Categories
SELANGOR

Penduduk Telok Gong dan Pulau Indah terkesan pencemaran bau sisa plastik

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 24 JAN: Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkataa, pihaknya sering menerima aduan daripada penduduk terutama di Telok Gong dan Pulau Indah yang terkesan dengan pencemaran bau khususnya akibat kegiatan memproses sisa plastik secara haram.

Katanya, terdapat juga sisa plastik yang dibuang di kawasan hutan kayu bakau sehingga menjejaskan ekosistem, di kawasan berkenaan.

“Tidak semua sisa plastik itu boleh diproses dan diguna semula. Jadi, mereka menghantar sisa ini ke tempat lain dan dibakar.

“Ini menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk khususnya pencemaran bau akibat pembakaran terbuka itu,” katanya ketika ditemui dalam operasi bersepadu kilang plastik haram, semalam.

Beliau berkata, sikap pengusaha kilang membuang sisa ke kawasan penambakan tanah turut dilakukan.

“Ini berlaku di kawasan seperti Selat Damai dan kampung tradisi, di Pulau Indah,” katanya.

Pada masa sama, Azmizam berkata, usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kerajaan Negeri melaksanakan operasi bersepadu kilang memproses sisa plastik haram wajar dipuji.

Beliau berkata, hal itu membuktikan kerajaan sangat bertegas terhadap kewujudan lambakan kilang yang bukan sahaja memproses sisa plastik, malahan diimport dari luar negara.

“Kita berterima kasih kepada pihak yang terbabit termasuk agensi Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Alam Sekitar yang bertungkus lumus menjalankan operasi.

“Justeru, saya berharap usaha ini dapat membendung kewujudan kilang haram, di negeri ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Azmizam teruja, lebih 5,000 hadir rumah terbuka DUN Pelabuhan Klang

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 15 JUL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri nyata teruja melihat lebih 5,000 rakyat kawasan berkenaan ‘menyerbu’ Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan di Taman Pendamaran Permai, di sini.

Katanya, beliau terkejut dengan sambutan diberikan sehinggakan makanan yang disediakan kepada hanya 5,000 tidak mencukupi.

“Saya terkejut, sehinggakan terpaksa menambah makanan lain. Bagaimanapun, saya berterima kasih dan menghargai sambutan dan sokongan yang diberikan pengundi saya.

“Rumah terbuka ini saya sediakan khas sebagai tanda terima kasih kerana mengundi saya pada Pilihanraya Umum ke 14 yang lalu,” katanya kepada SelangorKini.

Azmizam turut menyifatkan penganjuran Rumah Terbuka itu sebagai satu kenangan manis kerana ia pertama kali diadakan selepas kawasan kubu kuat Umno itu dimiliki Pakatan Harapan.

“Istimewanya kali ini saya sebagai ADUN dan saya berharap untuk terus diberi kekuatan untuk memikul amanah yang berat ini.

“Sudah tentu rakyat mahukan penambahbaikan dan pembaharuan yang dilakukan oleh saya sebagai wakil rakyat,” katanya.

Hadir memeriahkan Rumah Terbuka itu ialah Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Speaker Dewan Negeri, Ng Suee Lim serta ahli Exco Kerajaan Negeri.

Pelbagai juadah disediakan antaranya, kambing bakar, sate, nasi impit, pelbagai juadah mee goreng dan ayam golek.

Turut disediakan roti canai Gana simpang Empat Teluk Gong yang popular di kalangan masyarakat kawasan berkenaan.

Difahamkan juadah terbabit disediakan oleh usahawan tempatan kawasan Pelabuhan Klang.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Persempadanan semula DUN Pelabuhan Klang cabaran Pakatan untuk menang

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 28 APR: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.46 Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri menyifatkan bahawa isu persempadanan semula adalah cabaran besar namun bukan menghalang beliau untuk memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.

Azmizam berkata, persempadanan semula yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menghalang untuknya terus menggerakkan jentera kempen supaya lebih agresif serta dapat menawan hati pengundi memilih Pakatan Harapan (PAKATAN).

“DUN N.46 adalah kerusi dimenangi parti KEADILAN selama dua penggal berturut-turut namun kali ini saingan cukup sengit apabila persempadanan semula menjadikan banyak kawasan mengundi kita sudah dikeluarkan.

