Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakar yakin tiada lagi PKP, sekatan raya meski kes Covid-19 naik

SHAH ALAM, 7 FEB: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dilaksana semula meskipun kes harian Covid-19 melonjak mutakhir ini, kata pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia.

Menurut Prof Madya Dr Malina Osman, situasi kawalan wabak berbeza berbanding dua tahun lalu ketika negara bergelut membendung penularan virus dan mendapatkan bekalan vaksin, lapor Berita Harian.

Beliau menjelaskan PKP secara menyeluruh tidak lagi sesuai berikutan menjejaskan pelbagai aspek, iaitu ekonomi, pendidikan, kesihatan mental dan sosial termasuk halangan pulang beraya.

“Kita perlu tahu bahawa situasi sekarang amat berbeza, dulu tiada liputan vaksin yang baik, kesan varian Delta yang amat teruk dan kit ujian saringan kendiri pula tidak dapat diperoleh dalam harga berpatutan, terhad untuk kemampuan segelintir pihak.

“Kini, semua faktor itu berubah ketara apabila liputan vaksin kita antara terbaik di dunia, kesan klinikal berikutan varian Omicron pula tidak begitu teruk berbanding Delta dan kit ujian saringan kendiri boleh didapati pada harga hampir 90 peratus lebih murah di pasaran,” katanya.

Pada 23 Januari, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan kerajaan tidak akan melaksanakan kembali PKP dan sekatan pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

Sebaliknya, beliau menegaskan PKP Diperketatkan (PKPD) akan dibuat secara bersasar di kawasan yang merekodkan peningkatan kes sahaja.

Jaminan sama disuarakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 3 Februari, yang mengakui kes harian Covid-19 bakal meningkat, namun kelonggaran balik kampung dapat diberikan.

Categories
SELANGOR

Lebih 2,000 tiket balik kampung terjual di Terminal 17 Shah Alam

SHAH ALAM, 16 OKT: Lebih 2,000 individu pulang ke kampung halaman menerusi Terminal 17 di sini sejak kebenaran rentas negeri Isnin lalu.

Jurucakap Terminal 17, Mohd Hafidz Othman berkata jumlah itu merangkumi jualan tiket secara dalam talian dan sebahagian lagi menerusi jualan di kaunter.

Mohd Hafidz Othman

“Sebahagian besar destinasi yang dituju adalah Pantai Timur di mana permintaannya agak tinggi hingga beberapa syarikat bas perlu menyediakan bas tambahan,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata sebanyak 300 individu menaiki bas bagi setiap sejam untuk lapan platform yang disediakan bagi memastikan kelancaran di terminal berkenaan.

“Dari segi pemantauan SOP (tatacara operasi piawai) kita memastikan hanya penumpang lengkap dua dos sahaja dibenarkan menaiki bas dengan mereka perlu mengemukakan sijil vaksinasi ketika membeli.

“Sebelum bas bertolak pihak berkuasa akan memeriksa sijil vaksinasi setiap individu di dalam bas bagi mengelak berlaku penipuan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran perjalanan rentas negeri berkuat kuasa Isnin lepas dan semua aktiviti pelancongan tempatan dibenarkan selepas lebih 90 peratus populasi dewasa di seluruh negara lengkap divaksin.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 600 pulang ke kampung di Terminal 17 Shah Alam

SHAH ALAM, 16 OKT: Lebih 600 individu mengambil peluang cuti hujung minggu untuk pulang ke kampung halaman dengan menaiki bas di Terminal 17 di sini, malam tadi.

Tinjauan SelangorKini di terminal itu mendapati walaupun suasana sesak dengan kehadiran orang ramai, namun tiada pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) membabitkan penumpang.

Malah terdapat bunyi dentuman mercun di kawasan berdekatan seolah-olah mengiringi mereka yang pulang ke kampung halaman.

Noor Hafizati Mohd Hariri dan keluarga teruja untuk pulang ke kampung di Kemaman, Terengganu susulan kebenaran rentas negeri ketika tinjauan di Terminal 17, Seksyen 17, Shah Alam pada 15 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Seorang penumpang, Noor Hafizati Mohd Hariri mengakui teruja untuk pulang ke kampung halaman suaminya, Mohd Nadzi Nasir di Kemaman, Terengganu untuk memperkenalkan anak bongsunya yang berusia setahun.

“Ini anak PKP (perintah kawalan pergerakan) atok dan nenek di kampung tidak pernah berjumpa lagi jadi ini kali pertama dia akan berjumpa mereka,” katanya yang turut membawa bersama dua lagi anak bersama.

Sementara itu, jurutera, Anieza Arimi berkata ibu bapanya di Pasir Mas, Kelantan tidak mengetahui dia akan pulang pada malam tadi kerana ingin membuat kejutan kepada mereka.

Anieza Arimi

“Dah lebih setahun saya tidak pulang jadi teringin nak tengok reaksi mereka ketika saya bila sampai di rumah nanti,” katanya.

