Categories
AGENDA NASIONAL

Bajet 2022 lulus di peringkat jawatankuasa

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa.

Rang Undang-Undang itu yang merupakan belanjawan pertama di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diluluskan setelah melalui 13 hari tempoh perbahasan dan penggulungan bermula 22 November bagi setiap kementerian terlibat.

Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Okt lepas, menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan pandemik Covid-19.

Dewan Rakyat meluluskan Bajet 2022 di peringkat dasar pada 18 November selepas dibahaskan selama tujuh hari bermula 1 November dan melalui sesi penggulungan mulai 15 November.

Menurut takwim Dewan Rakyat, persidangan yang akan berlangsung sehingga Khamis ini diteruskan dengan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

Persidangan esok dijangka melibatkan pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 selepas bacaan kali pertama pada 3 November, antaranya untuk memasukkan negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo.

Menurut rang undang-undang itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada:

(a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu dan

(b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan rakyat lulus Bajet 2022 peringkat dasar

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu, yang merupakan belanjawan pertama di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, diluluskan apabila lebih suara bersetuju selepas undian suara dijalankan.

Terdapat beberapa ahli parlimen bangun meminta undian belah bahagian dilakukan tetapi ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun apabila bilangan yang berdiri kurang daripada 15 ahli parlimen.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menggulung perbahasan Bajet 2022 bagi Kementerian Kewangan, yang merupakan kementerian terakhir membuat penggulungan.

Bajet 2022 yang dibentang Tengku Zafrul di Parlimen pada 29 Okt lepas, menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara, dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan pandemik Covid-19.

Rang undang-undang itu dibahas selama tujuh hari mulai 1 Nov oleh 131 ahli parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang dan digulung oleh 31 kementerian selama empat hari bermula Isnin lepas.

Menurut takwim Parlimen, perbahasan rang undang-undang berkenaan bagi peringkat jawatankuasa dijadual selama 13 hari bermula 22 Nov ini.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin .

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Persatuan inap desa harap syarat mohon geran padanan dilonggarkan

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA) berharap syarat kelayakan permohonan geran padanan bagi tujuan pembaikan yang melibatkan peruntukan RM30 juta dalam Bajet 2022, dilonggarkan dan lebih fleksibel buat pemilik inap desa.

Presidennya Zohaime Muhamad Sori berkata kekangan syarat yang terlalu ketat, menyebabkan ada segelintir pemilik inap desa berputus asa dalam memohon peruntukan tersebut.

“Melalui geran sebelum ini, kami terpaksa melalui karenah birokrasi yang terlalu ‘rigid’ sehingga membebankan. Jadi kami berharap agar syarat kelayakan permohonan ini dapat dilonggarkan.

“Bagaimanapun, kami sangat menghargai keprihatinan kerajaan dalam membantu pemilik inap desa menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelancong, apatah lagi selepas hampir dua tahun tidak dapat beroperasi akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat Jumaat lepas, memperuntukkan RM1.6 bilion menerusi tujuh inisiatif utama bagi membantu sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik.

Antaranya, peruntukan RM30 juta geran padanan bagi tujuan pembaikan kepada pemilik inap desa dan 738 hotel bajet yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Mohd Khalid Harun menyifatkan pembentangan Bajet 2022 bagi sektor pelancongan, memenuhi semua keperluan yang diminta oleh industri itu.

“Jika hendak dibandingkan dengan bajet sebelum ini, kali ini kami cukup berpuas hati dengan apa yang diberi oleh kerajaan,” katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Michiel pula berharap, kerajaan lebih prihatin kepada industri perhotelan dan pelancongan yang terjejas teruk dan mengambil masa yang lama untuk kembali kukuh, walaupun selepas pandemik berjaya dikawal.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga juta pelajar terima bantuan awal sekolah RM150

SHAH ALAM, 29 OKT: Bantuan persekolahan RM150 seorang akan diagihkan kepada tiga juta pelajar yang layak mulai tahun depan, kata menteri kewangan.

Bantuan berjumlah RM450 juta itu antara sebahagian manfaat dalam Bajet 2022 yang dibentangkan
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini.

Beliau berkata insentif khas alat bantuan mengajar sebanyak RM100 secara sekali bayar turut diberikan kepada lebih 400,000 guru bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia juga dilaksanakan dengan membekalkan tablet kepada pelajar berpendapatan rendah di institusi pengajian tinggi,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 15 peratus diberikan mulai 1 November hingga 30 April 2022.

