Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia tinggalkan BAM, ‘tidak tahan tekanan’

SHAH ALAM, 19 JAN: Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara Lee Zii Jia meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan badan berkenaan menerima surat peletakan jawatan Zii Jia pada 11 Januari, lapor Berita Harian.

Mendakwa pemain itu memberi alasan tidak tahan tekanan, beliau berkata perbincangan ada dibuat bagi memujuk Zii Jia yang bersama badan itu sejak berusia 13 tahun supaya kekal bersama skuad kebangsaan.

“Dia baru saja memenangi satu gelaran Seluruh England (2020) dan seharusnya dia kekal fokus dan kekal bersama BAM. Namun, dia mengatakan yang dirinya bukan Chong Wei dan tidak boleh tahan tekanan,” katanya.

BAM dijangka membuat pengumuman berkaitan perkara berkenaan pada 21 Januari.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Juarai Terbuka Czech, Mei Xing yakin serasi dengan Anna

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Beregu wanita yang pertama kalinya digandingkan pada kejohanan badminton Terbuka Republik Czech Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing, pada mulanya tidak meletakkan sasaran pada kejohanan itu.

Kedua pemain negara itu tidak menyangka mempunyai keserasian yang baik hingga mampu meraih kejuaraan sulung pada penampilan pertama gandingan mereka di kejohanan siri antarabangsa.

“Kami bermain sedaya kami dan gandingan kami serasi. Saya gembira dengan kemenangan ini,” kata Mei Xing menerusi rakaman video daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

Pasangan negara mengecewakan gandingan dari Indonesia Febby Valencia Dwijayanti Gani-Jesita Putri Miantoro 21-15, 16-21, 21-17 pada aksi final di Vodova Hall, Brno pada Ahad.

Mei Xing, 24, bergandingan dengan Yap Ling ketika saingan Piala Uber, manakala Anna, 23, pula berpasangan dengan Yap Cheng Wen ketika muncul juara Terbuka Austria 2021.

“Saya akan bergandingan dengan Anna hingga Disember, dan terserah kepada barisan kejurulatihan untuk membuat keputusan mengenainya (pasangan), saya akan ikut dan hormatinya,” katanya.

Anna-Mei Xing, yang mendapat bye pada pusingan pertama kejohangan Antarabangsa Belgium di Leuven esok, dijadual berdepan sama ada pasangan Indonesia Febby-Jesita atau gandingan Jepun Chisato Hoshi-Aoi Matsuda di pusingan kedua.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara Siti Nurshuhaini Azman yang muncul naib juara Terbuka Republik Czech selepas tewas kepada Putri Kusuma Wardani dari Indonesia 16-21, 5-21, mahu menjadikan kejayaannya tempoh hari sebagai landasan ke arah kejayaan yang lebih cemerlang pada masa depan.

“Alhamdulillah, rezeki kali ini saya dapat naib juara di Terbuka Republik Czech, saya rasa pada mulanya saya boleh, tetapi apabila masuk perlawanan kedua, saya hilang sedikit fokus dan tidak dapat ikut permainan lawan.

“Jurulatih (Indra Widjaja) ada pesan untuk lebih bekerja keras dan cuba menambah baik kekurangan saya untuk kejohanan seterusnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota skuad Piala Thomas 1970, Abdul Rahman meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Bekas pemain badminton kebangsaan Abdul Rahman Mohamad, anggota skuad negara yang muncul naib juara Piala Thomas pada 1970, meninggal dunia semalam.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Allahyarham yang berusia 75 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada 5.53 petang di Hospital Shah Alam.

“Lahir pada tanggal 9 Mei 1946, Abdul Rahman yang juga merupakan anggota skuad Piala Thomas 1970, turun selaku perseorangan kedua selepas mendiang Datuk Punch Gunalan pada perlawanan akhir edisi kelapan kejohanan berprestij itu menentang Indonesia.

“Jasa serta sumbangan Allahyarham dalam arena badminton kebangsaan pasti akan terus dikenang. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” menurut kenyataan BAM di laman Facebooknya.

Pada aksi final itu, Malaysia tewas 2-7 kepada Indonesia di Stadium Negara.

Arwah sebelum ini dilaporkan terlantar di rumahnya setelah diserang strok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BAM nafi dakwaan pemain Israel dibenar beraksi di Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menepis dakwaan yang tular di media sosial bahawa pemain Israel dibenarkan beraksi pada kejohanan Terbuka Malaysia 2021.

