Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS serah bakul makanan, bantu mangsa banjir di Hulu Langat

SHAH ALAM, 10 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan bakul makanan kepada 48 keluarga di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat yang terjejas banjir pada Selasa.

Agensi memaklumkan bantuan diberikan semalam di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selain melawat mangsa di rumah.

“Belum sempat lagi hendak bernafas lega, sekali lagi penduduk Kampung Sungai Serai, Hulu Langat diuji dengan banjir.

“Alhamdulillah hasil zakat yang ditunaikan, LZS dapat menyumbangkan bantuan dengan pantas serta meringankan beban mangsa banjir yang berlaku buat kali kedua dalam tempoh enam bulan,” kata agensi di Facebook hari ini.

Pada Disember LZS mengumumkan bantuan RM600 kepada mangsa banjir negeri ini termasuk bukan asnaf.

Sebanyak RM10,000 turut diagihkan kepada ketua operasi agihan daerah sebagai bantuan kecemasan selain RM250,000 bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntuk RM1 juta naik taraf rumah, kemudahan kampung Orang Asli

PELABUHAN KLANG, 5 MAC : Kerajaan Selangor memperuntuk sejumlah RM1 juta untuk membina dan menaik taraf kediaman serta kawasan perkampungan masyarakat Orang Asli di negeri ini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengenai perkara tersebut sama ada perlu dibaiki atau dibina baharu.

“Kita sedakan dana bagi tujuan keselesaan masyarakat Orang Asli. Justeru kita akan dapatkan maklum balas Jakoa mengenai rumah yang perlu dibaiki atau dibina baru.

“Bukan sahaja rumah, kita juga akan melihat kemudahan seperti jeti yang perlu dibaik pulih, kita akan kumpul maklumat terlebih dahulu sebelum perhalusi kos perbelanjaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan dan agihan bakul makanan di Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam, Pelabuhan Klang di sini.

Mengulas jangkaan projek itu bermula, Loy Sian berkata pihaknya akan berusaha secepat mungkin selepas maklumat lengkap diperoleh.

Pada 26 November tahun lepas, Dato’ Menteri Besar menerusi Belanjawan #Selangor 2022 mengumumkan peruntukan tersebut untuk meningkatkan keselesaaan masyarakat Orang Asli.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan memfokus kepada program membina, baik pulih dan naik taraf kedaifan kediaman di perkampungan mereka.

 

Categories
AGENDA EXCO SELANGOR

Masyarakat Orang Asli luah syukur terima bakul makanan, jimat belanja dapur

PELABUHAN KLANG, 5 MAC :Masyarakat Kampung Orang Asli di Sungai Dua, Pulau Ketam di sini meluahkan kesyukuran selepas menerima bantuan bakul makanan sekali gus meringankan beban mereka.

Wakil Tok Batin  Kamarul Abdullah berkata penduduk di kampung tersebut amat mengharapkan sumbangan berkenaan terutama dalam tempoh pandemik ketika ini.

Wakil Tok Batin Kamarul Abdullah. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dengan bantuan bakul makanan ini sekurang-kurangnya dapat menjimatkan belanja dapur dalam tempoh sebulan hingga dua bulan, jadi buat sementara ini tidak perlu ke pekan untuk beli barangan keperluan.

“Terima kasih Kerajaan Selangor termasuk badan bukan kerajaan yang tidak putus-putus membantu penduduk Orang Asli,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas berhubung inisiatif Kerajaan Selangor mahu menaik taraf perkampungan dan kediaman Orang Asli, Kamarul menyambut baik dan berharap lebih banyak kemudahan dapat dirasai selepas ini.

“Kita berharap Kerajaan Negeri dapat beri perhatian terutama melibatkan infrastruktur seperti jeti di sini yang hampir roboh dan mengundang bahaya kerana ia merupakan laluan utama kami.

“Harap juga kerajaan dapat meneliti untuk membina tangki air kerana adakalanya hampir dua bulan kami terputus bekalan air,” katanya yang bekerja sebagai nelayan.