Jumlah sama turut diberikan atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman selain diskaun 12 peratus untuk sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

Sementara diskaun 10 peratus diberikan untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam dapat bonus RM700, pesara RM350

SHAH ALAM, 29 OKT: Seramai 1.3 juta penjawat awam Gred 56  dan ke bawah akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM700 sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh mencabar ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata manakala seramai satu juta pesara kerajaan pula akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM350.

“… (kedua-dua bantuan ini melibatkan) dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion. Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Perkara itu adalah antara yang cadangan di bawah strategi keempat iaitu “Mendokong Penyampaian Perkhidmatan Awam” daripada Fokus Ketiga Bajet 2022 yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”.

Selain itu, Zafrul berkata gantian cuti rehat (GCR) juga dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 bagi menghargai pengorbanan penjawat awam terutama barisan hadapan yang tetap komited dengan tugas dan tidak berpeluang bercuti.

Beliau berkata kerajaan turut akan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari dengan mengambil kira keperluan penjawat awam seperti menunaikan haji atau membiayai pengajian tinggi anak mereka.

Katanya, kerajaan juga bercadang untuk menambah baik beberapa kemudahan anggota perkhidmatan awam antara lain memperuntukkan RM365 juta  untuk menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah.

Antara tambah baik lain adalah meningkatkan Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada RM150 kepada RM200 sebulan yang bakal memanfaatkan lebih 14,000 pegawai penjara, selain meningkatkan Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai dan RM6 kepada RM8 sejam untuk anggota.

Kerajaan juga bercadang memberikan bayaran insentif sebanyak RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit mental.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bajet 2022: Keluarga B40 dapat bantuan RM2,000 sekali bayar

SHAH ALAM, 29 OKT: Sebanyak RM2,000 akan disalurkan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan isi rumah tiga orang anak atau lebih menerusi Bajet 2022.

Inisiatif sekali bayar khusus buat golongan berpendapatan RM2,500 sebulan dan ke bawah memanfaatkan kira-kira 9.6 juta penerima, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Jelasnya, bantuan RM500 juga diberikan kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000.

Turut diberikan ialah RM300 bantuan tambahan kepada isi rumah warga emas.

Bertema Bajet 2022: Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera, belanjawan kedua bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) memperuntuk RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rangkaian 5G diperluas di Selangor, rapat jurang digital

SHAH ALAM, 29 OKT:  Perkhidmatan rangkaian 5G akan diperluas kepada 36 peratus daripada kawasan kepadatan tinggi dibeberapa bandar utama termasuk Selangor.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata rangkaian 5G turut diperluas di Johor,  Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Bagi memastikan golongan penduduk di projek perumahan rakyat tidak ketinggalan, kerajaan juga memperuntukkan RM30 juta bagi menyediakan kemudahan internet di 40 projek perumahan rakyat (PPR) sedia ada.

“Penyediaan perkhidmatan 5G bakal melakar landskap teknologi baharu dan menawarkan pengalaman pengguna yang lebih baik,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.

Tengku Zafrul berkata rangkaian 5G juga merapatkan jurang digital dan mencipta peluang pekerjaan baharu.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Makanan tambahan lima kali seminggu untuk kanak-kanak miskin bandar

SHAH ALAM, 29 OKT: Bajet 2022 memperuntukan sejumlah RM24 juta untuk aspek kesihatan kanak-kanak terutamanya masalah kurang zat dalam kalangan keluarga miskin bandar, kata menteri kewangan.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata program makanan tambahan diberi lima kali seminggu kepada 100 kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun.

“Program ini diperluas kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin bandar di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen hari ini.

Zafrul berkata kerajaan juga meluaskan skop penerima bantuan program pemulihan kanak-kanak kekurangan zat makanan bagi manfaat lebih 1,100 kanak-kanak.

“Sebuah bank susu Ibu juga ditubuhkan untuk bayi pramatang di unit penjagaan neonatal  hospital di Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak,” katanya..

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bajet 2022: Apa manfaat rakyat dapat?

SHAH ALAM, 29 OKT: Bajet Persekutuan 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan tersebut mengekalkan tiga fokus utama iaitu rakyat yang sejahtera, perniagaan berdaya tahan dan ekonomi makmur serta mampan.

