Categories
SELANGOR

MDSB utamakan pelaksanaan pembangunan ikut prosedur

OLEH HAFIZAN TAIB

SABAK BERNAM, 17 NOV: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) menekankan segala pembangunan di daerah itu dilaksanakan mengikut prosedur dan undang-undang ditetapkan.

Yang Dipertua MDSB, Azlinda Azman, berkata ia adalah penting demi kelancaran setiap perancangan diatur demi kebaikan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dan masyarakat setempat.

“Fokus kita ialah memastikan setiap pembangunan dirancang di daerah ini dijalankan dengan tersusun dan mengikut undang-undang.

“Ia penting untuk dipatuhi juga mengikut jangka masa ditetapkan supaya tidak timbul sebarang masalah kemudiannya,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari jni.

Berhubung peruntukan belanjawan tahun depan, beliau berkata, berbanding PBT lain, belanjawan MDSB adalah yang paling kecil dan terhad.

sabakIni kerana, katanya, dari segi peratusan bagi MDSB ialah 40 peratus adalah hutan simpan, 40 peratus pertanian atau sawah padi dan selebihnya 20 peratus sahaja bagi pembangunan yang mana kebanyakannya telah dilaksanakan.

“Ia satu kekangan bagi kita untuk mencari hasil yang baru namun kita cuba memaksimakan semampu boleh untuk kita pastikan apa juga hasil diterima akan diguna pakai untuk kebajikan dan kesinambungan masyarakat setempat.

“Kita akan pastikan setiap peruntukan diterima daripada Kerajaan Negeri digunakan sebaiknya mengikut keperluan dan kemampuan serta mengelak pembaziran,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Sabak Bernam miliki pakej majukan pelancongan

OLEH HAFIZAN TAIB

SABAK BERNAM, 17 NOV: Sabak Bernam mempunyai pakej unik yang mampu menggamit kehadiran pelancong ke sini seterusnya merancakkan industri pelancongan di Selangor.

Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Azlinda Azman, berkata daerah itu terkenal dengan kehijauan bendang yang memberikan pengalaman dengan suasana berbeza kepada pengunjung.

“Selain bendang, Sabak Bernam juga mempunyai tarikan lain seperti rumah inap (homestay) di mana kalau tinggal di situ dilakukan juga aktiviti sampingan seperti memancing belut, gagau ikan dan sebagainya.

“Ia juga terkenal dengan sajian makanan laut serta produk barangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berasaskan pertanian,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

pelancongan-desaBeliau berkata, dari sudut geografi, Sabak Bernam sangat istimewa ekoran ia dikelilingi bendang, hutan simpan, sungai dan laut.

Katanya, mereka yang berkunjung ke sini dapat merasai suasana desa sebenar seperti masa dahulu.

“Kita dapat melihat aktiviti masa lalu seperti kanak-kanak mandi di tali air, menangkap ikan, melihat kapal di bagan dan yang lain.

“Untuk menikmati suasana sebegini maka perlu datang ke Sabak Bernam,” katanya.

Beliau berkata, MDSB juga mengadakan pelbagai program dan aktiviti bersesuaian di sepanjang tahun bagi memenuhi kehendak masyarakat setempat dan pengunjung di sini.

-nR-

Categories
SELANGOR

MDSB rangkul tujuh emas dalam SUKSES

SHAH ALAM, 15 NOV: Majlis Sukan Daerah Sabak Bernam mengungguli acara tekwando selepas berjaya merangkul enam pingat emas dalam Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) ke-11.

Kejayaan itu nyata menggembirakan Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Azlinda Azman selepas mereka berjaya membawa pulang tujuh pingat emas secara keseluruhan dengan satu lagi pingat disumbangkan menerusi acara memanah individu.

Katanya, meskipun terpaksa bersaing dengan daerah lain namun, pecapaian pungutan pingat kali ini jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

YDP MDSB Azlinda Azman“Pengurusan sesebuah organisasi sukan yang baik mampu melahirkan atlet cemerlang sekali gus mengharumkan nama daerah ini sama ada di peringkat negeri mahu pun negara.

“Komitmen semua pihak amat diperlukan dalam memastikan bidang sukan ini mampu meraih kejayaan lebih cemerlang pada masa depan,” katanya.

Selain meraih pingat emas, MDSB juga berjaya meraih 16 pingat perak dan 15 pingat gangsa dalam 13 acara keseluruhan yang dipertandingkan pada SUKSES kali ini.

Majlis Sukan Daerah Sabak Bernam hanya menyertai 12 daripada 13 acara tersebut selepas menarik diri saat akhir dalam acara tenpin boling.

