Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Badminton Asia: Tukar strategi permainan bantu Tze Yong raih kemenangan

SHAH ALAM, 20 FEB: Pemain perseorangan kedua negara tidak menyangka menjadi penyumbang mata kemenangan untuk skuad lelaki Malaysia muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.

Ng Tze Yong berkata kata-kata semangat dari rakan berpasukan membantunnya meraih kemenangan mengatasi pemain Indonesia, Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay.

“Mereka beri kata-kata semangat selepas kita mendahului Indonesia 2-0 dan secara tidak langsung saya dapat bermain tanpa tekanan.

“Saya juga tukar strategi mengikut pesanan jurulatih iaitu jangan kerap melakukan ‘smash’ dan nampak ia mendatangkan hasil,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Dalam perlawanan berkenaan Tze Yong menang dengan meraih mata 21-14, 21-15 dalam kejohanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di sini.

Sebelum itu, jaguh perseorangan negara Lee Zii Jia yang menjadi sandaran mata pertama menang mengatasi Chico Aura Dwi Wardoyo dengan mata 14-21, 21-12 dan 21-10.

Gandingan pasukan beregu negara Chia Aaron-Soh Wooi Yik pada perlawanan kedua berjaya menewaskan Leo Rolly Carnando – Daniel Marthin dalam perlawan tiga set dengan mata 17-21, 21-13, 21-18.

Kejayaan itu membolehkan negara merangkul kejuaraan sulung sejak BATC diperkenalkan pada 2016 dan lebih manis dihadapan penyokong sendiri.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lebih 1,000 penyokong rai kejayaan skuad negara juara Badminton Asia

SHAH ALAM, 20 FEB: Kejayaan skuad lelaki negara meraih kejuaraan sulung Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 hari ini dirai lebih 1,000 penyokong.

Laungan  ‘tahniah, I love you, Malaysia’ kedengaran di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) selepas mata kemenangan diraih pemain perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan berkata jumlah kehadiran itu merangkumi di dalam dan luar pusat konvensyen menerusi skrin gergasi.

Skuad badminton negara meraikan kemenang ketika perlawanan akhir melawan Indonesia pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 20 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ini adalah perkara mengembirakan buat sukan di Selangor kerana kita negeri pertama yang menganjurkan pertandingan di peringkat antarabangsa selepas dua tahun,” Mohd Khairuddin Othman.

Beliau yang juga EXCO sukan mengucapkan tahniah dengan semangat pemain kerana berjuang dengan penuh semangat demi mengharumkan nama negara.

“Kita juga bangga kerana ini sejarah pertama kali Malaysia menang kejuaraan Asia dan lebih-lebih lagi kita menjadi tuan rumah,” katanya.

Kejohanan selama enam hari mulai 15 Februari lalu ditaja Kerajaan Selangor serta anak syarikat antaranya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Invest Selangor.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.

Situasi dan reaksi penonton ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 19 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Skuad lelaki negara juara Badminton Asia, benam Indonesia 3-0

SHAH ALAM, 20 FEB: Skuad lelaki negara menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 selepas menang bergaya membenam Indonesia 3-0 pada sebentar tadi.

Kejayaan itu membolehkan negara merangkul kejuaraan sulung sejak BATC diperkenalkan pada 2016 dan lebih manis dihadapan penyokong sendiri di Pusat Konvensyen Setia City di sini.

Jaguh perseorangan negara Lee Zii Jia yang menjadi sandaran mata pertama menang mengatasi Chico Aura Dwi Wardoyo dengan mata 14-21, 21-12 dan 21-10.

Gandingan pasukan beregu negara Chia Aaron-Soh Wooi Yik pada perlawanan kedua berjaya menewaskan Leo Rolly Carnando – Daniel Marthin dalam perlawan tiga set dengan mata 17-21, 21-13, 21-18.

Pemain perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong meranapkan impian Indonesia apabila menumpaskan Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay dengan mata 21-14, 21-15.

Trofi kejuaraan disampaikan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Kejohanan selama enam hari mulai 15 Februari itu turut disertai Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan juga disiarkan secara langsung di Astro.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Badminton Asia: Skuad lelaki juara kumpulan B, lawan Korea Selatan di separuh akhir

SHAH ALAM, 18 FEB: Skuad lelaki negara menamatkan saingan peringkat kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 selaku juara selepas menewaskan Jepun 3-2 sebentar tadi.

Jaguh perseorangan negara Lee Zii Jia yang menjadi sandaran mata pertama menang mengatasi Hatano Riku 15-21, 21-6 dan 21-15 dalam perlawanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City.

Bagaimanapun gandingan Chia Aaron-Soh Wooi Yik gagal mengutip mata kedua selepas tewas kepada Endo Ayato-Takei Yuta 21-23, 16-21.

Nasib sama dialami pemain perseorangan Aidil Sholeh yang tumpas kepada Takahashi Koo 21-19, 16-21 dan 15-21 dalam saingan tiga set.

