Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selvax bergerak di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang esok

SHAH ALAM, 25 SEPT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak akan berada di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang esok.

Program bagi memastikan tiada penduduk negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing.

Orang ramai yang berminat perlu membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan masukkan kod baucar yang betul.

Kod baucar KLANG26SEP perlu dimasukkan bagi Selvax Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang.

Hari ini, berlangsung Selvax bergerak di Dewan Komuniti Damansara Damai dan Kampung Chempaka Basketball Court, Bandar Utama.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September dari jam 9 pagi hingga 5 petang di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berperingkat.

Antara DUN terlibat ialah Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil, Subang Jaya dan Kampung Tunku.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.

 

Categories
SELANGOR

Selvax bergerak di Damansara Damai dan Bandar Utama esok

SHAH ALAM, 24 SEPT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak akan berada di Dewan Komuniti Damansara Damai dan Kampung Chempaka Basketball Court, Bandar Utama esok.

Program bagi memastikan tiada penduduk negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing.

Orang ramai yang berminat perlu membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan masukkan kod baucar yang betul.

Kod baucar DBL25SEP perlu dimasukkan bagi Selvax Dewan Komuniti Damansara Damai manakala DBU25SEP untuk Selvax Kampung Chempaka Basketball Court, Bandar Utama.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September dari jam 9 pagi hingga 5 petang di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) secara berperingkat.

Antara DUN terlibat ialah Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil, Subang Jaya dan Kampung Tunku.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bandar Utama mulakan vaksin bergerak, sasar 1,000 penduduk

PETALING JAYA, 4 SEPT: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama memulakan suntikan vaksin secara mobil di Kampung Sungai Kayu Ara hari ini.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata program selama dua hari menyasarkan seramai 1,000 penduduk, yang sebahagian besarnya merupakan warga asing.

“Program ini diadakan bermula jam 9 pagi hingga 4 petang dan peserta perlu hadir ke Sekolah Rendah Agama Kampung Sungai Kayu Ara untuk divaksin.

“Kita minta mereka yang telah didaftarkan hadir mengikut slot janji temu dan membawa dokumen pengenalan diri masing-masing serta membawa pen sendiri bagi mengurangkan sentuhan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan kit ujian air liur kepada lima wakil rakyat di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bandar Utama di sini semalam.

Sementara itu, Jamaliah berkata sebahagian besar penduduk Bandar Utama terutama warga tempatan sudah menerima suntikan pelalian Covid-19.

Pada 24 Ogos, EXCO kesihatan awam memaklumkan Selangor dijadual memulakan program pasukan vaksinasi bergerak ke kawasan tertentu mulai bulan ini.

Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan inisiatif itu bagi memastikan lebih ramai rakyat negeri ini menerima suntikan vaksin sekali gus mencapai imuniti kelompok.

 

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Bandar Utama sedia khidmat sanitasi rumah penduduk

SHAH ALAM, 12 JULAI: Lebih 100 lokasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama disanitasi sejak Januari lalu sebagai usaha mengekang penularan Covid-19, kata wakil rakyatnya.

Jamaliah Jamaluddin berkata operasi dijalankan melalui Unit Tindak Bandar Utama menumpukan kawalan kebersihan awam di kawasan kejiranan serta kediaman penduduk yang terdapat kes positif Covid-19.

“Kerja pembasmian dilakukan atas dasar kewajipan menjaga keselamatan selain memberi ketenangan emosi kepada penduduk terutamanya jika ada penghuni dalam rumah mereka dijangkiti wabak.

“Oleh itu, saya perlu terus bersama mereka dengan memberikan bantuan langkah pencegahan penularan wabak selain sokongan emosi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata kerja nyahkuman diteruskan dari semasa ke semasa sehingga situasi pandemik dalam negara pulih sepenuhnya.

