Categories
EKONOMI

CATATAN PERJALANAN (iii): Sempadan tanpa sempadan…

Siri 3: Siri ekspedisi kayuhan UK-Malaysia seperti diceritakan Badrul Hisham Baharuddin kepada wartawan Selangor Kini, NAZLI IBRAHIM

Pada hari ke-18, kami melihat peta perjalanan. Tak syak lagi, kira-kira 300 meter akan memasuki Jerman. Kayuh punya kayuh tak nampak-nampak sempadannya.  Cuma ada sebuah jambatan merentasi sungai.

Rupa-rupanya, itulah sempadan Perancis-Jerman. Barulah kami tahu sempadan 26 negara yang menandatangani Perjanjian Kesatuan Eropah (EU) sudah dihapus.

Rakyat Perancis, Jerman, Austria, Slovenia, Netherland, Sepanyol, Italy dan banyak lagi bebas keluar masuk tanpa pasport.

DCIM108GOPROKami berselfie di ‘sempadan tanpa sempadan’ itu.

Di Jerman, banyak bangunan pencakar langit dan kereta mewah. Begitu juga orangnya. Kalau di Perancis, mereka peramah tetapi orang Jerman pemalu.

Namun, Jerman jauh lebih canggih berbanding Perancis. Internetnya laju tetapi harga bara-ngannya lebih mahal 20 peratus.

Sebelum tiba ke Stuggart, kami melalui Leipzig yang dikenali sebagai bandar Porche. Di situ, hanya ada empat jenama kereta sahaja  – BMW, Porche, Mercedes dan Wolksvagen.

Semuanya  model terkini yang mahal. Hairan, mereka mampu memiliki kereta semewah itu.

Pakai Porche

Kemudian ternampak papan tanda besar tertulis Porche – ibu pajabat dan kilang itu terletak.

Sambil berkayuh, saya tertinjau-tinjau. Parkir kereta pekerja kilang – hampir semuanya Porche kecuali dua, tiga Mercedes, Wolksvagen dan BMW yang ‘tersesat’.

Selepas 50 kilometer berkayuh,  kami tiba di bandar Mercedes Benz iaitu Stuggart. Boleh dikatakan seluruh ekonomi bandar itu bergantung kepada Mercedes.

DCIM108GOPROPersinggahan itu tidak lengkap kalau tidak mengunjungi Stadium Stuggart. Malangnya kami sampai pada sebelah malam.

Kami bermalam di sebuah bangunan letak kereta  bersebelahan Ibu Pejabat Mercedes Benz.

Awalnya tenang tetapi bertukar riuh-rendah pada lewat malam. Kami diganggu bunyi bising ‘drag’ lumba kereta haram di tingkat atas. Sesekali terdengar mereka melakukan ‘drift’.

Sistem audio pula menyebabkan kami sukar melelapkan mata. Semakin lama, semakin cemas. Bermacam-macam terbayang.

Bimbang kalau-kalau mereka terjumpa kami dan bertindak di luar dugaan. Risau jika polis serbu dan tak pasal-pasal dicekup .

Mujur, mereka bersurai tanpa sedari kehadiran kami. Pagi itu, awal-awal lagi kami berkayuh ke Stadium Stuggart.

Terserempak UFO

Orang Jerman suka bereksperimen. Mereka sangat inovatif. Kami ada terserempak sebuah kenderaan prototaip seperti dalam filem sains fiksyen.

Kenderaan seakan-akan UFO itu tidak mengeluarkan bunyi enjin. Kami hanya menyedari kehadiran ‘UFO’ di belakang apabila ia berdesup memotong kami.

3857114492Agaknya, mereka gemar menunjuk-nunjuk rekaan terbaru. Tidak pasti ia menyalahi peraturan atau tidak, tetapi  polis membiarkan sahaja.

Selepas bermalam di Stuggart, kami ke Munich. Melalui kawasan kampung dan ladang. Kami dapati peladang juga menggunakan kereta semahal BMW, Mercedes dan Porche.

Tertanya-tanya juga, adakah mereka kaya? Sebenarnya, ke-rajaan memberi subsidi besar kepada rakyatnya untuk pembelian kereta tempatan.

Sekaligus harganya jauh lebih murah berbanding kereta import. Ini antara faktor Jerman berjaya menyelamatkan industri automotif mereka ketika kebanyakan kilang kereta seluruh dunia bermasalah.

Tentang makanan, kami makan pasta dan tuna kerana makanannya mahal. Sekeping pizza sayuran bersaiz sembilan inci pun berharga RM30.

