Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020 tamat, 32.3 juta penduduk Malaysia dibanci

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Banci Malaysia 2020 yang berakhir semalam mencapai tahap membanggakan apabila 32.3 juta penduduk Malaysia atau 99.2 peratus daripada 32.6 juta jumlah anggaran penduduk dibanci meskipun dilaksanakan ketika pandemik Covid-19.

Pesuruhjaya Banci 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sebanyak 9.5 juta tempat kediaman dan 8.1 juta isi rumah telah berjaya dibanci dalam tempoh Julai 2020 sehingga semalam.

Susulan penularan Covid-19, katanya pelaksanaan banci bersemuka telah beberapa kali ditangguhkan dan seramai 330 pegawai banci pula telah dijangkiti dan seorang daripadanya meninggal dunia.

“Operasi Banci 2020 akhirnya ditutup selepas 482 hari dilaksanakan di negara ini dengan kos sebanyak RM400 juta,” katanya dalam sidang media penutupan operasi Banci 2020 di sini, hari ini.

Banci Malaysia 2020 dilancarkan pada Julai 2020 melalui beberapa fasa penjadualan dan penyesuaian semula tempoh operasi apabila banci bersemuka tidak dapat dijalankan berikutan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Mohd Uzir berkata pelaksanaan Banci 2020 dilaksanakan menggunakan lima kaedah iaitu e-Census; Computer Assisted Telephone Interview (CATI); Computer Assisted Personal Interview (CAPI); Paper dan Pen Interview (PAPI) dan Drop Off Pick Up (DOPU).

Daripada 32.3 juta penduduk Malaysia yang telah dibanci, seramai 23.6 peratus penduduk dibanci secara dalam talian melalui e-Census dan CATI manakala selebihnya bersemuka, katanya.

“Banci secara dalam talian mencatatkan peningkatan 24 peratus berbanding hanya 0.5 peratus ketika pelaksanaan banci sebelum ini. Ia mungkin kerana ramai berada di rumah ketika pandemik,” katanya.

Berkongsi beberapa dapatan awalan operasi Banci Malaysia 2020, Mohd Uzir berkata purata kadar pertumbuhan tahunan penduduk Malaysia adalah 1.6 peratus manakala purata saiz isi rumah mencatatkan 4.0 pada 2020.

Menurutnya, purata penduduk Malaysia pula merangkumi 91.6 peratus warganegara iaitu Bumiputera (69.7 peratus), Cina (22.9 peratus), India (6.6 peratus) serta lain-lain (0.8 peratus) manakala 8.4 peratus lagi adalah bukan warganegara.

“Nisbah jantina menunjukkan 106 orang lelaki bagi setiap 100 wanita di Malaysia,” katanya.

Dapatan daripada bancian 32.3 juta penduduk Malaysia itu menunjukkan 25.6 peratus adalah dalam kalangan umur (0-14 tahun), 69.1 peratus penduduk umur bekerja (15-64 tahun) dan 5.3 peratus berumur 65 tahun ke atas.

“Penduduk paling tua yang direkodkan dalam Banci 2020 serta selari dengan data Jabatan Pendaftaran Negara ialah 120 bagi lelaki dan 117 bagi wanita,” katanya.

Mohd Uzir berkata laporan penemuan awalan Banci Malaysia 2020 dijangka dapat dikeluarkan pada Januari tahun depan.

“Terdapat lebih 1,000 laporan Banci 2020 akan dikeluarkan di pelbagai peringkat dan semua pihak boleh menggunakan data tersebut,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perangkaan: 28.1 juta penduduk Malaysia sudah dibanci

PUTRAJAYA, 30 SEPT: Seramai 28.1 juta atau 85.8 peratus daripada 32.6 juta penduduk Malaysia sudah dibanci menerusi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020), kata Pesuruhjaya Banci 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mohd Uzir yang juga Ketua Perangkawan berkata berdasarkan data banci tersebut, penduduk Malaysia merangkumi 95.2 peratus atau 26.6 juta adalah warganegara manakala 4.8 peratus atau 1.4 juta bukan warganegara.