Berikut sebahagian manfaat utama yang ditawarkan kepada orang ramai pelbagai golongan:

Bantuan Keluarga Malaysia (BKM)

  • RM2,000 kepada isi rumah (tiga orang anak atau lebih) dengan pendapatan kurang RM2,500

Ibu atau bapa tunggal

  • RM500 untuk mereka yang mempunyai tanggungan dan pendapatan bulanan sehingga RM5,000

Warga emas

  • RM300 kepada isi rumah warga emas

Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat

  • Syarat layak kebajikan dinaikkan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019 iaitu RM1,169

Yayasan Keluarga Malaysia

  • RM25 juta bagi melindungi kebajikan dan pendidikan anak-anak yang hilang ibu bapa akibat Covid-19

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan

  • 88 juta dos penggalak kepada penduduk berusia 12 tahun dan ke atas
  • Pelepasan dan pemotongan cukai individu serta majikan yang membiayai sendiri vaksin penggalak

Kesiapsiagaan khidmat kesihatan awam

  • Kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John Ambulance untuk akses ambulans

Penajaan program kepakaran

  • 100 juta ringgit untuk manfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian

Isu kesihatan mental

  • RM70 juta bagi memperkukuh khidmatan sokongan, kaunseling dan psikososial serta advokasi
  • Pelepasan cukai pendapatan individu bagi pemeriksaan kesihatan dengan pakar berdaftar

Bantuan awal persekolahan 

  • RM150 untuk tiga juta murid-murid yang layak

Selenggara dan pembaikan sekolah

  • RM1 bilion bagi suasana pembelajaran kondusif
  • RM140 juta bagi menyelenggara sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar
  • RM120 juta untuk manfaat 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil
  • RM746 juta bagi menaik taraf sekolah-sekolah daif

Memperkasa agenda pendidikan khas

  • RM50 juta bagi pembelian alatan mengajar dan menambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas
  • Pembinaan lapan blok baharu pendidikan khas

Rancangan Makanan Tambahan

  • RM400 juta bagi membantu keluarga berpendapatan rendah mendapat kandungan khasiat harian

Insentif khas alat bantuan mengajar

  • Bantuan sekali bayar RM100 kepada lebih 400,000 guru bawah Kementerian Pendidikan Malaysia

PerantiSiswa Keluarga Malaysia

  • Tablet kepada 600,000 pelajar B40 di institusi pengajian tinggi

Pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet

  • Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 sehingga 31 Disember 2022

Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN

  • Mulai 1 November 2021 hingga 30 April 2022
  • Diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman
  • Diskaun 12 peratus sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran
  • Diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual

Memperkasa bidang TVET

  • RM6.6 bilion ringgit untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bawah kementerian dan agensi berkaitan
  • RM200 juta untuk usaha sama dengan industri dan program persijilan industri

Jamin kerja Keluarga Malaysia

  • 600,000 peluang kerja dengan peruntukan RM4.8 bilion
  • Insentif 20 peratus daripada gaji bulanan buat majikan yang mengambil individu tidak aktif bekerja dalam tempoh enam bulan dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya

Galakan peluang kerja kepada kumpulan tumpuan

  • Melibatkan orang kelainan upaya, Orang Asli dan banduan
  • Insentif 30 peratus daripada gaji bulanan bagi enam bulan pertama dan 40 peratus enam bulan seterusnya (bergaji RM1,200 ke atas)
  • Wanita yang tidak bekerja lebih 365 hari termasuk ibu tunggal dan suri rumah

Malaysia Short-term Employment Programme

  • 80,000 peluang kerja secara kontrak dalam sektor awam dan GLC mulai Januari 2022
  • Program latihan dan peningkatan kemahiran buat 220,000 pelatih
  • Pelepasan cukai bagi kursus peningkatan kemahiran dinaikkan kepada RM2,000 sehingga 2023
  • Pelepasan cukai sehingga RM7,000 yang mengambil kursus dengan badan profesional
  • Potongan cukai dua kali kepada syarikat yang memberi biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi

Program Baucar Perlindungan Tenang

  • B40 layak menerima baucar RM75 untuk membeli polisi insurans bagi motosikal 150cc ke bawah
  • Pengecualian duti setem kepada produk insurans tidak lebih RM150 (individu) dan RM250 bagi PKS

mySalam

  • Diperluas kepada penerima BKM dan anak tanggungan penerima mySalam yang layak

Inisiatif i-Saraan

  • Caruman 15 peratus diperluas kepada individu berumur antara 55 hingga 60 tahun

Program Kasih Suri Keluarga Malaysia

  • Perlindungan sosial buat suri rumah dan balu melalui caruman ke KWSP dan Perkeso hingga 55 tahun

Perlindungan sosial negara bawah Perkeso

  • Nilai caruman 80 peratus diperluas kepada pekerja sendiri antaranya petani, nelayan, penjaja dan artis
  • Kadar pencen minimum bawah Skim Keilatan dinaikkan kepada RM550

