beliau mendakwa tidak puas hati dengan masa pertukaran menteri besar yang dibuat beberapa hari sebelum perkahwinan anaknya, pada 17 Mei ini.

Malah, beliau turut membayangkan lebih ramai lagi ADUN negeri itu akan mengikuti langkahnya, namun tidak menyatakan bilangan tepat.

Datuk-Seri-Ahmad-SaidMengikut jejak langkah beliau setakat pagi ini adalah ADUN Ajil, Ghazali Taib dan Exco Kemajuan Luar Bandar Negeri yang juga ADUN Bukit Besi, Roslee Daud.

Sumber tidak rasmi turut menyatakan ADUN Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafie; ADUN Kemasik, Rosli Othman dan ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad turut mengambil tindakan sama keluar Umno dan bergelar ADUN bebas.

Bagaimanapun, Mohd Jidin dan Rosli melalui Berita Harian Online menafikan perkara itu sementara Nawi Mohamad gagal dihubungi.

Namun,  Azan turut mengesahkan lima lagi ADUN Umno turut isytihar tindakan sama dan bergelar bebas iaitu Ghazali Taib (Ajil), Roslee Daud (Bukit Besi), Datuk Mohd Jidin Shafie (Permaisuri), Rosli Othman (Kemasik) dan Nawi Mohamad (Hulu Besut).

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan 2014: Defisit negara dijangka bertambah hingga satu peratus

anwar belanjawan PR

SHAH ALAM 22 OKT: Belanjawan 2014 dijangka mencecah sehingga RM270 bilion membabitkan pertambahan kira-kira sembilan peratus berbanding RM260 bilion, berbanding Belanjawan 2013.

Pertambahan itu juga dijangka bakal menyebabkan defisit kewangan negara bertambah kira-kira 0.5 peratus hingga satu peratus.

Pengrusi PKR Terengganu, Azan Ismail, berkata belanjawan yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 25 Okotber ini mencatatkan defisit untuk kali ke-16 berturut-turut.

“Tahun ini jumlahnya adalah RM260 bilion, tetapi bakal ditambah lebih kurang RM10 bilion bagi 2014. Pertambahan ini menyebabkan defisit negara meningkat kira-kira satu peratus atau sekurang-kurangnya 0.5 peratus,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Azan berkata, pendekatan yang digunakan Najib yang juga Menteri Kewangan itu membuktikan kegagalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengawal perbelanjaan secara bertanggungjawab dan berhemah.

“Bagi Pakatan Rakyat (PR), kita tidak akan menjamin belanjawan seimbang tetapi cuba untuk membentangkan belanjawan yang defisitnya tidak terlalu tinggi.

“Jika pertambahan perbelanjaan RM10 bilion hingga RM15 bilion, hasil kita juga harus bertambah bagi mengekang pertambahan difisit lebih tinggi,” katanya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membentangkan ringkasan Belanjawan Alternatif yang berjumlah RM262 bilion, berbanding anggaran pendapatan sebanyak RM228 bilion dengan nilai defisit sebanyak RM34 bilion, pada 21 Okotber lalu.

Antara faktor penyumbang pengurangan terbabit termasuk emolumen yang direndahkan sebanyak 10 peratus membabitkan perbelanjaan operasi tidak termasuk emolumen dan usaha itu sebahagian langkah jangka panjang bagi mengurangkan bebanan hutang negara bernilai lebih RM500 bilion. -NFN-

Categories
SELANGOR

PR tangguh GST: Bantu tingkatkan pendapatan boleh guna rakyat

azan ismail

SHAH ALAM 21 OKT: Langkah menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat (PR) 2014 dilihat mampu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Peningkatan pendapatan boleh guna golongan itu menyebabkan kuasa membeli rakyat menjadi tinggi, sekali gus meningkatkan pengeluaran yang akhirnya memberi kesan positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Pahang, Azan Ismail, berkata pelaksanaan GST secara langsung turut membantu mengukuhkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi 2014 sebanyak 5.2 peratus yang diramal PR.

“Penangguhan GST bukan sahaja membantu menjaga kepentingan rakyat, tetapi realitinya mampu merangsang ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Azan berkata demikian ketika diminta mengulas ringkasan Belanjawan Alternatif PR 2014 oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga pakar ekonomi berkata, perlaksanaan GST sering menjadi pilihan utama golongan menengah kerana menganggap GST kononnya mampu meringankan bebanan mereka membayar cukai kepada kerajaan.

“Golongan kaya anggap GST sistem ‘lebih adil’ kerana mahu memindahkan bebanan cukai kepada semua termasuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Realitinya golongan kaya sering mendapat pelbagai pengecualian cukai sama ada secara sah atau sebaliknya dengan pelbagai cara. Kita juga tahu ada syarikat besar yang mendapat pelepasan cukai sangat besar sebagai potongan ke atas sumbangan dana yang dihulurkan kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Azan berkata, unjuran KDNK 5.2 peratus yang dibuat PR dibuat berdasarkan kajian dan ramalan peningkatan ekonomi global.