Beliau berkata beberapa negeri dan wilayah iaitu Kelantan, Johor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya sudah hampir selesai dibanci dan sedang dalam proses pengabsahan dan mengesahkan maklumat yang diterima.

Dalam sidang media Status Banci Malaysia secara dalam talian hari ini, Mohd Uzir berkata negeri tertinggi yang telah dibanci ialah Johor sebanyak 104.9 peratus.

Lain-lain adalah Putrajaya (101.3 peratus), Negeri Sembilan (100.4 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (99.2 peratus), Perlis (95 peratus) dan Kelantan sebanyak 93.8 peratus.

Perak (93.2 peratus), Pulau Pinang (92.8 peratus), Selangor (91.2 peratus), Melaka (88.2 peratus), Terengganu (88.1 peratus), Kedah (84.3 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (78.6 peratus), Pahang (69.3 peratus), Sarawak (66.6 peratus) dan Sabah (55.9 peratus).

“Bagi negeri yang melebihi 100 peratus, antara faktornya ialah apabila dibuat pembancian, angka yang kita dapat melebihi anggaran dan ada kemungkinan juga semasa bancian dilakukan terdapat migrasi atau pergerakan penduduk dari satu kawasan ke kawasan yang lain,” katanya.

Mohd Uzir berkata negeri yang tidak mencapai peratusan yang tinggi bukan disebabkan tidak mendapat kerjasama penduduk tetapi disebabkan kekangan pandemik Covid-19 dan bencana alam.

“Peratusan yang rendah di Pahang disebabkan bencana banjir yang berlaku di negeri itu. Di Sabah dan Sarawak pula kita terpaksa memperlahankan kerja pembancian buat sementara waktu kerana peningkatan kes Covid-19 pada ketika itu.

“Kita sudah dapatkan kerjasama dengan kerajaan negeri serta pegawai daerah untuk meningkatkan operasi pembancian yang kini tempohnya hanya tinggal sebulan iaitu berakhir pada 31 Oktober ini,” katanya.

Mohd Uzir berkata pihaknya yakin baki 4.6 juta yang masih belum dibanci dapat diselesaikan mengikut tarikh yang ditetapkan iaitu sebelum 31 Oktober ini.

“Tempoh masa operasi Banci 2020 adalah lebih panjang iaitu melebihi setahun berbanding banci terdahulu yang hanya mengambil masa tiga hingga empat minggu.

“Tempoh masa yang lebih panjang ini memberi peluang kepada Jabatan Perangkaan Malaysia untuk membuat semakan data yang lebih terperinci serta membuat lawatan semula ke tempat kediaman atau kawasan yang telah dibanci sekiranya perlu,” katanya.

Berdasarkan data yang telah dibanci, Mohd Uzir berkata nisbah jantina di Malaysia adalah 104 orang lelaki bagi setiap 100 orang perempuan, yang menunjukkan penduduk lelaki mencatatkan 51.3 peratus, lebih tinggi berbanding peratusan penduduk perempuan iaitu 48.7 peratus.

Daripada 28.1 juta penduduk yang telah dibanci, 25.4 peratus adalah dalam kalangan umur muda iaitu 0 hingga 14 tahun, 69.3 peratus penduduk umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan 5.4 peratus dalam kalangan penduduk berumur 65 tahun dan ke atas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya 50 peratus dibanci, rakyat dimohon beri kerjasama

KUANTAN, 27 APRIL: Jabatan Perangkaan Malaysia memohon kerjasama semua pihak untuk membantu usaha kerajaan dalam melengkapkan Banci Malaysia 2020 yang dijangka berakhir 64 hari lagi.

Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi) Datin Seri Rozita Talha berkata setakat ini hanya sebanyak 16.6 juta atau 50.9 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk negara ini yang berjaya dibanci.

“Terdapat hampir separuh penduduk yang masih belum dibanci dan dengan itu saya memohon rakyat memberikan kerjasama mengisi borang e-Census atau melayan pembanci kami dengan memberikan maklumat tepat.

