Categories
AGENDA NASIONAL

Hantar baju, kuih raya antara alasan dikesan polis cuba rentas daerah, negeri

PETALING JAYA, 10 MEI: Polis mengesan pengguna jalan raya menggunakan pelbagai alasan tidak munasabah seperti menghantar baju dan kuih raya untuk membolekan mereka merentas daerah dan negeri tanpa surat kebenaran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya tidak mengenakan kompaun sebaliknya mengarahkan individu terlibat untuk berpatah balik.

Beliau berkata bagi pemandu yang ingkar, tindakan kompaun akan dikenakan serta-merta tanpa kompromi.

“Kami sudah mulakan (sekatan jalan raya) daripada semalam (9 Mei) dan mendapati setakat ini masih ramai pengguna jalan raya yang berdegil untuk merentas negeri dengan tujuan tidak sepatutnya dan mereka diarahkan untuk berpatah balik.

“Antara alasan mereka seperti hantar baju ke rumah kawan di Shah Alam, beli barang, bawa keluarga untuk beli-belah di kawasan Shah Alam,” katanya kepada Bernama selepas menjalankan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) di KM34 Lebuhraya Persekutuan malam tadi.

Beliau berkata bagi melancarkan pergerakan lalu lintas waktu hari bekerja, pihaknya akan membuka laluan tambahan namun pemeriksaan ketat tetap dijalankan seperti biasa.

Mohamad Fakhrudin turut menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, tinjauan Bernama di Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Sungai Besi mendapati aliran trafik di beberapa laluan utama keluar masuk ibu negara terkawal walaupun berlaku sedikit kesesakan susulan pemeriksaan ketat dilakukan polis dalam SJR.

Pada Sabtu lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua aktiviti rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 10 Mei hingga 6 Jun ini.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM rai 94 anak yatim, asnaf beli baju raya

SHAH ALAM, 2 MEI: Keceriaan terpancar pada wajah 94 anak yatim dan asnaf apabila dibawa memilih kelengkapan baju Raya oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) sebagai persiapan menjelang Syawal.

Kesemua mereka dari Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Kajang; Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Anak Yatim Miskin Sabak Bernam dan Yayasan Anak-Anak Yatim Wardatul Jannah, Kota Damansara yang berdaftar di bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).

Ketua Perhubungan Awam dan Media KDEBWM Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata sumbangan julung kali itu adalah sebahagian daripada aktiviti infaq bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Ketua Perhubungan Awam dan Media KDEB Waste Management (KDEBWM) Mahfuzah Muhammad Tarmidi bercakap kepada Media Selangor selepas program pembelian baju raya bersama anak yatim di Jakel, Shah Alam pada 2 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sebanyak RM24,490 dana berjaya dikumpul hasil kutipan daripada 400 kakitangan agensi ini sejak awal hingga akhir April lalu bagi menjayakan program ini.

“Inisiatif ini disambut baik oleh warga kerja kami yang ikhlas membantu golongan tersebut untuk mengukir senyuman di hari raya,” katanya kepada pemberita selepas program Mahabbah Aidilfitri KDEBWM dan Yide di gedung tekstil Jakel, Seksyen 7 di sini hari ini.

Sementara itu, penerima Zulsafwan Rashidi, 14, yang menghuni Yayasan Anak-Anak Yatim Wardatul Jannah, Kota Damansara sejak lima tahun lalu teruja diberi peluang memilih baju raya sendiri memandangkan sudah lama tidak mempunyai pakaian baharu.

Zulsafwan rashidi, 14

“Saya gembira kerana sekurang-kurangnya tidak perlu membazirkan wang emak membeli pakaian baharu dan boleh membelanjakan wang itu untuk mendapatkan kelengkapan raya dua lagi adik beradik saya di rumah,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Nada sama dilontarkan penghuni Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Intan Fahana Ramli, 14, yang menyifatkan Aidilfitri tahun ini bermakna kerana dapat membeli baju kurung diidamkan untuk disarungkan pada pagi lebaran.

