Categories
ADN SELANGOR

1,000 bakul makanan diagih santuni keluarga susah di Balakong

SHAH ALAM, 3 JAN: Sebanyak 1,000 pek bakul makanan diedarkan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Balakong mulai 1 Januari.

Wakil rakyatnya Wong Siew Ki berkata bantuan itu bagi menggantikan program sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang dibatalkan susulan Covid-19 dan banjir.

“Kita berikan sumbangan ini bagi menghormati individu yang terkesan bukan sahaja dengan pandemik Covid-19 tetapi bencana banjir baru-baru ini.

“Kita harap pemberian ini sedikit sebanyak meringankan beban penerima sekali gus meraikan perayaan secara bersederhana,” katanya ketika dihubungi.

Antara makanan diagihkan ialah beras, gula, garam, kopi, susu pekat, sardin, kuih raya, kalendar, pelitup muka dan angpau.

Siew Ki berkata individu yang memerlukan bantuan boleh tampil ke Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong atau hubungi 03-9076 0331.

Categories
ADN SELANGOR

Penduduk B40 di Balakong terima kad SIM, data internet percuma

KAJANG, 26 OKT: Sebanyak 46 kad modul pengenalan pelanggan (SIM) diedarkan secara percuma kepada penduduk berpendapatan rendah sekitar Balakong hari ini.

Kad SIM Celcom dilengkapi data internet 15 gigabit (GB) sebulan selama setahun dibiayai sepenuhnya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Wakil rakyat Balakong Wong Siew Ki berkata lebih 200 permohonan diterima sejak inisiatif itu dihebahkan, namun hanya yang memenuhi syarat dipilih.

“Diharap kemudahan ini membantu pelajar memandangkan ketika ini banyak perkara perlu dilakukan secara dalam talian,” katanya ditemui di pejabat pusat khidmatnya di sini hari ini.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad SIM dan data internet percuma selama 12 bulan dengan peruntukan RM17.5 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sebanyak 200 kad SIM diagih ke setiap Dewan Undangan Negeri untuk diberi kepada individu yang layak.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hampir 3,000 daftar saringan percuma di Balakong, Sungai Ramal

BANGI, 9 MEI: Hampir 3,000 individu membuat prapendaftaran saringan percuma Covid-19 menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) hari ini.

Pengurus Klinik Selcare berkata seramai 1,550 individu mendaftar di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Balakong setakat tengah hari tadi, manakala 1,200 di Dewan Serbaguna, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi.

Pengurus Klinik Selcare Mohd Noor Md Nasir

“Jumlah pradaftar amat memberangsangkan malahan peningkatan lebih baik berbanding semalam. Kita harap masyarakat tidak melepaskan peluang ini untuk hadir dan buat saringan kerana proses pun tidak lama, memadai hanya tiga minit sahaja,” kata Mohd Noor Md Nasir.

Beliau berkata demikian pada program Saringan Komuniti Covid-19 yang diadakan di Dewan Serbaguna, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi di sini.

Menurutnya, orang ramai mula beratur seawal jam 7.45 pagi sekali gus membuktikan tahap kesedaran semakin baik.

“Anda tidak perlu takut sebaliknya perlu mengambil peluang ini untuk tahu status kesihatan dan pada masa sama kita boleh mengambil langkah berwaspada,” katanya.

Kerajaan Selangor mengadakan program pengawasan bagi mengenal pasti kes aktif Covid-19 di seluruh negeri mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program saringan dimulakan sekitar Kajang dan Semenyih dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk Sungai Ramal, Balakong digalak sertai saringan percuma esok

SHAH ALAM, 8 MEI: Penduduk sekitar Sungai Ramal dan Balakong digalak menyertai program Saringan Komuniti percuma esok bagi mengesan jangkitan Covid-19.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata saringan diadakan di Dewan Orang Ramai Seksyen 7 dan Dewan Orang Ramai Kampung Baru Balakong bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Pendaftaran boleh dibuat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my,” kongsinya di Facebook.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri bermula hari ini hingga 10 Jun.

Program di bawah fasa mitigasi pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Projek atasi banjir kilat Jalan Sungai Chua siap akhir Mac

SHAH ALAM, 25 FEB: Kerja menaik taraf sistem saliran di belakang Winnie Plaza, Jalan Sungai Chua, Kajang dijangka siap sepenuhnya akhir Mac ini.

Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Ki berkata projek menangani insiden banjir kilat mencapai kemajuan 90 peratus sejak dimulakan kira-kira dua tahun lalu.

“Kawasan ini antara titik panas banjir jika hujan lebat, justeru diharap pembaikan tersebut membolehkan aliran air lebih lancar ke Sungai Langat,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, Kerajaan Negeri memperuntuk lebih RM1 juta bagi menjayakan projek kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor dengan sebahagian dana untuk penjajaran kabel utiliti.