“Tempoh Banci 2020 sudah hampir tamat dan kita perlu melengkapkannya dengan sempurna. Proses bancian yang sepatutnya selesai Julai tahun lalu telah tertangguh disebabkan pandemik Covid-19.

“Kita mengambil berat soal ini kerana data yang dikumpul ini bakal digunakan untuk perancangan setiap tempat, daerah dan negeri dan penggubalan dasar,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Program Turun Padang Banci Malaysia 2020 bersama Pembanci Kuantan di Perumahan Indera Mahkota 21 di sini hari ini.

Program turun padang itu diadakan bagi memantau pelaksanaan operasi Banci Malaysia 2020 secara bersemuka di lapangan dan membuat publisiti terhadap pelaksanaan banci secara bersemuka.

Rozita yang juga Timbalan Pesuruhjaya Banci 2020 berkata sehingga kini seramai 10,000 tenaga pembanci digerakkan di seluruh negara untuk melengkapkan proses bancian yang diadakan setiap 10 tahun sekali ini.

“Banci secara bersemuka ini telah dijalankan secara bersasar di kawasan terpilih sejak tamat PKP 2.0 dan diteruskan sehingga Jun 2021 termasuk semua tempat kediaman di Pahang.

“Di Pahang, jumlah tempat kediaman yang selesai dibanci melebihi 51.9 peratus daripada anggaran 444,000 tempat kediaman yang mewakili seramai 664,400 orang daripada 1.7 juta penduduk negeri ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 14 juta penduduk dibanci, jangka selesai akhir Jun

SEREMBAN, 9 APRIL: Seramai 14.3 juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia telah dibanci menerusi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) setakat hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pihaknya menjangkakan dapat menyelesaikan bancian yang dijalankan di seluruh negara itu pada akhir Jun ini.

“Ingin saya tekankan bahawa bancian ini bukan bergantung bagaimana ia dapat diselesaikan tetapi ketepatan maklumat diberikan oleh orang ramai menerusi sistem banci ini.

“Kita mahu dapatkan maklumat profil penduduk berkaitan ekonomi dan sosial bagi perancangan masa depan negara,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan Banci 2020 di Kampung Baru Rasah di sini hari ini.

Menurutnya, menerusi dapatan bancian itu ia memudahkan pelbagai pihak mengenal pasti kemudahan diperlukan, perkhidmatan dan peluang pekerjaan kepada rakyat di sesuatu kawasan.

Justeru, beliau berharap rakyat tanpa mengira kaum dan status pendapatan bekerjasama dengan memberi maklumat bancian yang dijalankan setiap 10 tahun itu dengan tepat agar dapat dimanfaatkan pada masa akan datang.

Katanya, negeri yang merekodkan bancian tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu sebanyak 99 peratus diikuti Johor dan Perak menghampiri 60 peratus manakala bancian terendah ialah Sabah (21 peratus) dan Sarawak (30 peratus).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

11.8 juta rakyat Malaysia dibanci setakat 16 Mac – ketua perangkawan

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Seramai 11.8 juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia iaitu 36.1 peratus telah dibanci menerusi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) setakat hari ini.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Banci 2020 kini dijalankan serentak secara dalam talian atau e-Census dan bersemuka di seluruh negara.

“Orang ramai boleh memanfaatkan kedua-dua kaedah ini sekarang. Bancian secara bersemuka telah dimulakan pada awal bulan Mac dan akan dijalankan sehingga akhir bulan Jun ini,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Banci Dalam Talian Atau Bersemuka, Anda Tentukan’ di sini malam ini.

Wilayah Persekutuan Putrajaya merupakan negeri yang merekodkan bancian tertinggi iaitu 96.5 peratus diikuti Johor (53.7 peratus), Perak (51.5), Perlis (49.8) dan Melaka (44.4).

“Negeri lain ialah Kelantan (43.9 peratus), Pulau Pinang (42.6), Negeri Sembilan (42), Terengganu (41.8), Selangor (34.6), Kedah (33.5) dan Kuala Lumpur (32.8),” katanya.

