Categories
AGENDA GLOBAL

Masyarakat dunia digesa tekan Israel henti keganasan di Baitulmaqdis

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali mendesak masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan pencerobohan terhadap penduduk Palestin di Baitulmaqdis.

Tegasnya, serangan ke atas jemaah di Masjid Al-Aqsa dan mengusir rakyat Palestin dari kawasan kejiranan Sheikh Jarrah, di Baitulmaqdis Timur, jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Setiap hari, apa yang berlaku di Baitulmaqdis adalah Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi rakyat Palestin.

“Kami menuntut masyarakat antarabangsa serius tangani perkara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Walid juga menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab menggunakan kuasa yang ada untuk menghentikan kekejaman Israel.

“Mereka mesti meminta masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan menggunakan hubungan dua hala mereka dengan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) untuk memberi tekanan kepada Israel.

“Hanya AS dan EU yang dapat menekan Israel untuk menghentikan serangan,” katanya.

Menurut laporan media, sejak beberapa hari lalu rakyat Palestin di Baitulmaqdis bersama penduduk di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah mengadakan tunjuk perasaan di tengah-tengah serangan polis Israel.

Krisis itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Pusat Israel di Baitulmaqdis Timur, yang membenarkan pengusiran tujuh keluarga Palestin dari kediaman mereka di kawasan kejiranan itu dan menyokong penempatan oleh pendatang Israel sejak awal tahun ini.

Pada Jumaat malam polis Israel bertindak mengusir jemaah di perkarangan Masjid Al-Aqsa menggunakan bom tangan dan gas pemedih mata. Ratusan Palestin cedera dalam serangan itu dan tindakan zionis itu dikecam masyarakat antarabangsa seluruh dunia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

PBB adakan mesyuarat bincang konflik di Baitulmaqdis

NEW YORK, 10 MEI: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan mesyuarat pada Isnin untuk membincangkan ketegangan yang meningkat di Timur Baitulmaqdis, lapor Agensi Anadolu (AA).

Mesyuarat tertutup itu dijadual bermula 9 pagi waktu tempatan (1300 GMT) untuk membincangkan krisis yang mula tercetus apabila penduduk Palestin diusir dari rumah mereka di kawasan Sheikh Jarrah oleh pendatang Israel.

Keadaan itu menyebabkan rakyat Palestin membantah di tengah-tengah serangan polis Israel.

Krisis itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Pusat Israel di Timur Baitulmaqdis, yang meluluskan permohonan mengusir tujuh keluarga Palestin sejak awal tahun ini.

Pada Jumaat polis Israel mengusir jemaah yang berada di perkarangan Masjid Al-Aqsa menggunakan bom tangan dan gas pemedih mata. Ratusan rakyat Palestin cedera dan insiden itu menerima kecaman seluruh dunia.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia bantah keputusan Australia iktiraf Baitulmaqdis ibu negara Israel

PUTRAJAYA 16 DIS: Malaysia membantah keras keputusan Australia mengiktiraf Baitulmaqdis barat sebagai ibu negara Israel, tegas Kementerian Luar dalam kenyataan media hari ini.

Kementerian Luar berkata, Malaysia yakin bahawa pengumuman itu dibuat sebelum penyelesaian dua negara (two-State solution) selain dilihat sebagai satu tindakan pra matang dan menghina rakyat Palestin.

Katanya, Malaysia mengulangi pendirian bahawa pentingnya penyelesaian dua negara apabila rakyat Palestin dan Israel hidup berdampingan berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin dilihat satu-satunya penyelesaian terbaik untuk konflik Palestin-Israel.

“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan semua rakan kongsi untuk mencari penyelesaian yang adil, komprehensif dan terbaik kepada konflik dua negara itu,” katanya.

Categories
GLOBAL

Aman Palestin kutuk tindakan Yahudi ceroboh Masjid Al-Aqsa

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 14 MEI: Aman Palestin mengutuk keras tindakan pencerobohan Yahudi dengan menaikkan bendera Israel dan menunaikan solat Talmud di dalam Masjid Al-Aqsa, semalam.