Categories
RENCANA

Remaja berkeperluan khas bantu jahit baju raya

RAUB, 14 MEI: Adakah anda membenarkan seorang remaja berkeperluan khas menjahit baju raya anda?

Sekiranya jawapannya ya, Mohd Ridzuan Zakaria, 21, dari Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Gembira di sini adalah orang yang anda cari.

Mohd Ridzuan yang menghidapi masalah pembelajaran telah membantu menjahit hujung baju kurung dan baju raya dengan tangan bermula bulan Ramadan ini.

“Saya sangat gembira dapat membantu (menjahit baju). Ini adalah tugas penting,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PDK Gembira di sini hari ini.

Penyelia PDK Gembira Rosfaizah Saleh Kamal, 40, berkata mereka mula mengambil tempahan baju raya sejak bulan lepas selepas anaknya Nurul Amirah Mohd Fauzi, 21, menamatkan kursus fesyen di sebuah kolej komuniti.

Rosfaizah menambah anaknya bersetuju untuk menjahit pakaian di pusat itu kerana sering ke sana dan sudah mengenali pelajar di situ, malah anaknya percaya beberapa pelajar mungkin boleh mengasah kemahiran menjahit.

Katanya sehelai baju raya berharga RM30 hingga RM70 bergantung kepada rekaan dan kesukaran membuatnya, Mohd Ridzuan pula dibayar berdasarkan ‘kerja’ yang dilakukan.

“Saya harus mengakui apabila saya menyiarkan mengenai tempahan ini di Facebook dan kumpulan WhatsApp, saya risau sekiranya tiada seorang pun yang berminat (untuk menempah) tetapi alhamdulillah, kami menerima 17 tempahan setakat ini, bagi saya ia permulaan yang baik.

“Ia satu tugas yang mencabar pada mulanya kerana kami perlu mengajar pelajar daripada asas memasukkan benang ke dalam jarum. Daripada semua pelajar, hanya Mohd Ridzuan yang mahir,” katanya.

Rosfaizah berkata Mohd Ridzuan atau dikenali sebagai Iwan telah menguasai kemahiran asas jahitan seperti jelujur, jahitan lurus dan silang pangkah.

Bagaimanapun, katanya Mohd Ridzuan mengambil masa yang lebih panjang daripada orang lain yang normal untuk menyelesaikan sesuatu tugas kerana adakalanya mereka perlu membuka semula jahitan sekiranya ia tidak memuaskan.

“Kami perlu pastikan pelanggan gembira dengan produk kerana mereka mempercayai kami. Ada pelanggan yang membayar lebih untuk diberi kepada Mohd Ridzuan dan ada yang membelikan makanan untuk pelajar apabila mereka datang untuk mengambil tempahan baju yang sudah siap,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPDNKK pantau harga baju raya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 28 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) turut memantau harga baju raya di pasaran sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan jika terdapat aduan daripada pengguna membabitkan kenaikan harga barangan itu.

“Walaupun ia di luar konteks barangan keperluan pasaran tetapi jika terdapat aduan daripada pengguna, KPDNKK akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan.

“Justeru, jika benar berlaku peningkatan harga barangan jenis ini, aduan boleh dibuat untuk kami jalankan siasatan di bawah Seksyen 21,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KPDNKK, pagi ini.

Sebelum ini dilaporkan berlaku peningkatan harga jualan baju raya, meliputi penjualan dalam talian dan secara terus di pasaran.

Rungutan kenaikan harga itu dinyatakan pengguna menerusi media sosial Facebook.

Mengulas lanjut, Mohd Roslan berkata, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada KPDNKK menerusi talian 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) di talian 03-8000 8000.

“Pengguna juga boleh menghubungi talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik di talian 03-88826088/6245,” katanya.

Aduan juga boleh dibuat menerusi e-mel ke alamat [email protected] atau menerusi Sistem Pesanan Khidmat Ringkas (SMS) dengan menaip KPDNKK ADUAN <butiran aduan>.