Terdahulu EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian mengadakan lawatan dan agihan bakul makanan kepada penduduk Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EXCO NASIONAL SELANGOR

6,000 bakul makanan selesai diagih kepada masyarakat Orang Asli

PELABUHAN KLANG, 4 MAC: Sebanyak 6,000 bakul makanan berjaya diagihkan di 74 perkampungan Orang Asli di seluruh Selangor sejak tahun lalu, kata EXCO hal ehwal orang asli.

Hee Loy Sian berkata sumbangan itu hasil kerjasama dan tajaan sepenuhnya daripada Malaysian Chamber of Commerce Hong Kong and Macau (Maycham China).

“Saya hanya menyampaikan sumbangan ini yang ditaja sepenuhnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dan ia adalah program agihan ketiga kepada masyarakat Orang Asli.

“Sebelum ini, pada pusingan pertama dan kedua Kerajaan Selangor ada menyediakan peruntukan bantuan kira-kira RM300,000,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program lawatan dan agihan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam, di sini hari ini.

Mengenai bantuan hari ini, Loy Sian berkata kawasan Kampung Orang Asli Sungai Dua adalah destinasi terakhir program itu dan ia membabitkan 18 keluarga.

“Program ini tergendala akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak Covid-19 dan kejadian banjir baru-baru ini.

“Bagaimanapun, saya berharap sumbangan ini mampu meringankan beban mereka dan tidak terputus bekalan makanan terutama ketika pandemik,” katanya.

Loy Sian berkata pihaknya akan terus membantu masyarakat Orang Asli di seluruh Selangor termasuk menyalurkan bantuan kewangan dan membaik pulih infrastruktur.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Isteri MB serah bantuan makanan kepada mangsa bah, maahad tahfiz Hulu Langat

SHAH ALAM, 18 FEB: Isteri Dato’ Menteri Besar menyerahkan bakul makanan serta kipas kepada 100 mangsa banjir di Hulu Langat, semalam.

Datin Seri Masdiana Muhammad turut mengagihkan air mineral dan biskut kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Lil Mutaqin di Semenyih.

“Bantuan ini mendapat kerjasama Ragad Foundation, The Royal of Perlis serta Kelab Sukan dan Rekreasi Karyaneka.

“Diharap sumbangan ini dapat meringankan beban mangsa selepas mengalami kerugian dan kehilangan harta benda akibat banjir,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu beliau merupakan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berkata setiap ahli pertubuhan menerima peruntukan RM2,500 bagi menjayakan program pascabanjir di kawasan masing-masing.

“Bantuan ini melibatkan dana sebanyak RM107,000 termasuk kos untuk kerja pembersihan serta bantuan barangan keperluan,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

500 pek makanan diagih kepada mangsa banjir DUN Bukit Melawati

SHAH ALAM, 8 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menyumbangkan 500 bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir di kawasan terbabit.

Wakil rakyat Juwairiya Zulkifli berkata bantuan itu membabitkan perbelanjaan sejumlah RM35,000 yang meliputi beras, tepung, sardin dan susu.

“Semua agihan kepada mangsa banjir selesai semalam dan kita berharap bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban mangsa banjir,” katanya ketika dihubungi.

Selain bakul makanan, Juwairiya berkata pihaknya turut menyampaikan sumbangan daripada individu, badan bukan kerajaan dan institusi kepada mangsa terjejas bah itu.

“Kita turut mengagihkan beberapa barangan keperluan asas, set lapik tidur, selimut, bantal dan periuk nasi hasil sumbangan pelbagai pihak.

“Terima kasih kepada semua penyumbang yang tidak putus-putus dalam membantu mangsa banjir di DUN Bukit Melawati,” katanya.

Tiga kampung di DUN tersebut yang terlibat dalam bencana banjir 18 Disember tahun lalu adalah Kampung Asahan, Kampung Bukit Kuching dan Kampung Tanjung Siam.

Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

141 bakul makanan diagih kepada penduduk Orang Asli terjejas banjir

KUALA LANGAT 23 DIS: Sebanyak 141 bakul makanan diagihkan kepada penduduk Orang Asli di enam perkampungan di Sepang dan Kuala Langat yang terjejas akibat banjir, kata EXCO hal ehwal Orang Asli.

Hee Loy Sian berkata kampung terlibat di dua daerah itu ialah Kampung Orang Asli Bukit Tampoi, Kampung Orang Asli Tampoi Seberang, Kampung Orang Asli Bukit Serdang, Kampung Orang Asli Jambu, Kampung Orang Asli Kelinsing dan Kampung Orang Asli Bakok.

“Saya melawat Kampung Orang Asli Bukit Tampoi, Kampung Orang Asli Tampoi Seberang dan Kampung Orang Asli Bukit Serdang. Paling terjejas ialah Kampung Orang Asli Bukit Serdang kerana mereka terputus hubungan, tiada pengangkutan dan air setinggi paras dada.

“Ketika agihan bantuan dibuat, mereka meminta Kerajaan Selangor dan persekutuan menyumbang bantal, selimut, ‘water jet pump’ dan bot untuk kegunaan keluar dan masuk. Kita ambil maklum dan akan hantar bantuan secepat mungkin selewatnya esok (hari ini) kerana perlukan masa membelinya,” katanya ditemui di Kampung Orang Asli Bukit Serdang semalam.

Terdahulu, Loy Sian meredah banjir sejauh satu kilometer (km) bertemu dengan penduduk Orang Asli untuk mengagihkan bantuan keperluan harian.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan secara keseluruhan jumlah penduduk Orang Asli terkesan akibat banjir ialah 660 individu.

“Mereka yang terjejas akan dibantu daripada semua aspek termasuk sama ada ketika banjir mahupun pasca banjir,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Categories
ADN SELANGOR

100 keluarga asnaf DUN Ijok terima bakul makanan

SHAH ALAM, 22 NOV: Seramai 100 keluarga asnaf sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok menerima bakul makanan awal bulan ini.

Wakil rakyat Dr Idris Ahmad berkata inisiatif dijalankan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Al-Aman sebagai langkah meringankan kos perbelanjaan golongan itu.

“Bakul mengandungi makanan asas seperti minyak, beras, gula dan biskut selain ayam, bawang dan kentang yang dianggarkan bernilai hampir RM200 setiap satunya.

“Kita tidak mahu ada penduduk yang terputus bekalan makanan dan terpaksa menahan lapar justeru bantuan akan disalurkan dari semasa ke semasa,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Dr Idris berkata semua penerima dikenal pasti oleh ketua kampung atau pengurusan masjid bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar.

Pada 23 Ogos, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan semua wakil rakyat untuk turun padang mengesan penduduk yang memerlukan bantuan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah golongan ini perlu sentiasa dicari, bukan hanya ketika ingin mendapatkan undi sewaktu pilihan raya sahaja.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Sungai Ramal belanja lebih RM300,000 agih bantuan sejak pandemik

SHAH ALAM, 8 NOV: Lebih RM300,000 diperuntuk untuk agihan bakul makanan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal yang terjejas pendapatan akibat pandemik sejak Mac tahun lalu.

Wakil rakyatnya Mazwan Johar berkata pihaknya turut mengagihkan pelitup muka, kit saringan kendiri Covid-19.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha dalam memberi galakan supaya masyarakat menjaga tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Mazwan menjelaskan pihaknya juga memperuntukan RM45,000 untuk membeli komputer riba yang diberikan kepada keluarga kurang berkemampuan untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Setakat ini sebanyak 20 komputer riba sudah diagihkan sejak September lalu. Seramai 10 lagi penerima akan menerima komputer riba pada bulan ini,” katanya.

