Categories
ADN PBT SELANGOR

MBPJ peruntuk hampir RM30,000 naik taraf padang SS20/5

PETALING JAYA, 5 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntuk RM27,137 bagi menaik taraf dan baik pulih kemudahan padang SS20/5, Damansara Kim di sini, kata wakil rakyat Bandar Utama.

Jamaliah Jamaluddin berkata peruntukan itu untuk membina sistem saliran bawah tanah bagi mengatasi masalah air bertakung sehingga menjadi punca banjir kilat di kawasan tersebut.

“Kita kerap mendapat aduan daripada penduduk mengenai air bertakung di kawasan ini sehingga menyebabkan banjir kilat selama beberapa hari dan sukar untuk mereka beriadah.

“Oleh itu, saya meminta MBPJ tampil menyelesaikan segera kerana sebelum ini isu air bertakung jarang dititik beratkan,” katanya pada sidang media selepas meninjau padang berkenaan hari ini.

Menurut Jamaliah kerja baik pulih itu mengambil masa dua bulan dan telah siap sepenuhnya pada Oktober lalu.

“Lebih 500 kediaman di sini dan saya percaya penduduk kini dapat melakukan aktiviti riadah dengan selesa dan tiada lagi masalah air bertakung sehingga memakan masa yang lama,” katanya.