“Bagaimanapun, beberapa perancangan semasa berkempen sudah dirangka di mana ia lebih menjurus kepada bertemu rakyat di kawasan luar bandar dan pinggir bandar,” katanya.

sdr

Azmizam berkata, di DUN Pelabuhan Klang menyaksikan peratusan undi Melayu majoriti iaitu 65 peratus berbanding bukan Melayu adalah 35 peratus.

“Sejak memegang tugas sebagai Penyelaras DUN Pelabuhan Klang, saya lihat tanggapan Umno-Barisan Nasional (BN) bahawa orang Melayu akan terus menyokong mereka itu kini sama sekali salah dan ternyata kaum itu sendiri sudah beralih arah.

“Banyak perubahan berlaku apabila saya sendiri diberi peluang oleh masyarakat di sini bersama menjalankan aktiviti beramah mesra dan mereka mula menerima serta memahami dasar PAKATAN,” katanya.

Beliau mengulas mengenai beberapa kawasan sukar seperti Teluk Gong, Pulau Indah dan Kampung Idaman yang sudah mula menerima dasar digunakan PAKATAN.

Pada masa sama, beliau berharap perubahan yang besar bakal berlaku pada 9 Mei akan datang.

Terdahulu, DUN Pelabuhan Klang (N.46) bakal menyaksikan pertandingan sengit empat penjuru antara calon PAS, BN ,Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan KEADILAN.

Pada penamaan calon PRU14, calon KEADILAN Azmizam Zaman Huri akan dicabar oleh Khalid Nayan (PAS), Sheikh Rajesh Sheikh Ahmad (BN) dan Shanmugasundram Veenapan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

=EZY=

Categories
SELANGOR

Cabaran empat penjuru Parlimen Klang & DUN Pelabuhan Klang

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 28 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan pertembungan empat penjuru di Parlimen Klang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang.

Perkara itu diumumkan SPR sekitar jam 10.30 pagi selepas kertas penamaan calon dikemukakan kesemua parti bertanding.

Pegawai Pengerusi Pilihan Raya (P.110), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, calon Parlimen Klang membabitkan Charles Santiago dari parti KEADILAN mewakili Pakatan Harapan (PAKATAN) bertembung tiga lagi pencalonannya daripada (PAS), Khairulshah Abdullah, Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Ching Eu Boon dan calon Bebas Ganesan Sangalingam (Parti Bebas).

Manakala DUN Pelabuhan Klang (N.46) juga sengit pertembungan Khalid Nayan (PAS), Sheikh Rajesh Sheikh Ahmad (BN), dan Shanmugasundram Veenapan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) bertemu calon KEADILAN mewakili PAKATAN, Azmizam Zaman Huri (KEADILAN).

Calon Pakatan Harapan. Azmizam Zaman Huri di DUN Pelabuhan Klang

Bagi kerusi DUN Pandamaran (N.47) menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Tony Leong (PAKATAN), Tee Hooi Ling (BN) dan Santokh Singh (PAS).

Sementara itu, di DUN Bandar Baru Klang (N.45) turut berhadapan cabaran sengit membabitkan PAKATAN, Dato’ Teng Chang Kim berdepan pencalonan baru iaitu calon BN, Teoh Kah Yeong.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

12,580 pengundi Pelabuhan Klang dipindahkan, kaum Cina paling terjejas

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 29 SEPT: Seramai 11,814 pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dipindahkan ke DUN lain dalam Syor Cadangan Kajian Persempadan Semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Cadangan yang dipamerkan kepada umum bermula 15 September hingga 14 Oktober itu menjadikan jumlah terbaru pengundi DUN berkenaan berkurangan kepada 28,604 berbanding sebelum persempadanan seramai 40,418.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Azmizam Zaman Huri berkata, cadangan persempadanan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan yang dipindahkan adalah 12,580 orang termasuk 766 yang dipindahkan dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) yang diwartakan, pada Mac lalu.

“SPR sekali lagi menjadi boneka BN apabila mengumumkan Syor Cadangan Kajian Persempadanan Semula yang ternyata lebih memihak kepada BN pada pilihan raya akan datang.

