Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Semua sektor ekonomi di Klang boleh beroperasi

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Industri dan aktiviti ekonomi di daerah Klang dibenarkan untuk terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan yang ketat kepada tatacara operasi piawai (SOP), kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan situasi kesihatan semasa di daerah tersebut dan kepentingan menjamin kemampanan ekonomi.

“Pihak berkuasa telah diarah untuk meningkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP untuk menjamin keselamatan pekerja dan rakyat di daerah Klang.

“Kerajaan menyedari syarikat dan industri termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah melabur untuk mewujudkan kemudahan dan langkah-langkah keselamatan serta protokol kesihatan tambahan di premis pekerjaan masing-masing sejak kerajaan membuka semula operasi sektor ekonomi pada awal Mei 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke-22 secara maya yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat tersebut membincangkan secara khusus isu penularan pandemik Covid-19 termasuk situasi kes-kes Covid-19 terbaru di daerah Klang.

Sehubungan itu, katanya kementerian ingin mengingatkan syarikat dan industri yang berkaitan bahawa wajib mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Kegagalan syarikat untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan operasi dihentikan serta-merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut akta dan peraturan semasa,” katanya.

Azmin berkata keputusan kerajaan ini mengambil kira keperluan untuk mengimbangi perlindungan keselamatan dan kesihatan rakyat serta menjamin kelangsungan pekerjaan dan usaha mencerdaskan ekonomi selain memastikan tiada gangguan rantaian bekalan seperti logistik, pengangkutan, makanan dan minuman dan lain-lain lagi.

“Dalam memastikan keberkesanan dan kemampanan fasa pemulihan ekonomi pada masa ini, kerajaan bertegas untuk tidak akan berkompromi dalam usaha menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat,” katanya.

Selangor menyumbang 24 peratus kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia dan 30 peratus daripada keseluruhan sektor pembuatan negara.

Dari aspek pasaran buruh, terdapat hampir 3.5 juta pekerja di Selangor iaitu 23.2 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga buruh negara.

Daerah Klang merupakan pusat aktiviti perindustrian yang besar dan merupakan hab utama bagi pelabuhan kontena di Malaysia, dengan sumbangan aktiviti perdagangan di Pelabuhan Klang melebihi RM400 bilion pada 2019.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kaji semula penutupan khidmat tambah nilai kad Touch ‘n Go – Azmin

KUALA LUMPUR, 7 NOV: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) digesa mengkaji semula keputusan menutup perkhidmatan tambah nilai kad Touch ‘n Go (TnG) di lorong keluar plaza tol milik syarikat itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PLUS perlu mengambil kira pandangan pengguna yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan tindakan itu.

Katanya, langkah menutup lorong tambah nilai TnG itu mungkin keputusan yang diambil pengurusan syarikat berkenaan.

PLUS menamatkan khidmat tambah nilai TnG berkenaan mulai 5 Nov bagi mengurangkan kesesakan ekoran aktiviti tambah nilai di semua plaza tol di wilayah utara (antara Hutan Kampung dan Ipoh Utara) dan wilayah selatan (antara Seremban dan Skudai).

“Saya berharap pihak pengurusan PLUS dapat meneliti semula keputusan tersebut dengan mengambil kira pandangan pengguna lebuh raya.

“Dan mereka (PLUS) harus menyediakan pilihan bagi kemudahan pengguna,” kata Mohamed Azmin kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tegas Mohamed Azmin, PLUS perlu memberi perhatian terhadap pandangan yang disuarakan pengguna termasuk badan bukan kerajaan (NGO) memandangkan kemudahan itu selama ini memberi keselesaan kepada mereka selaku pengguna lebuh raya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pertemuan Anwar, Azmin tak sentuh isu politik

KUANTAN, 16 OKT: Perjumpaan ringkas antara Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berlangsung di ruang istirahat Parlimen semalam, langsung tidak menyentuh mengenai politik.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut menyertai pertemuan itu sehingga digelar sebagai ‘saksi hidup’ dalam pertemuan minum kopi yang berlangsung selama kira-kira setengah jam itu.

“Kami berbincang mengenai perkara serius dan fokus kepada urusan kerajaan, belanjawan dan sektor penerimanya… tapi ia berlangsung dalam keadaan yang ‘jovial’ dan tidak sampai kepada isu parti yang berat.