Skuad negara kembali bangkit menerusi gandingan Goh Sze Fei- Nur Izzuddin menentang Mezaki Shuntaro-Nishida Haruya dengan kemenangan 17-21, 21-17 dan 21-17.

Dalam aksi terakhir, pemain perseorangan Leong Jun Hao menyelamatkan maruah skuad negara dengan kemenangan 21-18 dan 21-16 menewaskan Moriguchi Koshiro.

Pasukan lelaki dan wanita negara bakal menentang Korea Selatan pada perlawanan separuh akhir esok.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pasukan wanita negara jumpa India aksi pertama badminton Asia

SHAH ALAM, 11 FEB: Pasukan wanita negara akan membuka tirai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 menentang India pada 4 petang, Selasa ini.

Manakala pasukan lelaki negara memulakan saingan pada hari Rabu menentang pasukan Singapura pada 4 petang.

Berikut adalah jadual perlawanan untuk pertandingan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di sini dikeluarkan Badminton Asia membabitkan pasukan lelaki dan wanita negara.

Pasukan lelaki

16 Februari jam 4 petang: Malaysia lawan Singapura (gelanggang 1)
17 Februari jam 4 petang: Malaysia lawan Kazakhtan (gelanggang 2)
18 Februari jam 4 petang: Malaysia lawan Jepun (gelanggang 1)

Pasukan wanita

15 Februari jam 4 petang: Malaysia lawan India (gelanggang 3)
16 Februari jam 4 petang: Malaysia lawan Jepun (gelanggang 3)

Aksi separuh akhir bagi pasukan yang layak akan diadakan pada 19 Februari pada jam 10 pagi untuk kategori wanita, manakala kategori lelaki pada jam 4 petang.

Perlawanan akhir pula diadakan 20 Februari pada jam 10 pagi untuk wanita dan 4 petang untuk lelaki.

Buat julung kalinya, Selangor menjadi tuan rumah BATC 2022 dalam acara berprestij yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Categories
AGENDA PILIHAN MINGGUAN SUKANKINI

Selangor tuan rumah kejohanan badminton Asia, lapan negara sah bertanding

SUBANG JAYA, 27 JAN: Buat julung kalinya, Selangor menjadi tuan rumah Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam mulai 15 hingga 20 Februari depan.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata kejohanan berprestij itu diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Selangor sedia menjadi tuan rumah dan bertepatan dengan dengan tema Selangor Bangkit yang diperkenalkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Kita mengambil langkah berani bekerjasama dengan BAM dan Badminton Asia untuk memastikan industri sukan bangkit semula selepas ketidaktentuan kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) dan pelbagai sukan lain,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mohd Khairuddin Othman berkata setakat ini lapan negara termasuk Malaysia mengesahkan penyertaan antaranya Korea, India, Thailand, Hong Kong dan Kazakhstan.

“Selain itu, kita sudah berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung tatacara operasi piawai (SOP) pemain bermula ketibaan di lapangan terbang hingga ke hotel dan seterusnya ke tempat perlawanan.

“Berhubung kehadiran penonton pula, kita masih menjalankan rundingan dan berharap KKM dapat mempertimbangkannya kerana kejohanan ini berlangsung dalam tempat yang besar,” katanya.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kejohanan badminton Asia berlangsung di Selangor mulai 15 Feb

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Badminton Asia hari ini mengesahkan Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022 akan berlangsung di Pusat Konvention Setia City di Selangor dari 15 hingga 20 Feb.

Badminton Asia dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menyatakan edisi keempat BATC yang juga menjadi kejohanan kelayakan untuk Piala Thomas dan Uber 2022 di Bangkok akan dianjurkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan kerajaan negeri Selangor.

“BAM akan menggunakan protokol kesihatan yang ketat mengikut standard Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan peraturan ditetapkan kerajaan Malaysia. Pemain dan pegawai dari seluruh Asia akan menyertainya dan bertanding untuk gelaran pasukan terbaik di Asia,” menurut kenyataan Badminton Asia.

Badminton Asia yakin dengan kejayaan penganjuran kejohanan itu, daripada pengalaman yang didapati daripada dua siri kejohanan pada 2021 dalam keadaan pandemik Covid-19, iaitu tiga kejohanan di Thailand pada awal tahun dan Festival Badminton Indonesia pada hujung tahun, kedua-duanya dilangsungkan dalam sistem gelembung.

Persatuan Badminton Thailand (BAT) menganjurkan Terbuka Thailand Yonex, Terbuka Thailand Toyota dan Jelajah Akhir BWF pada Januari, manakala Persatuan Badminton Indonesia (PBSI) menjadi tuan rumah kepada Masters Indonesia, Terbuka Indonesia dan Jelajah Akhir BWF, pada hujung tahun lepas.

-BERNAMA