Categories
AGENDA NASIONAL

Dua ban pecah di Kuala Langat siap dibaik pulih petang ini

SHAH ALAM, 3 JAN: Kerja pembaikan dan pengukuhan ban di Kampung Labohan Dagang serta Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat siap sepenuhnya petang ini.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan empat jentera digerakkan ke setiap lokasi bagi kerja pembaikan selepas menerima laporan kejadian jam 10 pagi, lapor Berita Harian.

Menurut jabatan itu hakisan ban berukuran antara tiga ke empat meter lebar berlaku susulan hujan berterusan dan air pasang besar melanda daerah Kuala Langat semalam.

“JPS segera melakukan kerja pembaikan dan pengukuhan ban sungai berkenaan. Sehingga kini limpahan air sungai di kawasan jajaran Sungai Langat adalah terkawal.

“Kerja pembaikan ban di Kampung Labohan Dagang siap sepenuhnya manakala di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang dijangka siap dibaiki petang ini,” kata JPS.

JPS bagaimanapun meminta penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

“Sila dapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia –Dept. of Irrigation and Drainage dan twitter @DID_Malaysia,” jelas kenyataan itu.

JPS semalam memaklumkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama empat hari bermula semalam sehingga Rabu.

Antara kawasan yang berisiko tinggi adalah Kuala Muda, Kedah, Bagan Datuk, Perak, Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor serta Batu Pahat dan Pontian, Johor.