“Ramai ingat projek ini tidak bergerak, sebaliknya ia mengambil masa kerana melibatkan kos besar. Kita berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakannya,” kata Siew Ki.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Perusahaan di Balakong dipilih destinasi pelancongan pada 2021

SERDANG, 23 JUN: Beberapa perusahaan di Balakong akan dimasukkan dalam senarai destinasi pelancongan di Selangor tahun depan, kata Ahli Dewan Negerinya.

Wong Siew Ki berkata sebagai permulaan pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya lima lokasi dipromosi dalam Program Pelancongan Industri dan Kilang yang menarik untuk dikunjungi.

“Di Balakong ada kilang aiskrim jenama Polar, saya rasa ramai tidak tahu ia adalah jenama tempatan begitu juga dengan industri bioteknologi seperti kulat.

“Kita sedang pilih beberapa perusahaan yang menepati syarat antaranya persekitaran kerja bersih, ada ruang pameran dan mempunyai keunikan atau kelebihan tersendiri,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Ligno Biotech Sdn Bhd dan Polar Ice Cream Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Balakong semalam.

Siew Ki berkata program pelancongan dijangka menyumbang antara 10 hingga 20 peratus kepada pendapatan perusahaan tersebut.

“Kita berharap pengusaha pelancongan lebih inovatif dengan menawarkan pakej pengembaraan dan menarik untuk memenuhi kehendak pelbagai segmen seperti menganjurkan lawatan ke kilang yang mempunyai ruang pameran bagi menikmati pengalaman membeli-belah,” katanya.

Categories
SELANGOR

Proses undi PRK Seri Setia dan Balakong tamat

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 8 SEPT: Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong secara rasminya tamat, pada jam 5.30 petang.

Pegawai keselamatan di pusat mengundi sudah menutup pagar utama bagi membolehkan pengiraan undi dilakukan.

Sejurus proses pengiraan selesai dan disahkan, semua peti undi akan dibawa ke pusat penjumlahan undi Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Dewan Utama Demesne, Pejabat Daerah Hulu Langat.

Sehingga jam 4 petang, statistik keluar mengundi bagi N.27 Balakong sekitar 39 peratus, manakala N.32 Seri Setia 41 peratus.

Kedua PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, iaitu Prof Dr Shaharuddin Badaruddin (Seri Setia) dan Eddie Ng Tien Chee (Balakong).

Categories
SELANGOR

Siew Ki: “Saya yakin menang. Jika tidak, saya tak bertanding”

OLEH NADIAH ZAMLUS

BALAKONG, 8 SEPT: Calon DAP, Wong Siew Ki, dengan yakin menyatakan beliau akan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, hari ini.

Siew Ki berkata, beliau tidak akan berani untuk bertanding jika mengetahui dirinya akan kalah di tangan Calon MCA, Tan Chee Teong.

“Ada yang bertanya sejauh mana keyakinan saya untuk menang. Jika saya kata menang, orang akan kata sombong, tetapi saya perlu kata yang Pakatan Harapan (PAKATAN) akan menang lagi kali ini.

“Jika saya tidak berani menyatakan kemenangan, awal-awal lagi saya akan ‘cabut’.

“Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan berterusan kepada saya,” katanya ketika membuat tinjauan proses mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Batu 11, Cheras, hari ini.

Siew Ki berkata, dia turut berpuas hati dengan kelancaran proses mengundi yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Sekarang tanggungjawab hanya terserah pada pengundi sahaja. Tolonglah keluar untuk mengundi kerana ini adalah tanggungjawab pada negara,” katanya.

Categories
SELANGOR

Peratusan rendah, SPR tak puas hati

OLEH NADIAH ZAMLUS

BALAKONG, 8 SEPT: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong sehingga jam 10 tadi didapati hanya pada kadar 15 peratus.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato’ Mohamed Elias Abu Bakar berkata, pihaknya mahu pengundi yang berdaftar keluar seramai mungkin bagi membolehkan peratusan terbabit terus meningkat.

“Jika ditanya pada SPR berhubung peratusan keluar mengundi hingga jam 10 tadi. Sememangnya kami tidak berpuas hati, tetapi pusat pengundiaan baru dua jam dibuka, maka kita masih tidak boleh buat kesimpulan awal.

“Disebabkan itu, saya menyeru kepada pengundi supaya turun segera untuk menunaikan tanggungjawab,” katanya ketika membuat tinjauan proses pengundi, di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tun Hussien Onn 2, Cheras, pagi ini.

Selain pusat berkenaan, Mohamed Elias turut melawat Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Balakong, Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perimbun dan SMK Cheras Perdana.

Pada masa sama, beliau turut berpuas hati dengan proses pengundiaan yang berjalan lancar di semua pusat mengundi, hari ini.

“Saya juga melihat pengundi sudah membuat semakan awal sebelum ke saluran masing-masing. Jadi, ia membolehkan proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang kesesakan.