“Anwar menyentuh tentang kira-kira kadar kemiskinan yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mohamed Azmin menyebut tentang mekanisme yang diguna pakai oleh kerajaan,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Wacana Bersama Menteri dan Pelancaran Program Food Bank Siswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) di kampus Gambang di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

Beliau diminta mengulas pertemuan dua pimpinan tertinggi PKR itu yang didakwa tidak sehaluan sejak tahun lepas, yang dirakamkan berlangsung di Parlimen semalam, dengan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut membuat catatan berhubung perkara itu di Twitter.

Pertemuan itu, menurut Saifuddin Nasution, juga berlaku secara spontan selepas beliau selesai menjawab soalan pada persidangan Parlimen dan Anwar memberikan isyarat kepadanya untuk minum kopi dengan secara kebetulan Mohamed Azmin berada di ruang istirahat itu.

“Kami berbincang sambil berdiri seperti biasa sehingga Anwar menegur tak akan hendak berdiri sahaja?… Semuanya seperti biasa dan hanya orang menggambarkan mereka berperang sedangkan hakikatnya tidak begitu dan tidak timbul pun perkara yang digembar-gemburkan itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Azmin: Saya ‘Cool’…

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengajak ahli parti bersalaman dan berdakap bagi mengeratkan saf perpaduan dalam kalangan anggotanya.

Beliau berkata, KEADILAN mampu menunjukkan contoh dan membuktikan kepada dunia bahawa parti itu mampu mengurus demokrasi dengan baik dan bertanggungjawab.

“Proses ini (pemilihan) walaupun ramai mengadu..tidak mengapa..sebab demokrasi ini memang proses riuh..di Sungai Petani riuh, Gombak pun riuh, di Pandan riuh, di Pensiangan pun riuh.

“Politik ini bukan pemilihan kuasa sahaja, tetapi nilai, adab, etika dan budaya baik. Ini uniknya KEADILAN lalui banyak cabaran, tetapi muncul sebagai parti kuat dan tekad membawa obor reformasi.

“Lihat sekeliling kita, kiri dan kanan apakah musuh kita? Tengok sebelah kanan dan kiri. Mereka bukan musuh kita, musuh kita ada di luar sana..dalam dewan adalah keluarga besar keadilan..dan kalau keluarga besar boleh bersalam berdakap erat tidak boleh gugat KEADILAN sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan di Kongres Nasional KEADILAN ke 13 yang bertemakan yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Mohamed Azmin menyingkap perjalanannya bagi merebut jawatan Timbalan Presiden sebelum ini bukannya senang dan percuma.

Bagaimanapun, beliau tetap tenang dan bersikap matang kerana berpegang prinsip ‘orang yang tenang akan berjaya selama-lamanya’.

“Tidak mengapa..jangan gundah gelana macam perang dunia ke ketiga. Apabila ada pemimpin bersikap matang, semua boleh diselesaikan.

“Saya berada di sini bukan percuma. Dari dulu kena lawan. Mula-mula Zahid, kemudian Khalid Ibrahim, lepas itu….Rafizi dia tidak lawan saya, tetapi menawarkan khidmat pada parti.

“Tiada masalah saya ‘cool’ sahaja..tenang..pesan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tenang. Tetapi dalam hati, dia tak tahu, aku kena serang kiri dan kanan, tetapi tak mengapa..orang yang tenang akan berjaya selama-lamanya,” katanya disambut gelak ketawa dan tepukan perwakilan di kongres itu.

Beliau turut berkongsi kisah ketika mahu merebut jawatan orang nombor dua dalam parti itu apabila berani mencabar Dr Syed Husin Ali.

Bagaimanapun, menarik diri apabila Anwar memintanya supaya tidak melawan gurunya.

“Anwar ada memanggil saya. Katanya, janganlah lawan Dr..dia pemimpin lama, cikgu saya. Betul..saya dengar dan akir nasihatnya sebab saya menghormati Dr kerana Dr melahirkan murid yang terbaik bukan sahaja di Malaysia tetapi juga dunia.

“Jadi, saya menarik diri. Kalau saudara-saudara ada resam yang sama, tenang dan ‘cool’. Tetapi kena terima demokrasi hari ini. Rafizi tawar diri pada penggal ini, penggal nanti tidak tahu lagi, saya dengar Sam (Shamsul Iskandar) nak lawan saya..Langkah mayat aku dulu,” katanya sambil ketawa.