Menjawab soalan netizen di laman Facebook dan Twitter rasmi badan induk itu, BAM memaklumkan bahawa entri pemain seperti yang tular tidak pernah diluluskan oleh persatuan berkenaan.

“Tidak benar. Untuk pengetahuan, entri pemain-pemain ini tidak pernah diluluskan sejajar dengan dasar negara kita.

“Undian pula dibuat oleh pihak BWF (Persekutuan Badminton Dunia) berdasarkan laporan M&Q (Main and Qualifications) dan tidak pernah juga diluluskan,” menurut BAM.

Terdahulu, tular di media sosial pasangan beregu campuran ibu-anak dari Israel, Misha Zilberman, 32, dan Svetlana Zilberman, 63, bakal menyertai Terbuka Malaysia, yang sebelum ini merupakan antara kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai ini.

Menurut tangkap layar laman sesawang BWF yang ditularkan, pasangan nombor 141 dunia itu diundi menentang pasangan nombor tiga dunia Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China pada pusingan pertama.

Kejohanan yang dijadualkan dari 25 hingga 30 Mei di Axiata Arena, Bukit Jalil itu bagaimanapun ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak berikutan peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia dan tidak lagi merupakan kejohanan menawarkan mata ke Olimpik.

Difahamkan, BAM telah menolak permohonan pasangan itu yang dibuat menerusi sebuah kelab pada bulan lepas kerana bertentangan dengan dasar negara tiada hubungan diplomatik dengan Israel.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini dibatalkan hak untuk menganjurkan Kongres FIFA 2017, yang turut menyaksikan pengundian tuan rumah Piala Dunia 2026 kerana tiada jaminan untuk mendapatkan visa perjalanan bagi delegasi dari Israel.

Pada awal 2019, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) pula melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan di Kuching, Sarawak dari 29 Julai hingga 4 Ogos tahun sama kerana kerajaan Malaysia gagal memberi jaminan kepada perenang Israel.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang turut menafikan perkara itu menyatakan: “KBS tidak pernah dan tidak akan memberi sebarang kelulusan penyertaan warganegara Israel” dalam sebarang kejohanan sukan termasuk Terbuka Malaysia 2021 yang ditangguh itu.

Kenyataan KBS menyebut bahawa BAM sedia maklum mengenai perkara itu serta ia telah disampaikan kepada BWF dan undian yang dikeluarkan di laman sesawang BWF tidak pernah diluluskan oleh BAM mahupun KBS untuk tujuan kemasukan ke Malaysia.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ia merupakan syarat yang telah lama terpakai selari dengan dasar luar negara.

“Saya juga sentiasa mengingatkan bahawa semua kelulusan penganjuran kejohanan sukan antarabangsa oleh KBS melalui Pesuruhjaya Sukan adalah tertakluk kepada dasar luar negara, ini termasuklah larangan penyertaan atau penglibatan dari negara Israel tanpa sebarang kompromi,” menurutnya dalam kenyataan sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Terbuka Malaysia 2021 diteruskan selagi ada penyertaan

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan meneruskan penganjuran kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2021 selagi kuota pemain mencukupi.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata kejohanan berstatus Super 750 yang juga platform kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu masih diteruskan walaupun ada negara yang menarik diri daripada kejohanan yang dijadual berlangsung pada 25 hingga 30 Mei ini.

“Selagi ada 32 pemain dan pasangan, kita akan teruskan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dalam negara ketika ini, Kenny berkata BAM akan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan bagi meneruskan kejohanan di samping membantu mengekang penularan wabak itu.

Kejohanan Terbuka Jerman pada Mac lepas menjadi kejohanan kelayakan Olimpik pertama dibatalkan manakala kejohanan Terbuka India yang dijadualkan pada 11 hingga 16 Mei di New Delhi ditangguhkan susulan peningkatan kes Covid-19 di negara berkenaan.

Sebagai rekod, pemain nombor dua dunia Viktor Axelsen dari Denmark hari ini dilaporkan diuji positif Covid-19 dan terpaksa menarik diri daripada aksi final Kejohanan Badminton Eropah berlangsung di Kyiv, Ukraine.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemain badminton negara kembali berlatih hari ini

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Pemain badminton negara akan kembali turun berlatih di gelanggang hari ini selepas lebih seminggu tidak berbuat demikian sejak 15 individu didapati positif Covid-19 di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan kebenaran latihan itu disambung semula.