“Sekali lagi saya nasihatkan kepada pengundi, keluarlah mengundi dengan segera,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB: Kekal PAKATAN di Balakong, rakyat nikmati hasil negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

BALAKONG, 8 SEPT: Pengundi diminta terus mengekalkan sokongan kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong bagi menikmati perkhidmatan Kerajaan Negeri yang peduli rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri ingin meneruskan kebaikan pentadbiran dan perkhidmatan dilaksanakan PAKATAN dinikmati penduduk Balakong serta Selangor, sejak 2008.

“Sejak 2008, orang Balakong dan Selangor berani membuat keputusan dengan menukar pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) kepada PAKATAN.

“BN tinggalkan rezab negeri hanya lebih kurang RM400 juta. Kita laksanakan program air percuma bernilai RM70 juta dan BN kata wang akan habis, memang habis kalau ikut cara BN yang sana sini curi,” katanya pada Grand Finale Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balakong, di sini, malam tadi.

Pada tahun lalu, beliau berkata, Kerajaan Negeri ditadbir penuh berintegriti itu berjaya mencatat pencapaian kewangan sebanyak RM2.8 bilion.

Katanya, Kerajaan Negeri mampu melaksanakan program bagi menjaga kebajikan rakyat seperti Inisiatif Peduli Rakyat melalui hasil negeri yang berjaya ditingkatkan dengan pentadbiran yang telus.

“Hasil negeri kita pulang kepada rakyat. Contoh hasil pasir di Selangor sebelumnya antara RM3 hingga RM4 juta tetapi di bawah PAKATAN kita uruskan kembali industri itu dan berjaya mendapat RM80 juta setahun.

“Dahulu memang ada hasilnya tetapi ia masuk poket orang lain diam-diam,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat khususnya pengundi DUN Balakong perlu mengekalkan calon PAKATAN, Wong Siew Ki, di DUN berkenaan untuk terus mendapat manfaat daripada Kerajaan Negeri.

Categories
SELANGOR

Warisi masalah BN tapi berjaya jaga kebajikan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

BALAKONG, 8 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya mentadbir negara selepas mengambilalih daripada Barisan Nasional (BN) melalui pendekatan berhemah dan ketelusan.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun mewarisi masalah dengan hutang negara mencecah kira-kira RM1 trilion, namun PAKATAN tidak mengabaikan kebajikan rakyat dan berjaya menetapkan gaji minima lebih baik berbanding sebelumnya.

“BN naikkan gaji RM100 dalam masa dua tahun tetapi kerajaan PAKATAN naikkan RM50, dalam tempoh tiga bulan. BN naikkan 10 peratus dalam dua tahun tetapi kita naikkan lima peratus, dalam hanya tiga bulan.

“Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kata, kita gagal tetapi yang gagal Najib dan sekarang beliau boleh tidur,” katanya pada Grand Finale Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balakong, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ekoran kenyataan dibuat Najib yang menggambarkan kegagalan kerajaan PAKATAN menunaikan janji gaji minima RM1,500, sedangkan BN menetapkannya pada kadar RM900 pada 20014 dan meningkat RM1,000, pada 2016.

Katanya, PAKATAN tidak menawarkan kadar gaji minima RM1,500 ekoran kedudukan ekonomi negara tidak mengizinkan pada masa ini dan hanya akan melaksanakannya secara berperingkat, selepas ini.

“PAKATAN tidak boleh menaikkan gaji minima secara terus kepada RM1,500 ekoran hutang negara yang mencecah kira-kira RM1 trilion

“Bagaimanapun, PAKATAN hanya akan melaksanakan kenaikan gaji minima RM1,500 dalam tempoh lima tahun seperti termaktub dalam manifesto,” katanya.

Dengan kejayaan pentadbiran kerajaan PAKATAN setakat ini, katanya, rakyat termasuk di Dewan Undangan Negeri Balakong perlu terus menyatakan sokongan dengan mengekalkan wakil rakyatnya, di kawasan itu.

PRK Balakong diadakan hari ini menyaksikan satu lawan satu antara calon PAKATAN, Wong Siew Ki dan calon MCA, Tan Chee Teong.

 

Categories
SELANGOR

Cuaca cerah di Balakong

OLEH NADIAH ZAMLUS

BALAKONG, 8 SEPT: Cuaca pada hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pagi ini, dalam keadaan baik.

Tinjauan SelangorKini mendapati, lebih 100 pengundi mula hadir seawal jam 7.30 pagi di Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Batu 11, Cheras.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini mengumumkan DUN Balakong mempunyai 62,188 pengundi berdaftar.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, pengundi juga dinasihatkan supaya merancang masa dan tidak memilih untuk keluar mengundi di saat akhir walaupun tempoh waktu mengundi dilanjutkan, dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang.

Pihaknya turut mensasarkan kira-kira 70 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab mengundi, pada PRK kali ini.

Peratusan itu dijangka lebih tinggi berbanding PRK Sungai Kandis, pada 4 Ogos lalu.

DUN Balakong menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan, Wong Siew Ki dan calon MCA, Tan Chee Teong.

PRK DUN Balakong diadakan ekoran kematian penyandangnya, Eddie Ng Tien Chee, dalam kemalangan jalan raya, pada 20 Julai lalu.