Aman Palestin dalam kenyataan berkata, tindakan provokasi secara terang-terangan itu jelas menghina perasaan seluruh umat Islam selain menggambarkan perancangan mereka menukar identiti masjid itu secara berterusan dan cepat.

Aman Palestin menggesa tindakan segera dan proaktif juga perlu diambil menghalang keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mencabul dan melanggar undang-undang antarabangsa yang mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

“Seluruh umat Islam wajib bangkit memainkan peranan selaras dengan aspirasi Islam dan bukan sekadar memberikan kecaman serta kutukan semata-mata.

“Aman Palestin dan umat Islam seluruh dunia teguh dalam pendirian bahawa Baitulmuqaddis milik kekal Umat Islam dan Palestin merupakan tanah suci bagi umat Islam,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, ratusan pendatang Yahudi berarak di Baitulmuqaddis untuk meraikan peristiwa ‘penyatuan semula’ bandar itu selepas perang enam hari, pada 1967 yang kemudiannya disambut, pada 13 Mei, setiap tahun.

Categories
KENYATAAN MEDIA

AS biadap pindah kedutaan Israel ke Baitulmaqdis

Amanah mengecam sekeras sekerasanya tindakan Presiden Trump memindahkan kedutaan Amerika Syarikat ke Baitul Maqadis. Sejak menjadi presiden beliau bukan menjadi pendamai tetapi menjadi punca tercetus ketegangan dan persengketaan di Timur Tengah dan juga di Asia terutamanya di Korea. Hak orang Islam sedunia tercabar dan maruah kami tercalar teruk hari ini. Baitul Maqadis adalah isu terpenting menyelesaikan isu Rakyat Palestin dan Islam sedunia. Amerika adalah musuh nyata orang Islam dan Palestin dengan tindakan ini yang kami kutuk sekeras kerasnya. Hari ini mereka mereka yang memilih menjadi sekutu rapat Amerika adalah musuh umat Islam. Kami menuntut Kerajaan Malaysia menghantar bantahan keras ke Amerika atas tindakan memindah kedutaannya ke Baitul Maqadis.

1) Datuk Najib sering mengumumkan hubungan baik dan istimewa beliau dengan Donald Trump.Jika benar hubungan tersebut begitu baik, beliau patut menggunakan hubungan istimewa tersebut untuk mempengaruhi polisi Trump untuk kebaikan umum umat Islam sedunia.

2) Baik dalam isu pengistiharaan pengharaman umat Islam negara tertentu memasuki Amerika sehingga hasrat Trump memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat ke Baitul Maqadis, Najib membisu seribu bahasa. Beliau kelihatan lagi mengutamakan memelihara hubungan peribadi beliau dengan Trump supaya tidak terjejas daripada menggunakannya untuk kepentingan umum umat Islam. Ini adalah  sikap mementingkan diri dan bukan sikap seorang pemimpin Islam yang berjuang dan berkorban untuk umat Islam sedunia. Adakah ini sikap seorang pemimpin yang kita boleh  berbangga membela Islam atau yang patut kita ganti ? Seluruh Dunia dan Malaysia memerhati kelemahan kepimpinan Najib yang amat mendukacitakan.

3) Adakah Malaysia mempunyai pendirian dalam isu yang melibatkan salah satu tempat terpenting untuk dunia dan umat Islam ? Adakah UMNO yang sedang mempunyai Mesyuarat Agong membuat pendirian rasmi tentang isu ini?

UMNO sudah tidak relevan lagi, begitu juga Najib. Dan Malaysia menjadi makin tidak relevan dan tenggelam terus jauh berbanding pada zaman Tengku Abdul Rahman yang pernah menerajui OIC dahulu.