Justeru, Jamaliah memaklumkan penduduk yang mahu mendapatkan perkhidmatan sanitasi boleh berhubung terus dengan penyelaras program John Leong menerusi emel [email protected].

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Bandar Utama beri sokongan moral, makanan buat pesakit kuarantin

SHAH ALAM, 24 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama sentiasa mengambil inisiatif menghulur bantuan dan sokongan buat penduduk yang dijangkiti Covid-19.

Dalam 24 jam selepas pengesahan status kesihatan selepas menjalani saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri, Jamaliah Jamaluddin menghubungi pesakit atas dasar prihatin dan tanggungjawab selaku wakil rakyat.

“Semasa perbualan, ada antara mereka menangis meluahkan rasa rindu kepada keluarga, ada yang takut kehilangan pendapatan selepas disahkan positif.

“Perasaan bingung, takut dan gelisah ini sesuatu yang tidak akan lari daripada mereka yang disahkan positif Covid-19. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul,” katanya.

Jamaliah kemudian bersama Team Bandar Utama melakukan kunjungan dari rumah ke rumah untuk menghulur bantuan.

Antara diberi ialah makanan asas, kit penilaian kuarantin di rumah yang mengandungi vitamin, oximeter iaitu pengukur kandungan oksigen dalam badan.

Tidak dilupakan untuk anak-anak mereka ialah permainan Monopoli dan alat tulis supaya mereka tidak bosan sepanjang tempoh kuarantin.

“Anak-anak ini emosinya harus dijaga kerana mereka kurang mengerti keperluan terkurung bagi menghadapi masalah global ini,” katanya lagi.

Walau tidak dapat bertentang mata dengan pesakit, Jamaliah berharap bantuan berkenaan dapat meringankan beban keluarga mereka.

Malah, beliau sentiasa bersama-sama penduduk, bukan sahaja untuk memberi bantuan makanan bahkan sokongan emosi dalam mendepani wabak.

Jamaliah juga meminta masyarakat membuang stigma buruk terhadap pesakit, sebaliknya memberi sokongan moral jika tidak dapat membantu dari segi kewangan.

“Orang ramai perlu tahu bahawa kesedaran untuk saling menyokong emosi dan memberikan rasa prihatin amat diperlukan dalam menghadapi Covid-19,” katanya

Categories
ADN SELANGOR

DUN Bandar Utama tawar saringan Covid-19 serendah RM50

SHAH ALAM, 21 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama menawarkan saringan menggunakan kit ujian pantas (RTK-Ag) serendah RM50 kepada penduduk kawasan itu.

Wakil rakyat Jamaliah Jamaluddin berkata tawaran dengan subsidi sebanyak RM20 diberikan kepada 500 individu terawal yang membuat prapendaftaran melalui WhatsApp #PKBU ke 017-2373005.

“Penduduk perlu membawa kad pengenalan dan bil utiliti. Kos RM70 untuk ujian sama turut ditawarkan kepada orang ramai termasuk mereka yang bukan penduduk Bandar Utama.

“Ujian itu akan diadakan pada Isnin hingga Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 5 petang di Lyfe Clinic di Jalan SS 20/27 Petaling Jaya,” katanya menerusi Facebook.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika hadir menjalankan ujian tersebut.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Projek kebun komuniti makin popular di Bandar Utama sejak PKP

PETALING JAYA, 14 APRIL: Projek kebun komuniti kian popular dalam kalangan penduduk sekitar Bandar Utama sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa tahun lalu.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata sebanyak 10 projek kebun dalam bandar dikenal pasti setakat ini, kebanyakan diusahakan penduduk warga emas.

“Menariknya, salah satu tempat yang saya lawati sebelum ini wakil di setiap kawasan perumahan menanam pokok bunga seolah-olah di Cameron Highland,” katanya.

Beliau yang ditemui di salah sebuah kebun komuniti di sini semalam turut menggalakkan persatuan penduduk atau Kelab Rukun Tetangga (KRT) membuat inisiatif sama.

