Categories
AGENDA NASIONAL

Perjalanan hidup era penjajah cetus cinta, perjuangan terhadap bahasa Melayu

SHAH ALAM 12 DIS: Sasterawan Negara, Dato’ Baharuddin Zainal mengakui perjalanan hidup yang membesar di era penjajah menjadikan dirinya mencintai dan memperjuangkan bahasa Melayu.

Baharuddin atau nama penanya Baha Zain berkata liku kehidupan pada waktu itu menyebabkan generasinya memperjuangkan bahasa Melayu kerana ia adalah suara kepada kemerdekaan.

“Saya lahir dalam masyarakat yang tertindas waktu kolonial dan sedar bahasa Melayu itu satu perjuangan bukan saya sahaja tetapi boleh dikatakan semua mahasiwa memperjuangkannya.

“Pejuangan terhadap bahasa Melayu bukan sekadar memartabatkannya sahaja tetapi sebagai suara merdeka. Apa makna kita merdeka ekonomi, pentadbiran, politik tetapi bahasa kita tertindas? Tiada makna apa-apa kerana bahasa Melayu bahasa nurani bangsa,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian pada program Hati dan Minda Sasterawan sempena Pesta Buku Selangor 2021 yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.

Baharuddin berkata perjuangan itu amat sebati dalam kalangan penulis khususnya generasi yang sezaman dengannya dan perjuangan itu berterusan sehingga kini walaupun negara sudah mengecapi kemerdekaan.

Antara yang diperjuangkan penerima Anugerah Sastera Negara yang ke-12 ini ialah menjadi pengerak kepada pemansuhan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

“Adalah satu tanggungjawab penulis memperjuangan bahasa Melayu dan saya juga terlibat dengan demonstrasi bagi mempertahankannya.

“Jadi bila ada pertemuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan saya beri surat dan beliau hanya berterima kasih. Esok dan lusa itu beliau umum mansuh PPSMI,” katanya.

 

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Tidak susah kuasai bahasa Melayu jika ada kemahuan

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Peristiwa ini berlaku di sebuah klinik kesihatan, kira-kira dua tahun lepas. Ketika menunggu giliran, seorang pemuda berbangsa Cina, saya kira berusia awal 20-an bertanya kepada saya dalam bahasa Mandarin.

“Kak, boleh tolong saya membuat pendaftaran di kaunter. Saya tak faham bahasa Melayu. Boleh tak tolong terjemahkan apa yang nurse itu cuba sampaikan? ” katanya sambil menghulurkan kad pengenalan beliau kepada saya.

Ketika itu, memang ramai orang di klinik. Kira-kira ada 10 pesakit sebelum tiba giliran saya untuk berjumpa dengan doktor. Melihatkan dirinya yang kelihatan serba-salah di kaunter pendaftaran, maka saya bersetuju untuk membantu.

Setelah selesai urusan pendaftaran, sambil tunggu giliran, saya sempat lagi berborak dengan pemuda itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Shin.

“Adik dulu sekolah mana? Sekolah persendirian Cina ke ? ” saya mulakan perbualan dalam bahasa Mandarin dengan Shin.

“Ya betul, saya bekas pelajar sekolah persendirian. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Taiwan, baru sahaja pulang ke Malaysia dan sedang mencari pekerjaan,” kata Shin yang mahu mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan di klinik itu.

Sambil berbual, saya dapat merasakan Shin sebenarnya tidak yakin untuk berkomunikasi dengan orang yang tidak bertutur sama bahasa dengan beliau. Ini berdasarkan pemerhatian saya ketika beliau cuba bertutur dalam bahasa Melayu dengan jururawat.

“Kak sangat fasih berbahasa Melayu, tiada dialek Cina pun, dari mana kak belajar ya?” Shin berasa hairan terhadap kefasihan bahasa Melayu saya.

“Saya membesar di kampung, selalu bertutur dalam bahasa Melayu dan bergaul dengan jiran dan kawan bukan Cina. Mula-mula saya tidak fasih tapi lama kelamaan saya paksa diri untuk belajar bertutur dalam bahasa Melayu,” saya berkongsi pengalaman ketika zaman persekolahan saya di kampung halaman iaitu di Kuala Krai, Kelantan.

Sebelum tiba giliran saya untuk berjumpa dengan doktor, saya sempat lagi berpesan kepadanya supaya mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu dengan menghadiri kelas intensif, terutamanya kepada graduan yang baharu tamat pengajian, seperti beliau untuk memudahkan nanti apabila menghadapi temu duga pekerjaan.

“Jangan takut membuat kesilapan, salah bertutur itu biasa, ia sebahagian daripada pembelajaran, ramai yang akan membantu awak nanti,” pesanan saya sebelum mengakhiri perbualan kami.

Dalam masa yang sama, jauh di sudut hati saya, saya berasa sedikit kecewa dengan sikap golongan muda bukan Melayu, yang memandang remeh akan tahap penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan mereka.