20160928_143022“Di Selangor, hampir keseluruhan kerusi Parlimen dan DUN terutama dimenangi KEADILAN disabotaj apabila semua daerah mengundi dan lokaliti di setiap parlimen serta DUN disusun semula demi memastikan kemenangan berpihak kepada BN,” katanya.

Azmizam yang juga Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat (MPP) berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat Pelabuhan Klang, di Taman Pandamaran, di sini, semalam.

Katanya, seramai 7,560 atau 60 peratus daripada 12,580 pengundi yang dipindahkan itu berumur bawah 40 tahun yang dianggap sebagai golongan berfikiran lebih terbuka dan celik dengan perkembangan politik dan isu semasa.

Mengikut komposisi kaum pula, jumlah pengundi Cina paling ramai dipindahkan membabitkan 6,470 orang kebanyakannya ke tiga DUN berhampiran yang dikuasai DAP iaitu Kota Alam Shah, Pandamaran dan Sungai Pinang menjadikan jumlah pengundi Cina di Pelabuhan Klang selepas persempadanan kepada 5,194 orang berbanding sebelum persempadanan 11,664.

Keadaan ini, sekali gus menjadikan peratusan pengundi Cina di Pelabuhan Klang merosot kepada 18 peratus berbanding sebelum persempadanan, 28 peratus.

20160928_152157

Pada PRU-13 lalu menyaksikan DAP menang besar di Kota Alam Shah dengan majoriti 13,369 undi, Pandamaran (majoriti 9,176 undi) dan Sungai Pinang (majoriti 11,309 undi), manakala bagi DUN Pelabuhan Klang pula, KEADILAN menang dengan hanya majoriti 2,994 undi sahaja.

Katanya, pemindahan pengundi secara besar-besaran itu jelas satu penipuan secara terang-terangan cuba membantu memenangkan BN di DUN Pelabuhan Klang.

Sementara itu, pemindahan pengundi Melayu pula hanya melibatkan 2,973 orang kepada 18,677, sekali gus meningkatkan dominasi pengundi Melayu kepada 65 peratus berbanding sebelum persempadanan seramai 21,650 atau 53 peratus.

Manakala bagi pengundi India pula, seramai 2,615 orang dipindahkan menjadikan jumlah selepas persempadanan 4,670 (16 peratus) berbanding 7,285 (18 peratus) dan lain-lain kaum seramai 36 orang dipindahkan menjadikan 63 (0.22 peratus) berbanding sebelum persempadanan 99 (0.25 peratus).

-NFN-

Categories
SELANGOR

Arah pindah premis sarang burung walit tepat demi kesihatan masyarakat

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 18 DIS: Keputusan Kerajaan Selangor mengarahkan pemilik sarang burung walit yang beroperasi di kawasan premis perniagaan di negeri itu berpindah ke kawasan pertanian dalam tempoh tiga tahun adalah tepat demi kesejahteraan masyarakat sekeliling.

Ahli Majlis Perbandaran Klang, Azmizam Zaman Huri, berkata keputusan Kerajaan Negeri itu dinanti-nantikan kerana penduduk sekitar yang tinggal di kawasan itu sudah hidup lama ‘merana’ kerana pencemaran dari industri itu.

azmizam luar pc 01“Menurut penduduk, bunyi bising yang dikeluarkan dari industri mengganggu ketenteraman penduduk yang saban hari terpaksa berhadapan dengan situasi itu,” kata beliau.

Katanya, kolam air yang dibina juga berbahaya kepada penduduk kerana membiak jentik-jentik nyamuk Aedes yang boleh mengancam kesihatan masyarakat sekitar kawasan itu.

“Kerajaan Negeri juga perlu memikirkan kaedah terbaik agar kebajikan pengusahan sarang burung walit itu dijaga kerana bukan mudah untuk mereka terus berpindah ke kawasan pertanian bagi mencari lokasi yang sesuai,” kata Azmizam ketika dihubungi Selangor Kini.

Katanya, premis sarang burung walit di kawasan perumahan dan premis perniagaan juga mencacatkan pemandangan kawasan sekitar kerana keadaan premis itu sendiri.