Pendekatan latihan berasaskan kuarantin dengan pematuhan ketat tatacara operasi piawai (SOP) akan dilaksanakan di pusat kecemerlangan badminton negara.

Ia akan membenarkan atlet kami kembali ke gelanggang dalam satu persekitaran yang terkawal dan selamat seperti yang diarahkan pihak berkuasa kesihatan,” menurut BAM dalam satu kenyataan semalam.

BAM juga menzahirkan penghargaan kepada KKM, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara yang bekerja keras bagi memastikan program latihan badminton negara berjalan semula.

Enam pemain di ABM disahkan positif Covid-19 pada 17 April dan pada 23 April BAM mendapati lapan lagi pemain pelapis disahkan positif jangkitan virus dalam saringan pada 20 April dan seorang lagi positif dalam saringan Sabtu lepas.

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh ketika dihubungi berkata enam pemain dalam kumpulan pertama dijangkiti virus itu telah didiscaj daripada Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan kembali ke kediaman masing-masing.

Skuad badminton negara sedang dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo Julai ini, selain beberapa kejohanan seperti Terbuka Malaysia dari 25 hingga 30 Mei dan Terbuka Singapura dari 1 hingga 6 Jun untuk mendapatkan mata kelayakan ke temasya sukan dunia itu

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Seorang lagi positif Covid-19 di Akademi Badminton Malaysia

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Seorang individu didapati positif Covid-19 selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melaksanakan saringan ketiga ke atas 91 atlet, jurulatih dan kakitangan sokongan di Akademi Badmintion Malaysia (ABM) di Bukit Kiara semalam.

BAM dalam satu kenyataan hari ini berkata atlet dan pegawai yang berada di ADM akan terus berada dalam tempoh pengasingan kendiri menurut protokol kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara dan Institut Sains Sukan (ISN) sehingga diberitahu kelak.

Setiap orang di dalam BAM mendoakan kesemua atlet (terkesan) sembuh dengan segera,” kata kenyataan itu.

Enam pemain di ABM disahkan positif Covid-19 pada 17 April, dan pada 23 April BAM mengesahkan lapan lagi pemain simpanan didapati positif jangkitan virus itu dalam saringan pada 20 April.

Kesemua 14 pemain yang didapati positif dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dengan empat daripada mereka dibenarkan pulang ke rumah semalam.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata tiada masalah kepada skuad senior kebangsaan untuk kembali berlatih pada Selasa (27 April) jika tiada lagi kes Covid-19 dilaporkan di ABM.

Skuad badminton negara, yang berhenti berlatih minggu lepas perlu kembali melakukan persiapan unutk Olimpik Tokyo yang dijadualkan pada Julai ini selain kejohanan-kejohanan lain yang menyumbangkan mata untuk melayakkan diri ke temasya sukan itu, antaranya Terbuka Malaysia dari 25 hingga 30 Mei dan Terbuka Singapura (1 hingga 6 Jun).

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia kini di kedudukan kelapan pemain perseorangan dunia

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Kedudukan pemain perseorangan badminton negara Lee Zii Jia meningkat dua anak tangga ke tangga kelapan dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas ranking dunia dalam sukan itu dikemas kini pada tengah malam Selasa.

Selepas memperoleh 12,000 mata dalam Kejohanan All England, pemain berusia 22 tahun itu mengumpul 69,389 mata daripada 25 pertandingan disertainya untuk ranking terbaik dalam kerjayanya selepas termasuk dalam kedudukan 10 teratas Mac tahun lepas, menurut laman sesawang rasmi BWF, https://bwfbadminton.com.

Kemenangan di Arena Utilita, Birmingham pada Ahad lepas membantu anak Kedah itu memintas Angus Ng Ka Long dari Hong Kong (69,270 mata) dan Wang Tzu-wei dari Taiwan (63,393 mata).

Zii Jia memenangi Kejohanan All England selepas menumpaskan Viktor Axelsen dari Denmark, 30-29, 20-22, 21-9.

Bintang Jepun Kento Momota kekal nombor satu dunia dengan 109,118 mata daripada 15 kejohanan, termasuk 6,600 mata daripada pertandingan berprestij All England walaupun tewas 16-21 dan 19-21 di tangan Zii Jia dalam perlawanan suku akhir.