Paling ‘mewah’ makan te-ngah hari. Ada sejenis makanan bercampur ikan ataupun sebuku roti bersalut madu, itu sahaja termampu.

Masuk hari ke-20, kami  berkayuh ke Austria. Terbayang cabaran perit menanti lantaran  bentuk muka buminya.  Kami berkayuh dengan banjaran pergunungan Alps kian sayup-sayup kelihatan.

Siri 4: Tanggapan Islam Malaysia di sebalik keindahan Alps

Categories
EKONOMI

CATATAN PERJALANAN (ii): Hari-hari ‘telan’ pasta dan tuna

Siri 2: Siri ekspedisi kayuhan UK-Malaysia seperti diceritakan Badrul Hisham Baharuddin kepada wartawan Selangor Kini, NAZLI IBRAHIM

Hari pertama kayuhan dari London ke Paris agak meletihkan. Terpaksa bawa barangan seberat lebih 40 kilogram. Saya dan rakan dari Kelab Sick Siders Malaysia, Hafidz Abdul Hamid hanya mampu berbasikal sejauh 60 kilometer.

Selain beg berat, terpaksa membiasakan diri tidur dalam khemah – sesuatu yang asing bagi saya. Terpaksa mendirikan khemah dan memasak.

Perkhemahan kali pertama agak unik. Terjumpa ladang anggur yang cantik dengan bayaran lima pound. Bayangkan, kami berkhemah dikelilingi anggur, juga lembu dan kambing. Pemandangan mengkagumkan.

DCIM108GOPROMenu kami setiap hari hanya pasta yang dimasak dengan tuna. Itulah yang kami ‘hadap’ siang malam sepanjang perjalanan merentasi pendalaman di Eropah.

Jika di bandar, mudah temui makanan halal seperti kebab, kentang goreng, daging tetapi di pendalaman, agak sukar. Kami kena masak sendiri.

Kalau di bandar kecil, saya ke Carefour untuk membeli makanan segera dalam cawan yang dipanggil kus-kus seperti nasi kecil berlauk sayuran.

Makanan antara cabaran besar kerana kami memerlukan 4,000 kalori berbanding orang biasa, 2,000. Pasta dan tuna murah dan mudah didapati serta membekal tenaga.

Pada hari kedua, kami memasuki Perancis sejauh 40 kilometer yang dipisahkan Selat Inggeris. Bermakna kami perlu berbasikal dari untuk mengambil feri merentasi selat itu.

10442382_1053812251312601_48313844007028978_nKami tiba pada malam kedua. Agak kekok kerana negara itu amalkan sistem pemanduan kiri. Beberapa kali tersalah lorong. Mujur tiada sebarang kejadian buruk.

Kemudian, terjumpa taman lalu berkhemah dan tidur. Pada paginya, sebelum matahari naik, kami segera beredar bagi mengelakkan masalah dengan pihak berkuasa.

Sebenarnya, penduduk Perancis sangat ‘friendly’. Bila berjumpa pelancong terutama yang berbasikal, mereka menyapa: “Bonjour” yang bermakna hai. Ada mengajak minum kopi dan berbual-bual.

Mereka bertanya hala arah dan terkejut apabila kami menjawab: ‘Malaysia’. Mereka makin terperanjat mengetahui perjalanan kami memakan masa enam bulan.

Tapi, hampir semua penduduk pedalamannya tidak mengetahui kewujudan Malaysia. Cuma tahu Singapura dan Thailand. Jadi, saya beritahu Malaysia terletak antara kedua-dua negara itu.
Kami tiba di Paris pada hari kelapan dan disambut pihak kedutaan di Paris yang memberi layanan baik. Makanan, tempat tinggal dan sokongan moral.

DCIM115GOPROPaling mengujakan, kami ditempatkan di bilik hotel lima bintang betul-betul berhadapan Eiffel Tower. Tentunya kami tidak mensia-sia peluang ke Ei-fel Tower.

Cabaran ketika itu cuaca berubah mendadak, dari panas sepanjang hari kepada hujan sepanjang hari. Iklim tiba-tiba berubah dengan hujan lebat.

Kami turut menghadapi keadaan sama ketika berkayuh ke Stuggart, Jerman. Hujan sepanjang perjalanan. Sejuk. Tangan juga kebas.

Hujan menyukarkan kami untuk mendirikan khemah. Strategi kami, cepat-cepat buka khemah dan barulah buka zip pintu khemah itu untuk masuk ke dalam.

Satu lagi ialah gangguan sejenis siput berlendir yang tiada cengkerang. Terlalu banyak hingga menimbulkan rasa tidak selesa. Ia menjalar di khemah, bahkan basikal dan peralatan kami.