Mungkin bagi mereka, bahasa Melayu itu hanya digunakan di Malaysia sahaja, bukan bahasa antarabangsa seperti mana bahasa Inggeris.

Tidak dinafikan, faktor persekitaran dan sistem pendidikan amat mempengaruhi penguasaan bahasa seseorang, terutamanya bukan bahasa ibunda.

Namun, bukankah “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.”

Memetik kata-kata Sasterawan Negara dan Pensyarah Kanan Fakulti Penulisan Kreatif Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) Dr. Anwar Ridhwan, proses menguasai sesebuah bahasa perlu dipelajari dengan menyebut perkataan dengan betul terlebih dahulu sebelum beralih kepada perbendaharaan kata, tatabahasa atau nahu.

Langkah seterusnya adalah proses berterusan mendengar, menulis dan membaca, serta membiasakan diri bertutur dalam bahasa yang kita pelajari dengan penutur asli bahasa tersebut.

Saya masih ingat lagi ketika tinggal bersama datuk dan nenek di kampung halaman iaitu Kampung Guchil 4 (Kuala Krai, Kelantan). Mereka satu-satunya keluarga Cina dan kami dikelilingi jiran Melayu dan sebuah surau kampung.

Setiap petang selepas pulang dari sekolah, saya bermain dengan anak-anak jiran berusia antara lima hingga 12 tahun di rumah-rumah mereka, kadang kala dipelawa oleh ibu bapa mereka untuk makan bersama-sama. Di situlah bermulanya pertuturan bahasa Melayu dengan mereka, walaupun dalam dialek Kelantan!

Walaupun bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, saya tidak kekok bertutur dalam bahasa Melayu dengan guru-guru Bahasa Melayu, sentiasa ditawar untuk menyertai pelbagai pertandingan dalam Bahasa Melayu, termasuk pertandingan syarahan dan penulisan esei bagi menggilap kemahiran sebutan dan penguasaan tatabahasa.

Apabila melangkah ke sekolah menengah kebangsaan, saya berkawan dengan semua bangsa. Apabila saya silap menyebut perkataan, rakan Melayu membetulkan sebutansaya.

Saya juga banyak membaca buku dan novel Melayu ketika di sekolah rendah dan menengah. Saya masih ingat lagi buku pertama Bahasa Melayu saya berjudul ‘Saudara Kembar Di Sekolah Tengku Ashikin’ yang ditulis Enid Blyton. Buku-buku itulah yang membuatkan saya jatuh cinta dengan bahan bacaan Bahasa Melayu.

Perjalanan itu bukannya mudah, namun dengan keinginan dan semangat untuk menguasai sesebuah bahasa yang agak kuat, akhirnya saya dapat bertutur dalam bahasa Melayu sama seperti petutur asli yang lain.

Ramai yang beranggapan masyarakat bukan Melayu tidak fasih berbahasa Melayu apabila mereka sering ditegur dalam Bahasa Inggeris, termasuk saya sendiri yang banyak kali mengalami situasi sebegini.

Namun demikian, apabila saya bertutur dalam Bahasa Melayu seperti mana petutur asli yang lain, kadang-kala ia mengejutkan banyak pihak.

Walaupun mereka memuji kebolehan saya berbahasa Melayu dengan baik, tetapi dalam masa yang sama saya agak sedih kerana tidak ramai masyarakat bukan Melayu yang fasih berbahasa Melayu.

Pekerja asing yang hanya datang beberapa bulan bekerja di Malaysia sudah boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan lancar, mengapa pula kita sebagai rakyat Malaysia tidak boleh menguasai bahasa kebangsaan dengan baik?

Masih belum terlewat kepada mereka yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu untuk menguasai kemahiran bahasa dengan menghadiri kursus-kursus intensif, melatih diri sendiri bertutur dengan rakan-rakan dan membaca bahan bacaan Bahasa Melayu bermula sekarang.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, banggalah dengan bahasa kebangsaan kita kerana bahasa adalah jiwa bangsa.

Bagi saya, kelemahan Shin bertutur bahasa Melayu juga masalah yang dialami ramai bukan bangsa Melayu termasuk golongan muda.

Felo utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong secara berterus terang berpandangan, punca utama masyarakat bukan Melayu tidak fasih berbahasa Melayu adalah kerana mereka tidak berani keluar daripada zon selesa.

“Walaupun tidak semua, tapi golongan ini kurang yakin terhadap kemampuan bahasa Melayu untuk melonjakkan anak bangsa serta memajukan negara.

“Mereka hanya berkawan dalam kelompok mereka sahaja, bertutur dalam bahasa yang sama dan makan bersama-sama, jadi mereka berasa tidak selesa sekiranya berada dalam kelompok yang hanya mereka sahaja yang merupakan minoriti.

