Categories
AGENDA NASIONAL

Banci: Penduduk Malaysia cecah 32.4 juta, bilangan lelaki lebihi wanita sebanyak 4.6 peratus

SHAH ALAM, 14 FEB: Penduduk di Malaysia berjumlah 32.4 juta mengikut penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata purata Kadar Pertumbuhan Tahunan dikompaun (CAGR) penduduk adalah 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Menurutnya daripada jumlah itu, 29.8 juta atau 91.7 peratus adalah warganegara manakala 2.7 juta atau 8.3 peratus bukan warganegara.

Perdana menteri berkata banci juga mendapati 52.3 peratus ialah lelaki manakala 47.7 peratus perempuan dengan nisbah jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita.

“Penemuan banci juga menunjukkan negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 100 wanita bersamaan 96 lelaki,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata bagi statistik mengikut etnik, penduduk bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 69.4 peratus diikuti Cina (23.2 peratus), India (6.7 peratus) dan lain-lain (0.7 peratus).

Dari segi kumpulan umur pula, beliau berkata dapatan menunjukkan 6.8 peratus adalah berumur 65 tahun dan ke atas, 69.3 peratus ialah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan bakinya 24 peratus dalam kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun).

“Warga emas iaitu penduduk yang berumur 60 tahun ke atas telah direkodkan sebanyak 10.4 peratus (3.4 juta) berbanding 2010 sebanyak lapan peratus (2.2 juta).

“Umur muda telah menunjukkan penurunan daripada 27.6 peratus pada 2010 kepada 24 peratus pada 2020,” katanya.

Perdana Menteri berkata dari segi tempat kediaman pula, sebanyak 9.6 juta telah dibanci serta terdapat 8.2 juta Isi Rumah (IR) dengan Purata Saiz IR persendirian adalah sebanyak 3.8.

Beliau berkata penemuan Banci 2020 itu akan dijadikan tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan polisi dan dasar berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat, di samping dapat memberikan input menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs).

Katanya dalam menghasilkan statistik kependudukan dan demografi melalui pelaksanaan Banci 2020 itu, kerjasama strategik antara Jabatan Perangkaan Malaysia dengan kementerian, agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak swasta serta masyarakat umum telah terjalin erat bagi menjamin integriti data yang diterbitkan.

Ismail Sabri turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan banci berkenaan bagi mendapatkan hasil bermanfaat kepada negara dan rakyat, bukan sahaja untuk generasi masa kini tetapi generasi akan datang.

Beliau juga menyeru rakyat negara ini untuk terus membudayakan data dan maklumat dalam pengurusan kehidupan supaya negara dapat membentuk tamadun bangsa yang berfikiran kritis dan analitik berpaksikan data.

“Statistik dan data ini amat berkait rapat dengan pola berfikir dan seterusnya diolah kepada keputusan dan keberhasilan.

“Natijahnya, negara bakal melahirkan rakyat yang berminda kelas pertama selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia ke arah mencapai negara maju pada 2030,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020: 4.5 juta guna e-Census, wakili 13.4 peratus penduduk

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian atau ‘e-Census’ yang dilaksanakan sejak 7 Julai hingga 26 Oktober lepas merekodkan sekitar 4.5 juta penduduk atau 13.4 peratus daripada 32.7 juta rakyat Malaysia yang dibanci.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata antara negeri yang merekodkan bancian tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya, Perak dan Selangor manakala Sabah serta negeri di Pantai Timur masih berada di jajaran bawah daripada 10 peratus.

“Penerimaan (banci) pada hari ini lebih kurang 50,000 tetapi unjuran kita adalah sekitar 80,000 hingga 90,000 penerimaan harian supaya kita boleh capai 40 hingga 50 peratus penerimaan e-Census ini,” katanya ketika ditemu bual dalam program Ruang Bicara Bernama TV bertajuk Banci 2020: Norma Baharu malam tadi.

Beliau berkata antara kekangan pelaksanaan e-Census yang disuarakan masyarakat ialah penerimaan kod pengisian dan soalan yang dianggap tidak relevan bagi sesetengah pihak.

“Macam isu kesukaran mendapatkan kod pengisian, apa yang kita lakukan di Jabatan Perangkaan ialah kita telah senaraikan seluruh tempat kediaman di Malaysia iaitu sembilan juta tetapi apabila sistem menerima maklumat dari segi alamat yang diisi, proses padanan itu mengambil masa sehingga tiga hari kerana apa yang ada dalam sistem dan apa yang diisi orang ramai adalah berbeza.

“Jadi apa yang kita lakukan ialah anggota di lapangan atau di negeri akan bantu orang ramai dengan adakan klinik e-Census bersama komuniti Rukun Tetangga dengan bergerak secara menyeluruh sebelum ini tetapi kini kita bergerak hanya di zon hijau melihat kepada penularan kes Covid-19,” katanya.

Mohd Uzir juga berkata soalan yang dikemukakan dalam Banci 2020 bukanlah daripada Jabatan Perangkaan Malaysia sebaliknya adalah daripada pelbagai kementerian, agensi dan pihak swasta yang memerlukan maklumat untuk pelaksanaan dasar awam serta perancangan pembangunan negara.