Pada 9 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Kerajaan Negeri membelanjakan RM1.1 bilion melalui beberapa pakej ekonomi bagi membantu rakyat mendepani pandemik Covid-19 dalam tempoh dua tahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelan tersebut meliputi dua siri Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor dan Pakej Kita Selangor serta Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor untuk menangani dampak wabak.

 

Categories
ADN SELANGOR

DUN Seri Serdang agih lebih 5,000 bakul makanan sepanjang PKP

SHAH ALAM, 7 NOV: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang mengagihkan lebih 5,000 bakul makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengurusnya Mashitah Ismail berkata inisiatif itu masih diteruskan sehingga kini meskipun PKP sudah tamat bagi memastikan tiada golongan terputus bekalan makanan.

“Malah, Yang Berhormat Dr Siti Mariah (Ahli Dewan Negeri Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud) juga mengalu-alukan penduduk sekitar yang memerlukan makanan untuk tampil ke pusat khidmat bagi memohon bantuan ini.

“Bakul makanan ini juga tidak khusus kepada golongan kurang berkemampuan (B40) sahaja sebaliknya ia terbuka kepada semua golongan yang hampir terputus bekalan asas,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 9 Oktober, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak RM1.1 bilion dibelanjakan melalui beberapa pakej ekonomi bagi membantu rakyat mendepani Covid-19 dalam tempoh dua tahun.

Pelan tersebut meliputi dua siri Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor dan Pakej Kita Selangor serta Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor untuk menangani dampak wabak.

Dato’ Menteri Besar berkata program bakul makanan antara yang mendapat perhatian serta memanfaatkan ratusan ribu keluarga di Selangor dalam berdepan pandemik Covid-19.

Categories
ADN SELANGOR

Bantuan makanan terus diagih bantu penduduk terkesan pandemik

PETALING JAYA, 6 NOV: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama terus mengagihkan bakul makanan kepada penduduk memerlukan.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata usaha itu bagi memastikan golongan terkesan tidak terputus bekalan makanan di sebalik penularan pandemik.

“Setakat ini ribuan bakul makanan diedarkan kepada penduduk sekitar Bandar Utama dan permohonan itu masih dibuka sekiranya ada individu yang memerlukan,” katanya.

Menurut Jamaliah, pihaknya memilih individu yang benar-benar layak dengan permohonan boleh dibuat melalui e-mel [email protected] atau tampil sendiri ke pusat khidmat.

Pada 9 Oktober, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak RM1.1 bilion dibelanjakan melalui beberapa pakej ekonomi bagi membantu rakyat mendepani Covid-19 dalam tempoh dua tahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan puluhan ribu keluarga menerima manfaat dengan program bakul makanan antara yang mendapat perhatian.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Tanjung Sepat edar lebih 3,000 bantuan makanan sejak pandemik

TANJUNG SEPAT, 31 OKT: Lebih 3,000 bakul makanan diagih kepada penduduk terkesan Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat sejak tahun lalu sehingga Oktober ini.

Wakil rakyat Borhan Aman Shah berkata sejak negara dilanda pandemik, pihaknya mengagihkan bantuan tersebut kepada golongan B40, peniaga, pesara dan ibu tunggal.

“Kita menumpukan bantuan kepada semua dan memastikan rakyat terkesan menerima manfaat inisiatif Kerajaan Negeri.

“Walaupun kawasan luar bandar ini tidak terbeban dengan komitmen seperti rumah sewa mereka bergantung sepenuhnya dengan sumber pendapatan perniagaan dan sebab itu kita pastikan semuanya dibantu,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Batik Plogging (pembersihan pantai) di Pantai Batu Laut hari ini.

Pada 9 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Kerajaan Negeri membelanjakan RM1.1 bilion melalui beberapa pakej ekonomi bagi membantu rakyat mendepani Covid-19 dalam tempoh dua tahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata puluhan ribu keluarga menerima manfaat melalui inisiatif itu dengan program bakul makanan antara yang mendapat perhatian.