“Selain itu, sistem pendidikan juga merupakan faktor utama tercetusnya kelemahan dalam menguasai bahasa kebangsaan, iaitu pendidikan vernakular yang hanya tertumpu kepada bahasa ibunda mereka sahaja.

“Sebab itulah jika mahu memartabatkan bahasa kebangsaan, sistem pendidikan satu aliran adalah lebih baik kerana cara itulah dapat memupuk semangat perpaduan sejak kecil,” katanya.

Menurut beliau, ibu bapa juga memainkan peranan dalam mendidik anak-anak mereka supaya bergaul dengan rakan-rakan pelbagai kaum.

“Jika ibu bapa mereka tidak boleh menunjukkan contoh yang baik, bagaimana mahu mendidik anak-anak mereka supaya cintakan bahasa dan budaya serta memupuk semangat perpaduan?

“Mereka tidak memperlihat kebanggaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebaliknya hanya tertumpu kepada memartabatkan bahasa ibunda mereka sendiri, bagaimana hendak maju jika pandangan orang luar melihat kita sebagai rakyat Malaysia tetapi tidak boleh berbahasa kebangsaan?” katanya.

Tidak dinafikan figura dan ahli politik juga berperanan dalam memupuk semangat cintakan bahasa kebangsaan, terutamanya menerusi media sosial.

Dalam industri hiburan tanah air, tidak kurang juga beberapa artis bukan Melayu yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu amat menyerlah dan diminati ramai seperti Dr Soo Wincci, Alvin Chong, Lim Mei Fen dan Angeline Tan.

Saya pernah menemu bual pelakon dan penerbit, Lim Mei Fen ketika pementasan ‘Tanah Akhirku’ di Istana Budaya kira-kira dua tahun lepas.

Meskipun pada mulanya langsung tidak boleh berbahasa Melayu, namun pembabitan dalam teater Melayu menjadikan beliau gigih mempelajari bahasa kebangsaaan sehinggalah boleh bertutur dengan lancar.

“Bahasa Melayu merupakan bahasa perpaduan yang menyatupadukan masyarakat berbilang kaum, jika saya tidak fasih berbahasa kebangsaan, saya akan berasa malu untuk bergaul dengan rakan-rakan bangsa lain menyebabkan saya tidak boleh melangkah keluar daripada zon selesa.

“Saya berasa bangga kerana sebagai artis bukan Melayu, saya bukan sahaja sebagai role model kepada masyarakat pelbagai kaum tetapi juga dapat mempromosikan semangat perpaduan dalam kalangan bukan Melayu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar seru martabatkan bahasa Melayu

SHAH ALAM, 21 JUN: Bahasa Melayu perlu dimartabatkan terlebih dahulu sebagai bahasa kebangsaan sebelum dasar lain diperkenalkan termasuk Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden KEADILAN berkata ia perlu diberi perhatian kerana pelaksanaan sistem pendidikan secara terburu-buru dibimbangi akan mengakibatkan kerugian terutama kepada kaum Melayu.

“Kalau soal bahasa Melayu ini dapat diyakinkan sebagai satu bahasa kebangsaan dan ilmu, maka penjanaan dan mengangkat martabat penguasaan bahasa Inggeris itu saya rasa boleh bukan sahaja digalakkan serta diberikan penekanan lebih,” katanya ketika siaran langsung tazkirah di Facebook malam tadi.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata suasana pembelajaran di bandar dan luar bandar yang berbeza juga perlu difikirkan selain keupayaan guru sebagai pelaksana jika sesuatu dasar ingin diperkenalkan.

Dasar PPSMI mula dicadangkan pada 2002 sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada 2008 namum dimansuhkan secara berperingkat sejak 2012 tetapi bahasa Inggeris terus menjadi bahasa pengantar di peringkat universiti, matrikulasi dan tingkatan enam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Nepal cadang perkenal Bahasa Melayu di sekolah

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Nepal bercadang memperkenalkan Bahasa Melayu (BM) sebagai mata pelajaran elektif di sekolahnya bagi melengkapi pelajar dengan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa itu untuk menceburi bidang profesional di Malaysia.

Perkara itu, bagaimanapun, perlu dibincangkan lebih lanjut dengan Kabinet Nepal dan pihak berkuasa relevan, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Nepal, Giriraj Mani Pokharel semasa mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik baru-baru ini.

Giriraj turut menyambut baik syor Maszlee untuk Malaysia menubuhkan institut bahasa di negara Asia Selatan itu untuk mengajar BM kepada rakyat Nepal.

Bercakap kepada Bernama semasa ditemui di luar acara Sidang Kemuncak Inovatif Dunia bagi Pendidikan 2019, yang diadakan dari 19 hingga 21 November di Doha, Qatar, Maszlee berkata:

“Terdapat kira-kira 357,000 rakyat Nepal bekerja di Malaysia ketika ini, terutamanya dalam sektor keselamatan (pengawal keselamatan), pembuatan dan hospitaliti.