Azmizam berkata, tempoh tiga tahun seperti yang ditetapkan Kerajaan Negeri untuk pemilik sarang burung walit berpindah adalah tempoh mencukupi.

Katanya, Kerajaan Negeri juga perlu memikirkan premis perniagaan sarang burung walit yang dikosongkan tidak terbiar begitu sahaja sehingga mengundang premis itu disalah gunakan untuk kegiatan tidak bermoral dan mencacatkan pemandangan.

Sementara itu menurut tinjauan yang dilakukan Malaysiakini mendapati sebahagian rakyat di Selangor bersetuju dengan arahan Kerajaan Selangor itu yang kerana masyarakat sekeliling menerima kesan negatif daripada industri sarang burung walit di kawasan premis dan perumahan.

Penduduk yang ditemui berkata bunyi bising mengganggu ketenteraman mereka kerana bunyi yang dikeluarkan daripada premis sarang burung walit dan mendatangkan bau busuk. (Video : http://www.kinitv.com/video/3056O74)

Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata arahan pemindahan lokasi pengusaha burung walit ke kawasan berstatus tanah pertanian dilakukan kerajaan negeri bagi menyelaras penempatan sangkar burung itu.

Garis panduan berkenaan diputuskan ekoran terdapat aduan daripada penduduk setempat yang tidak selesa dengan penempatan sangkar burung walit di kawasan perumahan serta komersial.

burung walitBaru-baru ini Kerajaan Negeri memperkenalkan Peraturan Kecil Penternakan Burung Walit dan Pengeluaran Sarang Burung Walit 2013.

Peraturan baru itu mengarahkan pengusaha berkenaan untuk berpindah ke kawasan berstatus tanah pertanian dalam tempoh tiga tahun.

Kerajaan negeri tetap mengekalkan arahan pemindahan dalam tempoh tiga tahun kerana menyifatkan tempoh masa itu bersesuaian dan munasabah.

EZY

 

Categories
NASIONAL

AMK Gesa Polis Siasat Menyeluruh Skandal Jual Rahsia Pertahanan

SHAH ALAM 8 JUN : Polis digesa untuk menyiasat secara menyeluruh isu dakwaan penjualan maklumat rahsia pertahanan negara, tegas Naib Ketua AMK Pusat, Azmizan Zaman Huri.

Azmizam yang juga Ketua AMK Selangor menyeru polis tidak dengan sewenang-wenangnya melindungi mana-mana individu berkepentingan kerana secara jelas, individu-individu terbabit telah menggadai keselamatan dan rahsia pertahanan negara.

“Kejadian ini menimbulkan keraguan mengenai tahap sebenar kemampuan pertahanan negara ini, kerana berdasarkan pendedahan ini , wujud kebarangkalian maklumat-maklumat pertahanan yang lain juga dijual,” kata Azmizam dalam kenyataan medianya.

Jelas beliau, isu ini dilihat satu titik kemuncak keghairahan untuk mengumpul dana kekayaan buat diri sendiri menjadi pendorong kepada beberapa individu berkepentingan untuk membelakangkan keselamatan rakyat secara keseluruhan.

“Pendedahan terbaru ini menunjukkan nyawa dan nilai keselamatan rakyat negara dan perajurit yang bertugas adalah tidak mempunyai makna sama sekali kepada pengkhianat seperti Razak Baginda dan bapanya,” ujar beliau.

Tambah Azmizam, beliau mempersoalkan tindakan Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Pertahanan waktu itu yang hanya menutup mata kerana ingin mengenyangkan proksi dan kroni beliau.

“Malah saya ingin mempersoalkan, adakah Datuk Seri Najib Razak juga menerima habuan yang lumayan daripada penjualan dokumen sulit ini,” ujarnya.

Sebelum ini, pihak SUARAM melaporkan bahawa dokumen berkaitan laporan penilaian prestasi kapal selam Scorpene berasaskan keperluan pertahanan yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijual pada harga 36 juta Euro atau RM142 juta kepada pihak DCNS.

Dipercayai Terasasi (Hong Kong) Limited ini dimiliki oleh Abdul Razak Baginda dan bapanya Abdul Malim Baginda yang merupakan sekutu kuat dan penasihat utama kepada Najib Razak.