Selain itu, Musée du Louvre iaitu tempat menyimpan artifak berharga dari serata dunia semasa Napoleon menjajah dunia, juga tidak kurang menariknya. Semua artifak dari Mesir, Jerman, England, Afrika ada di situ.

Paling tak dilupakan, roti croisant yang enak sekali. Walaupun mahal – RM4 satu tetapi berbaloi. Mereka betul-betul menguasai resepi pembuatan roti itu berbanding  England dan Jerman.

Dalam perjalanan, kami juga bertemu penganut Islam Nigeria di satu pangsapuri yang dijadikan masjid di Perancis. Rata-ratanya orang Afrika. Mereka memberi kami makanan dan tempat tidur.

Selepas 15 hari, kami pun berkayuh ke Jerman.

Siri 3: Berdiri di sempadan tanpa sempadan

Categories
NASIONAL

Suspek hilang, pemecatan Sabaruddin ada kaitan pembunuhan Altantuya?

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 10 JUN: Pemecatan Tan Sri Sabaruddin Chik sebagai Pengerusi Bank Rakyat menimbulkan persoalan sama ada mempunyai kaitan dengan misteri pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribu.

Persoalan itu timbul apabila wujud dakwaan pemecatan itu dibuat ekoran kegagalan Sabaruddin meyakinkan ahli lembaga pengarah Bank Rakyat untuk memberikan pinjaman mudah tanpa faedah RM40 juta dengan tempoh bayaran 30 tahun kepada ahli perniagaan kontroversi, Deepak Jaikishnan.

gambar hiasan
gambar hiasan

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shahrin berkata Deepak merupakan individu yang membuat pendedahan berhubung peranan dimainkan dalam pembunuhan Altantuya dan hubungan rapatnya dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Deepak cukup rapat dengan Rosmah sehinggakan wujud sebuah ‘novel pendek’ bertajuk Ros Hitam yang dikatakan ditulis oleh Deepak menceritakan detik pembunuhan Altantuya dengan mendedahkan sekali dokumen (resit) pembelian barang kemas yang berkaitan watak Ros Hitam (watak yang difahami umum merujuk kepada Rosmah).

“Pendedahan Deepak diketahui kerana janji laluan atau bantuan perniagaan kepadanya yang tidak ditunaikan.

“Ini jelas apabila serentak dengan itu dia membuat pendedahan berkenaan rundingan tanah dan seumpamanya,” kata Badrul Hisham dalam kenyataan medianya di sini, hari ini.

badrul sharinBadrul Hisham turut mempersoalkan adakah Deepak mendiamkan diri secara tiba-tiba disebabkan sudah mendapat habuan tertentu.

” Adakah ini sebahagian dari pakej tutup mulut terhadap apa yang berlaku?” Soal Badrul Hisham lagi.

Badrul turut menjelaskan rayuan dalam kes pembunuhan Altantuya ketika ini tergantung apabila suspek kes berkenaan gagal dikesan.

“Najib harus tampil menjelaskan sekali lagi perkara ini. Sampai bila keselamatan negara termasuk wang rakyat menjadi taruhan terhadap misteri pembunuhan yang tidak selesai.

“Persoalan yang lebih penting ialah dua suspek itu tidak punya motif untuk membunuh Altantuya. Maka siapa arahkan pembunuhan itu berlaku masih menjadi tanda tanya,” katanya lagi.

EZY

Categories
NASIONAL

Umno-BN Tidak Pernah Belajar Daripada Kesilapan Seleweng Wang Rakyat

Nurul Izzah-SAMM2

SEKINCHAN, 5 JAN : Pemimpin Umno- BN tidak pernah belajar daripada skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) apabila dengan terus menerus terpalit dengan pelbagai skandal penyelewengan wang rakyat

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, kes terbaru yang membabitkan Ketua Wanita Umno Selangor, Senator Raja Ropiah berhubung pendedahan saudagar karpet Deepak Jaikishan adalah bukti pimpinan Umno-BN perlu ditolak dalam pilihan raya nanti.

Sebelum ini didedahkan bahawa Raja Ropiah membeli tanah itu dengan harga RM7 sekaki tetapi mendapat keuntungan atas angin apabila menjualnya kepada syarikat lain dengan harga RM16 kaki persegi.

Badrul Hisham-SAMM

Tanah itu digazetkan untuk pembinaan kem tentera terletak di Mukim Bukit Raja didakwa dijual secara komersil dan tidak dibangunkan dengan objektif asalnya.

