Categories
NASIONAL

Umno-BN Selangor Seperti ‘Menepuk Air Di Dulang, Terpercik Muka Sendiri’

charles santiago

SHAH ALAM, 11 APRIL : Kelakuan Umno-BN menggunakan isu air untuk merampas kembali Selangor ibarat seperti ‘menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri’, kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Menurutnya, isu air sebenarnya kekuatan Pakatan Rakyat (PR) dan tarikan untuk rakyat kekal mengundi PR.

“Orang ramai bukan bodoh untuk faham. Kalau mereka (Umno-BN) gunakan isu itu, ia akan menjadi kekuatan pada PR lebih daripada kekuatan kepada Umno-BN,” katanya ketika dihubungi.

Tiga perkara pokok yang menunjukkan kekuatan PR ialah pemberian air percuma, menyelesaikan kes gangguan air di Ampang dan pemberian saham air kepada rakyat.

“Saya fikir ini satu strategi mereka yang lemah dan tidak akan berjaya kerana sekarang Kerajaan Negeri Selangor memberikan air percuma kepada rakyat, itu membuatkan rakyat senang hati,” katanya.

Perkara kedua, jelas menunjukkan kelemahan Syarikat Bekalan Air Selangor Syabas. Bukan masalah air tidak cukup tetapi kegagalan Syabas memproses air untuk kegunaan rakyat.

Jelasnya, Syabas bekerja kuat dengan Umno-BN untuk memberikan pandangan negatif orang ramai terhadap Kerajaan Negeri.

“Dan yang lebih besar ketika ini, saham air untuk rakyat. Kerajaan Negeri tawar untuk memberi saham itu kepada rakyat, jadi keuntungannya akan dikongsi bersama rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, isu air yang dikatakan akan menjadi isu panas seperti yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Noh Omar sebenarnya tidak melemahkan PR.

Sebelum ini, Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan meramalkan BN Selangor akan menggunakan isu air sebagai ?senjata? utama dalam manifesto khusus untuk negeri itu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.