Mohd Uzir, yang juga Pesuruhjaya Banci 2020, mendedahkan empat negeri yang mencatat bancian terendah susulan kekangan pada peringkat awal ialah Sabah (14.6 peratus), Labuan (20.5), Sarawak (22) dan Pahang (26.6).

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjangkakan semua negeri akan mencapai 100 peratus rekod bancian yang dijalankan setiap 10 tahun itu pada Jun ini.

Seramai 6,500 pembanci yang berpengalaman dan berkemahiran telah digerakkan ke seluruh negara bagi melaksanakan Banci 2020 secara bersemuka.

Setiap pembanci dibekalkan Kad Pengenalan Diri Pembanci dan akan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020 fasa kedua di lapangan mulai 20 Jan – 6 Feb

PUTRAJAYA, 7 JAN: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) fasa kedua akan dilaksanakan secara temu ramah bersemuka mulai 20 Jan sehingga 6 Feb depan.

Pesuruhjaya Banci 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ia akan dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Operasi Pembancian di Lapangan Banci 2020 yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, Banci 2020 fasa kedua itu juga akan mengambil kira kawasan yang terjejas berikutan bencana banjir dengan penyesuaian operasi pembancian akan dilaksanakan bagi memastikan semua penduduk Malaysia dibanci.

Prapelaksanaan fasa kedua Banci 2020 itu melibatkan aktiviti semakan di lapangan dan penyenaraian tempat kediaman di kawasan terpilih termasuk urusan logistik telah pun dimulakan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Pegawai banci yang berada di lapangan akan juga membantu orang ramai untuk melengkapkan pengisian e-Census dan menyelesaikan bancian kawasan berkenaan,” katanya menambah pelaksanaan fasa kedua itu melibatkan 43,000 pegawai banci yang akan dilantik di seluruh negara.

Permohonan bagi pengisian jawatan sebagai pegawai banci masih dibuka dan orang awam yang berkelayakan dipelawa untuk mengisi jawatan tersebut dengan merujuk kepada Jabatan Perangkaan Negeri berdekatan, katanya.

“Sokongan dan kerjasama daripada semua penduduk kepada pegawai banci amat diharapkan bagi menjayakan Banci 2020 dalam memastikan tiada yang ketinggalan demi masa depan negara dan kemakmuran bersama,” katanya.

Banci 2020 bermula sejak 7 Julai 2020 dengan pendekatan banci dalam talian (e-Census) dan kaedah Temu Ramah Melalui Telefon atau (Computer Assisted Telephone Interview-CATI).

Berdasarkan respons, Mohd Uzir berkata seramai 8.5 juta atau 26.1 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia telah direkodkan dalam Banci 2020 fasa pertama.

Beliau berkata terdapat 320,000 isi rumah yang melibatkan 1.2 juta penduduk telah mendaftar di platform e-Census, namun masih belum melengkapkan pengisiannya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020 secara bersemuka di Sabah ditangguh

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Jabatan Perangkaan menangguhkan pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) fasa kedua secara bersemuka di seluruh negeri Sabah dan penyesuaian semula bagi pelaksanaannya akan dimaklumkan kemudian.

Pesuruhjaya Banci 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata keputusan itu diambil berikutan pelaksanaan kawalan rentas daerah di negeri tersebut bermula 3 hingga 16 Okt ini.

“Berdasarkan status terkini itu juga, penyelia dan pembanci yang dilantik di Sabah tidak perlu hadir bertugas sepanjang tempoh pelaksanaan kawalan rentas daerah di seluruh Sabah manakala latihan bagi pembanci di Sabah yang dijadualkan bermula dari 1 hingga 5 Okt turut dihentikan berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Bagaimanapun, Mohd Uzir yang juga Ketua Perangkawan, berkata pelaksanaan Banci 2020 di negeri-negeri lain diteruskan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) iaitu Operasi Pembancian di Lapangan Banci 2020 dan tertakluk kepada pemakluman dari semasa ke semasa.

Banci 2020 fasa kedua iaitu pengumpulan data secara bersemuka akan dilaksanakan dari 7 hingga 24 Okt ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan pelaksanaan kawalan rentas daerah di seluruh Sabah mulai 12.01 tengah malam 3 Okt hingga 16 Okt.

