Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

CCTV pantau banjir dipasang di Taman Selat Damai, Teluk Gedung Indah

SHAH ALAM, 3 SEPT: Kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau banjir di Taman Selat Damai dan Taman Teluk Gedung Indah Pelabuhan Klang akan dipasang pada minggu hadapan.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang berkata kedua-dua perumahan berkenaan merupakan kawasan yang sering mengalami masalah banjir kilat ketika musim air laut pasang dan hujan lebat.

“CCTV itu turut mempunyai kamera pusingan 360 darjah yang boleh memantau secara menyeluruh dan berfungsi menggunakan tenaga solar.

“Kami di Pusat Khidmat Rakyat DUN Pelabuhan Klang mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri Selangor dan JPS Klang kerana telah mengusahakan inisiatif ini” kata Azmizam Zaman Huri di Facebook.

Menurutnya, pemasangan CCTV itu menjadi percubaan pertama di DUN Pelabuhan Klang.

Terdahulu Azmizam melawat tapak bersama dengan wakil JPS Selangor bagi meninjau kedudukan untuk pemasangan CCTV tersebut.

 

Categories
ADN PBT SELANGOR

Langgar SOP, MPK kompaun pemilik kilang RM10,000

SHAH ALAM, 18 JUN: Pemilik sebuah kilang di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang dikompaun RM10,000 atas kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang berkata tindakan dikenakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) ketika operasi pemeriksaan dan pemantauan SOP terhadap premis terbabit semalam.

“Hasil siasatan mendapati kilang itu tidak mendapat surat kebenaran operasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan masih beroperasi seperti biasa.

“Justeru, MPK mengeluarkan kompaun dan akan terus memantau semua aktiviti perkilangan sepanjang PKP bagi memastikan tiada pelanggaran SOP,” kata Azmizan Zaman Huri menerusi Facebook.

Beliau berkata tindakan diambil pihak berkuasa tempatan itu mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LDKTJ) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) 2021.

Katanya, orang ramai diminta bekerjasama bagi membuat aduan kepada MPK jika mendapati ada kilang beroperasi tanpa kebenaran Miti melalui talian khas pantas Covid-19 03-33701095.

Media sebelum ini melaporkan, PBT diberi kuasa mengenakan kompaun kepada individu yang melakukan apa-apa kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).