“Mengajar BM dan menubuhkan institusi akan memberi manfaat apabila rakyat Nepal mahu bekerja di Malaysia kerana mereka akan mampu berkomunikasi dengan baik dan meningkatkan kerjaya mereka.”

Maszlee berkata, kedua-dua mereka turut berbincang mengenai usaha untuk meningkatkan dan menambah baik pengajian Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Nepal.

“Menteri Nepal itu kagum dengan Sistem Latihan Berkembar dengan Jerman bagi TVET oleh negara kita dan bagi mereka, ia amat berguna.

“Ini kerana Nepal mahu mengeluarkan pekerja mahir untuk bekerja di luar negara dengan bayaran lebih baik dan mempunyai sijil TVET,” kata Maszlee.

Nepal sedang mencari peluang untuk menghantar pelajar mereka melanjutkan pelajaran peringkat ijazah lanjutan di Malaysia dan menjalin kerjasama dengan universiti-universiti di Malaysia.

Giriraj turut mengundang Maszlee untuk melawat Nepal bersempena dengan Tahun Melawat Nepal 2020 dan menghadiri Persidangan Kecerdasan Buatan di Kathmandu tahun depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bahasa Melayu perlu kembali dipercayai

TANJUNG MALIM, 28 SEPT: Bahasa Melayu perlu kembali dipercayai menjadi bahasa ilmu dan pengetahuan agar istilahnya kekal segar seiring kemunculan istilah dalam pelbagai bidang antaranya ekonomi, politik, undang-undang termasuk bidang digital dan teknologi.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, semua pihak seperti badan dan agensi dari dalam dan luar negara perlu terus memainkan peranan bagi membudayakan, memartabatkan, memasyarakatkan dan mengantarabangsakan Bahasa Melayu.

“Sebar luaskanlah usaha-usaha yang mengangkat bahasa rasmi negara ini. Biar ia kembali lahar dan gempita,” katanya ketika berucap merasmikan Malam Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2019 di Kampus Sultan Azlan Shah Proton City, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Dr Abdul Aziz Bari.

Terdahulu, Mohammad Shatar dalam ucapannya berkata Bahasa Melayu wajar mendapat pengiktirafan bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara tetapi juga di setiap pelosok dunia merangkumi Asia, Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Syarikat.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan dalam PABM iaitu kategori Alam Melayu, kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia, dan kategori Antarabangsa.

Bagi kategori Alam Melayu ia dimenangi Amirul Iqmal Razlan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), manakala juara kategori pelajar Antarabangsa di Malaysia menjadi milik Moustapha Koutoub Sano yang merupakan penuntut UIAM dari Guinea, sementara Qurbanov Ozad Nurmuhammad Ugli dari Uzbekistan State University of World Languages, dinobatkan pemenang kategori Antarabangsa.

Sementara itu, Sano berkata beliau yang telah berada di Malaysia selama 10 tahun berasa gembira dan bersyukur kerana memenangi pertandingan ini.

“Saya gembira ramai cikgu-cikgu dan rakan-rakan banyak tolong saya. Saya hanya mengambil masa sebulan untuk berlatih dan tidak menyangka boleh menang pertandingan ini,” katanya yang berusia 22 tahun.

Pemenang tempat pertama bagi setiap kategori menerima RM10,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan manakala tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori membawa pulang RM8,000 dan RM5,000 serta piala iringan dan sijil penyertaan

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Bahasa Melayu bahasa penyatu

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Sejak sekian lama bahasa Melayu menjadi alat perhubungan antara kaum di Malaysia.

Bahasa Melayu juga diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan digunakan dalam pertuturan serta tulisan kerana difahami oleh pelbagai kaum di negara ini.

Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan berkata, penggunaan satu bahasa iaitu bahasa Melayu mencerminkan jalinan hubungan rakyat Malaysia yang harmoni kerana kemampuan pelbagai etnik secara bersama untuk menuturkan bahasa tersebut.

Menurut beliau, daripada sebelum kemerdekaan negara sehinggalah ke hari ini, hanya bahasa Melayu sahaja yang dapat merentas sempadan ilmu, budaya dan bahasa etnik yang berbeza di negara ini, justeru melayakkan bahasa itu diangkat sebagai bahasa perpaduan.

“Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa perdagangan, pendidikan, pentadbiran, undang-undang dan bahasa ketatanegaraan sejak zaman kegemilangan tamadun Melayu di Melaka lagi.

“Para pedagang yang terdiri daripada pelbagai kaum yang datang ke alam Melayu untuk berdagang telah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar (Lingua Franca) dalam aktiviti perdagangan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bahasa Kebangsaan milik semua

Beliau menegaskan, pada masa kini terdapat keperluan untuk mengubah persepsi rakyat terhadap bahasa tersebut dan hal ini perlulah diberi perhatian oleh kerajaan.