Menurut beliau, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini, kekal berkuat kuasa seperti biasa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hanya 1.8 juta rakyat isi banci e-Census, bawah sasaran 30 peratus

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Hanya 1.8 juta rakyat Malaysia mengisi Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) secara dalam talian atau e-Census sejak dilaksanakan pada 7 Julai lepas, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mohd Uzir berkata jumlah itu adalah rendah iaitu masih di bawah sasaran 30 peratus atau kira-kira 9 juta daripada keseluruhan 32.7 juta penduduk Malaysia.

Bagaimanapun beliau berharap jumlah itu akan terus meningkat walaupun mengakui sukar untuk mencapai sasaran awal.

“… Jadi (e-Census) kemungkinan rendah daripada yang disasarkan dan benda ini juga dijangkakan. Sebab banci ini adalah proses yang sinonim bahawa orang akan melawat ke rumah, jadi kalau menyatakan ia perlu diisi secara dalam talian, perkara itu agak tidak biasa.

“(Tetapi) semalam kami dapat peningkatan lebih 100,000 (bancian). Di peringkat akhir ini memang orang Malaysia akan buat dan kami jangka ia akan meningkat walaupun mungkin sasaran 30 peratus itu sukar dicapai,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Temu Bual Radio anjuran Bernama Radio yang bertajuk ‘Banci dan Kesihatan’.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 berkata daripada jumlah banci yang diterima setakat ini, di beberapa negeri menunjukkan peningkatan iaitu Putrajaya lebih 40 peratus manakala Perak melebihi 10 peratus dan Johor kira-kira 8 peratus.

Bagaimanapun, negeri di pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu masih lagi rendah kira-kira dua peratus.

Fasa pertama Banci 2020 atau e-Census kini dijalankan secara dalam talian dari 7 hingga 30 September, diikuti fasa kedua yang akan dijalankan secara bersemuka oleh pembanci dari 7 hingga 24 Oktober.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata setiap pembanci akan melawat 100 rumah sepanjang tempoh bancian fasa kedua dengan purata kira-kira lapan rumah sehari.

“Dalam sistem kami boleh lihat rumah mana yang telah menghantar e-Census tidak akan dilawati, sebab sudah ada dalam sistem. Jadi kami akan pergi ke rumah yang belum dibanci.

“Jadi kami menyeru kepada rakyat Malaysia yang masih berpeluang untuk melaksanakan e-Census ini untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing supaya tidak perlu menunggu pembanci untuk datang ke rumah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Banci 2020: MPK sasar lebih 1 juta penduduk

KLANG, 17 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyasar 1.04 juta penduduk daerah itu dibanci dalam dua fasa Banci 2020.

Yang Dipertua Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata bancian melibatkan 14 kawasan penguasa daerah, tiga daerah pentadbiran, 177 lingkungan banci (LB) dan 1,229 blok penghitungan (BP).

“Sambutan pada peringkat awal masih kurang memuaskan, namun kita akan terus menggiatkan promosi di semua platform untuk memastikan proses (bancian) berjalan lancar,” katanya selepas merasmikan program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia hari ini.

Beliau menjelaskan pengumpulan data fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September menggunakan kaedah dalam talian (e-Census) manakala secara bersemuka pada 7 hingga 24 Oktober depan.

Terdahulu, MPK memperkenal 14 penguasa daerah terdiri daripada pengarah dan pegawai serta 14 ‘MyCensus District’ (MyCD) daripada Jabatan Perangkaan.

Fadzli berkata inisiatif yang dilaksana setiap 10 tahun itu penting dalam memberi gambaran sebenar kependudukan semasa rakyat negara ini, khususnya di Klang.

“Justeru, kita berharap proses bancian dapat dijalankan dengan mudah walaupun negara masih menjalani fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Pada masa sama, kita mahu Jabatan Perangkaan mengeluarkan satu tatacara operasi piawai (SOP) selain menyediakan peralatan keselamatan seperti cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada penyelia serta pembanci yang bertugas.”

Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020: Penyertaan rendah, masyarakat diseru daftar dalam talian

SHAH ALAM, 15 SEPT: Orang ramai diseru mengambil bahagian dalam Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) melalui e-Census yang berakhir hujung bulan ini.

Menteri kanan (keselamatan) berkata kaedah pendaftaran dalam talian dibuat bagi mengurangkan interaksi banci secara bersemuka mulai 7 Oktober ini.

“Sehingga kini, hanya 1.5 juta rakyat selesai mengisi e-Census dan masih di bawah sasaran kerana Malaysia mempunyai kira-kira 32.7 juta penduduk,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan operasi banci di kediaman dan institusi dibuat mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat antaranya petugas wajib mengguna pelitup muka dan cecair pembasmi kuman, mengamal penjarakan fizikal dan mematuhi etika pembancian.

Ismail Sabri turut menjelaskan temu ramah secara bersemuka tidak dibenarkan bagi kawasan yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Banci 2020 dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia melalui dua fasa iaitu e-Census pada 7 Julai hingga 30 September manakala secara bersemuka pada 7 hingga 24 Oktober.

Pautan e-Census boleh dicapai melalui laman sesawang www.mycensus.gov.my.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah penduduk Malaysia isi e-Census masih di bawah sasaran

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Jumlah penduduk Malaysia yang mengisi maklumat Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian, atau “e-Census” masih di bawah sasaran.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kurang daripada 10,000 isi rumah mengisi e-Census setiap hari berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 37,000 isi rumah.

“Sasaran masih jauh, sehari secara purata kita sasarkan 37,000 isi rumah tetapi sekarang sehari hanya 8,000 hingga 10,000 yang mengisi secara e-Census…kita akan cuba tingkatkan (bilangan mengisi e-Census),” katanya kepada Bernama, di sini semalam ketika ditanya mengenai perkembangan Banci 2020.

Setakat ini hampir 500,000 penduduk Malaysia telah mula melaksanakan tanggungjawab dengan mengisi maklumat Banci 2020 sejak 7 Julai lepas, katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 berkata pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan mendadak individu mengisi e-Census pada Ogos ini susulan pihaknya giat melakukan pelbagai promosi.

“Kita pun telah bergerak dengan fokus kepada agensi-agensi kerajaan dan beberapa negeri juga telah kita turun padang untuk promosi e-Census,” kata Mohd Uzir.

Projek bancian yang memasuki edisi keenam kini melibatkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta kediaman, dijalankan dalam dua fasa, dengan fasa pertama bermula dari 7 Julai hingga 30 September ini dilaksanakan menerusi e-Census, manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Okt menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir setengah juta penduduk Malaysia guna e-Census

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Hampir 500,000 penduduk Malaysia telah mula melaksanakan tanggungjawab dengan mengisi maklumat Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian, atau ‘e-Census’, sejak 7 Julai lepas.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin bagaimanapun berkata jumlah itu masih di bawah sasaran, selaras dengan bilangan penduduk Malaysia yang direkodkan kini berjumlah kira-kira 32 juta orang.

Beliau berkata sehubungan itu pihaknya sedang mempergiatkan promosi untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pelaksanaan Banci 2020.

“Macam hari ini kita buat program dengan Cuepacs (Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam) sebagai promosi kepada penjawat awam,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs dan Promosi Pelaksanaan Banci di sini hari ini.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 turut meminta kira-kira 1.62 juta penjawat awam untuk menghebahkan mengenai ‘e-Census’ itu kepada ahli keluarga dan orang sekeliling mereka.

“Sekiranya bilangan yang mengisi e-Census mampu mencecah 20 juta, pelaksanaan banci secara rumah ke rumah akan menjadi lebih mudah Oktober nanti kerana berbaki lebih 10 juta sahaja,” katanya dan menambah beliau berharap lebih ramai menggunakan bancian secara e-Census.

Projek bancian yang memasuki edisi keenam kini melibatkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta kediaman, dijalankan dalam dua fasa, dengan fasa pertama bermula dari 7 Julai hingga 30 September ini dilaksanakan menerusi e-Census, manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Oktober menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.

– BERNAMA