Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakar: Agih dana seimbang, belanjawan Selangor lebih baik banding Putrajaya

SHAH ALAM, 4 DIS: Peruntukan Belanjawan Selangor 2022 bagi pengurusan dan pembangunan jauh lebih baik dan seimbang berbanding persekutuan, kata seorang pakar ekonomi.

Ia berikutan Putrajaya menggunakan hasil negara sepenuhnya bagi perbelanjaan mengurus dan perlu meminjam untuk melaksanakan pembangunan, jelas Dr Nungsari Ahmad Radhi.

“Bagusnya Selangor saya lihat negeri ini berjaya tambah apa yang persekutuan tekankan sama ada daripada sudut pendigitalan, industri aeroangkasa dan keselamatan sosial,” katanya.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara: Pandemik Desak Campur Tangan Kerajaan Dalam Pasaran? yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor malam tadi.

Dr Nungsari turut bersetuju dengan konsep Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang mengagihkan terus tunai kepada golongan sasar bagi mengelak penipuan.

“Konsep tunai atau beri terus kepada rakyat lebih cekap berbanding menganjurkan program yang akhirnya golongan sasaran itu dapat lebih kurang RM60 berbanding nilai asal RM100.

“Saya berharap rakyat Selangor ada rasa penghargaan dengan peruntukan belanjawan ini yang memang patut dilaksana dalam situasi pandemik,” katanya lagi.

Belanjawan negeri yang dibentang pada 26 November memperuntuk RM2.34 bilion bagi meningkatkan manfaat kepada rakyat dan merancakkan ekonomi.

Antara yang ditambah baik termasuk program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal melalui Bingkas dengan agihan RM300 sebulan kepada keluarga yang layak.