Bagi Muhammad Zulapis Sanusi pula, dia pulang ke Ketereh, Kelantan untuk membincangkan urusan perkahwinan selepas tertangguh akibat pandemik.

“Saya tidak pulang ke kampung hampir dua tahun, selain untuk berjumpa ibu bapa, saya juga ingin bertemu tunang untuk membincangkan urusan perkahwinan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran perjalanan rentas negeri berkuat kuasa Isnin lepas dan semua aktiviti pelancongan tempatan dibenarkan selepas lebih 90 peratus populasi dewasa di seluruh negara lengkap divaksin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Setahun hilang kerja, pemuda nekad naik motor 420km balik kampung

PETALING JAYA, 12 OKT: Seorang pemuda nekad menunggang motosikal sejauh 420 kilometer (km) dari ibu negara ke Pasir Puteh, Kelantan selepas dibenarkan merentas negeri semalam.

Perantau dikenali sebagai Anas, 25, berkata, dia memilih menunggang motosikal ke­rana satu-satunya ‘harta’ yang ada selepas syarikat tempat dia bekerja menutup operasi akibat pandemik Covid-19 pada Ogos 2020, lapor portal Kosmo!.

Menurut bekas operator elektrik di sebuah hotel terkemuka di ibu negara itu, kebenaran rentas negeri yang diumumkan kelmarin sememangnya amat dinanti-nantikan.

“Saya bertolak balik ke Kelantan pada pukul 1 pagi (semalam). Sebenarnya saya sudah tidak mampu lagi untuk tinggal di Kuala Lumpur dan mahu pulang ke kampung,” katanya di sini semalam.

Menurut Anas, selepas kehilangan kerja pada Ogos tahun lalu, dia pernah bekerja di tempat lain, namun tidak bertahan lama.

Dalam tempoh setahun itu juga, Anas mengakui terpaksa menumpang rumah kenalannya di sekitar ibu negara disebabkan sudah tidak mampu membayar sewa.

“Saya ada kakak yang tinggal di Nilai, Negeri Sembilan, namun tidak boleh ke sana kerana tidak dibenarkan rentas negeri, jadi saya menumpang di rumah kawan-kawan selama setahun.

“Saya mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bekerja sebagai penghantar makanan untuk tampung perbelanjaan bulanan,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu kepada tiga cahaya mata dari Taman Desa, Johor Bahru menerima nasib berbeza apabila terpaksa melupakan hasrat pulang ke Kuala Kangsar dan Teluk Intan, Perak selepas suaminya diserang pe­nyakit strok.

Nurain Rozman, 28, membe­ri­tahu, suaminya, Sabri Moha­med Khairi, 36, disahkan menghidap penyakit itu pada Julai lalu.

“Keinginan nak balik kampung di Perak untuk berjumpa dengan keluarga memang ada, tetapi memandangkan suami tak mampu berjalan, saya terpaksa pendamkan sahaja.

“Segala perbelanjaan terpaksa dicatu dan didahulukan untuk tujuan rawatan susulan serta keperluan suami. Sekiranya suami kembali pulih seperti sedia kala, insya-­Allah kami sekeluarga akan pulang ke kampung,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan titah sambut sederhana Aidiladha, jangan balik kampung

SHAH ALAM, 19 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor sekali lagi menasihatkan umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha secara sederhana dan tidak pulang ke kampung.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah supaya Aidiladha disambut kediaman masing-masing bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 yang tidak terkawal.

“Baginda amat bimbang sekiranya masih ada yang berdegil untuk pulang ke kampung di luar daerah sempena musim perayaan ini.

“Baginda masih berdukacita kerana perayaan umat Islam yang sepatutnya disambut dengan semangat kesatuan ummah bagi mengeratkan ukhwah terpaksa diadakan dalam keadaan yang terhad dan waspada,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Sultan Selangor turut berharap setiap aktiviti membabitkan ibadah korban dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Baginda mahu supaya umat Islam terus memanjatkan doa setiap kali selepas solat agar sekalian rakyat terus dilindungi dan dijauhkan daripada musibah wabak Covid-19 dan kematian,” menurut kenyataan lagi.

Pada 13 Julai, Sultan Selangor menasihatkan umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha secara sederhana di kediaman masing-masing dan tidak merentas daerah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai digesa jangan curi-curi balik kampung

SHAH ALAM, 18 Julai: Kerajaan menasihati orang ramai tidak “curi-curi” pulang ke kampung dan kekal berada di rumah supaya penularan Covid-19 dapat dikekang.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia susulan 4,839 kenderaan diarah berpatah balik kelmarin dipercayai cuba merentas negeri tanpa kebenaran untuk menyambut Aidiladha di kampung.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah berkenaan adalah yang tertinggi dicatatkan semenjak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksana sejak bulan lalu.

“Semalam, polis melaporkan sebanyak 381,952 kenderaan diperiksa di sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara.