 

Categories
EKONOMI NASIONAL

Azmin: FDI China masih dialu-alukan

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Malaysia mengalu-alukan pelaburan langsung asing (FDI) dari mana-mana negara, termasuk China, kerana ia memberi manfaat kepada negara melalui modal, teknologi, penciptaan nilai, pekerjaan dan pemindahan kemahiran, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata kerajaan akan terus terbuka untuk menerima sebarang FDI termasuk dari China, namun ia perlu mematuhi dan menghormati dasar yang telah ditetapkan dan mesti mewujudkan nilai serta peluang kepada penduduk tempatan.

“Kami mahu memastikan pelabur-pelabur asing akan menggunakan Malaysia sebagai destinasi akhir mereka untuk melaburkan modal dan pelaburan, dan ini pastinya akan mendorong pertumbuhan ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Bersama ‘Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Asia Tenggara’ oleh CIMB ASEAN Research Institute dan Pusat Hal Ehwal Antarabangsa, Diplomasi dan Strategi (IDEAS) LSE serta Siri Perbincangan Panel Meja Bulat ASEAN di sini, hari ini.

Azmin berkata Malaysia akan mendapat banyak keuntungan daripada BRI yang akan membantu merapatkan jurang infrastruktur dan kesalinghubungan antara Malaysia dan negara-negara ASEAN.

“Saya bersetuju dengan tanggapan dalam laporan bahawa BRI tidak seharusnya menjadi satu kemenangan untuk satu negara, tetapi sebaliknya berjaya untuk semua, sama seperti bagaimana Presiden Xi (Jinping) telah memanggil projek BRI sebagai ‘jalan untuk perdamaian’,” katanya.

Beliau berkata sehingga Ogos 2018, import dari China ke Malaysia mencecah RM116.9 bilion, antara yang tertinggi di kalangan negara-negara perdagangan, manakala eksport ke China berjumlah RM89.3 bilion, juga yang tertinggi di kalangan negara-negara lain.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Campurtangan Putrajaya, MB optimis selesai isu air negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 JUL: Penyelesaian isu air negeri bakal mencapai keputusan akhir selepas perbincangan mengenainya sudah dibuat secara komprehensif antara pengurusan Air Selangor, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, isu berkenaan diyakini mampu diselesaikan pada kadar segera, selepas mengambil kira fungsi pentadbiran Kerajaan kini.

“Saya komited dan berikrar untuk mencari penyelesaian terbaik bagi isu air Selangor bersama Kerajaan Persekutuan demi rakyat Selangor,” katanya di Twitter.

Kenyataan itu dibuat selepas Amirudin dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmie Diron mengadakan perbincangan bersama pengurusan tertinggi Air Selangor untuk mendapatkan penyelesaian menyeluruh isu berkenaan.

Terdahulu, kemelut penstrukturan air negeri sukar dicapai berikutan kegagalan perjanjian membabitkan kedua-dua pihak antara pentadbiran negeri dan Putrajaya sebelum ini yang ditadbir Barisan Nasional.

Pertikaian dilaporkan berlaku susulan wujudnya elemen berat sebelah yang disifatkan Kerajaan Negeri sebelum ini gagal menetapi kehendak keperluan rakyat Selangor.

Sementara itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar turut membayangkan jaminan perkara sama dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan.

“Apa yang penting sekarang adalah kita sudah bersedia untuk menyelesaikan isu air Selangor tidak lama lagi seperti yang dijanjikan,” katanya, lapor Berita Harian.

Dr Xavier sebelum ini juga pernah mengadakan pertemuan lanjutan bersama Dato’ Menteri Besar, membincangkan perkara itu.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Teruskan kecemerlangan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 26 JUN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengadakan pertemuan bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Pejabat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kompleks B, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, semalam.

Beliau yang ditemui SelangorKini selepas pertemuan lebih satu jam itu berkata, perkara yang dibincangkan antaranya mengenai Negeri Selangor terutama soal corak urus tadbir Kerajaan Negeri.

“Beliau (Mohamed Azmin) bertanyakan beberapa perkara seperti kerjasama antara barisan Exco, Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

“Alhamdulillah, kita ingin teruskan apa yang dinikmati dan perolehi sebelum ini selain memperkemaskan beberapa perkara bagi memastikan Negeri Selangor terus cemerlang serta kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara.

“Kita juga mahu kekalkan kedudukan sebagai peneraju kepada corak pentadbiran yang baik dalam negara kita,” katanya.