Pembangunan Bumiputera

  • Pinjaman pendidikan bawah MARA, UiTM dan Yayasan Peneraju
  • Pembiayaan niaga bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Tekun dan Dana Kemakmuran Bumiputera

Pengimarahan syiar Islam

  • Bantuan khas sekali bayar RM500 kepada 70,000 imam, bilal, siak, noja, marbut, guru takmir dan Kafa

Pembangunan semua kaum

  • RM200 juta bagi kaum Cina melaksanakan baik pulih rumah dan kemajuan kampung
  • RM145 juta memperkasa sosioekonomi komuniti India
  • RM10 juta bagi menggalakkan anak-anak Sabah dan Sarawak mendalami ilmu budaya dan warisan
  • RM274 juta subsidi dan bantuan persekolahan Orang Asli
  • Geran RM6,000 untuk setiap Kawasan Rukun Tetangga
  • RM50 juta bagi pembaikan, penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah ibadat

Pembangunan wanita

  • Tingkat kapasiti niaga melalui program Dananita bawah Mara dan Tekunita bawah Tekun
  • Program MyKasih Kapital galak jana pendapatan dari rumah dengan bantuan asas modal niaga
  • Kemudahan taska di bangunan kerajaan buat ibu berkerjaya
  • Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi yuran taska dan tadika sehingga 2023
  • Kit asas kebersihan diri setiap bulan kepada 130,000 remaja wanita golongan B40
  • Subsidi ujian mammogram berisiko tinggi dan saringan kanser serviks

Keselamatan dan kesihatan kanak-kanak

  • Subsidi 50 peratus atau sehingga RM150 untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak B40
  • Makanan tambahan lima kali seminggu kepada 100 kanak-kanak berusia 1 hingga 6 tahun
  • Bantuan Program Pemulihan Kanak-kanak Kekurangan Zat Makanan
  • Bank Susu Ibu untuk bayi pramatang di Neonatal Care Unit lima negeri

Bayaran lesen kenderaan OKU

  • Ditanggung sepenuhnya kepada semua kenderaan persendirian yang dimiliki OKU

Program e-Start

  • Skim transaksi tanpa tunai RM150 sekali bayar ke akaun e-dompet belia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi

Pegawai penjara

  • Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan ditingkatkan kepada RM200 sebulan

Pembantu institusi kebajikan

  • Insentif RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14

Kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

  • Tempoh pengurangan kadar caruman minimum sembilan peratus dilanjutkan hingga Jun 2022

Penjawat awam

  • Bantuan khas kewangan RM700 kepada penjawat awam dan RM350 kepada pesara kerajaan

Bantuan musim tengkujuh

  • Manfaatkan 320,000 pekebun kecil yang hilang pendapatan

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Masuk fasa endemik, bilangan penumpang tren, bas dijangka naik 80 peratus

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Prasarana Malaysia Bhd meramalkan peningkatan dalam bilangan penumpang untuk perkhidmatan kereta api dan bas di bandar hingga 80 peratus pada 2022, lebih baik daripada sejak awal pandemik tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Azharuddin Mat Sah berkata unjuran itu dijangka mencapai tahap pra-pandemik pada 2019 sejajar dengan pembukaan semula ekonomi negara.

“Dari segi persediaan untuk memasuki endemik, kami akan selalu memastikan bahawa perkhidmatan kami selamat, dengan melaksanakan prosedur operasi standard yang ketat seperti yang dinasihatkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Mengenai kesan yang disebabkan oleh COVID-19, beliau berkata purata harian jumlah penumpang Prasarana pada masa ini adalah 380,000 pada 13 Oktober 2021, menurun di antara 40 peratus dari 2020 dan sekitar 70 peratus di peringkat pra-pandemik pada 2019.

“Dengan itu, kami mengharapkan sokongan kerajaan untuk menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan kami,” katanya kepada Bernama.

Mohd Azharuddin menjangkakan kerajaan melanjutkan pas perjalanan tanpa had My30 dan menyokong masa depan yang lebih lestari untuk sistem pengangkutan awam dalam Bajet 2022 yang akan datang.

“Kami tidak sabar-sabar menggantikan bas yang berusia kami dengan kenderaan elektrik (EV) dan menyasarkan semua bas kami diganti sepenuhnya dengan EV menjelang 2030,” katanya.