“Ubah persepsi masyarakat terhadap bahasa Melayu. Jangan anggap bahasa Melayu sebagai milik orang Melayu sahaja

“Kementerian Pendidikan harus mengutamakan usaha untuk mengubah persepsi kaum lain terhadap bahasa Melayu yang mempunyai nilai dalam pelbagai bidang ilmu,” kata Zurinah yang juga penulis wanita pertama menerima Anugerah Sastera Negara pada 2015, yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Anak kelahiran Alor Star, Kedah itu juga pernah menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award ) pada 2004 dan Hadiah Puisi Sunthorn Phu (Hadiah Puisi Negara ASEAN) pada 2013.

Jelas beliau, Kementerian Pendidikan harus mengutamakan usaha untuk mengubah persepsi ini supaya masyarakat berbilang kaum khususnya pelajar sekolah dan generasi muda celik sejarah dan memahami mengapa bahasa Melayu layak dijadikan bahasa perpaduan di negara ini.

Selain itu, beliau turut menggesa pemimpin negara untuk menjadi teladan kepada rakyat dalam mengangkat bahasa kebangsaan.

“Pemimpin mestilah menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi samada dalam ucapan, ceramah atau temubual. Jangan menunjuk sikap mengagungkan bahasa Inggeris.

“Sepatutnya ucapan diperindah dengan pantun, sajak dan sebagainya,” kata Zurinah.

Bahasa Kebangsaan lambang keperibadian bangsa

Penyair dan penterjemah, Dr Raja Rajeswari Seetha Rama berkata, penggunaan bahasa kebangsaan perlu diperkasa dalam kalangan rakyat.

“Malaysia telah lama merdeka tetapi masih ada rakyat yang tidak tahu berbahasa kebangsaan.

“Tugas mengukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab setiap insan yang lahir di negara ini,” kata penyair kelahiran Kuala Kurau, Perak itu.

Beliau berkata, bahasa kebangsaan bukan sekadar bahasa tetapi juga lambang keperibadian dan identiti rakyat Malaysia.

“Ke mana-mana kita pergi kita membawa identiti nasional iaitu bahasa kebangsaan kita, dan kita lebih dihormati dan disanjung di pentas antarabangsa apabila kita membawa identiti kita sebagai rakyat Malaysia yang menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya yang juga seorang penterjemah bertauliah.

Menurut Raja Rajeswari, beliau menerima banyak permintaan pihak luar, seperti dari Sepanyol, India dan Brazil yang mahu mempelajari bahasa Melayu, sekaligus menunjukkan bahawa pihak luar menghayati dan menghargai bahasa tersebut.

“Kadang-kadang saya rasa hairan, bahasa kebangsaan kita mendapat penghargaan yang begitu tinggi di luar negara, tetapi mengapa sikap kita di negara ini sebaliknya,” katanya.

Cinta bahasa

Penyair yang banyak menghasilkan sajak dalam bahasa Melayu itu berkata cintanya pada bahasa kebangsaan bermula pada zaman kanak-kanak lagi dan ibu bapanya juga menggalakkan beliau membaca bahan dalam bahasa Melayu.

Memandangkan kedua-dua ibu bapanya adalah guru, mereka tinggal di kuarters guru dan di situ beliau banyak bergaul dengan pelbagai kaum khususnya orang Melayu.

“Ayah saya seorang juga penyair tetapi beliau banyak berkarya dalam bahasa Tamil. Mungkin saya terpengaruh daripada beliau untuk turut menulis puisi tetapi saya menulis dalam bahasa Melayu kerana saya lebih selesa dengan bahasa ini yang selalu saya gunakan,” katanya yang menghasilkan buku kumpulan puisi persendirian bertajuk Mekar Bunga, Antologi Puisi Bahasa Yang Sama.

Selain itu, puisinya diterbitkan dalam 80 antologi puisi bersama penulis lain.

Antara pengikhtirafan yang diterima Rajeswari termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006-2007, Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI 2018, Anugerah Citra Sahabat Dewan Bahasa dan Pustaka 2016, Anugerah Ekologi Amerika Tengah 2018, Anugerah Mewadev Laurel Amlor Banda 2018 dan Anugerah Srikandi Numera (Nusantara Melayu Raya) 2018.

Naskhah terjemahan beliau meliputi koleksi puisi penyair tersohor antarabangsa seperti penyair Bangladesh Aminur Rahman, penyair Russia Viacheslav Kupriyanov, penyair Portugal Mario Do Sameiro Barroso dan Penyair India Swapna Behera, yang diterjemahkan ke bahasa Melayu.

Beliau yang juga pemegang ijazah Doktor Falsafah Universiti Melayu dalam bidang Kesusasteraan Melayu itu aktif menterjemahkan puisi untuk majalah Point Editions di Sepanyol dan blog Poetry Bridges di Poland.

