Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Bomba: Ban Taman Sri Muda pecah, tiada limpahan ke kediaman penduduk

SHAH ALAM, 2 MAC: Sebuah ban berhampiran pintu kunci air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pecah dipercayai akibat hujan lebat di kawasan tersebut petang tadi.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian daripada penduduk pada 8.15 malam sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam tiba di lokasi 14 minit kemudian.

“Keadaan di lokasi terkawal. Kerja pembaikan sedang dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya dalam kenyataan.

Jabatan Pengairan dan Saliran menghantar jengkaut untuk membaiki ban pecah berhampiran pintu kunci air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 pada 2 Mac 2022. Foto ihsan Sinar Harian

Norazam berkata pihaknya turut menggerakkan lima bot ke lokasi kejadian sebagai langkah berjaga-jaga.

“Bomba akan terus berada di lokasi sehingga air pasang pada 12 tengah malam ini untuk memantau paras air. Setakat ini tiada limpahan air ke kawasan kediaman penduduk,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cerucuk lembaran keluli stabilkan ban pecah di Bukit Changgang

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Kerja pembaikan ban pecah di Sungai Langat di kawasan Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Bukit Changgang dan Kampung Labohan Dagang, Kuala Langat melibatkan penggunaan cerucuk lembaran keluli serta tanah bagi mengukuh dan menstabilkan ban sedia ada.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan memaklumkan selain itu batang kelapa sawit juga digunakan dalam pembaikan ban pecah bertujuan untuk mengukuhkan laluan jentera berat di kawasan pembinaan terbabit.

Menurut kenyataan itu, batang kelapa sawit juga digunakan sebagai halangan sementara bagi mengurangkan limpahan air sungai sebelum kerja pembaikan ban dilaksanakan.

“Pada masa ini, JPS Selangor sedang memfokuskan kepada kerja pembinaan saluran keluar air banjir menggunakan pam skru ke Sungai Langat. Kerja ini dijangka siap dalam tempoh tiga hingga lima hari, bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka dilanda banjir diminta sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa dan sebarang maklumat serta amaran semasa boleh didapati di laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia – Dept. of Irrigation and Drainage dan Twitter @DID_Malaysia.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada laporan media berhubung kejadian ban pecah di Kampung RTB Bukit Changgang yang menimbulkan kebimbangan kepada penduduk sekiranya berlaku banjir sekali lagi.

Menurut laporan media itu penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan meletakkan batang kelapa sawit dan bongkah batu bagi menghalang kemasukan air Sungai Langat ke kawasan kampung.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB lawat mangsa banjir di pusat pemindahan Kuala Selangor

SHAH ALAM, 22 DIS: Dato’ Menteri Besar melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Kuala Selangor hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 681 individu ditempatkan di PPS berkenaan yang terkesan akibat limpahan air susulan ban pecah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, Kuala Selangor pada 22 Disember 2021. Foto Facebook Amirudin Shari

“Kontraktor sedang membina semula ban dan proses pengepaman air giat dilaksana ketika ini,” tulisnya di Twitter.

Sebelum ini tular beberapa video di media sosial menunjukkan beberapa ban termasuk di Kampung Asahan, Bestari Jaya pecah akibat tekanan air banjir di daerah itu.