Menurutnya, isu pelaburan yang sering menjadi tumpuan di Selangor tidak disentuh secara spesifik dalam pertemuan itu.

“Ada beberapa pelan sudah berjalan dan ada perkara yang saya kurang maklum di peringkat awal ini maka saya bincangkan bersama beliau disamping memohon kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan terutama untuk memastikan segala perbelanjaan Kerajaan Negeri selepas ini benar-benar bermakna kepada rakyat.

“Setiap sen daripada Persekutuan juga akan dimanfaatkan untuk kebaikan dan kemakmuran Negeri Selangor,” katanya.

Categories
NASIONAL

Siti Nurhaliza beraya kunjungi Mohamed Azmin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 JUN: Selepas beraya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengambil kesempatan mengunjungi dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pula.

Dalam perkongsian terbaharu menerusi laman media sosial twitter dan facebook peribadi milik Mohamed Azmin, Siti bersama suami, Datuk Seri Mohamad Khalid Jiwa dan puteri sulung mereka, Siti Aafiyah hadir melawatnya dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin.

Siti pula memuat naik foto bersama Dato’ Menteri Besar Selangor itu menerusi instagram peribadinya semalam.

“Alhamdulillah, terima kasih datuk seri dan datin seri menerima kunjungan kami serta layanan mesra,” tulis Siti Nurhaliza di akaun instagramnya.

Beliau diantara salah seorang selebriti yang dilihat menyokong kuat pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) terutamanya Tun Mahathir.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sambutan luar biasa tanda semangat rakyat bersama kerajaan baru

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 15 JUN: Kehadiran luar biasa masyarakat berbilang bangsa di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri mencerminkan sokongan padu rakyat terhadap kerajaan baru Pakatan Harapan (PAKATAN).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sambutan diberikan rakyat terhadap majlis itu sangat luar biasa berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Suasana sambutan rumah terbuka aidilfitri Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ini menunjukkan semangat rakyat untuk bersama kerajaan baru sangat kuat menjelang pasca PRU14.

“Insha Allah dengan sokongan begini besar Kerajaan Pakatan Harapan akan memenuhi aspirasi rakyat Malaysia keseluruhannya, insha allah,” katanya kepada pemberita pada majlis yang diadakan di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, kehadiran masyarakat pelbagai kaum juga membuktikan kematangan rakyat menolak sentimen perkauman dan agama.

Katanya, keadaan ini dianggap sebagai petanda yang amat baik untuk Malaysia lebih maju ke hadapan.

Terdahulu, dianggarkan lebih 50,000 masyarakat berbilang bangsa hadir di Rumah Terbuka Perdana Menteri sejak awal pagi lagi.

Di samping menjamu selera dengan pelbagai juadah disediakan orang ramai turut tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan pemimpim PAKATAN yang hadir.

 

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Perutusan Dato’ Menteri Besar sempena EIDUL FITR 1439H

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illallahu Wallahu Akbar,
Allahu Akbar Wa Lillahil Hamd.

Syukur ke hadrat Allah SWT dan junjungan besar Nabi Muhammad SAW di atas kemenangan kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan Al-Kareem.

Ternyata perjuangan mengawal nafsu melalui proses penyucian diri –tazkiyatun nafs berjaya membentuk semula keperibadian yang diharap kekal berpanjangan.

Alhamdulillah, 1 Syawal yang disambut dan diraikan kali ini juga dilihat lebih bermakna.

Malaysia Baharu yang lahir daripada aspirasi dan sanubari rakyat sejak sebulan lalu bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana lebih harmoni malah turut menyaksikan rakyat berbilang kaum mula memperkukuhkan penyatuan dengan menolak sentimen membabitkan ras atau agama.

Malaysia yang dicintai kini menuju fasa pemulihan selepas lebih 60 tahun ditadbir oleh pemerintahan terdahulu.

Sebagai individu bertanggungjawab mengemudi hal ehwal ekonomi negara, saya insaf untuk memastikan rakyat terus terbela.

Pelbagai usaha akan terus digembleng termasuk mencipta persekitaran ekonomi mesra pelabur, menjana peluang pekerjaan dan meningkat pelaburan asing tanpa mengorbankan prinsip ketelusan serta kebertanggungjawaban.

Usaha ini bagaimanapun tidak akan berhasil tanpa berpaksikan kepada konsep keadilan sosial. Ia perlu disulami sifat-sifat mulia yakni amanah, siddiq, tabligh dan fatanah.