Padam syak wasangka dengan bahasa

Sementara itu, penyair Lim Swee Tin berkata, rakyat Malaysia akan mampu menyelesaikan banyak salah faham dan keraguan seandainya penguasaan bahasa Melayu diperkukuh dan dipraktikkan dalam segala jurus kehidupan.

“Ia (bahasa Melayu) mudah untuk kita jadikan bahasa perhubungan. Melalui bahasa Melayu kita dapat satukan hati dan perasaan kerana ia memadamkan syak wasangka, curiga-mencurigai dan jurang yang ada antara kaum dan bangsa.

“Sekarang banyak salah faham berlaku. Takkanlah setelah merdeka 62 tahun, untuk memahami pertuturan, pendapat dan ucapan kita masih menggunakan khidmat penterjemah,” katanya yang berasal dari Bachok, Kelantan.

Lim berkata, mungkin ada pihak yang mempersoalkan apa kaitan cinta kepada negara dengan bahasa, namun beliau yakin dengan menghormati dan kemudian menggunakan dengan meluas bahasa Melayu prasangka sesama kaum dapat dielakkan.

“Perasaan kekitaan mudah dipupuk. Rasa pemilikan pada bahasa ini pula memudahkan kita tambah memperkasakan penggunaannya,” ujar pensyarah Universiti Putra Malaysia itu.

Beliau memberi contoh isu pengenalan tulisan Jawi dan khat yang diperbesar oleh sesetengah pihak yang tidak memahami kedudukan bahasa Melayu dengan jelas.

“Malaysia (secara umumnya) tiada masalah. Yang bermasalah adalah sekerat dua ahli politik yang celupar. Jawi itu ilmu,” katanya.

Menurut Lim, beliau sudah mengenali tulisan Jawi sejak tahun 1959 iaitu semasa di sekolah rendah lagi.

“Saya sedih, teramat sedih. Saya berduka. Hanya kerana mengajar khat sudah dianggap proses Islamisasi,” katanya.

Kaji cara pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah

Lim turut berpendapat terdapat keperluan untuk mengkaji semula cara pembelajaran bahasa Melayu di sekolah yang disifatkan beliau terlalu idealistik.

Jelas beliau, pembelajaran bahasa Melayu pada masa kini membolehkan seseorang pelajar lulus peperiksaan dengan cemerlang tetapi gagal mempraktikkan bahasa itu dalam kehidupan harian.

“Pada tahap awal persekolahan tekankan aspek komunikasi. Tidak perlukan disogokkan ilmu tatabahasa yang berat-berat.

“Utamakan bagaimana anak-anak kita dapat berkomunikasi dengan berkesan melalui bahasa Melayu dan bagaimana mereka boleh memberi pendapat dan pandangan, boleh bercakap tentang perihal kenegaraan, kehidupan, kerjaya dan kemasyarakatan dengan baik,” cadang beliau yang juga merupakan bekas guru.

Katanya, penekanan pada aspek yang lebih berat seperti tatabahasa dan semantik boleh dilakukan pada peringkat yang lebih tinggi.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan moden

SEREMBAN, 14 NOV: Bahasa Melayu perlu berkembang seiring dengan perkembangan sains dan teknologi agar mampu menjadi bahasa ilmu pengetahuan moden, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith.

“Bahasa Melayu perlu berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras bahasa, istilah dan perbendaharaan kata,” katanya ketika berucap merasmikan program Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu: Bahasa Melayu Kembali ke Akar, di sini hari ini.

Katanya ini kerana dalam era teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), bahasa Melayu dilihat berdepan cabaran sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan negara kerana perlu bersaing dengan bahasa Inggeris yang digunakan secara meluas dalam ICT di seluruh dunia.

“Hal ini kerana Internet dan pengeluar perisian serta perkakasan komputer seperti Microsoft, Dell dan Hewlett-Packard semuanya diasaskan oleh mereka yang berbahasa Inggeris.

“Tambahan pula kita sekarang berada dalam era Revolusi Industri Keempat. Hal ini menyebabkan bidang teknologi pengeluaran telah berubah dan berada dalam arena yang baharu dan cabaran ini perlu disambut ahli akademik untuk memastikan bahasa Melayu boleh dan mampu menyesuaikan peranannya dalam menghadapi cabaran ini,” katanya.

Bagi membantu perkembangan bahasa Melayu, Eddin Syazlee menggesa media memainkan peranan dengan menjadi contoh kepada masyarakat termasuk warga asing menerusi penguasaan bahasa Melayu yang baik.

“Memandangkan media cetak seperti akhbar dan majalah mendapat tempat dalam kalangan pembaca, sewajarnya media menjadi saluran penting untuk mendidik pembaca menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

“Hindarkan daripada menggunakan bahasa rojak dan menyimpang daripada tatabahasa sehingga boleh merosakkan bahasa Melayu,” katanya.