Tambahan lagi, beliau berkata Prasarana turut merancang untuk menaik taraf perhentian bas dan laluan pejalan kaki di Lembah Klang sebagai sebahagian daripada inisiatifnya bagi meningkatkan ketersambungan ‘first mile last mile’ dan pengalaman pelanggan.

Baru-baru ini, Prasarana melaksanakan lima langkah jangka pendek daripada 23 cadangan yang bertujuan untuk menambah baik operasi Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya berikutan kemalangan dua kereta api pada Mei 2021.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MAHB harap Bajet 2022 bantu sektor penerbangan terjejas pandemik

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berharap Bajet 2022 akan memperuntukkan insentif dan sokongan bantuan bagi memulihkan hubungan udara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengendali lapangan terbang itu berkata sokongan tersebut akan membolehkan pertumbuhan berterusan dalam sektor kargo dan logistik bagi memenuhi Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 yang menyasar untuk menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk pilihan logistik ke Asia.

“Dengan sokongan itu, syarikat penerbangan penumpang boleh memulakan semula operasi mereka sebaik sahaja sekatan sempadan antarabangsa ditarik balik manakala syarikat penerbangan kargo sedia ada atau baharu boleh menyasarkan hubungan jarak jauh bagi pergerakan kargo,” kata syarikat itu kepada Bernama.

Ia berkata insentif bagi fi pendaratan dan kekerapan penerbangan akan menggalakkan lagi lebih banyak syarikat penerbangan kargo menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai rangkaian ‘hab’ mereka dan pada masa yang sama menarik lebih banyak pesawat penumpang kerangka kecil untuk beroperasi menerusi KLIA bagi menampung pertumbuhan penghantaran e-dagang dalam pasaran Asia Tenggara.

“Usaha kerajaan ini akan membantu mengelakkan ketirisan kargo kepada lapangan terbang pesaing seperti Singapura (Lapangan Terbang Changi) dan Bangkok (Lapangan Terbang Suvarnabhumi) dengan meningkatkan volum pengendalian menerusi KLIA,” katanya.

MAHB berkata ia telah membuat persiapan bagi penyambungan semula perjalanan udara secara beransur-ansur di peringkat domestik dan antarabangsa dan berharap kerajaan akan terus menyokong dan mengukuhkan usahanya untuk meningkatkan kedudukan sebagai pengendali lapangan terbang utama global apabila industri penerbangan rancak semula.

Syarikat itu juga berharap Bajet 2022 akan menyediakan sokongan bagi rakan perniagaan bukan penerbangan dan peruncit dalam lapangan terbang.

“Berikutan pergerakan penumpang yang merosot dengan ketara dan perjalanan antarabangsa yang terhad ketika pandemik, jualan peruncit telah terjejas teruk, terutamanya bagi perniagaan bebas cukai.

“Sehubungan itu, adalah penting untuk kerajaan menyokong peruncit di lapangan terbang kami dan membantu mereka meringankan kerugian yang dialami semasa krisis itu,” katanya.

MAHB berkata antara penyelesaian yang dicadangkan meliputi pindaan terhadap Panduan kepada Pengembara di bawah Akta Kastam 1967 untuk menarik minat mereka membeli-belah dan meningkatkan lebih banyak jualan di Malaysia melalui semakan semula prosedur operasi standard seperti mengurangkan jangka masa hasrat melawat Malaysia atau selepas ketiadaan dari Malaysia, menjadi tidak kurang daripada 24 jam daripada 72 jam.

Selain itu, turut disarankan adalah semakan semula bagi meningkatkan kuota barangan seperti kelayakan minuman keras bagi setiap pelancong kepada dua liter berbanding satu liter pada masa ini, selain meningkatkan kelayakan tembakau bagi setiap pelancong kepada dua karton besar (outer carton) berbanding satu karton besar (outer carton) pada masa ini, kepada para penumpang yang tiba.

Pengendali lapangan terbang itu turut mencadangkan kerajaan untuk mempertimbang pengembangan operasi bebas cukai ke bahagian penerbangan domestik serta lapangan terbang antarabangsanya seperti KLIA, selain klia2, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

“Melalui mekanisme sokongan seumpama ini kepada peruncit bebas cukai (yang lebih meluas), kami meramalkan perolehan kerajaan akan meningkat menerusi kutipan cukai yang lebih tinggi, manakala peruncit boleh mengosongkan lebihan stok dan produk bebas cukai, di samping meningkatkan inventori,” katanya.

Pada masa ini, zon bebas cukai yang diwartakan hanya melibatkan bahagian penerbangan antarabangsa.

Bajet 2022 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 29 Okt.

-BERNAMA