Jaguh Denmark Axelsen (98,486) dan Anders Antonsen (94,875) juga kekal dalam kelompok tiga teratas.

Juara beregu wanita dalam Terbuka Switzerland Pearly Tan – M Thinaah juga menokok tiga anak tangga, selepas memperoleh 6,000 mata setelah mara ke suku akhir All England untuk berada ditangga ke-19 dunia dengan 47,015 mata.

Dalam kategori perseorangan wanita, Soniia Cheah (38,931 mata) menurun satu anak tangga ke tangga 33 sementara S Kisona (25,184 mata) naik dua anak tangga untuk berada di ranking ke-60.

Beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga menokok satu anak tangga ke kedudukan ke-11 dunia dengan 62,770 mata.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kelab, akademi perlu kerjasama gilap bakat badminton

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Kelab dan akademi badminton perlu sama-sama bertanggungjawab dalam pembangunan sukan itu dengan membantu meningkatkan bakat baharu di seluruh negara.

Bekas pemain kebangsaan Jeremy Valberg yang juga pemilik Kelab dan Akademi Badminton Valberg berkata sesebuah akademi memainkan peranan penting dalam mengenal pasti dan membimbing pemain muda sejak dari awal untuk berada pada tahap kompetitif.

Setelah asasnya kuat dan stukturnya stabil, bermaksud, apabila bakat di peringkat akar umbi dibentuk dengan baik, mereka akan meningkat dengan mula mewakili daerah, negeri dan kemudiannya menyertai skuad kebangsaan.

“Mungkin tidak semua mampu menyertai skuad kebangsaan dan menjadi pemain dunia, tapi apabila bilangan bakat baharu bertambah, secara tidak langsung akan mendorong pemain kebangsaan untuk menjadi lebih baik atau kedudukan mereka akan segera diganti.

“Agak menyedihkan kerana ketika ini, jurang sangat jauh antara pemain baharu dan sedia ada. Selepas Datuk Lee Chong Wei bersara, kita masih tertunggu-tunggu penggantinya untuk meraih kemenangan di peringkat antarabangsa, manakala jurang antara (pemain perseorangan utama negara) Lee Zii Jia dan pemain perseorangan pelapis negara masih terlalu jauh,” katanya kepada Bernama.

Jeremy pernah bersama-sama skuad kebangsaan pada 1995-1996, bergandingan dengan pasangan beregunya Fadzli Mat Aris, adalah sebahagian daripada skuad projek TUKOM (Piala Thomas, Uber dan Sukan Komanwel) yang dibentuk pada 1996 menjelang Sukan Komanwel 1998 dan Piala Thomas, bersama-sama Wong Choong Hann dan Pang Cheh Chang.

Bekas pemain berusia 44 tahun itu pernah membantu bekas pemain dan pemenang pingat tiga kali Piala Thomas Ong Beng Teong beberapa ketika selepas digugurkan dari pasukan kebangsaan, sentiasa mengikuti rapat perkembangan sukan badminton negara dan akhirnya memutuskan untuk memulakan akademinya sendiri pada 2016.

Bermula di Champion Badminton Court, Petaling Jaya, akademi miliknya telah berkembang dan kini mempunyai dewan sendiri di Rawang dikenali sebagai Victor Arena dengan matlamat melahirkan ramai pemain untuk masa depan.

“Apa yang kita perlukan adalah terus membangunkan bakat baharu seawal usia 5 tahun agar mereka mampu menyertai pertandingan peringkat sekolah, daerah dan negeri. Kita bimbing mereka dengan kemahiran asas, disiplin dan kesungguhan yang diperlukan dalam sukan badminton sejak dari awal kerana tidak semua dilahirkan dengan bakat semula jadi.

“Apabila mereka sudah mencapai tahap tertentu, pasukan kelab dan negeri akan menyerap mereka untuk dikembangkan menjadi pemain yang lebih baik dan mungkin berpeluang dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Walaupun mereka tidak berjaya ke peringkat daerah, negeri atau kebangsaan, mereka tetap memberikan daya saing walaupun sekadar di peringkat sekolah,” katanya.

Jeremy turut menekankan bahawa walaupun kelab dan akademi badminton mesti terlibat dalam pencarian bakat, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai badan pentadbiran sukan itu di negara ini perlu menyediakan ‘blueprint’ sendiri berhubung bagaimana sistem berjalan untuk memastikan bakat-bakat yang ada digilap menjadi pencabar dunia.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Catat prestasi hambar, BAM gugur lima pemain senior

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Perseorangan wanita utama negara Soniia Cheah serta empat lagi pemain senior digugurkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) susulan prestasi mengecewakan di tiga kejohanan di Thailand baru-baru ini.