-nR-

Categories
SELANGOR

Bangunan Lama JAIS Klang Diwartakan Bangunan Warisan


KLANG, 6 JULAI : Landskap seni bina bandar Klang akan diperkayakan lagi dengan satu lagi bangunan lama yang akan diwartakan sebagai bangunan warisan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).

Bangunan Pejabat Agama Islam Daerah Klang di Jalan Dato Hamzah berusia genap 100 tahun akan dipelihara kerana sejarah dan seni binanya yang unik.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin berkata, bangunan tersebut dibina pada tahun 1912 dan mengalami pelbagai proses perubahan pentadbiran.

Menyingkap kembali sejarah bangunan tersebut Marzuki berkata, bangunan ini pada asalnya merupakan Istana Hinggap Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Suleiman yang merupakan Sultan Selangor pada ketika itu.

“Namun begitu, pada tahun 1941, bangunan ini berpindah milik dan dijadikan markas pemerintahan Jepun dan dikenali sebagai JUNTAI,” katanya.

Katanya, pada tahun 1949, Pejabat Lembaga Bandaran Klang mengambil alih bangunan ini sebagai pejabatnya dan akhirnya pada tahun 1965 diserahkan kepada JAIS.

Walaubagaimanapun, JAIS diarahkan berpindah ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tahun 1977 dan bangunan lama ini dijadikan Pejabat Agama Islam Daerah Klang dan Mahkamah Tinggi/Rendah Syariah sehingga tahun 2010.

Marzuki berkata demikian di dalam ucapan ajlis penyerahan bangunan ini kepada PADAT di sini hari ini.

Majlis bersejarah ini dihadiri Orang Kaya Maha Bijaya Klang, Datuk Setia Diraja Abdul Ghani Pateh Akhir, Pengerusi PADAT, Dr Shafie Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Azlinda Azman dan Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Klang, Abdul Malek Ramli.

Pengerusi PADAT, Dr Shafie berkata, usaha akan dijalankan bagi memulihara bangunan ini sebagai suatu warisan sejarah yang tidak ternilai harganya.

“Bangunan ini barangkali sudah ditinggalkan beberapa tahun dan terdapat keuzuran dan kerosakan yang perlu dibaikpulih dan perlu dipelihara sebagai suatu sejarah kerana keunikkannya,” katanya yang juga Adun Bangi.

Selain itu, majlis bersejarah ini juga menyaksikan upacara pertukaran dokumen dan pemberian kunci bangunan diantara JAIS dan PADAT sebagai simbolik kepada penyerahan bangunan ini.

Categories
SELANGOR

Dr Shafie : Konsep Interaktif Tarik Masyarakat Lawati Muzium

 

SHAH ALAM 23 MEI: Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Dr Shafie Abu Bakar memberitahu pihaknya kini mempergiatkan usaha menarik minat orang ramai terhadap muzium terutamanya menerusi kaedah teknologi komunikasi.

Usaha ini bagi menyahut saranan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu PADAT mencari inisiatif bagi menarik rakyat mendekati muzium yang terdapat di Selangor.

“Jika kita mahu segala khazanah kita ini dikenali, kita mesti melakukan sesuatu untuk membawa muzium kita kepada rakyat dan bekerja keras untuk menarik minat mereka ini,” jelas Abdul Khalid.

Menteri Besar berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Muzium Sultan Alam Shah di sini.

Mengulas lanjut tentang perancangannya, Dr Shafie berkata, selain menambah koleksi terbaru dan menarik di muzium, pihaknya juga akan menggunakan medium komunikasi seperti ‘facebook’ untuk membawa muzium terus kepada masyarakat agar mereka kenal dan tahu apa yang terdapat di dalam muzium.

“Selaras dengan kecanggihan teknologi terkini, kami juga dalam rangka kerja untuk memperkenalkan muzium sukan yang berkonsepkan interaktif, contohnya, pengunjung boleh bermain bola tanpa perlu menendang bola sebenar.

“Kami juga akan menyediakan ruang-ruang kedai sukan di dalamnya untuk menjadikannya lebih dari sekadar muzium, yang mana di samping berehat mereka juga dapat melakukan aktiviti membeli-belah di dalam premis yang sama,” ulas Dr Shafie.

Majlis tersebut turut dihadiri Exco Adat Melayu, Dr. Ahmad Yunus Hairi, Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Azlinda Azman.

Sambutan Hari Muzium Antarabangsa peringkat negeri akan berlangsung selama enam hari bermula 22 Mei sehingga 26 Mei ini bertempat di Muzium Sultan Alam Shah.