“Kerajaan menasihati orang ramai supaya tidak curi-curi pulang ke kampung dan kekal duduk di rumah supaya tidak dijangkiti dan menjangkiti orang lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri juga memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di lima lokaliti seluruh negara termasuk CLQ Gamuda Garden, Kundang Jaya, Rawang tamat mulai esok.

Katanya, PKPD di CLQ Gamuda Garden yang bermula 30 Jun dan kemudian dilanjutkan pada 14 Julai ditamatkan pada 19 Julai seperti yang dijadualkan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Puluhan ribu pelajar IPT mula balik kampung berperingkat

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Kira-kira 70,000 daripada 162,414 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang tinggal di kampus pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat mulai semalam sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata mereka adalah pelajar IPT di universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta, politeknik dan kolej komuniti.

Beliau berkata pergerakan mereka berpandukan pematuhan tataca operasi piawai (SOP) ketat menerusi empat kaedah ditetapkan iaitu menggunakan bas yang diselaras IPT, kenderaan sendiri, dijemput ibu bapa atau menggunakan penerbangan bagi pelajar Sabah.

“Kebenaran pergerakan ini dibuat selepas mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini,” katanya ketika ditemui semasa melakukan tinjauan pergerakan pulang pelajar di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini semalam.

“Jadi saya nasihatkan setiap pelajar agar mematuhi SOP sepanjang berada di kampung halaman bersama keluarga dengan memakai pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan menjaga penjarakan fizikal,” tambahnya.

Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan lebih 100,000 pelajar IPT yang kini berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi Sarawak, dan pergerakan secara berfasa itu ditetapkan dari 7 hingga 12 Mei dari kampus ke kediaman masing-masing manakala tarikh kembali ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei.

Sementara itu 7,500 pelajar UKM pulang ke kediaman masing-masing di seluruh negara kecuali Sarawak untuk fasa pertama malam tadi dengan menaiki 19 bas manakala 350 pelajar menaiki 13 bas hari ini (fasa kedua) dan fasa terakhir pada Ahad seramai 32 orang.

Mengenai prosedur pelajar IPT apabila kembali ke kampus, Noraini berkata mereka perlu menjalani ujian saringan terutama mereka yang dari kawasan berisiko tinggi.

“Sekiranya bergejala dan mencatat bacaan suhu badan tinggi, mereka akan diasingkan dan tidak dibenar pulang ke kampus. Bagi mereka yang tidak bergejala, mereka boleh kembali ke kampus dan meneruskan sesi pengajian,” katanya.

Sementara itu Universiti Sains Malaysia (USM) dalam satu kenyataan berkata pihaknya membantu menguruskan pengangkutan pulang 2,748 pelajar universiti ke kampung halaman bermula hari ini dan esok dengan menggunakan 10 buah bas ke semua negeri di semenanjung Malaysia.

“Perjalanan penghantaran pelajar USM semalam membabitkan lapan buah bas ke semua negeri di semenanjung Malaysia kecuali Terengganu manakala bagi Terengganu penghantaran bermula hari ini menggunakan dua buah bas,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

UTM sedia 10 bas bawa pelajar balik kampung sempena Aidilfitri

JOHOR BAHRU, 2 MEI: Lebih 800 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung halaman masing-masing setakat ini susulan keputusan kerajaan membenarkan pelajar pulang sempena Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof Dr Shamsul Sahibuddin berkata angka itu diperolehi berdasarkan pengisian borang khas disediakan, meliputi kira-kira 25 peratus daripada 3,200 pelajar yang berada dalam kampus.

Ekoran itu, menurut beliau pihak universiti melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) bersama UTM Fleet sedang menguruskan maklumat dan data pelajar yang memerlukan kemudahan pengangkutan.

“Setakat ini, universiti akan memperuntukkan enam bas bagi pergerakan pulang pelajar ke Zon Timur, Utara serta Tengah, dan empat buah lagi untuk Zon Selatan. Bas akan mula bergerak pada 6 Mei dengan pergerakan penghantaran terakhir ialah pada 11 Mei,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khamis lepas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan lebih 100,000 pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh negara dibenarkan pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri, kecuali bagi Sarawak, dan beberapa mekanisme telah ditetapkan termasuk melaksanakannya secara berfasa bagi mengawal pergerakan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kompaun jika rentas negeri balik kampung

SHAH ALAM, 16 MEI: Mulai hari ini, polis mengenakan kompaun terhadap orang ramai yang merentas negeri tanpa kebenaran termasuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri, kata Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata polis juga melaksanakan 146 sekatan jalan raya di sempadan negeri di seluruh negara.

“Semalam sahaja polis memeriksa 238,500 kenderaan awam, maknanya walaupun kita kata jangan rentas negeri untuk balik kampung, nampaknya masih lagi berlaku.

“Sebanyak 500 kenderaan cuba rentas negeri dengan alasan balik kampung diarah berpatah balik oleh polis semalam,” katanya di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan yang ditubuhkan polis semalam mengesan 72 individu atas kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP), 60 daripadanya direman manakala 12 lagi diberi jaminan polis.