Pemain lain yang digugurkan oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM ialah pasangan beregu campuran Goh Soon Huat, Shevon Lai dan Lai Pei Jing serta pemenang pingat emas beregu wanita di Sukan Komanwel, Vivian Hoo.

BAM memutuskan untuk menggugurkan pemain terbabit selepas melakukan semakan berkala Project 24, iaitu pelan strategik bertujuan memupuk mentaliti mahu menang dan menghasilkan pemain terbaik dunia bagi membantu Malaysia memenangi pingat emas pada Olimpik Paris 2024 dan layak ke pusingan akhir Piala Thomas.

Pemain perseorangan lelaki Ter Chun Long dan Low Eu Cong, serta pasangan beregu lelaki Ching Kai Feng dan Ooi Jhy Dar turut digugurkan oleh badan sukan badminton kebangsaan itu.

Jawatankuasa turut memutuskan Wyman Goh, Lee Shun Yang, Shaqeem Eiman (perseorangan lelaki), K. Letshanaa (perseorangan wanita), Yap Roy King, Nurfirdaus Azman, Loo Bing Kun dan Lwi Sheng Hao (beregu lelaki) yang pada masa ini dalam tempoh percubaan, diserap ke skuad pelapis kebangsaan, kata BAM dalam kenyataan hari ini.

“Susulan bedah siasat yang dilakukan ke atas kempen Jelajah Dunia BWF peringkat Asia di Bangkok, petunjuk prestasi utama (KPI) yang terperinci telah disediakan dan diserahkan kepada pasukan jurulatih serta pemain. Kami ucapkan terima kasih kepada pemain yang berkenaan atas komitmen, dedikasi serta sumbangan mereka kepada negara selama ini. BAM ucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang akan mengorak langkah dalam kerjaya baharu.

“Tan Kian Meng (beregu campuran) dan Yap Cheng Wen (beregu wanita) diberikan peluang baharu untuk membuktikan diri mereka dengan arahan tegas bahawa mereka perlu mempamerkan peningkatan prestasi yang pantas,” kata BAM.

Menurut kenyataan itu, jurulatih, khususnya bagi perseorangan lelaki dan wanita, telah diarah memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi anak buah masing-masing memandangkan satu lagi semakan akan dibuat selepas saingan di Eropah bulan depan.

“Berikutan kejohanan berturut-turut di Eropah itu penting bagi kelayakan ke Olimpik Tokyo, latihan peringkat kebangsaan akan diperhebat, termasuk mengadakan sesi latihan mental untuk pemain.

“Setiap aspek sesi latihan akan dipantau rapi dan dirakamkan bagi pemeriksaan dan semakan selanjutnya. Setiap petugas di Unit Sains Sukan juga ditetapkan KPI agar mereka berusaha lebih gigih bagi menghasilkan keputusan yang terbaik,” demikian menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Prestasi cemerlang pemain badminton remaja kebangsaaan terima pujian

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Prestasi cemerlang beberapa pemain remaja kebangsaan pada pusingan akhir Kejohanan 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan di Akademi Bukit Kiara dari 18-21 November di sini mendapat pujian daripada Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann.

Beliau jelas berpuas hati dengan prestasi beberapa pemain remaja kebangsaan seperti perseorangan lelaki, Justin Hoh serta beregu lelaki, Wan Muhd Haikal Nazri dan Wan Muhd Arif Wan Junaidi yang mempamerkan prestasi terbaik pada kejohanan berkenaan.

Choong Hann, bagaimanapun, mengingatkan barisan pemain remaja dan pelapis kebangsaan supaya terus meningkatkan prestasi dan tidak berada pada zon selesa.

“Kita tidak tahu potensi sehingga kita berdepan lawan yang lebih kuat. Tiada had untuk perkembangan potensi dan masih banyak yang boleh dipertingkatkan dan antaranya keadaan fizikal dan kekuatan otot yang memerlukan pelan jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan BAM hari ini.

Beliau menegaskan barisan kejurulatihan akan terus memberi ruang kepada pemain pelapis yang kurang menyerlah pada saingan kali ini untuk memperbaiki kelemahan masing-masing.