Beliau turut menyeru ilmuwan di universiti awam dan swasta serta institusi pendidikan lain agar memperbanyak penerbitan buku ilmiah dalam bahasa Melayu yang pada masa ini masih belum mencukupi untuk menjadi bahan rujukan utama masyarakat.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Pengarah Institut Pendidikan Guru Raja Melewar Dr Nizam Abd Latib dan Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Terus martabatkan Bahasa Melayu, asas perpaduan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan
merupakan bahasa perpaduan dan amat sesuai dengan peranan guru yang mengajar serta mendidik murid pelbagai kaum di sekolah.

Isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad berkata, perpaduan yang terjalin melalui bahasa itu akan dapat menjadi pemangkin ke arah kemakmuran dan kesejahteraan negara yang dicintai.

Katanya, ia sekali gus, mewujudkan hubungan baik antara murid peringkat sekolah dapat diperkukuh dan diteruskan hingga mereka menjadi ahli masyarakat dalam negara ini.

“Bahasa Kebangsaan negara kita merujuk bahasa Melayu yang antara fungsinya sebagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi rakyat Malaysia.

“Penggunaan pelbagai bahasa dalam kalangan rakyat boleh memungkinkan timbulnya salah faham akibat kesalahtafsiran maksud dan seumpamanya.

“Oleh itu, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Majlis Penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan 2018, di Dewan Aminuddin Baki, Bangunan Menara Institut Pengajian Guru Kampus Bahasa Melayu bagi mengantikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Masdiana berkata, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu amat sinonim dengan pelajar dan masyarakat kerana dapat mengungkapkan ilmu dalam pelbagai bidang seiring dengan perkembangan semasa.

Sehubungan itu, bagi memperkasakan tujuan ini, katanya, para ilmuan seperti pensyarah boleh menghasilkan penulisan dan penerbitan dalam bidang masing-masing dengan menggunakan bahasa Melayu bagi menyebarluaskan kepakaran yang dimiliki.

“Adalah lebih baik sekiranya kita mempunyai kepakaran dalam bidang terjemahan supaya dapat menterjemahkan karya bermutu daripada bahasa lain ke dalam bahasa Melayu.

“Kandungan karya berkenaan dapat membantu menambahkan ilmu pembaca. Dewasa ini, negara kita memerlukan rakyat yang berilmu dalam pelbagai bidang untuk memajukan negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau yakin dengan kewibawaan dan kepakaran pensyarah untuk memberikan ilmu bahasa Melayu yang terbaik kepada pelajar.

“Saya juga percaya bahawa pelajar di IPG ini sentiasa berusaha untuk menjadi guru bahasa Melayu yang berkesan dan memenuhi aspirasi negara seiring dengan perkembangan ilmu dan pedagogi abad ke-21,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Bahasa Melayu tetap bahasa rasmi Kerajaan – TPM

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 JUN: Bahasa Melayu tetap diangkat sebagai bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran Kerajaan Malaysia, tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, polemik kononnya Kerajaan Pakatan Harapan menafikan penggunaan bahasa itu dalam urusan rasmi adalah tidak benar.

Justeru katanya, isu berkenaan seharusnya tidak diperbesarkan mana-mana pihak, supaya ia tidak lagi memberi pelbagai sentimen kepada masyarakat.

“Sudah lama dinyatakan Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi kebangsaan.

“Tetapi kalau ada pihak yang mahukan terjemahan, itu tiada masalah. Seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri sendiri, perkara ini bukan isu besar,” katanya kepada pemberita.

Beliau diminta mengulas reaksi umum terhadap laporan kononnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggunakan terjemahan Bahasa Mandarin dalam sidang mediannya, sebelum ini.

Bagaimanapun Lim menafikan penggunaan Bahasa Mandarin digunakan.

Sebaliknya, kenyataan tiga bahasa termasuk Bahasa Melayu disampaikan bagi memudahkan kerja pemberita.

Terdahulu, Wan Azizah hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Institut Darul Ehsan (IDE) di Seksyen 15, petang ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Categories
NASIONAL

Cabaran martabatkan bahasa Melayu perlu penglibatan semua

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 9 DIS: Semua pihak perlu berusaha memartabatkan penggunaan bahasa Melayu untuk dijadikan bahasa yang boleh digunakan dalam pelbagai peringkat.

Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar berkata, setiap individu terutamanya mereka yang bekerja dan terlibat dengan penggunaan bahasa harus merencanakan sesuatu bagi mengekalkan bahasa Melayu di serantau dunia.

“Selari dengan kewujudan pelbagai karya dari luar negara, diharapkan karya bahasa Melayu juga dapat diperluaskan ke seluruh dunia supaya lebih ramai orang tahu tentang bahasa ini.

“Sebenarnya, sudah ramai orang mengguna pakai bahasa Melayu ini termasuklah orang Inggeris yang menterjemahkan bahasa Melayu dalam karya mereka.