Saya yakin, hanya sifat-sifat terpuji dan jiwa yang merdeka mampu mengangkat semula martabat sesebuah negara.

Peribahasa Inggeris ada menyebut, “Every man is the architect of his own fortune?”.

Ini membuktikan hanya kita sahaja mampu menentukan masa depan dengan hasil usaha dan jerih perih sendiri. Maka, tiada lagi alasan untuk kita berpeluk tubuh mengharapkan sebuah kejayaan tanpa perlu bekerja keras.

Keterujaan saya menjalankan tanggungjawab di peringkat Persekutuan tidak melunturkan ingatan ini kepada negeri Selangor yang dikasihi.

Saya mendoakan Selangor terus cemerlang, harmoni dan berdaya maju dengan terus memperkasakan prinsip peduli rakyat.

Justeru, percayalah, Selangor senantiasa di hati dan sanubari saya.

Akhirul kalam, saya bersama isteri dan anak-anak ingin mengucapkan Salam Eidul Fitr kepada seluruh umat Islam.

Semoga lembaran Syawal kali ini akan mendekatkan kita dengan semangat perpaduan atas kesatuan iman.

Moga ukhwah yang terbentuk terus tersimpul rapi atas jalinan persaudaraan sesama insan.

Minal ‘aidin wal faidzin.
Maaf Zahir dan Batin.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Menteri Hal Ehwal Ekonomi
Dato’ Menteri Besar Selangor

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Azmin mampu terjemahkan kejayaan Selangor di Persekutuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 MEI: Kecemerlangan rekod Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor dijangka mampu diteruskan di peringkat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, selain kecemerlangan prestasi Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar, latar belakang pendidikan dalam bidang ekonomi dan matematik di Universiti Minnesota di Amerika Syarikat dijangka memberi kelebihan kepadanya.

“Saya yakin dia mampu mengendalikan atau mengurus Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dengan baik walaupun rekod dia di Selangor walaupun agak pendek, kurang lima tahun tetapi boleh kita katakan sebagai amat baik.

“Berbekalkan pengalaman beliau mengurus Selangor dengan ekonomi negeri berkembang, pengurusan kewangan amat baik serta hasil yang tinggi, semuanya adalah faktor kita boleh nilai dan menunjukkan beliau mampu untuk mengurus Hal Ehwal Ekonomi Negara,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini.

Rosli berkata, Mohamed Azmin berjaya menguruskan ekonomi Selangor tanpa kontroversi dengan gaya kempimpinan berorientasikan kepentingan rakyat.

Katanya, selain berjaya meningkatkan rizab negeri, Mohamed Azmin juga berjaya menambah hasil Kerajaan Negeri.

Katanya, selain kejayaan mengurus ekonomi, Mohamed Azmin turut memiliki integriti kukuh sekaligus menjamin keselamatan aset negara.

“Saya yakin beliau mampu kembangkan kejayaan seperti di Selangor ke peringkat pusat, lebih-lebih lagi bukan sahaja berjaya mengurus ekonomi Selangor tetapi pentadbiran Selangor keseluruhannya dia boleh manfaatkan di peringkat pusat,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin gembira penjelasan MB

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berpuas hati dengan penjelasan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Istana Bukit Kayangan, kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata pihak Istana akan mengeluarkan kenyataan rasmi pada jam 9.00 pagi esok berhubung kedudukan jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor.

“Tuanku gembira dengan penjelasan tadi dan akan keluarkan kenyataan rasmi daripada istana pada jam 9.00 pagi esok,” kata Mohamed Azmin kepada media yang menunggu beliau di luar pintu pagar utama Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.

Sebelum itu, Mohamed Azmin dilihat memasuki Istana Bukit Kayangan kira-kira jam 12.00 tengah hari tadi bagi mengadap Sultan Sharafuddin bagi menjelaskan perkembangan terkini pelantikan beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Persekutuan.

Pertemuan yang turut membincangkan pelbagai isu lain itu hanya berakhir kira-kira dua jam kemudian.

“Banyak perkara yang kita bincangkan, tentang Selangor, juga nasional dan alhamdullilah tuanku akan keluarkan satu kenyataan rasmi esok,” katanya lagi.

Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua pada 11 Mei lalu selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) menang besar di negeri itu.

Bagaimanapun pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan senarai Menteri Kabinetnya pada Jumaat lalu turut melantik Mohamed Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

=EZY=