Apakah pendirian Malaysia dalam isu Amerika memindah kedutaannya ke Baitul Muqadis ? Najib hanya berani boleh menjuarai Islam di Malaysia sahaja seperti seorang  jaguh kampung. Dipentas antarabangsa Malaysia sudah tidak lagi relevan dibawah kepimpinan Najib. Itulah Nasib Malaysia hari ini selepas 60 tahun Merdeka.

Raja Bahrin Shah
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
dan Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah

Categories
NASIONAL

MAPIM: Islam perlu bangkit bantah pencabulan Baitulmaqdis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 DIS: Masjid di seluruh negara diminta mengadakan demonstrasi berhubung isu pengambilalihan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang bakal diisytihar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, khutbah Jumaat juga disarankan dibaca khas untuk isu terbabit.

Katanya, maruah umat Islam ketika ini dicabar AS dan Israel, malah terdapat negara yang mengkhianati umat Islam dengan bersekongkol bersama negara itu.

“Maruah umat sedang dicabar AS dan Israel. Ada Negara Arab yang mengkhianati umat Islam dengan bersekongkol dengan AS dan Israel,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azmi berkata, seluruh umat Islam dan pencinta kebenaran perlu bangkit segera menyatakan bantahan keras terhadap pencabulan Zionis ke atas Baitulmaqdis.

“Kesedaran berkenaan kepentingan mempertahan Al-Quds perlu dicetuskan di seluruh negara di seluruh peringkat,” katanya.

Beliau berkata, pengumuman yang bakal dibuat Trump untuk mengiktitaf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel bermakna seluruh kota suci dan Masjid Al-Aqsa sudah dikuasai mutlak oleh Zionis Yahudi.

“Ini jenayah besar ke atas umat Islam yang tidak boleh dikompromi. Setiap imam di setiap masjid perlu memimpin kebangkitan pada Jumaat ini sebagai hari kemarahan umat seluruh negara,” katanya.

“Inilah masanya umat bersatu demi Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa. Jangan ada khilaf politik mahupun perpecahan sektarian yang menghalang umat bersatu menentang Zionis dan membebaskan Masjid Al-Aqsa dan Al-Quds,” katanya.

Categories
GLOBAL

Al-Aqsa bergolak, solat diluar tanda protes

BAITULMAQDIS, 18 JULAI: Insiden keganasan kembali tercetus di Masjid al-Aqsa selepas rejim Zionis bertindak menyerang penduduk Palestin di kawasan pintu masuk masjid itu dan menyebabkan kira-kira 18 orang cedera.

Kelmarin, pihak berkuasa Israel membuka semula Haram al-Sharif yang menempatkan al-Aqsa dan Masjid Kubah Batu di Baitulmaqdis Timur, dua hari selepas ia ditutup susulan insiden serangan tembakan di kawasan tersebut.

Orang Islam bagaimanapun enggan memasuki kawasan itu sebagai tanda protes terhadap langkah baharu yang dikuatkuasakan termasuk pengesan logam dan kamera keselamatan.

Puluhan jemaah menunaikan solat Zohor di luar al-Aqsa bersebelahan pintu masuk Lions Gate ke Kota Lama.

“Kami menolak perubahan yang dikenakan rejim Tel Aviv. Kami tidak akan melalui pemeriksaan pengesan logam ini,” tegas Pengarah al-Aqsa, Sheikh Omar Kiswani.

Persatuan Palang Merah Palestin (PRCS) dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai empat penduduk Palestin turut diberkas dalam kejadian itu.

“Rejim Zionis juga bertindak biadab menceroboh al-Aqsa. Mereka memecahkan kunci laci dan peti besi dengan alasan untuk memeriksa masjid ketiga paling suci orang Islam itu,” jelas jurucakapnya.

Keputusan provokasi menutup al-Aqsa turut menerima kecaman dari negara Islam dan Liga Arab menyifatkan ia sebagai ‘langkah berbahaya’ dan penutupan itu melanggar hak asas penduduk Palestin. – Agensi