“Dalam banyak-banyak syarikat yang bagus di Malaysia tetapi projek itu diberikan kepada syarikat Raja Ropiah yang luasnya lebih 200 ekar.

“Tanah ini yang terletak di kawasan utama di negeri Selangor diberikan begitu sahaja, projek daripada 1997 sehingga 2013 ini tidak siap lagi.

“Rakyat warga Selangor susah untuk mendapatkan geran dan tanah dengan pelbagai kesusahan tetapi pimpinan Umno dengan mudah memilikinya,” kata Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Beliau berkata demikian semasa program ‘Jelajah Anak Muda Menuju KL112 1 Juta Turun Himpunan Kebangkitan Rakyat’ yang diadakan di Dewan Datuk Fauzi Pasir Panjang di sini.

Sementara itu Penyelaras Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, Pakatan Rakyat (PR) mempunyai potensi dan peluang untuk mentadbir Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Nurul Izzah-SAMM

Katanya ia berdasarkan keupayaan gagasan itu memperolehi 82 kerusi pada PRU-12 lepas dan sokongan yang semakin melonjak mutakhir ini khususnya di Sabah dan Sarawak.

“75 peratus masyarakat orang Cina sudah menyatakan menyokong Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Tegas Badrul, rakyat perlu berani turun ke Kuala Lumpur pada 12 Januari ini sebagai perhimpunan terakhir sebelum PRU-13 ini bagi menyatakan bantahan terhadap sikap berat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam melaksanakan tugasnya.

“Kerana itu kita hendak mengelakkan kehancuran negara, kita tiada alasan lain untuk turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur pada 12 Jan ini,” tegas Badrul.

Kira-kira 1,000 hadiran datang dalam program itu yang dianjurkan oleh SAMM dengan kerjasama Pakatan Rakyat.

SAMM

Categories
SELANGOR

Chegu Bad: ABU Wakili Harapan, Sentimen Rakyat

SHAH ALAM, 28 JAN : Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bad) menegaskan ABU (Asal Bukan Umno) bukan sebuah organisasi mahupun pertubuhan bukan kerajaan, sebaliknya mewakili sentimen rakyat yang kecewa dan sedar dengan masalah negara yang berpunca daripada parti Umno-Barisan Nasional (BN).

Chegu Bard dalam kenyataan terbukanya menjelaskan, sentimen ABU mula wujud sekitar tahun 1998 selepas pemecatan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudiannya diporpularkan oleh Hishamuddin Rais menerusi blog Tukar Tiubnya.

Namun menurutnya, sejak beberapa bulan lepas, beberapa organisasi seperti SAMM, mahasiswa serta aktivis-aktivis masyarakat yang bergerak sendiri telah bergabung dan bersetuju untuk menghidupkan kempen ABU bagi menjadikan ia sentimen nasional dalam menyatukan kekuatan rakyat demi menumbangkan Umno-BN khususnya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Belia berkata, kempen ini akan menggariskan tiga tumpuan mengapa rakyat perlu menolak Umno, antaranya isu sentimen perkauman melampau yang dibawa oleh Umno telah menggagalkan penyatuan rakyat, selain isu keadilan asas dan sistem perundangan negara.

“Isu Lynas turut diangkat kerana ia menunjukkan ketidak pedulian Umno terhadap suara rakyat sehingga sanggup memperjudikan nyawa rakyat demi projek menguntungkan pihak tertentu. Isu ini juga berkait rapat dengan pembaziran, rasuah yang menghilangkan hasil petroleum negara sehingga negara terpaksa mencari industri tenaga baru bagi menggantikan petroleum.

Selain itu, isu harga barang yang melampau dan jelas regim gagal mengawal. Kesemua isu ini diangkat kerana ia mudah difahami oleh rakyat dan bersifat fundimental untuk dikongsi oleh semua gerakan progresif. Maka dengan isu ini diharapkan dapat menyatukan semua gerakan progresif dan secara tidak lansung mengenepikan isu perbezaan yang tidak menguntungkan gerakan,” jelasnya.

Tambah Chegu Bard, ABU juga tidak akan mempunyai struktur, tetapi hanya penggerak terdiri daripada organisasi atau individu sekutu yang bersama-sama dengan sentimen ABU.

Ujarnya, ABU tidak memiliki ketua, tiada hak cipta serta sesiapa sahaja bebas bergerak ke atas ABU.

“Bagi SAMM yang menjadi sekutu bersama ABU, kami tidak berminat dengan apa yang terjadi dalam mana-mana organisasi. Tanpa atau bersama Hindraf, sentimen ABU akan terus bergerak dan terlekat dihati rakyat.