Berkongsi pandangan sama adalah Pengarah Pembangunan Remaja BAM Datuk Misbun Sidek yang berpuas hati dengan peningkatan prestasi yang ditampilkan barisan pemainnya pada pertandingan kali ini.

Misbun mengakui masih terdapat jurang ketara dari segi corak permainan antara perseorangan dan beregu wanita, berbanding beregu lelaki yang mempamerkan peningkatan positif.

“Ini petanda potensi ini memang boleh dibentuk dan dibawa ke peringkat seterusnya. Mungkin pada tahun hadapan kita akan lihat di mana tahap mereka selepas beberapa bulan menjalani latihan,” jelas Misbun.

Pada aksi hari terakhir kejohanan itu hari ini, pemain dalam proses percubaan, Lee Shun Yang mencipta kejutan dengan mengungguli kategori perseorangan lelaki selepas mengatasi pemain pelapis kebangsaan Wyman Goh Wai Yap menerusi kemenangan 21-13 dan 21-10.

Beliau berkongsi tiga mata dengan Goh dan Justin Hoh hasil tiga kemenangan daripada lima perlawanan, namun berada di tangga teratas menerusi kutipan mata yang lebih baik.

Beregu pelapis kebangsaan, Lwi Sheng Hao Lwi dan Yap Roy King dan pemain pelapis kebangsaan, Eoon Qi Xuan, pula muncul juara beregu lelaki dan perseorangan wanita selepas memenangi kesemua tiga perlawanan.

Gandingan Teoh Mei Xing dan Yap Ling pula mengungguli kategori beregu wanita menerusi tiga kemenangan.

Kejohanan berkenaan yang diadakan secara tertutup di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara sejak Khamis lalu, melibatkan penyertaan pemain remaja dan pelapis kebangsaan dalam empat kategori iaitu perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan wanita.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Misbun mahu pemain remaja pamer karisma, fokus tingkat prestasi

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Misbun Sidek mahu 24 pemain yang akan beraksi pada playoff kejohanan badminton Cabaran Ranking Junior Kebangsaan 2020 mempamerkan karisma dalam membuat keputusan tepat di gelanggang.

Pada kejohanan yang dijadualkan bermula esok sehingga Jumaat ini di Stadium Juara Bukit Kiara, legenda badminton negara itu berharap pemainnya turut fokus mempertingkatkan kemampuan diri mereka.

“Saya nak lihat karisma mereka, sebagai contoh bagaimana mereka bergerak, tahap kecergasan, kawalan bulu tangkis, melakukan sentuhan dan kemahiran teknikal serta mencari mata menggunakan corak taktikal tersebut.

“Menang atau kalah tidak mengapa, apa yang penting mereka menunjukkan karisma seperti telah saya sebutkan dan ia akan membantu dalam menentukan apa lagi yang pemain ini perlukan untuk terus maju,” menurutnya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, juara Kumpulan B perseorangan lelaki Cabaran Ranking Junior Kebangsaan yang berlangsung bulan lalu Eogene Ewe Eon mahu menumpukan kepada latihan meningkatkan stamina dan kelajuan sebelum turun beraksi esok dengan harapan berada dalam keadaan terbaik sepanjang perlawanan untuk memastikan kemenangan.

“Sudah tentu semua pemain dalam kumpulan ini mahukan kemenangan. Pertandingan ini amat bermakna kepada kami kerana dengan ketiadaan kejohanan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pertandingan ini memberi ruang untuk kami lihat ada atau tidak kemajuan sepanjang latihan,” katanya.

Seorang lagi pemain, V. Poopathy pula mahu menebus kekecewaan selepas gagal beraksi dengan baik pada kejohanan sebelum ini apabila sekadar menduduki tangga kesembilan dengan hanya meraih dua kemenangan dalam sembilan perlawanan.

“Ketika itu, tahap keyakinan menurun kerana hampir tewas semua perlawanan tetapi jurulatih, ahli keluarga dan rakan-rakan memberi kata-kata semangat. Sepanjang sesi latihan saya fokuskan kekuatan stamina dan mental ketika di gelanggang. Sudah tentu saya mahukan kemenangan untuk kekal dalam Divisyen 1,” katanya.

Pertandingan itu akan berlangsung secara tertutup melibatkan pemain remaja yang kembali menjalani latihan secara berperingkat di Akademi Badminton Malaysia sejak Julai lepas.

-BERNAMA