Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Status Subang Jaya jadi bandar raya mulai 20 Oktober

SHAH ALAM, 25 JUN: Status Subang Jaya daripada perbandaran kepada bandar raya berkuatkuasa mulai 20 Oktober depan apabila mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata pihak berkuasa tempatan itu menduduki taraf perbandaran selama 22 tahun sejak 1997.

“Syukur MPSJ mendapat perkenan Sultan Selangor dan tarikh pengisytiharan serta penguatkuasaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) adalah pada 20 Oktober 2020,” katanya ketika Mesyuarat Penuh MPSJ semalam.

Pada November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan MPSJ berjaya menukar status kepada MBSJ melalui surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 31 Oktober 2019.

Selain itu Kuala Langat turut dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Setakat ini Selangor mempunyai dua majlis bandar raya iaitu Shah Alam dan Petaling Jaya serta tujuh majlis perbandaran (Subang Jaya, Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang, Sepang dan Kuala Langat).

Majlis daerah pula Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

MPSJ sedia berstatus bandar raya, tunggu ‘lampu hijau’ Kabinet

SUBANG JAYA, 30 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dijangka berstatus bandar raya seawal tahun hadapan, kata Yang Dipertuanya, Noraini Roslan.

Katanya, permohonan menaik taraf status Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu sebagai bandar raya sudah diluluskan Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri kini sedang melalui beberapa proses sebelum ke peringkat Kabinet bagi mendapatkan kelulusan.

Norani Roslan dan Timbalan YDP MSPJ, Mohd Zulkurnain Che Ali memegang poster Semarak Seni Budaya MPSJ yang akan berlangsung dari 7 hingga 8 September ini. Foto SELANGORKINI

“Apabila sesebuah PBT dinaiktaraf, ia perlu mendapatkan persetujuan daripada Kabinet terlebih dahulu dan saya dimaklumkan mungkin September nanti akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan.

“Kita (MPSJ) juga sudah bersedia untuk dinaiktarafkan sebagai bandar raya sekiranya Kabinet bersedia memberi lampu hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil 8/2019 di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, semalam.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan bakal menaik taraf MPSJ kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya dalam masa terdekat ini.

Berdasarkan kriteria ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, MPSJ sudah memenuhi semua kriteria untuk dijadikan sebagai bandar raya.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ bersedia dinaik taraf bandar raya

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersedia dinaik taraf sebagai bandar raya, kata Yang Dipertuanya, Noraini Roslan.

Beliau bagaimanapun berkata, pada masa ini MPSJ hanya menunggu kelulusan daripada Kerajaan Negeri.

“Mengikut kriteria yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, MPSJ telah memenuhi semua kriteria terbabit.

“Bagaimanapun saya percaya Kerajaan Negeri mempunyai beberapa pertimbangan lagi kerana Subang Jaya menjadi bandar raya di Selangor jika diberikan penarafan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelancaran Program Bestari MPSJ 2019 di ruang legar Pusat Membeli Belah Summit USJ di sini, hari ini.

Katanya, antara persiapan dilakukan termasuk meningkatkan perkhidmatan MPSJ kepada lebih berkualiti.

Walaupun kemudahan infrastruktur MPSJ berada di tahap terbaik pada masa ini namun penambahbaikan sentiasa dijalankan.

Sementara itu pembangunan baharu membabitkan kemudahan sukan seperti stadium tertutup juga giat dijalankan termasuk stadium khas untuk golongan wanita.

“MPSJ juga memperbanyakkan lagi ruang perniagaan dan perindustrian seperti mana sepatutnya dimiliki sebuah bandar raya,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

MPSJ ke arah bandar raya

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Subang Jaya bersiap sedia ke arah bandar raya dengan mempunyai semua kriteria yang menuju kepada pembangunan itu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata kerjasama pihaknya dengan Daejeon East District City Council Korea Selatan adalah salah satu usaha meyakinkan untuk ke arah bandar raya.

hisham“Subang Jaya sudah memenuhi semua ciri ditetapkan untuk mencapai taraf bandar raya.

“Namun, keputusan itu kita serahkan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk menilai,” katanya ketika Majlis menandatangai MOF dari Daejeon East District City Council Korea Selatan di Laman Kenanga MPSJ, pada 17 Mei lalu.

Nor Hisham berkata, penilaian dibuat berdasar kemampuan sesebuah PBT memberi perkhidmatan kepada orang awam, jumlah penduduk, pendapatan tahunan dan saiz kawasannya.

“Kita berharap MPSJ berada di landasan yang betul kerana kita menetapkan dalam Pelan Strategik MPSJ untuk mencapai sasaran menjadi 30 PBT terbaik di dunia menjelang 2030.

“Dengan kerjasama semua pihak, kita yakin misi tersebut tidak mustahil untuk dicapai,”katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MPSJ bakal bergelar bandaraya

Oleh: LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 8 MEI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menghantar permohonan kepada Kerajaan Pusat bagi menaik taraf pihak berkuasa tempatan (PBT) itu ke majlis bandaraya.

Yang Di Pertua MPSJ, DAtuk Asmawi Kasbi, berkata pihaknya memenuhi kriteria yang diperlukan untuk bergelar sebuah bandar raya, terutama dengan penarafan lima bintang yang dinobatkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, MPSJ juga adalah satu-satunya PBT dalam daerah Petaling yang masih berstatus perbandaran berbanding Shah Alam dan Petaling yang sudah menjadi bandar raya.

05“Kita akan cuba buat permohonan secepat mungkin untuk dinaik taraf bergelar bandar raya, kita juga sudah lama bersedia untuk naik taraf ini.

“Kita juga ada asas kukuh untuk naik taraf kepada bandar raya. Namun, itu adalah keputusan daripada Kerajaan Pusat untuk dipertimbangkan, walau apa juga (keputusan) kita terima,” katanya dalam sidang media di Bangunan MPSJ, di sini, semalam.

Baru-baru ini, MPSJ diiktiraf sebagai PBT Gemilang dengan penarafan lima bintang oleh KPKT yang mengatasi lebih 100 PBT lain di seluruh Malaysia.

Selain MPSJ yang menerima markah tertinggi 90.3, turut diiktiraf sebagai PBT Gemilang adalah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan markah 90.19.

Sebelum ini, MPSJ juga pernah tersenarai antara lima PTB terbaik di Malaysia melalui Sistem Star Rating PBT (SSR-PBT) yang dijalankan KPKT bagi menilai mutu perkhidmatan setiap PBT.

SSR-PBT bermula pada tahun 2008 melalui 352 indikator penilaian yang dibangunkan berdasarkan empat bidang utama iaitu pengurusan, perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan komuniti dan pandangan penduduk (pembabitan komuniti dan pandangan penduduk – Borang Soal Selidik).

-NFN-