“Saya sendiri pada mulanya agak terkejut dengan ramalam 5.2 peratus, tetapi ini bukti memperlihatkan unjuran dibuat secara bertanggungjawab berdasarkan perkembangan ekonomi global dan demi pertumbuhan positif ekonomi negara, bukan sesuka hati,” katanya. -NFN-

 

Categories
SELANGOR

PKR Dakwa ‘Ada Sesuatu’ Punca Laporan Audit Negara Lewat

KUALA LUMPUR 17 OKT : PKR hari ini mendakwa ‘ada sesuatu’ berhubung kelewatan laporan Ketua Audit Negara 2011 yang dikeluarkan Isnin lalu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, selepas disemak pihaknya mendapati laporan itu sebenarnya sudah disahkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Amrin Buang pada 12 Jun dan laporan penuhnya pada 25 Julai lalu.

Katanya, sekiranya sudah disahkan oleh Ketua Audit Negara secara keseluruhannya, maka tiada sebab perlu dilambatkan dan memberikan alasan proses audit tidak lengkap.

“Kelewatan hampir sebulan, tahun lepas dua minggu. Ini bukan berpunca daripada proses pengauditan tetapi ada masalah lain yang tidak dinyatakan.

“Saya yakin ada perkara lain yang tidak dinyatakan. Perkara ini disengajakan supaya tidak diteliti oleh ahli parlimen untuk memberikan hujah dalam sesi perbahasan,” katanya dalam sidang media di lobi parlimen.

Selain itu, Azan berkata dalam lampiran muka surat 100, turut dikejutkan dengan penemuan audit yang mendapati hampir 70 peratus daripada 301 pejabat persekutuan tidak mematuhi kaedah pentadbiran kewangan yang sepatutnya.

“Jadi siapa yang mahu jawab isu kebocoran ini? Ini bermakna teguran Ketua Audit sebelumnya yang mengatakan terdapat ketirisan masih tidak diperbaiki.

“Itu sebab lambat, tidak mahu isu teguran atau penemuan yang menakutkan ini diketahui lebih awal. Boleh jadi ada kemungkinan terdapat audit kedua dilakukan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Misteri Kehilangan Item Penting Dalam Buku Anggaran Perbelanjaaan Persekutuan 2013

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Ketiadaan beberapa item penting yang wajib ada dalam buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2013 menimbulkan tanda tanya samada wujud keadaan kerajaan Umno-BN mahu menyembunyikan sesuatu.

Antara item penting yang hilang ialah kedudukan Penyata Kewangan Pada 31 Disember 2012, Kumpulan Wang Berkanun Kerajaan Bagi Anggaran Kumpulan Wang Seperti 31 Disember 2012 dan Penyata Hutang Awam dan Jaminan Seperti 31 Disember 2012.

Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail penyata-penyata tahunan itu sebelum ini tidak pernah gagal dimasukkan dalam buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan.

“Ini adalah penyata yang sangat penting dan saya tak fikir ia berlaku tanpa disengajakan.

“Bila penyata ini hilang, tentulah menimbulkan tanda tanya adakah kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu,” kata Azan dalam sidang media yang diadakan di lobi parlimen hari ini.

Dalam sidang media tersebut, Azan turut menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan tahun sebelumnya yang mengandungi laporan-laporan hilang itu.

Beliau turut menuntut kerajaan Umno-BN agar bertanggungjawab dan harus memberikan jawapan atas ketiadaan penyata penting itu.

Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2013 diedarkan kepada Ahli Parlimen bagi memudahkan mereka membuat rujukan dan semakan terhadap Belanjawan 2013 yang dibentangkan Jumaat lalu.

Turut berada dalam sidang akhbar sama, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne-Loh.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SPRM Digesa Siasat Dakwaan Tawaran RM5 juta Lompat Parti

SHAH ALAM 30 JUN : Pemuda PAS mengesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail bahawa beliau pernah ditawarkan RM5 juta untuk lompat ke BN pada tahun 2010.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor berkata, rasuah membeli Ahli Parlimen adalah permainan politik paling jijik yang dilakukan oleh golongan yang terdesak untuk mendapat kuasa dengan cara yang tidak bermaruah.

“Meskipun beliau (Azan) mendedahkan isu ini setelah dua tahun peristiwa ini berlaku, namun implikasinya amat besar terhadap insititusi parlimen sebagai badan tertinggi yang menggubal dasar negara,” kata Riduan dalam kenyataan medianya.

Menurut Riduan, tugas sebagai Ahli Parlimen adalah bersuara dengan membela rakyat, khususnya untuk pengundi di kawasannya, bukan untuk diperdagangkan menurut kemahuan nafsu segelintir elit semata-mata.

“Adakah ia arahan pemimpin-pemimpin tertentu yang berkepentingan serta mempunyai kuasa dalam negara ini.

“Ia perlu didedahkan supaya petualang-petualang ini mendapat pengajaran dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan,” katanya.

Justeru, siasatan menyeluruh perlu dilakukan termasuk senarai di antara yang menerima tawaran tersebut dan menerimanya atau sebaliknya.

“Tidak ada kemaafan bagi mereka yang cuba menghancurkan integriti negara dan merosakkan masyarakat dengan jenayah rasuah seperti ini,” ujarnya.