“Jika dibandingkan pada tahun 2010, soalan hanya 50 sahaja (namun) kali ini, sebanyak 108 soalan, soalan banci ini bukan untuk orang tertentu tetapi ia adalah menyeluruh untuk 32.7 juta rakyat Malaysia, mungkin ada soalan yang tidak relevan untuk sesetengah penduduk di bandar, misalnya mengenai kemudahan elektrik, air, pengangkutan dan sebagainya.

“Tetapi untuk penduduk di luar bandar, ia mungkin bermakna kerana dari situlah kerajaan dapat tambah baik dan tahu ke mana peruntukan kerajaan dapat disalurkan… mungkin ini perlu diterangkan dan dikemukakan di media sosial,” katanya.

Mengulas fasa kedua banci yang dijadualkan semula pada 20 Januari depan berikutan penularan Covid-19, Mohd Uzir berkata ia akan dilaksanakan selepas mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Fasa kedua, iaitu secara bersemuka, sebelum ini dirancang pada 7 hingga 24 Oktober tetapi telah dijadual semula… kita harap jika tiada halangan, kita akan bergerak pada 20 Januari depan tetapi pada masa sama, apa juga keputusan dan apa yang perlu dilaksanakan, penekanan kita lebih kepada aspek keselamatan dalam suasana norma baharu termasuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020: Dua fasa disebabkan pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Jabatan Perangkaan melancarkan Hari Banci Malaysia yang bertemakan ‘6 Dekad Banci Membina Negara’ pada Selasa ini, 7 Julai di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan berikutan pandemik Covid-19, pelaksanaan banci 2020 yang melibatkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta tempat kediaman dijalankan secara dua fasa.

“Fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 September secara dalam talian (e-Census), manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Oktober menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.

“Objektif pelaksanaan banci adalah untuk mengumpul stok dan profil penduduk serta perumahan yang komprehensif dan terperinci sehingga ke peringkat geografi terkecil. Data banci akan menjadi sumber utama dan penting dalam penyediaan rancangan pembangunan negara,” menurut kenyataan itu.

Banci 2020 adalah yang keenam dilaksanakan sejak penubuhan Malaysia dan banci dilaksanakan setiap 10 tahun sekali.

Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan pada hari berkenaan termasuk sesi Media Cakna Banci bersama Pesuruhjaya Banci 2020, seminar MyCensus 2020: Statistik Kependudukan Memacu Kelestarian Malaysia dan webinar antarabangsa dengan tema ‘Counting Everyone for a Better Tomorrow’.

Selain itu, pameran daripada pelbagai agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta juga akan turut diadakan.

Menurut kenyataan itu, lagu ‘Banci Malaysia’ akan diperdengarkan ketika majlis tersebut sebagai simbolik bermulanya Banci 2020.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Banci 2020, orang ramai boleh mengakses portal banci iaitu www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Gerak ‘task force’ bancian kediaman kawasan rizab berisiko

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 13 APR: Kerajaan Negeri sedang menggerakkan satu pasukan bertindak atau ‘task force’ untuk menjalankan bancian terhadap kediaman penduduk di sekitar Gombak Setia, khususnya kawasan rizab berisiko tinggi.

Ahli Dewan Negerinya, Muhammad Hilman Idham berkata, pihaknya mahu memastikan setiap keluarga atau kediaman di kawasan terbabit berada dalam keadaan selamat dan sempurna bagi mengelakkan kejadian seperti ribut petir berulang.

Katanya, sebahagian besar penduduk yang menjadi mangsa kejadian itu menetap sama ada di rizab jalan, sungai atau hutan.

“Kita dalam peringkat membuat bancian untuk melihat dan menyenaraikan semua rumah serta keluarga yang tinggal dalam ketiga-tiga rizab ini selain melihat risiko yang mereka perlu hadapi.

“Anggaran mereka yang menetap di tanah rizab berisiko adalah sangat ramai di kawasan antara Batu 10 hingga 12 dan kebanyakan mereka tinggal di sana sudah lama, ada yang menetap lebih 40 tahun agak susah meminta mereka berpindah.

“Saya yakin dengan ketegasan dan komitmen Kerajaan Negeri khususnya dalam soal keselamatan serta kesejahteraan keluarga, mereka akan bersetuju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Penyerahan Sumbangan Ehsan dan Penyerahan Kunci Kediaman Baharu kepada mangsa bencana, di Masjid Zakaria, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Muhammad Hilman berkata, pihaknya berjaya menawarkan 13 rumah kepada mangsa terjejas dalam kejadian ribut itu dan yakin untuk turut menawarkan kediaman sama jika penduduk bersetuju berpindah.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang meneliti beberapa usaha pembangunan baharu di kawasan berkenaan termasuk untuk melebarkan jalan Gombak.

“Tawaran sama kepada kumpulan lain yang bersetuju untuk berpindah selain kita melihat pilihan lain dengan mengutamakan mereka memiliki rumah mampu milik seperti Rumah SelangorKu.

“Ada dalam kalangan mereka berada di usia muda masih berkemampuan membuat pinjaman perumahan, malahan ramai dalam kalangan mereka ini yang mahu kita utamakan supaya dapat beli rumah SelangorKu,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)