ULASAN Sidang DUN kali ini melihatkan bukan sahaja lagi dedahan tentang salahlaku Umno-BN tetapi usaha pentadbiran Pakatan Rakyat yang baru untuk memperbaiki kelemahan dan ketirisan era sebelumnya.
Dua amalan yang menimbul banyak persoalan adalah amalan kerajaan Umno-BN yang menganugerahkan projek kerajaan secara rundingan terus dan penjualan tanah rizab Melayu.
Menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pentadbiran Umno-BN telah membelanjakan RM759 juta dalam tempoh tiga tahun (2005-2007) dalam kontrak-kontrak yang dianugerahkan terus kepada syarikat tertentu.
Manakala kerajaan di bawah Pakatan Rakyat (PR) hari ini, hanya membelanjakan RM116.2 juta sahaja dalam empat tahun (2008-2011), suatu perbezaan yang amat ketara.
Tetapi ramai yang menyoal tentang kepentingan fakta tersebut dan apa makna dan kaitannya dengan kehidupan seharian orang ramai?
Ramai juga yang kurang faham dengan takrifan kontrak yang diberi secara rundingan terus berbanding yang diberi mengikut tender terbuka.
Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin, rundingan terus mengundang pelbagai risiko yang mampu menyebabkan pihak pemberi projek mengalami kerugian.
“Rundingan terus akan menimbulkan risiko antaranya, ketirisan, pembaziran, terlebih pembayaran dan terbagi kontrak kepada syarikat yang tak layak atau tak berkemampuan.
“Semua risiko yang saya sebutkan tadi boleh berlaku berbanding tender terbuka.?
Di dalam proses tender terbuka, kerajaan akan menjemput syarikat untuk mengemukan cadangan bagi melaksana projek.
Setiap syarikat yang layak akan mengemukan permohonan yang lengkap tentang bagaimana ia akan menyiapkan projek termasuk kos yang akan ditanggung.
“Dalam cadangan itu juga kita dapat tahu jenis bahan dan berapa banyak bahan mentah yang terlibat, kita tahu berapa banyak yang kita kena belanja,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor pagi tadi.
Kata Azrul lagi, tender terbuka mengelakkan pembaziran dan amalan kroninisme.
“Kaedah terbaik yang boleh jamin ketelusan, akauntabiliti dan integriti hanyalah melalui tender terbuka.
“Kalau rundingan terus biasanya tentulah kroni atau pihak yang rapat dengan orang yang membuat keputusan biasanya akan dapat projek.
Pokoknya, tender terbuka dapat memastikan yang duit rakyat dimanfaatkan dengan berkesan dalam perlaksanaan projek.
Isu hak milik tanah rizab Melayu muncul di dalam perbahasan apabila ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali memberitahu sebanyak 76 ekar tanah dikawasan Parlimen Gombak dirampas oleh Umno-BN.
Tanah tersebut diserahkan serta dipindah milik ke salah satu syarikat, Triumph City Development Sdn Bhd tanpa sebarang gantian di kawasan lain.
Selain Azmin, ADUN Sri Muda Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei dan ADUN Sri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad turut mendedahkan salah laku berkaitan rizab Melayu yang dilakukan pentadbiran Umno-BN.
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang lama bergelumang dengan isu tanah rizab Melayu berkata Umno tidak pernah menjaga tanah milik komuniti itu.
“Semenjak bila Umno dah tak gadai tanah Melayu? Dari sebelum merdeka lagi sampai sekarang tanah milik orang Melayu semakin terhakis tetapi apa yang Umno buat. Jawabnya, tiada, sebabnya merekalah yang menggadainya.
“Umno gunakan isu Melayu untuk perangkap pihak lain tetapi mereka tak pernah pertahankan hak Melayu seperti tanah Melayu, tanah rizab Melayu dan saham-saham Melayu,” beliau berkata ketika dihubungi.
Belia mendakwa selama 54 tahun parti nasionalis Melayu itu memerintah Malaysia keluasan tanah rizab Melayu hanya tinggal 1.7 juta hektar berbanding 300 juta hektar pada awal kemerdekaan.
Bagaimanapun setelah Pakatan mengambil alih pentadbiran Negeri Abdul Khalid mengambil keputusan merampas kembali kesemua tanah rizab di parlimen Gombak yang diberi ke syarikat Triumph City Development Sdn Bhd.
Abdul Khalid juga menolak permohonan yang dibuat oleh Ketua Umno Puchong Datuk Satim Diman untuk menjual tanah rizab Melayu kepada Lagi Gemilang Sdn. Bhd yang 75 peratus ahlinya terdiri dari bukan bumiputera.