Jamaliah berkata langkah itu bagi mengelakkan kawasan tanah lapang dipenuhi semak samun yang akhirnya menjadi tempat pembiakan nyamuk dan haiwan berbisa.

“Kita galak penduduk buat aktiviti ini kerana ia bukan sahaja mampu mewujudkan persekitaran ceria tetapi menyelesaikan isu pembiakan Aedes dan haiwan berbisa,” katanya lagi.

Beliau menambah pihaknya juga sedang menguruskan kerja pembersihan tanah terbiar sekitar Bandar Utama untuk dijadikan kebun komuniti.

Semalam, KRT SS25 di Taman Maya menerima peruntukan sebanyak RM51,000 atas komitmen mengubah tanah terbiar menjadi kebun komuniti seluas 557.4 meter persegi.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

PKM Bandar Utama guna bahan kitar semula ganti bumbung usang

SHAH ALAM, 26 OKT: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bandar Utama memperuntuk RM5,000 bagi projek penggantian bumbung keluarga miskin di Kampung Sungai Kayu Ara dan Kampung Cempaka.

Wakil rakyatnya berkata program dengan kerjasama Tetra Pak Malaysia menggunakan bahan kitar semula bagi membaik pulih kediaman yang rosak, baru-baru ini.

“Usaha ini membantu keluarga memerlukan untuk menjamin hak asasi mereka dengan memiliki tempat tinggal yang baik, sekurang-kurangnya bumbung rumah boleh melindungi daripada tempias hujan.

“Semoga projek ini memberi manfaat dan galakkan kepada orang ramai untuk bersama-sama menggunakan bahan kitar semula demi kelestarian alam,” kata Jamaliah Jamaluddin ketika dihubungi.

Beliau berkata bumbung tersebut dibuat melalui pengasingan komponen pek minuman meliputi 75 peratus kertas, plastik (20 peratus) dan aluminium (lima peratus).

Jamaliah berkata elemen plastik dan aluminium atau ‘Poly-Al’ kemudian ditukar menjadi genting bumbung sebelum diserahkan kepada pihaknya.

“Kami akan membantu dua buah keluarga lagi dalam masa terdekat dan berharap projek ini meyakinkan orang ramai bahan kitar semula banyak kegunaannya,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

104 wanita DUN Bandar Utama jalani pemeriksaan mammogram

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 14 FEB: Seramai 104 wanita di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama sudah menjalani pemeriksaan mammogram sejak Ogos 2018 sehingga Januari lalu.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, sambutan diterima amat menggalakkan dan beliau bercadang untuk menambah bilangan peserta dari semasa ke semasa.

“Kita tidak menetapkan berapa jumlah sasaran untuk wanita sekitar DUN Bandar Utama, sebaliknya akan tetap terus melaksanakan program pemeriksaan mammogram ini.

“Jika ada yang memohon ingin membuat pemeriksaan mammogram, kita akan mula laksanakan kerana ia bertujuan membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau menyarankan wanita di DUN Bandar Utama mengambil kesempatan membuat pemeriksaan mammogram percuma menerusi Skim MammoSel disediakan Kerajaan Negeri.

“Wanita perlu mengambil peluang ini kerana jika mahu membuat rawatan sendiri, sudah pasti ia akan menelan kos tinggi.

“Namun, kebanyakan wanita kini saya lihat kurang kesedaran untuk pergi membuat rawatan dan dalam tidak sedar mereka sudah menghidap kanser pada tahap merbahaya,” katanya.

Program MammoSEL dilancarkan pada 6 November 2010, di Hulu Langat sempena Sambutan Hari Wanita Desa peringkat Selangor, bertujuan memberi perkhidmatan pemeriksaan mammogram secara percuma kepada seluruh wanita, di negeri itu.

Program itu ditambahbaik bermula pada 2016 dengan penambahan rawatan susulan ultrasound bagi yang memerlukan atas nasihat doktor.