“Di samping itu, terdapat juga pihak yang mengkaji dan membuat transformasi bahasa Melayu dalam bahasa asing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum ‘Gelombang yang Memukul, Sawah yang Tenteram – Cabaran negara bangsa terhadap bahasa Melayu nusantara’ di Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Nusantara 2017 di Auditorium Muzium Sultan Alam Shah, di sini.

Festival anjuran Pusat kebudayaan terkemuka serantau, PUSAKA yang bermula dari 8 hingga 10 Disember itu menampilkan tetamu kehormat seperti Goenawan Mohamad, Muhammad Haji Salleh dan Ramli Sarip.

Sementara itu, Profesor Sosiologi Universiti Nasional Singapura, Syed Farid Alatas berkata, seseorang itu perlu mengkaji dan belajar tentang sesuatu perkara jika tidak arif mengenainya.

“Begitu juga istilah, singkatan dan ayat dalam bahasa Melayu mesti mempunyai ilmu pengetahuan sebelum digunakan lebih meluas.

“Maka, jika tiada kepakaran mengenainya kita harus kaji, belajar dan selidik terlebih dahulu kepada yang benar-benar pakar,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Keputusan tepat tarik semula kelonggaran syarat Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Keputusan kerajaan menarik semula kelonggaran syarat berkaitan Bahasa Melayu bagi jawatan dalam perkhidmatan awam disifatkan keputusan tepat dan berani.

Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, beliau menyokong penuh keputusan itu kerana tidak sepatutnya ada kompromi dalam syarat berkaitan Bahasa Melayu.

“Saya menyokong penuh keputusan itu dan berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta kabinet atas keprihatinan juga ketegasan mereka.

“Penting untuk anak muda kenal dan fasih Bahasa Melayu kerana ia menunjukkan rasa cinta serta hormat kepada negara juga Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya kepada BERNAMA.

Pada masa sama, katanya, sebarang perubahan membabitkan perkara yang termaktub dalam perlembagaan negara mesti dibentangkan dahulu kepada kabinet.

Menyuarakan pendapat sama, Felo Utama Institut Kajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, keputusan itu bertepatan usaha dan dasar kerajaan yang mendukung Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, adalah menjadi keutamaan bagi setiap warganegara Malaysia memartabatkan Bahasa Melayu dan perkara itu perlu sentiasa dihormati.

PERDIM“Saya sokong keputusan menetapkan syarat lulus Bahasa Melayu dalam semua jawatan. Jika mereka tidak mengambil kertas Bahasa Melayu Sijil Pelaran Malaysia (SPM), mereka perlu menduduki mana-mana peperiksaan Bahasa Melayu setaraf dengan SPM,” jelasnya.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk menarik balik kelonggaran syarat kelayakan lulus dengan kepujian Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41.

Ahmad Zahid berkata, Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang juga bahasa rasmi Persekutuan, selaras Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, JPA pada 23 Februari lalu memberi persetujuan untuk kelonggaran syarat itu bagi pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di KKM.

Katanya, langkah itu bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 untuk graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan SPM atas pelbagai sebab.

Categories
SELANGOR

Exco: Martabat Bahasa Melayu dalam pendidikan tanggungjawab bersama

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Negeri mengalukan usaha murni Universiti Selangor (UNISEL) sekiranya mahu memfokuskan Bahasa Melayu dalam pembelajaran di intitusi itu.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata menjadi tanggungjawab semua pihak untuk melihat usaha memartabatkan bahasa kebangsaan diambil perhatian.

State assemblyman for Seri Setia and Deputy Speaker of the Selangor state assembly, Nik Nazmi Nik Ahmad arrives at the Court of Appeal in Putrajaya on April 25, 2014. The Malaysian Insider/Najjua Zulkefli

Katanya, UNISEL sebagai pusat kecemerlangan pendidikan Selangor perlu memainkan peranan itu sebagai usaha memartabatkan kepentingan bahasa ibunda.

“Jika ia dilaksanakan, saya fikir ia sebagai usaha yang baik yang sebenarnya perlu diambil peranan semua pihak,” katanya kepada pemberita.

Nik Nazmi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman yang mahu penggunaan Bahasa Melayu dalam pembelajaran dan pengajaran diutamakan khususnya dalam bidang pendidikan bagi memastikan penggunaannya dipertingkatkan.

Hal itu bagi memastikan Bahasa Melayu kekal terpelihara walaupun dalam era globalisasi masa kini.

Pada masa yang sama, Nik Nazmi turut mahu Kerajaan Persekutuan mengkaji secara mendalam sebelum membuat perubahan dasar dalam isu Dual Language Program (DLP).

DLP adalah dasar baru diperkenalkan Kerajaan Persekutuan tahun ini yang dipercayai penjenamaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Selain itu, satu demonstrasi besar-besaran bagi membantah program DLP akan diadakandi Stadium Merdeka pada 9 April depan.

-nR-