Namun kami amat mengalukan Hindraf atau mana-mana organisasi atau individu yang berkongsi sentimen ini dan bergerak bersama kerana penyatuan kekuatan merupakan kelebihan dalam gerakan menumbangkan regim yang ditunjangi Umno,” tegasnya.

Beliau dalam pada itu turut berkata, dokongan SAMM terhadap ABU bukan hanya ‘cek kosong’ kepada yang melawan Umno, tetapi berdasarkan prinsip.

“ABU ialah milik rakyat, bukan cerita siapa nak jadi wakil rakyat tetapi penyatuan kuasa rakyat melawan Umno. ABU ialah menifestasi dalam PRU akan datang dan Umno bukan sekadar berdepan dengan Pakatan Rakyat sebagai lawan politik tetapi akan berdepan sentimen rakyat ; Asalkan Bukan Umno.

Program berimej ABU juga akan terus diperhebatkan dan akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Samseng Umno Terbabit Serang Ceramah ABU-Hindraf

KUALA LUMPUR, 24 JAN : Kumpulan Aktivis ABU (Asal Bukan Umno) dan Hindraf hari ini tampil membuat laporan polis berhubung serangan ganas terhadap orang ramai pada satu ceramah di Jalan Kebun baru-baru ini.

Koordinator Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata serangan tersebut dipercayai didalangi oleh Umno selain mengesyaki terdapat anggota polis bersekongkol dalam serangan tersebut.

Badrul menambah, pihaknya akan menyerahkan salinan gambar, CD rakaman video insiden itu untuk disiasat pihak polis berhubung campur tangan dan kerja jahat penyokong Umno dalam kejadian tersebut.

“Serangan tersebut secara jelas dilihat oleh pagawai polis tidak berpakaian serangam dan apabila polis berpakaian seragam datang, pihak kita menunjukkan orang-orang yang terlibat menyerang, malanganya langsung tidak ada apa-apa tindakan yang diambil.

“Malah dalam laporan ini, kita menamakan beberapa pimpinan Umno tempatan termasuk diperingkat bahagian yang dikenal pasti oleh penduduk tempatan hadir pada malam tersebut,”katanya.

Beliau berkata demikian sejurus selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, di sini hari ini.

Ceramah Umum ABU di Dewan MBSA seksyen 30, Jalan Kebun,Shah Alam pada 22 Januari lalu menyaksikan satu serangan keterlaluan oleh sekumpulan samseng terhadap orang ramai.

Samseng yang dipercayai penyokong tegar Umno itu bertindak ganas dengan mensasarkan kaum India sahaja apabila dilihat hanya menyerang kaum India tanpa memperdulikan kaum Melayu dan Cina yang turut berada di dalam dewan itu.

Akibat daripada tindakan tersebut seorang ahli Kelab Penyokong PAS, Krishnan cedera parah (gambar) apabila diserang oleh Umno dan dimasukan ke Hospital Pakar Sri Sentosa bagi menerima rawatan.

Badrul menambah, sekiranya benar ianya didalangi Umno, maka parti itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan bersifat perkauman itu.

Sementara itu, Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan berkata pihak polis tidak memainkan peranan ketika serangan tersebut berlaku sekaligus memperlihatkan peranan pihak berkuasa itu seolah-olah seperti bersekongkol dengan penjenayah.

“Polis tidak memainkan peranan sedangkan mereka ada dikawasan kejadian, Sekirannya polis tahu kebarangkalian akan berlakunya kekacauan, polis seharusnya menggembeling seluruh kekuatan polis yang ada disitu untuk menghindar serangan.

“Serangan ini terlalu jelas dan kita berpendapat bahawa pihak polis bersengkongkol dengan pihak yang menyerang, lebih memalangkan lagi polis berjaya datang selepas kejadian serangan,”katanya kepada pemberita.

Dalam perkembangan yang sama, Koordinator Kebangsaan Hindraf, W.Sambulinggam menzahirkan rasa kesal diatas provokasi dan serangan keras disetiap kali gerakan itu melakukan aktiviti.

Lebih memalangkan lagi, Sambulinggam berkata bukan sahaja pihaknya menerima provokasi malah mereka juga akan dituduh sebagai punca berlakunya kekacauan.

“Perkara ini telah membuka mata rakyat untuk melihat siapa sebenarnya punca kekacauan disetiap kali penganjuran program secara aman.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa Hindraf sememangnya kenal akan kaum Melayu dan mereka yang beragama Islam, kami tidak bermusuh dengan mereka, sebaliknya kami hanya tidak bersetuju dengan sebuah parti politik yang digelar sebagai ‘UMNO’,”jelas Sambulinggam.