Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Balai polis baharu Taman Melawati hampir siap, operasi akhir tahun ini

HULU KELANG, 18 OKT: Pembinaan balai polis baharu di Taman Melawati dekat sini mencapai kemajuan 85 peratus dengan jangkaan beroperasi akhir tahun ini.

Projek pengubahsuaian galeri jualan Sime Darby Property kepada balai polis atas tanah seluas 0.6 ekar berjalan lancar sejak dimulakan Mei tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pembinaan menelan kos RM1 juta adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pemaju hartanah terbabit.

“Balai polis sedia ada terletak di bangunan rumah kedai dan tidak lagi sesuai untuk menampung keperluannya. Jadi dengan adanya bangunan khas yang lebih luas, ia akan memberi keselesaan kepada polis untuk menjalankan perkhidmatan.

“Pembinaannya juga sesuai dengan pembangunan yang begitu rancak di kawasan sekitar termasuk Melawati Mall dan beberapa pangsapuri ,” katanya selepas melawat tapak balai polis berkenaan sempena program Jelajah Prihatin di sini semalam.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan cek cura kepada Timbalan Ketua Polis IPD Ampang, Superintendan Mohd Azam Ismail ketika lawatan ke tapak Balai Polis Taman Melawati di Taman Melawati, Hulu Klang pada 17 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Dato’ Azmir Merican dan Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Ampang Superintendan Mohd Azam Ismail.

Dalam lawatan tersebut, Amirudin turut menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada Mohd Azam untuk memenuhi keperluan balai polis berkenaan.

Sementara itu, Amirudin turut menggalakkan mana-mana pemaju hartanah mengambil langkah sama dilakukan Sime Darby Property berikutan banyak balai polis di negeri ini perlu dinaik taraf.

“Berdasarkan laporan pihak polis memang banyak (balai polis perlu dinaik taraf). Cuma isunya kos pembinaan selain tanah yang perlu ditampung di bawah KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan polis,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Parti dalam balai, seorang daripada anggota polis ditahan positif dadah

SHAH ALAM, 22 JULAI: Seorang daripada empat anggota polis yang ditahan ketika berparti di sebuah balai polis di Kajang kelmarin didapati positif dadah.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman berkata keputusan itu diperoleh hasil ujian saringan awal yang dijalankan terhadap lapan orang yang ditahan dalam serbuan berkenaan.

“Sementara yang lain negatif,” kata Datuk Azri Ahmad yang turut memaklumkan anggota berkenaan positif dadah jenis THC seperti dilapor Utusan Malaysia, hari ini.

Semalam dilaporkan, seorang ketua balai antara empat anggota polis yang ditahan kerana berhibur di sebuah balai polis di Kajang dekat sini dalam serbuan kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Azri yang mengesahkan serbuan itu berkata turut ditahan empat wanita tempatan.

Kesemua mereka berumur lingkungan 21 hingga 54 tahun ditahan untuk siasatan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Empat anggota polis yang terlibat turut berdepan tindakan tatatertib.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penantian berakhir, penduduk hargai komitmen Kerajaan Negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

RAWANG, 7 JULAI: Penduduk Country Homes boleh menarik nafas lega selepas penantian hampir 20 tahun supaya sebuah balai polis dibina di kawasan perumahan mereka akhirnya dibangunkan, di sini.

Wakil penduduk, Gunaraj George, 52, berkata, permohonan pembinaan balai polis berkenaan sudah dibuat sejak 1998 ketika perumahan Country Homes mula dibangunkan di kawasan itu.

Katanya, ia termasuk menghantar memorandum kepada pihak berkaitan supaya projek itu diluluskan demi keselamatan penduduk.

“Akhirnya projek ini diluluskan di peringkat dan ia tentunya memberi kelegaan kepada kami khususnya penduduk di sekitar Desa Emas, Saujana Rawang dan Emerald West.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri dan semua pihak yang bertungkus lumus memastikan projek ini dapat dilaksanakanan,” katanya kepada pemberita, di sini.

Projek Balai Polis Country Homes dibangunkan bagi menggantikan operasi balai polis sementara yang menempatkan empat pegawai pada satu masa.

IMG_4889Difahamkan, jumlah itu tidak dapat menampung kepesatan pembangunan Country Homes dengan kepadatan penduduk melebihi 40,000 orang.

Balai polis berkenaan dijangka akan menempatkan 80 anggota polis yang akan berkawal sebagai langkah keselamatan penduduk.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Rawang, Gan Pei Nei; Ahli Majlis, S Durai bersama kontraktor Pengarah Esekutif Jutabina Sempurna, Sakiman Muhammad Yusuf turun padang meninjau proses pembangunan balai polis itu.

Sehingga kini, 90 peratus stuktur bangunan sudah siap sementara 10 peratus lagi kerja akhir proses pembinaan giat dilaksanakan.